[NAFSIYAH] BERAMAL DENGAN AMALAN YANG PALING UTAMA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Seorang Muslim yang sejati sepatutnya sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dan paling utama. Imannya ialah iman yang paling mantap. Amalnya pula adalah amalan yang paling utama.
Solatnya adalah solat yang paling khusyuk. Hajinya adalah haji yang mabrur. Sedekahnya adalah sedekah dengan harta yang paling baik. Akhlaknya adalah akhlak yang paling mulia. Nafkahnya adalah yang paling halal dan paling jauh dari syubhat. Dakwahnya adalah dakwah yang paling semangat dan paling lurus. Demikian seterusnya. Jika mereka mampu melakukan semua itu, bererti mereka benar-benar telah meraih hakikat kebajikan. Terkait itu, Allah SWT berfirman : “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu infakkan (di jalan Allah) sebahagian dari apa yang kamu sayangi.” [TQM Ali Imran (3): 92].
Ayat ini secara langsung berkaitan dengan konsep infak terbaik iaitu membelanjakan harta pada jalan Allah dengan apa sahaja yang paling dicintai. Namun begitu, semangat ayat ini juga merangkumi semua aspek kehidupan. Seorang Muslim seharusnya sentiasa melakukan yang terbaik dalam segala perkara, bukan hanya dalam berinfak.
Terkait ayat ini, Imam ath-Thabari (Jil. VI/90) pernah meriwayatkan kisah daripada Maymun bin Mahran yang menceritakan bahawa seseorang pernah bertanya kepada Abu Dzar al-Ghifari RA, “Apakah amalan yang paling utama?” Jawab Abu Dzar, “Solat sebagai tiang agama, jihad sebagai pengukuh Islam dan sedekah sebagai sesuatu yang menakjubkan.” Abu Dzar kemudian membaca ayat di atas.
Ibnu Kathir dalam tafsirnya meriwayatkan kisah Abu Dzar RA yang berkata: “Aku pernah masuk ke masjid dan mendapati Rasulullah SAW duduk bersendirian. Aku lalu duduk di sisi baginda dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Iman kepada Allah dan berjihad di jalanNya.’ Aku bertanya lagi, ‘Mukmin yang mana paling baik?’ Baginda menjawab, ‘Mukmin yang paling mulia akhlaknya.’ Aku bertanya, ‘Muslim yang mana paling selamat?’ Baginda menjawab, ‘Muslim yang manusia lain selamat daripada lidah dan tangannya.’ Aku bertanya, ‘Hijrah bagaimana yang paling utama?’ Baginda bersabda, ‘Hijrah daripada segala bentuk keburukan.’ Aku bertanya, ‘Solat bagaimana yang paling utama?’ Baginda bersabda, ‘Solat yang dipanjangkan bacaan qunutnya.’ Aku bertanya, ‘Puasa yang bagaimana paling utama?’ Baginda bersabda, ‘Puasa fardhu (Ramadhan) yang pahalanya dilipatgandakan oleh Allah.’ Aku bertanya, ‘Jihad yang bagaimana paling utama?’ Baginda bersabda, ‘Jihad seorang mujahid yang darahnya tertumpah dan kudanya cedera.’ Aku bertanya, ‘Hamba yang bagaimana paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Yang paling tinggi nilainya dan paling menyenangkan tuannya.’ Aku bertanya lagi, ‘Sedekah bagaimana yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Sedekah daripada orang yang dalam kesusahan dan yang segera membantu orang fakir.’” [Tafsir Ibn Kathir, Jilid II, hlm. 471].
Dalam satu riwayat lain, Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya ketika mentafsirkan Surah al-Infithar ayat 13-14 menceritakan bahawa Sulaiman pernah bertanya kepada Abu Hazim, “Wahai Abu Hazim, siapakah hamba Allah yang paling mulia?” Abu Hazim menjawab, “Mereka yang sentiasa menjaga maruah diri dan menjauhi perkara haram.” Sulaiman bertanya lagi, “Apakah amalan yang paling utama?” Beliau menjawab, “Melaksanakan segala kewajipan dan menjauhi segala larangan.” Ditanya lagi, “Doa yang mana paling didengar oleh Allah?” Jawabnya, “Doa orang soleh untuk orang yang juga soleh.” Tentang sedekah yang paling utama, beliau menjawab, “Sedekah yang diberikan kepada peminta yang benar-benar memerlukan dan juga sedekah daripada orang yang dalam kesempitan.” Apabila ditanya ucapan yang paling adil, beliau menjawab, “Ucapan kebenaran yang diungkapkan di hadapan orang yang ditakuti atau yang dimuliakan.” Sulaiman turut bertanya, “Siapakah Mukmin yang paling cerdik?” Jawab beliau, “Mukmin yang sentiasa taat kepada Allah dan mengajak orang lain untuk turut taat.” Dan apabila ditanya siapa Mukmin yang paling bodoh, beliau menjawab, “Mukmin yang mengikut hawa nafsu saudaranya yang zalim, lalu menjual akhiratnya demi mendapatkan dunia daripada orang lain.” [al-Qurthubi, Jilid I, hlm. 338].
Selain itu, setiap amalan memiliki darjat keutamaannya yang tersendiri. Dalam hal ini, baginda Rasulullah SAW telah meletakkan susunan keutamaan antara amalan-amalan tersebut. Sebagai contoh, menurut riwayat Abu Hurairah RA, baginda pernah ditanya, “Apakah amalan yang paling utama?” Baginda menjawab, “Iman kepada Allah SWT.” Kemudian ditanya lagi, “Selepas itu apa?” Baginda menjawab, “Berjihad di jalan Allah.” Lalu ditanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, “Haji yang mabrur.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Sabda Rasulullah SAW di atas dengan jelas menunjukkan kedudukan tiga amalan tersebut, iman kepada Allah, jihad di jalanNya, dan haji mabrur sebagai antara amalan yang paling utama. Banyak lagi hadis lain yang membawa maksud serupa. Apa yang pasti, semua ini menggambarkan bahawa melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik dan yang paling utama merupakan tuntutan daripada Allah SWT dan RasulNya. Semoga kita semua boleh melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Ameen.

