[Mafahim Islamiyyah] Naluri-naluri (Bahagian 2)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT memberi seruan kepada Ibrahim as., “(Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu Imam (pemimpin) bagi seluruh umat manusia”. Ibrahim berkata: “(Dan saya memohon juga) dari keturunanku.”. Allah berfirman: “JanjiKu ini tidak berlaku bagi orang-orang yang zalim.’” [TMQ Al-Baqarah (2): 124]
Ibrahim as. mencintai keturunannya. Ini merupakan salah satu indikasi dari naluri seksual (gharizah nau’). Kecintaan kepada keturunannya membuatkan Ibrahim memohon kepada Allah SWT agar turut memberikan kepimpinan kepada keturunannya. Ini adalah untuk memenuhi naluri seksual yang ada pada Ibrahim as., tetapi Allah menjawab bahawa janji-Nya tidak menyangkut orang yang zalim. Allah SWT menjelaskan bahawa kepimpinan ini akan diberikan kepada keturunan Ibrahim yang soleh. Sebaliknya, janji ini tidak sampai kepada keturunannya yang zalim.
Dalam surah lain, Allah SWT juga berfirman, “Sesungguhnya wanita itu telah berkeinginan dengan Yusuf dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya.” [TMQ Yusuf (12): 24]
Kecenderungan terhadap lawan jenis yang merupakan salah satu penampakan dari naluri seksual telah ada pada diri isteri Aziz. Kemudian dia bermaksud untuk melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap Yusuf dia didorong oleh kecenderungan ini untuk memuaskan naluri seksualnya. Penampakan ini juga ada pada diri Yusuf, tetapi dia tidak melakukannya sepertimana wanita itu. Ini kerana Allah SWT telah memperlihatkan kepada Yusuf sesuatu yang menahannya dari maksudnya.
Perkataan laula (andaikan tidak) berfungsi untuk mencegah kewujudan sesuatu. Oleh kerana itu, Yusuf benar-benar terhalang dari tujuan kemaksiatannya dengan wanita itu kerana telah melihat burhan (bukti/tanda) dari Tuhannya. Dengan demikian ayat di atas bermaksud, “Andaikata Yusuf tidak melihat burhan Tuhannya, nescaya dia bermaksud untuk melakukan perbuatan kemaksiatan terhadap isteri Aziz. Ini adalah akibat daripada kecenderungannya terhadap lawan jenis.
Namun demikian, Yusuf tidak bermaksud untuk melakukan perbuatan maksiat dengan wanita itu. Ini kerana dia telah melihat sesuatu dari Allah SWT yang mencegahnya dari maksud itu. Allah SWT berfirman, “Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya.” [TMQ Az-Zumar (39): 8]
Juga firman-Nya, “”Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan pada hari (ketika) orang yang bersalah berwajah masam penuh kesulitan.”” [TMQ Al-Insaan (76): 10]
Taubat kepada Allah dan takut akan azab-Nya adalah penampakan dari naluri beragama.
Tiga naluri ini wujud pada manusia dan tidak boleh dibuang. Begitu juga, manusia tidak boleh mengeluarkannya daripada manusia lain. Walau bagaimanapun, beberapa penampakan naluri ini boleh dialihkan ke penampakan yang lain.
Penampakan kasih sayang seseorang kepada isteri boleh dialihkan kepada kasih sayang kepada ibunya. Cinta kedaulatan boleh diletakkan dalam cinta memiliki. Menyucikan manusia dan berhala boleh dialihkan kepada penyembahan kepada Allah Taala. Walau bagaimanapun, memadam, membuang, atau menghapuskan semua naluri dari tubuh manusia adalah mustahil. Ini kerana naluri adalah sebahagian daripada ciri-ciri manusia itu sendiri, manakala penampakan naluri bukanlah sebahagian daripada ciri-ciri manusia.
Adapun cara agar manusia dapat memahami tentang penggabungan satu penampakan pada satu naluri adalah dengan mempelajari atau meneliti realiti penampakan ini. Jika penampakan itu berupa kecenderungan atau keengganan yang membuahkan perbuatan yang mengekalkan kewujudan manusia, penampakan ini digabungkan dengan naluri mempertahankan diri (gharizah baqa’). Wujudnya adalah berupa rasa takut, rasa berani, kedekut dan lain-lain.
Jika penampakan ini menghasilkan tindakan yang memelihara kesinambungan spesies manusia, maka penampakan ini dikaitkan dengan naluri seksual (gharizah nau’). Ia berbentuk rasa lemah lembut, kasih sayang, kecenderungan seksual dan lain-lain.
Apabila penampakan itu membuahkan perbuatan yang menjaga perasaan (emosi) manusia akan kelemahan dan keperluan terhadap Al-Khaliq, ini bermaksud penampakannya bergabung dengan naluri beragama (gharizah tadayyun). Wujudnya adalah seperti takut terhadap Hari Kiamat, cenderung memuliakan orang-orang kuat, kagum dengan sistem alam semesta dan lain-lain.
Penampakan itu sendiri bukanlah perbuatan. Oleh kerana itu, kecenderungan memiliki bukanlah aktiviti memiliki. Ini kerana kecenderungan memiliki tiada lain hanyalah perasaan pada diri manusia terhadap segala sesuatu agar dapat mengumpulkan dan menguasainya. Sementara kepemilikan adalah merealisasikan aktiviti, seperti membeli kereta atau mencuri harta.
Dengan demikian, jika ia sekadar penampakan ini belum dapat memenuhi naluri. Hanya aktiviti yang didorong oleh penampakan itulah yang mampu memenuhi naluri atau merealisasikan sebahagian pemenuhan ini. Oleh sebab itu, sekadar kecenderungan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT bukanlah ibadah, kerana aktiviti ibadah itulah yang dapat memenuhi naluri beragama.
Sedangkan dengan sekadar kecenderungan semata, pemenuhan-pemenuhan itu tidak pernah berlaku. Kecenderungan seksual tidak dapat memenuhi naluri seksual. Akan tetapi, persetubuhan antara lelaki dan perempuan dapat memenuhi naluri ini. Jika persetubuhan ini dilakukan berulang kali antara keduanya tetapi bukan untuk mengembangkan zuriat, aktiviti ini bukanlah untuk memenuhi garizah nau’. Ini kerana pada dasarnya aktiviti adalah hasil dari penampakan untuk memenuhi naluri, di mana penampakan tersebut akan berkembang menjadi naluri.
Oleh itu, persetubuhan tanpa pembiakan tidak dapat merealisasikan pemenuhan yang sempurna kerana ia tidak boleh membawa kepada pemeliharaan kesinambungan spesies manusia. Jadi aktiviti seksual di atas bukanlah untuk memenuhi naluri seksual.
Sumber: Mafahim Islamiyyah.
[Mafahim Islamiyyah] Naluri-naluri (Bahagian 2)

