Site icon MuslimahHTM News

Konstantinopel Akan Ditaklukkan Dua Kali

Konstantinopel Akan Ditaklukkan Dua Kali

 

Oleh: Ustaz M. Taufik

 

Tanda pagar #ConquestOfConstantinopel pernah tular bertepatan dengan peristiwa pembebasan Kota Konstantinopel (kini dikenali sebagai Istanbul) oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Momen ini dijadikan sebagai dorongan untuk menyemarakkan semula semangat perjuangan umat demi kegemilangan Islam. Walau bagaimanapun, selain menerima pelbagai reaksi positif, ia turut menerima kritikan daripada sesetengah pihak.

 

Terdapat dua perkara yang menjadi sasaran kritikan berhubung dengan peristiwa pembebasan Kota Konstantinopel tersebut:

 

Pertama, dakwaan bahawa pembebasan Konstantinopel sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW sebenarnya masih belum berlaku. Kedua, pandangan bahawa tindakan Sultan Muhammad Al-Fatih dalam menawan Konstantinopel adalah suatu kesilapan dan lebih wajar dianggap sebagai satu aib dalam sejarah.

 

Tuduhan seumpama ini sebenarnya hanyalah ulangan kepada dakwaan yang pernah dikemukakan oleh Imran Hosein beberapa tahun yang lalu.

 

Terkait hal pertama, iaitu sabda Rasulullah SAW:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ، فَلَنِعْمَ الأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

“Sungguh Kostantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik amir adalah amirnya dan sebaik–baik pasukan adalah pasukan tersebut.”

 

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad[1], Al Hakim dalam Al Mustadrak menyatakan hadis ini sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim dan disepakati oleh adz-Dzahabi,[2] juga dikeluarkan oleh Al Haitsami, Abu Nu’aim, Ibnu Abi Syaibah, Al Bazzar dan At Thabrani.

 

Hadis ini telah mendorong umat Islam untuk merealisasikan sabda Nabi tersebut. Maslamah bin Abdul Malik telah memanggil Ubaidillah dan bertanyakan tentang kesahihan hadis tersebut. Setelah diyakinkan akan kebenarannya, Maslamah kemudiannya melancarkan serangan ke atas Kota Konstantinopel.[3] Selepas Maslamah, usaha itu diteruskan oleh Abu Ayyub al-Anshari (44 H), Sulaiman bin Abdul Malik (98 H), Harun al-Rasyid (190 H), Beyazid I (796 H), dan kemudian baru berjaya pada masa Sultan Muhammad Al Fatih (824 H).

 

Adalah sesuatu yang wajar bagi seorang Muslim untuk menyambut dan mengharapkan khabar gembira daripada Rasulullah SAW, malah sememangnya itulah yang sepatutnya dilakukan. Begitu juga adalah wajar bagi sesiapa sahaja yang berusaha menakluk Kota Konstantinopel untuk berharap dan berprasangka baik bahawa merekalah yang dimaksudkan dalam sabda Nabi SAW tersebut. Hal ini sebagaimana ucapan Sultan Muhammad Al-Fatih di hadapan para tenteranya:

 

“Sekiranya penaklukan Kota Konstantinopel berjaya, maka sabda Rasulullah SAW telah menjadi kenyataan, dan salah satu daripada mukjizat baginda telah terbukti. Maka kita akan memperoleh bahagian daripada apa yang telah dijanjikan dalam hadis tersebut, iaitu berupa kemuliaan dan penghargaan.”[4]

 

Adapun hadis yang diriwayatkan Abu Daud:

عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ، وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ، وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ، وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ

“Kemakmuran Baitul Maqdis (iaitu dengan ramainya penduduk, banyaknya bangunan dan melimpahnya harta)[5]) adalah tanda kepada keruntuhan Kota Madinah; runtuhnya Kota Madinah pula merupakan tanda akan berlakunya peperangan besar; berlakunya peperangan besar merupakan tanda kepada pembukaan Kota Konstantinopel; dan pembukaan Kota Konstantinopel adalah tanda akan kemunculan Dajjal.”[6]

 

Hadis ini, begitu juga hadis riwayat Imam Muslim mengenai pembukaan kota tanpa senjata — hanya dengan pekikan takbir dan tahlil — bukanlah dalil untuk menafikan atau memperkecilkan pencapaian yang telah direalisasikan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Bagaimana mungkin sesuatu yang telah berlaku secara nyata boleh dinafikan?

 

Oleh sebab itulah, Syaikh Ahmad Syakir menyatakan bahawa pembukaan Kota Konstantinopel akan berlaku sebanyak dua kali. Pembukaan yang pertama adalah melalui kepemimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih, yang menjadi pembuka jalan kepada penaklukan yang lebih besar (tamhîdan lil fathil ‘a’dzam). Manakala pembukaan yang kedua akan berlaku pada akhir zaman, sebelum kemunculan Dajjal sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. Pembukaan kali kedua ini berlaku dalam bentuk kembalinya umat Islam kepada agama mereka, setelah sebelumnya mereka berpaling daripadanya dengan mengamalkan fahaman sekularisme.[7]

 

Kedua, tindakan Sultan Muhammad Al-Fatih terhadap Kota Konstantinopel bukanlah suatu kekeliruan, apatah lagi dianggap sebagai aib dalam sejarah umat Islam. Tuduhan seumpama ini berpunca sekurang-kurangnya daripada dua perkara:

Pertama, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menukar Gereja Hagia Sophia menjadi sebuah masjid, yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu dosa yang memalukan. Kedua, terdapat dakwaan bahawa pasukan Islam telah memecah masuk kota, kemudian melakukan perbuatan seperti merogol, merampas, dan membunuh, bahkan sehingga ke dalam gereja dan Sultan dikatakan membiarkan perbuatan ini berterusan.

 

Berkenaan dengan penukaran gereja menjadi masjid, perkara tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah kerana hukumnya memang dibenarkan dalam Islam. Hal ini boleh dilakukan sama ada gereja tersebut dibeli oleh umat Islam lalu dialih fungsinya, atau dihibahkan, sebagaimana dalam kes Sultan Muhammad Al-Fatih (berdasarkan dokumen yang ada, gereja tersebut telah dibeli oleh Sultan Muhammad Al-Fatih dan kemudian beliau mewakafkannya sebagai masjid).

 

Ia juga boleh berlaku apabila jemaah gereja memeluk agama Islam, seperti yang berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab, di mana ramai penduduk Romawi memeluk Islam secara beramai-ramai sehingga banyak gereja yang tidak lagi digunakan. Lalu Saidina Umar r.a. menyeru agar gereja-gereja tersebut diubah fungsinya menjadi masjid.

 

Thalq bin ‘Ali, ketika menemui Rasulullah SAW dan memeluk Islam, telah bertanya mengenai tempat ibadah yang dimilikinya. Maka Rasulullah SAW bersabda:

 

اخْرُجُوا فَإِذَا أَتَيْتُمْ أَرْضَكُمْ فَاكْسِرُوا بِيعَتَكُمْ وَانْضَحُوا مَكَانَهَا بِهَذَا الْمَاءِ وَاتَّخِذُوهَا مَسْجِدًا

“Pulanglah kamu semua. Apabila kamu telah sampai ke negeri kamu, maka hancurkanlah kuil itu dan siramlah serpihannya dengan air ini, kemudian jadikanlah (binalah di atasnya) sebuah masjid.” (HR. an-Nasai)[8]

 

Selepas penaklukan Kota Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fatih menuju ke Gereja Hagia Sophia, tempat penganut Kristian Ortodoks berkumpul, yang sebelum ini diserang dan dikuasai dengan kejam oleh tentera salib semasa Perang Salib Keempat. Tentera Salib menduduki Konstantinopel dan menubuhkan Empayar Latin (Katolik Rom Timur) pada tahun 1204. Pasukan Salib menghancurkan berbagai hal di kota yang sebelumnya menjadi pusat agama Ortodoks ini. Tentera Salib memusnahkan sebahagian besar bandar yang sebelum ini menjadi pusat agama Ortodoks. Hagia Sophia menjadi tempat mabuk, pelbagai bangunan sekular dan keagamaan (gereja dan biara) tidak terlepas daripada kemusnahan, biarawati dirogol di biara mereka, dan ramai orang di biar mati di jalanan.

 

Ketika Sultan Muhammad Al Fatih menemui mereka, beliau memberikan pengampunan umum serta menjamin keamanan dan kebebasan mereka untuk beribadat. Melihat sikap mulia ini dan membandingkannya dengan sikap tentera salib terdahulu, ramai di kalangan paderi kemudiannya memeluk Islam.[10] Paus Genadius, sebagai pemimpin tertinggi gereja pada masa itu, menyerahkan kunci Hagia Sophia serta simbolik penyerahan kota tersebut. Maka, apakah salahnya mengalihfungsikan sesuatu yang telah diberikan? Terutamanya apabila Hagia Sophia merupakan ‘ikon’ kota tersebut, bukankah ganjil jika pusat Khilafah mempunyai ikon berupa sebuah gereja? Memang benar Khalifah Umar tidak menukar gereja di Palestin menjadi masjid, namun di negeri-negeri lain beliau melakukannya mengikut situasi dan keperluan.

 

Berkaitan dengan tuduhan bahawa pasukan Islam yang menyerbu telah melakukan perbuatan merogol, merompak, dan membunuh sehingga memasuki gereja serta bahawa Sultan membenarkan perkara tersebut berterusan, ini adalah fitnah semata-mata. Sebelum serangan, Sultan telah memberi amaran tegas dan turut dibantu oleh para ‘ulama yang mengelilingi para prajurit dengan pesanan:

 

ويجب على كل جندي أن يجعل تعاليم شريعتنا الغراء نصبَ عينيه، فلا يصدر عن أي واحد منهم ما يجافي هذه التعاليم، وليتجنبوا الكنائس والمعابد، ولا يمسوها بأذى، وليَدَعوا القَسَاوَسَ والضعفاء والعَجَزَة الذين لا يقاتلون

 

“Wajib bagi setiap anggota tentera supaya sentiasa menjadikan ajaran syariat kita sebagai panduan utama dan tidak sekali-kali melanggar ajaran syariat yang mulia ini. Mereka hendaklah menjauhi tempat-tempat ibadat dan gereja, serta tidak mencemarkan kesuciannya. Selain itu, mereka dilarang mengganggu para pendeta dan golongan lemah yang tidak turut serta dalam pertempuran.[11]

 

Memang mungkin ada satu atau dua tempat ibadat yang musnah kerana peluru meriam tidak mempunyai mata, tetapi itu bukanlah perkara yang perlu diperbesar-besarkan. Lebih-lebih lagi, jika tuduhan keji itu benar, adakah masih ada lagi orang bukan Islam yang tinggal di Konstantinopel? Allâhu A’lam.

 

Rujukan:

[1] Ahmad bin Hanbal al-Syaibani, Musnad Al-Imam Ahmad (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2001), Juz 31, h. 287.

[2] Al-Hakim, Al-Mustadrak ’ala al-Sahihain (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1990), Juz 4, h. 468.

[3] Sulaiman bin Ahmad al-Thabrani, Al-Mu’jam al-Kabir, Cet. II. (Kairo: Maktabah Ibnu Taimiyah, 1994), Juz 2, h. 38.

[4] Ali Muhammad al-Shallabi, Fâtih Al-Qusthantîniyyah al-Sulthân Muhammad al-Fâtih, Cet. I. (Kairo: Maktabah al-Sayyidah, 2006), h. 107.

[5] Nûr al-Dîn al-Mulla al-Harawi al-Qâri, Mirqâtu Al-Mafâtîh Syarh Misykâtu al-Mashâbîh, Cet. 1. (Beirut: Dâr al-Fikr, 2002), Juz 8, h. 3417.

[6] Abu Daud al-Sijistani, Sunan Abu Daud (Beirut: Maktabah al-’Ashriyyah, tt), Juz 4, h. 110.

[7] Abu Khallad Nashir bin Sa’id bin Saif as-Saif, Al-Fawâid al-Mukhtârah ‘Ala Asyrâti as-Sâ’Ah (Dâr Ibnu Khuzaimah, n.d.), h. 43: الفتح الصحيح لها حين يعود المسلمون إلى دينهم الذين أعرضوا عنه وأما فتح الترك الذي كان قبل عصرنا هذا كان تمهيداً للفتح الأعظم.

[8] Ahmad bin Syu’aib bin ’Ali al-Nasa-i, Sunan Al-Nasa-i, Cet. II. (Halb: Maktab al-Mathbû’ât al-Islamiyyah, 1986), Juz 2, h. 38.

[9] Steven Runciman, A History of the Crusades, Cambridge 1966 [1954], vol 3, p.123

[10] al-Shallabi, Fâtih Al-Qusthantîniyyah al-Sulthân Muhammad al-Fâtih, h. 111.

[11] Ibid., h. 107.

 

 

Sumber: https://mtaufiknt.wordpress.com/2020/01/16/konstantinopel-akan-ditaklukkan-dua-kali/

Exit mobile version