Site icon MuslimahHTM News

Bolehkah Menetapkan Syarat Dan Ketentuan Dalam Pengambilan Pegawai?

Bolehkah Menetapkan Syarat Dan Ketentuan Dalam Pengambilan Pegawai?

 

Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi

 

Soalan:

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ustaz, saya ingin mengajukan satu persoalan berkaitan dengan proses pengambilan pekerja. Katakanlah saya seorang usahawan dan sedang memerlukan pekerja. Dalam proses pengambilan pekerja tersebut, adakah dibenarkan bagi saya untuk menetapkan had umur dan tahap pendidikan sebagai syarat? Sekian, terima kasih.

 

Jawapan:

 

Wa ‘alaikumus salam warahmatullahi wabarakatuh.

 

Boleh hukumnya menetapkan had umur dan tahap pendidikan dalam pengambilan pekerja, kerana tidak terdapat sebarang dalil syarak daripada al-Quran atau as-Sunnah yang melarang perkara tersebut iaitu menetapkan syarat bahawa seseorang pekerja mesti memenuhi umur tertentu atau memiliki tahap pendidikan tertentu.

 

Syarat seperti ini dalam fikih Islam disebut syarat ja’lī, iaitu syarat yang dibuat sendiri oleh pihak-pihak yang terlibat dalam berbagai akad muamalat, seperti akad jual-beli, akad kerja/perkhidmatan (ijārat al-ajīr), akad sewa-menyewa (ijārah), akad hutang-piutang, akad nikah, akad perdamaian (ish-lāh), akad pinjam pakai (‘āriyah), akad ju’ālah (pertandingan), akad titipan (al-wadī’ah), dan sebagainya.

 

Hukum asal bagi syarat ja‘lī adalah dibolehkan untuk ditetapkan oleh pihak-pihak dalam pelbagai mu’amalat tersebut, kecuali apabila terdapat dalil syarak yang mengharamkannya, sama ada dalil daripada al-Quran atau dalil daripada Sunnah.

 

Sekiranya tiada dalil syarak yang mengharamkan, maka hukum syarat ja‘lī tersebut adalah dibenarkan. (Rujukan: Wahbah al-Zuhailī, Ushūl al-Fiqh al-Islāmī, Jilid I, halaman 101)

 

Kaedah fikih dalam perkara ini menetapkan bahawa:

 

الْأَصْلُ فِي الشُّرُوْطِ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْإِبَاحَةُ

Al-Ashlu fī al-syurūth fī al-mu’āmalāt al-ibāhah. “Hukum asal menetapkan syarat-syarat dalam berbagai mua’malat (seperti perjanjian jual beli, perjanjian kerja/perkhidmatan, akad hutang-piutang, dsb.) adalah boleh.” (Walīd bin Rāsyid al-Saīdāni, Al-Tajrīd li (i)khtiyārāt Syaikh al-Islām Ibn Taimiyyah, hlm. 34).

 

Dalam kaedah fikih yang lain dengan maksud yang sama, dinyatakan bahawa:

الْأَصْلُ فِي الْأَفْعَالِ الْإِدَارِيَّةِ الْإِبَاحَةُ

Al-Ashlu fī al-af’āl al-idāriyyah al-ibāhah. “Hukum asal untuk tindakan pentadbiran (contohnya menetapkan syarat ja’li, membuat arahan teknikal, dll.) adalah dibenarkan.” (Samīh Āthif al-Zain, ‘Ālamiyyat al-Islām wa Māddiyyat al-‘Aulamah, hlm. 229).

 

Dalil dari kaedah fikih yang telah kami sebutkan di atas adalah sabda Rasulullah SAW :

وَالْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُرُوْطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

“Dan kaum muslimin (bermu’amalat) berdasarkan atas syarat-syarat di antara mereka, kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau yang menghalalkan yang haram.” (HR. al-Tirmidzi, no. 1352).

 

Dengan demikian, jelaslah bahawa boleh hukumnya menetapkan had umur dan tahap pendidikan dalam pengambilan pegawai, seperti yang telah ditanyakan tadi, dengan alasan bahawa tiada dalil syarak, sama ada daripada al-Quran mahupun as-Sunnah, yang mengharamkan syarat-syarat tersebut.

 

Maka dari itu, jika ada dalil-dalil syariah yang mengharamkan suatu syarat tertentu, bermaksud syarat itu adalah syarat yang batil, yang tidak boleh untuk ditetapkan atau dilaksanakan. Kaedah fikih yang terkait dengan syarat seperti ini menegaskan :

 

كُلُّ شَرْطٍ لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ بَاطِلٌ وَلَوْ كَانَ مِئَةَ شَرْطٍ

Kullu syarthin laysa fī kitāb Allāh fahuwa bāthil walaw kāna mi`ata syarthin.

 

Maksudnya, “Setiap syarat yang bertentangan dengan Kitabullah (Syariah Islam) adalah batil, walaupun terdapat seratus syarat sekalipun”. (HR. al-Bukhari, no. 2168; Muslim, no. 1504; dan Abu Dawud, no. 3929. Muhammad Shidqī al-Burnū, Mausū’ah al-Qawā’id al-Fiqhiyyah, Juz VIII, hlm. 419; Muhammad Mushthofā al-Zuhailī, Al-Qawā’id al-Fiqhiyyah wa Tathbīqātuhā fī al-Madzāhib al-Arba’ah, Juz II, hlm. 836).

 

Contoh syarat pengambilan kerja yang haram adalah perlu memakai pakaian seragam yang ketat untuk pramugari yang bekerja di kapal terbang atau kereta api. Syarat ini adalah syarat yang batil dan haram untuk dibuat dan/atau dijalankan. Ini kerana terdapat dalil syariah berupa hadis Rasulullah SAW yang melarang wanita Islam memakai pakaian yang ketat atau lutsinar (tembus). Rasulullah SAW bersabda:

 

صِنَفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُؤُسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

“Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihat kedua-duanya;

(Pertama), suatu kaum yang mempunyai cambuk-cambuk seperti ekor kerbau, yang mereka gunakan untuk menyeksa manusia. (Kedua) wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yang cara berjalan mereka seperti berjalan seorang pelacur (melenggak-lenggok dan sebagainya), kepala-kepala mereka seperti punuk unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya syurga, sedangkan baunya syurga dapat tercium dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” (HR. Muslim, no. 2128).

 

Syeikh Nāshiruddīn al-Albānī mentafsirkan hadis tersebut bahawa wanita yang berpakaian tetapi telanjang bermaksud wanita yang memakai pakaian yang ketat atau pakaian yang nipis dan lutsinar (tembus pandang). Beliau selanjutnya berkata:

 

فَهِيَ كَاسِيَةٌ وَهَى فِي الْحَقِيقَةِ عَارِيَةٌ مِثْلُ مَنْ تَكْتَسِي الثَّوْبَ الرَّقِيقَ الَّذِي يَصِفُ بَشَرَتَهَا أَوْ الثَّوْبَ الضَّيِّقَ الَّذِي يُبْدِي تَقَاطِيعَ خَلُقِهَا

“Jadi wanita-wanita itu berpakaian tetapi sebenarnya telanjang (كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ), contohnya wanita yang memakai pakaian tipis yang menampakkan warna kulitnya, atau wanita yang memakai pakaian ketat yang menampakkan lekuk tubuhnya.” (Nāshiruddīn al-Albānī, Jilbāb al-Mar`at al-Muslimah, hlm. 80).

 

Contoh lain bagi syarat pengambilan pegawai yang haram adalah apabila calon wanita yang akan direkrut, sama ada sebagai kakitangan, staf atau bakat (talent), diwajibkan mempunyai “penampilan menarik”, atau disyaratkan mempunyai ketinggian minimum tertentu dalam sentimeter, atau berat badan maksimum tertentu dalam kilogram, dan sebagainya.

 

Syarat seperti ini merupakan syarat yang batil dan tidak dibenarkan untuk ditetapkan atau dilaksanakan, kerana Islam dengan tegas melarang wanita daripada melakukan pekerjaan tertentu yang mengeksploitasi kecantikan wajah atau keindahan tubuhnya. Islam hanya membenarkan wanita menjalankan pekerjaan yang memanfaatkan kekuatan fizikalnya (seperti tukang masak, tukang jahit dan sebagainya) atau intelektualnya (seperti pensyarah, penyelidik dan lain-lain).

 

Dalam hadis dari Abu Hurairah RA, diriwayatkan sebagai berikut :

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كَسْبِ الْإِمَاءِ مَخَافَةَ أَنْ يَبْغِينَ

Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW telah melarang pekerjaan yang dilakukan oleh hamba wanita kerana khuatir mereka akan terjerumus kepada perbuatan pelacuran (menjadi pekerja seks komersial).” (HR. Ibnu Hibban, no. 5159; dan al-Bukhari, no. 2283 tanpa redaksi (مَخَافَةَ أَنْ يَبْغِينَ), yang bermaksud “kerana khuatir mereka akan melacurkan diri”).

 

Dalam hadis lain diriwayatkan sebagai berikut:

عَنْ طَارِقِ بْنِ عَبْدِالرَّحْمَنِ الْقُرَشِيِّ، قَالَ: جَاءَ رَافِعُ بْنُ رِفَاعَةَ إِلَى مَجْلِسِ الْأَنْصَارِ فَقَالَ : لَقَدْ نَهَانَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْيَوْمَ، فَذَكَرَ أَشْيَاءَ وَنَهَى عَنْ كَسْبِ الْأَمَةِ إلَّا مَا عَمِلَتْ بِيَدِهَا ، وَقَالَ: هَكَذَا بِأَصَابِعِهِ نَحْوَ الْخُبْزِ وَالْغَزْلِ وَالنَّفْشِ

Daripada Thāriq bin ‘Abdurrahman al-Qurasyi, beliau berkata,

“Telah datang Rāfi‘ bin Rifā‘ah ke satu majlis kaum Anshar, lalu beliau berkata, ‘Sesungguhnya Nabiullah SAW telah melarang kita pada hari ini,’ kemudian beliau menyebutkan beberapa perkara yang dilarang tersebut. Nabi SAW telah melarang pekerjaan yang dilakukan oleh seorang hamba wanita, kecuali pekerjaan yang boleh dilakukan dengan tangannya sahaja. Beliau berkata, ‘Contohnya seperti ini, iaitu membuat roti, menenun kain, atau mengasingkan bulu dan kapas untuk dijadikan bantal.’” (HR. Abu Dawud, no. 3426; Ahmad, no. 19.020).

 

Imam Taqiyuddin An-Nabhani menjelaskan hadis di atas dengan berkata:

 

أَيْ: تُمْنَعُ الْمَرْأَةُ مِنْ كُلِّ عَمَلٍ يُقْصَدُ مِنْهُ اسْتِغْلاُ أُنُوثَتِهَا، وَتُبَاحُ لَهَا بَاقِي الْأَعْمَالِ

 

Hadis ini bermaksud bahawa wanita dilarang daripada melakukan sebarang pekerjaan yang bertujuan untuk mengeksploitasi kewanitaan mereka, dan dibenarkan bagi wanita untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan lain selain daripada itu. (Taqiyuddin An-Nabhani, Muqaddimat al-Dustūr, Juz I, hlm. 327).

 

Kesimpulannya, boleh hukumnya menetapkan had umur dan tahap pendidikan dalam pengambilan pegawai, seperti yang telah ditanyakan tadi, kerana tiada dalil syarak yang melarang syarat tersebut, sama ada daripada al-Quran mahupun Sunnah. Wallāhu a’lam.

 

Sumber: fissilmi-kaffah

 

Exit mobile version