Pakistan di Persimpangan, Antara Perang Nasionalisme dan Jihad untuk Pembebasan Palestin
Ketegangan konflik antara India dan Pakistan kembali memuncak. Pada malam 6 dan 7 Mei, pihak India telah melancarkan serangan ke atas masjid serta kawasan awam di beberapa bandar di Azad, Kashmir dan Pakistan, yang mengakibatkan puluhan umat Islam terkorban. Sebagai tindak balas, Tentera Udara Pakistan telah menembak jatuh lima pesawat pejuang milik India dan menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan India.
Ketegangan tersebut tercetus susulan insiden yang berlaku pada 22 April 2025 di Lembah Baisaran, sebuah destinasi pelancongan popular yang terletak di kawasan pergunungan Pahalgam, Kashmir, di bawah pentadbiran India. Dalam insiden tersebut, sekumpulan lelaki bersenjata telah membunuh 25 warga India dan seorang warga Nepal. Pihak India kemudiannya menuduh Pakistan sebagai dalang di sebalik serangan tersebut dengan mendakwa negara itu menyokong, membekalkan senjata, serta melatih kumpulan-kumpulan bersenjata yang dianggap sebagai punca kekacauan.
Namun, di pihak yang lain, Pakistan menegaskan bahawa mereka hanya memberikan sokongan moral dan diplomatik kepada gerakan pemisahan diri di Kashmir. New Delhi sememangnya telah lama menuduh Islamabad menyokong kumpulan-kumpulan pengganas di wilayah tersebut dengan tujuan untuk merampas semula kawasan Himalaya yang menjadi pertikaian itu.
Tidak berdiam diri, Amerika Syarikat segera bertindak dengan mengambil inisiatif serta menjadi perantara bagi mencapai perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara. Akhirnya, India dan Pakistan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tersebut. Persoalannya kini, mengapa Amerika Syarikat begitu berkepentingan untuk menghentikan konflik tersebut? Dan apakah sikap yang sepatutnya diambil oleh Pakistan sebagai sebuah negara Muslim yang memiliki senjata nuklear?
Penjaga Kepentingan Kuasa Besar
Masalah di benua kecil India, yang turut melibatkan Pakistan, merupakan isu lama yang sering berulang dengan pelbagai konflik. Dahulu, semasa kemuncak Perang Dingin, Kesatuan Soviet menyokong India, manakala Amerika Syarikat dan China menyokong Pakistan.
Hari ini, selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat mempunyai kepentingan yang lebih strategik di rantau ini, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah dalam kitab Mafahim Siyasiyah li Hizb at-Tahrir.
Menurut beliau, terdapat tiga perkara utama yang menjadikan isu di benua kecil India ini sangat signifikan sehingga menarik perhatian Amerika Syarikat. Pertama, penyebaran Islam yang semakin meluas akibat konflik di Kashmir. Kedua, kebangkitan kuasa China yang semakin ketara. Ketiga, keanggotaan India dan Pakistan dalam kelompok negara-negara yang memiliki senjata nuklear.
Berkenaan dengan penyebaran Islam, Amerika Syarikat menganggapnya sebagai satu ancaman besar, khususnya setelah melihat pengaruh Islam yang semakin kuat di Kashmir dan memperoleh sokongan yang meluas. Fokus utama Amerika Syarikat dalam hal ini adalah untuk menyekat, malah menghentikan, sebarang kebangkitan Islam di rantau tersebut melalui pelbagai cara, khususnya dengan menggunakan kerajaan tempatan yang dianggap sebagai wakil atau agen kepada kepentingannya.
Selain memberi tumpuan kepada usaha menyekat gerakan Islam di Kashmir dengan menekan segala bentuk usaha pembebasan berlandaskan Islam, Amerika Syarikat juga mempunyai matlamat untuk menjaga kestabilan serantau. Amerika Syarikat perlu memastikan bahawa ketegangan antara Pakistan dan India tidak meletus menjadi konflik terbuka, agar India dapat berhadapan dengan China dalam keadaan yang stabil dan aman. Ini bermakna, Amerika Syarikat menjadikan India sebagai alat untuk menyaingi dan pada masa yang sama menyibukkan China di rantau ini. Inilah hakikat di sebalik usaha pengantaraan gencatan senjata Amerika Syarikat baru-baru ini antara India dan Pakistan.
Atas dasar itu jugalah, Amerika secara logiknya membenarkan bahkan merestui India dan Pakistan untuk membangunkan senjata nuklear. Malah, Amerika turut membantu India secara khusus dalam memperoleh persenjataan moden serta memudahkan akses terhadapnya. Tujuan utamanya jelas, iaitu agar India dapat muncul sebagai kuasa yang mampu menghadapi pengaruh dan kekuatan China.
Jelaslah bahawa Amerika Syarikat telah merancang strateginya di rantau ini berasaskan prinsip asas untuk menyekat perkembangan Islam dan membendung kebangkitan China. Amerika juga berusaha untuk mengimbangi kekuatan China dengan meredakan ketegangan serantau serta menghapuskan segala punca pergolakan, agar dapat mewujudkan satu kuasa besar yang tersusun dan terancang.
Pakistan dalam Perangkap Nasionalisme
Pada tahun 2023, Pakistan merupakan salah sebuah negara Muslim yang memiliki angkatan tentera terbesar di dunia, dengan lebih daripada 650,000 anggota aktif dan 550,000 anggota simpanan. Pada tahun 2024, Pakistan turut tersenarai dalam 20 negara dengan perbelanjaan ketenteraan tertinggi di dunia, iaitu sekitar AS$10 bilion setahun. Kekuatan utamanya terletak pada jumlah anggota yang besar serta pengalaman tempur yang luas, khususnya di kawasan sempadan dengan Afghanistan dan India. Selain itu, pada tahun 2023, Pakistan turut mencatatkan dirinya sebagai satu-satunya negara Muslim yang memiliki senjata nuklear, dengan kira-kira 170 hulu ledak nuklear.
Dengan potensi ketenteraan yang sebesar itu, sewajarnya Pakistan mampu membebaskan jiran Muslim terdekatnya, iaitu Kashmir, serta membungkam kesombongan India. Inilah seruan yang sentiasa disuarakan oleh Hizbut Tahrir kepada para pemimpin dan panglima tentera mereka.
Pakistan juga sebenarnya mampu memberikan bantuan yang signifikan kepada saudara-saudara seagama mereka di Palestin dengan menghantar pasukan tentera untuk berjihad di sana. Para pemimpin dan panglima tentera Pakistan sewajarnya segera menghayati dan menyahut seruan Allah Taala dalam Surah At-Taubah, ayat 14: “Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.”
Namun begitu, alih-alih menyahut seruan jihad, pemimpin tentera Pakistan lebih memilih untuk hanyut dalam euforia nasionalisme, sambil menurut arahan penjajah. Malah, Perdana Menteri Shehbaz Sharif memuji serangan balas mereka ke atas India sebagai kejayaan ketenteraan yang bersejarah.
Beliau juga mendakwa bahawa jet-jet Pakistan dengan pantas telah membungkam artileri India dengan cara yang akan dikenang selama bertahun-tahun. Malangnya, kebanggaan itu bukanlah dibina atas semangat jihad untuk meninggikan kalimah Allah Taala dan membebaskan umat Islam, sebaliknya berdiri atas fanatisme nasionalisme yang jahiliah.
Sedangkan Islam dengan jelas telah mengharamkan seorang Muslim berperang atas dasar assabiyah. Rasulullah Muhammad SAW telah bersabda, “Barangsiapa yang berperang kerana fanatisme kesukuan (assabiyah), atau kerana semangat kesukuan, atau kerana fanatisme golongan, maka dia tidak termasuk dalam golongan kami (umat Islam).” (HR Abu Dawud).
Penolong Dakwah yang Mulia
Sesungguhnya kemuliaan seorang Muslim terletak pada ketaatannya kepada perintah Allah Taala, bukan pada tunduk kepada tekanan musuh. Allah dengan jelas melarang seorang Muslim menjadikan orang kafir sebagai wali atau memberikan kesetiaan kepadanya, lebih-lebih lagi kepada Amerika Syarikat sebagai negara kafir harbi fi’lan yang secara terang-terangan telah menyokong genosid terhadap penduduk Palestin melalui tangan Zionis Yahudi.
Allah Taala berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 51 yang bermaksud, “Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka.”
Oleh itu, sikap mulia yang perlu diambil oleh tentera Pakistan adalah menyalakan api jihad demi pembebasan Kashmir dan Palestin. Allah telah menyediakan jalan kemenangan dan kejayaan yang jelas di hadapan kekuatan tentera Pakistan melalui jihad, maka hendaklah mereka mengambil jalan tersebut.
Wahai para pemimpin dan panglima tentera Pakistan, jadilah penolong dakwah yang mulia, sebagaimana Saad bin Muadz RA dan kaum Anshar di Madinah yang telah memberikan sokongan ketenteraan (nushrah) mereka kepada Rasulullah SAW, yang menjadi asas bagi tegaknya negara Islam yang pertama. Itulah satu-satunya jalan yang akan mengangkat martabat kamu, pasukan kamu, negara kamu, dan agama kamu kepada kemuliaan, sekaligus membawa seluruh umat Islam menuju kemenangan yang hakiki.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.” [TMQ Al-Anfaal (8): 72]
Wallahualam bissawab.
Sumber: muslimahnews.net

