Site icon MuslimahHTM News

TIGA KESEDARAN PENTING

TIGA KESEDARAN PENTING
Oleh: H.M. Ismail Yusanto

Islam adalah risalah dengan seperangkat perkara atau akidah yang wajib diyakini, seperangkat peraturan atau syariah yang wajib diterapkan. Ketika syariah itu diterapkan, dijanjikan oleh Allah, akan membawa manusia, Muslim mahupun non-Muslim, pada kehidupan yang penuh keberkahan; adil, damai, sejahtera, aman tenteram dengan kemajuan di segala bidang serta selalu diwarnai ketaatan dan kesucian, jauh dari kezaliman, kemungkaran, ketidakadilan, penindasan dan hal-hal buruk lainnya.

Sebagai risalah, Islam telah pernah membawa dunia ini pada masa lalu ke peradaban yang agung berbilang abad lamanya, yang dipenuhi dengan semua kebaikan dan jauh dari segala keburukan tadi. Para sejarawan menyebut era itu sebagai The Golden Age, abad keemasan Islam, yang terbentang lebih dari 700 tahun lamanya. Boleh disebut inilah puncak tertinggi atau puncak dari keagungan risalah ini secara faktanya.

Namun, kini peradaban agung itu tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah kesan-kesan kehebatannya sahaja. Sebahagiannya terungkap dalam lembaran-lembaran buku sejarah atau kitab-kitab tarikh. Sebahagiannya lagi terlihat dalam bentuk bangunan-bangunan hebat, seperti yang ada di Istanbul – Turki, yang pernah menjadi pusat terakhir dari peradaban Islam itu.

++++

Mengapa peradaban Islam yang agung, hebat, bertumpu pada risalah yang haq dan pernah teguh berdiri berbilang abad lamanya itu boleh runtuh? Terdapat dua faktor, yakni faktor internal yang datang dari tubuh umat dan faktor eksternal yang datang dari musuh-musuh Islam.

Musuh-musuh Islam memang sejak dari awal risalah ini disebarkan oleh Nabi Muhammad SAW tidak pernah redha hingga kita mengikuti millah (agama) mereka. Tujuannya agar kita sama dengan mereka; sama akidah atau agamanya. Jika kita sudah sama dengan mereka, kita tentu tidak akan menjadi penghalang atas segala apa yang mereka mahukan.

Maka dari itu, segala usaha mereka lakukan. Jika tidak mungkin sama agamanya, mereka berusaha agar kita sama pemikiran dan tingkah laku dengan mereka. Jika disebabkan agama yang kita anut itu telah menyebabkan keinginan mereka itu terhambat, maka ajaran agama kita itu yang diserang. Lihatlah, pelbagai fitnah mereka hamburkan, seperti bahawa al-Quran itu buatan Nabi Muhammad, atau syariah Islam itu kejam dan tidak lagi relevan dalam kehidupan moden saat ini, dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menimbulkan keraguan (tasykiik) pada keyakinan kita.

Jika kerana institusi politik dan kepemimpinan yang selama ini melindungi kita, yakni Khilafah, tujuan mereka terhambat, maka institusi politik dan kepemimpinan itulah yang diserang. Di sinilah kita dapat lihat, bagaimana usaha keras mereka yang dilakukan untuk menghancurkan institusi politik Islam sejak berabad sebelumnya akhirnya mencapai keberhasilannya. Pada Rejab 1342 H, lebih dari 1 abad yang lalu, Khilafah Uthmani, yang berpusat di Turki, yang lebih dari 450 tahun menaungi dan melindungi Dunia Islam, akhirnya  mereka berjaya runtuhkan.

Namun demikian, usaha keras musuh-musuh Islam itu sebenarnya tidak akan berhasil jika umat Islam tetap teguh memegang jati dirinya sebagai Muslim. Keberhasilan makar mereka itu bukan kerana mereka hebat, tetapi kerana umat Islamlah yang sedang berada dalam keadaan yang lemah. Ibarat penyakit, jika tubuh kita sihat dan memiliki daya imun yang tinggi, berbagai penyakit yang cuba menyerang tidak akan mudah melemahkan apatah lagi menghancurkan tubuh kita.

Sejarah keruntuhan Khilafah telah memberikan pengajaran atau ibrah, bahawa kita sebagai umat memang tidak boleh leka atau kendur walau untuk sesaat pun. Sebab, musuh-musuh Islam pun tidak pernah duduk diam sejak awal dulu hingga saat ini dan sampai bila-bila pun mereka tak akan berhenti. Mereka akan sentiasa berusaha untuk meruntuhkan kita hingga kita tunduk, patuh dan mengikuti semua kemahuan mereka.

Jika faktor eksternal itu bersifat laten (tersembunyi), kita memang tidak boleh halang kerana itu memang kehendak mereka. Oleh itu, yang kita boleh tentukan (kawal) adalah faktor internal. Berbalik  kepada kita, adakah kita akan tetap membiarkan diri kita lemah, tak berdaya atau kemudian bangkit dan berjuang agar kita menjadi kuat dan berjaya kembali?

Di sinilah, kegiatan pembinaan dan merekrut, juga kegiatan seperti penerbitan buku, muktamar, konferens, seminar, diskusi atau kajian dan aktiviti lain, yang membincangkan isu Khilafah—keagungan dan keruntuhannya—menjadi penting.

Pertama: Untuk membangkitkan kesedaran sejarah Islam (al-wa’yu at-taarii­khi al-islaami). Umat hendaklah celik sejarah dan memandang sejarah dari sudut pandang Islam. Sejarah adalah realiti pada masa lampau dimana nilai pentingnya sangat dipengaruhi oleh cara pandang pembacanya, adakah mendasarkan pada Islam atau selain Islam. Umat Islam perlu mengetahui dan mengambil tahu tentang sejarah Khilafah dari awal penegakannya hingga mencapai kegemilangan dan berakhir dengan keruntuhannya.

Faktanya, cukup banyak dari umat yang tidak sedar akan peri pentingnya momen keruntuhan Khilafah yang terjadi pada bulan Rejab lebih dari 100 tahun lalu. Mungkin generasi sekarang tak ramai yang tahu bahawa umat di seluruh dunia pada masa itu memberikan reaksi keras, termasuk di negeri ini. Beberapa bulan setelah keruntuhan Khilafah, tepatnya pada bulan Oktober 1924, lebih dari 500 tokoh umat dari lebih dari 30 organisasi, di antaranya Muhammadiyah, al-Irsyad dan Syarikat Islam, menyelenggarakan Kongres al-Islam kedua di Garut, khusus untuk merespon keruntuhan Khilafah itu. Dalam kongres itu, yang dipimpin oleh KH Agus Salim, umat Islam Indonesia bersepakat bahawa kita mesti memberikan perhatian pada masalah ini. Ini kerana, kata mereka, sistem pemerintahan Islam, Khilafah, mesti dan wajib ada.

Kesedaran seperti itulah yang kini perlu dibangkitkan kembali. Dengan itu umat benar-benar memahami bahawa keruntuhan Khilafah itu, seperti dikatakan oleh para ulama, adalah ummul-jaraa’im (ibu dari segala bencana atau malapetaka), seperti yang berlaku saat ini. Ada malapetaka ideologi, malapetaka politik, ekonomi, sosial budaya, Pendidikan, dakwah dan lain-lain.

Kedua: Untuk membangkitkan kesadaran politik Islam (al-wa’yu as-siyaasi al-islaami) yang berpangkal pada pemahaman akidah yang kukuh; yakni bahawa risalah Islam ini perlu ditegakkan, ukhuwah Islamiyah hendaklah wujud secara nyata, syariah Islam mesti diterapkan secara kaffah serta dakwah Islam perlu terus digerakkan. Untuk itu, boleh atau tidak, kita perlu kembalikan institusi yang akan memungkinkan semua itu dapat direalisasikan, yakni Khilafah.

Kesedaran ini perlu terus digelorakan sedemikian rupa sehingga umat benar-benar sedar betapa pentingnya penegakan kembali Khilafah, seperti yang dikatakan oleh para ulama, sebagai taajul-furuud (mahkota kewajipan). Dengan tegaknya Khilafah, akan ada sekian banyak kewajipan lain yang dapat dilaksanakan. Dalam istilah Imam Ibnu Taimiyah, Khilafah itu min a’zhami waajibaat ad-diin (merupakan kewajipan agama yang paling besar atau agung)

Ketiga: Melalui kesedaran yang pertama dan kedua, diharapkan lahir kesedaran untuk bekerja/beramal (al-wa’yu al-‘amali) di kalangan umat. Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk berusaha memberikan peranan optimum hingga kewajipan atau fardhu kifayah ini benar-benar terwujud. Fardhu kifayah hakikatnya adalah fardhu ain hingga kewajipan itu benar-benar terwujd. Ianya hendaklah dilakukan dengan segera kerana status kewajipan tegaknya Khilafah saat ini adalah qadhaa’[an]. Ijmak Sahabat hanya membolehkan umat kosong dari kepemimpinan selama 3 hari 2 malam. Sejak keruntuhan Khilafah pada lebih dari 100 tahun lalu, sudah berapa hari dan berapa malam Khilafah tiada?

Inilah satu-satunya jalan yang bebas dari dosa yang timbul akibat kewajipan kifayah itu belum terlaksana. Padahal Khilafah adalah satu-satunya jalan untuk mewujudkan kembali ‘izzul Islaam wa al-Muslimiin serta kerahmatan bagi seluruh alam yang dijanjikan.

Mengingkari kewajipan Khilafah bererti mengingkari salah satu kewajipan agama. Ini tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim. Apatah lagi kemudian menghalangi tegaknya kewajipan itu. Sungguh hairan. Bagaimana seorang Muslim boleh menghalang pelaksanaan salah satu kewajipan terpenting dari agamanya?

Dengan keterlibatan umat, kita sangat yakin, cita-cita besar ini akan terwujud. Insya Allah. Di sinilah pentingnya pembinaan umat, baik secara personal mahupun komunal, perlu terus menerus dilakukan demi melahirkan tiga kesedaran penting tersebut.

++++

Akhirnya, kita berharap mudah-mudahan semua ikhtiar mulia ini mampu mengantarkan kita pada titik yang diharapkan, serta menjadi catatan amal soleh di sisi Allah. Adakah bekal yang lebih baik buat kehidupan di akhirat nanti selain taat kepada Allah SWT dan berjuang di jalan-Nya?

Exit mobile version