Di Sebalik Konflik India-Pakistan
Oleh: Bilal Al-Muhajir, Pakistan
Pada tanggal 22 April di Pahalgam, Kashmir, media mandakwa bahawa kelompok bersenjata dari gerakan perlawanan Kashmir telah menembak para pelancong, menewaskan 26 orang, termasuk pengunjung dari UAE dan Nepal. Meskipun gerakan tersebut mendakwa bertanggungjawab, menyatakan bahawa targetnya “bukan pelancong biasa tetapi agen perisikan,” dan di sebalik penafian dan kecaman Pakistan, serta fakta bahawa kedua-dua pihak, India dan Pakistan, bekerjasama untuk menguras sumber perlawanan di Kashmir yang diduduki, dan Pakistan menjenayahkan dan mengadili sesiapa yang menyokong perlawanan di sana, India terus menegaskan bahawa Pakistan berada di sebalik serangan itu.
India telah mengambil beberapa tindakan balas terhadap Pakistan, seperti mengarahkan semua warga Pakistan untuk meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam, membatalkan visa mereka, menutup sempadan selepas serangan tersebut, dan yang paling penting, menggantung penyertaan dalam Perjanjian Air Indus, yang merupakan saluran utama bekalan air kepada Pakistan, terutamanya bagi sektor pertanian dan tenaga. Islamabad menggambarkan langkah ini sebagai “pengisytiharan perang” kerana ini adalah kali pertama tindakan sebegitu diambil sejak Perjanjian Air Indus ditandatangani pada tahun 1960, yang merupakan salah satu daripada sedikit elemen yang stabil dalam hubungan antara India dan Pakistan.
Penembakan tersebut didasarkan kepada identiti perkauman dan sektarianisme agama, sesuatu yang tidak selari dengan pendekatan-pendekatan perlawanan sebelumnya. Akibatnya, pihak yang paling mendapat manfaat daripada serangan ini adalah Parti Bharatiya Janata (BJP), parti pemerintah pimpinan Modi, yang diasaskan berlandaskan rasisme, sektarianisme, serta hasutan kebencian, selain merosakkan imej Islam dan umat Islam, baik di India mahupun di seluruh rantau.
Serangan terbaru di Kashmir telah memberi keuntungan besar kepada parti radikal BJP (Parti Bharatiya Janata), parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri Modi. Parti ini berjaya menyaingi parti lama India, iaitu Parti Kongres, dengan meniupkan sentimen sektarian dan keagamaan serta mempromosikan kefanatikan Hindu terhadap Muslim, yang akhirnya membolehkannya mengambil alih kuasa dalam dua dekad kebelakangan ini. Inilah rahsia kekuatan BJP, keupayaannya memobilisasi sektarianisme dalam kalangan majoriti rakyat Hindu yang mudah dipengaruhi, sekali gus membolehkannya mengukuhkan kedudukan dalam bidang legislatif, politik, serantau, dan awam. Maka, serangan di Kashmir dijangka akan terus meningkatkan sokongan terhadap Modi dan partinya dalam pilihan raya akan datang di India.
Di sisi lain, kerajaan Pakistan yang telah mengecewakan rakyat Kashmir, akhir-akhir ini menerima tekanan hebat daripada opini awam kerana kegagalannya menyokong Tanah Palestin yang diberkati. Hal ini dapat dilihat melalui perarakan dan protes yang mengecam kelambanan kerajaan serta menyeru agar Pakistan menggerakkan tentera untuk berarak menuju Al-Quds.
Kerajaan Pakistan melihat peluang dalam serangan ini untuk mengalihkan perhatian awam daripada tuntutan sokongan terhadap rakyat Gaza kepada konfrontasi dengan musuh ketat mereka yang “mengintai” dan mengancam untuk membalas. Oleh itu, insiden ini menjadi kepentingan bersama antara kedua-dua negara yang setia kepada kekuatan Barat di Washington, saling bertukar kenyataan berapi-api, dan lebih unggul dalam menyampaikannya, tanpa ada tindakan balas nyata yang berlaku setakat ini.
Seandainya kerajaan Pakistan tidak terlibat dalam persekongkolan dengan India dalam peristiwa ini, mereka akan memanfaatkan kesempatan tersebut untuk membatalkan semua perjanjian perdamaian dan normalisasi dengan India, dan bergerak untuk membebaskan Jammu dan Kashmir, seterusnya menaklukkannya ke Pakistan, sementara dunia Barat dan China sibuk dengan urusan mereka sendiri.
Namun, tindakan sedemikian mustahil dilakukan di bawah kepimpinan sekarang yang berpuas hati dan mengkhianati isu umat, termasuk isu Kashmir dan Tanah Suci Palestin. Mereka yang tulus dalam tentera Pakistan perlu membersihkan barisan mereka daripada komander-komander pengkhianat ini dan memberikan nusrah mereka kepada perjuangan politik Islam yang akan mengembalikan institusi kepimpinan sebenar umat, iaitu al-Khilafah.

