Site icon MuslimahHTM News

Bukan Lagi Anak Manja

Bukan Lagi Anak Manja

 

Oleh: Ustazah Yanti Tanjung

 

Apabila seorang gadis mula masuk usia sebelas tahun dan mengalami haid, dia mula berasa gelisah dan fikirannya jadi tidak tenang. Dia keliru dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila melihat darah keluar dari kemaluannya. Dia tertanya-tanya, “Apa yang perlu saya buat? Kenapa ini berlaku kepada saya? Saya masih terlalu muda, baru darjah lima, dan saya orang pertama dalam kalangan kawan-kawan yang mengalami haid.” Perkara yang paling mengejutkan dan menegangkan ialah apabila haid datang tanpa sebarang persediaan, terutamanya bila perlu membersihkan pakaian dalam yang terkena darah, rasanya sangat jijik dan tidak selesa.

 

Berbeza dengan anak yang pertama tadi, anak yang ini apabila melihat darah haid keluar, terus memeluk ibunya sambil menangis teresak-esak dan mengambil masa yang lama untuk tenang. Rasa hati sangat gelisah menghadapi perubahan emosi seperti ini. Dia mula risau – takut tidak mampu menjadi hamba Allah yang baik, kerana setiap amalan akan dipertanggungjawabkan. Badan rasa lemah seluruhnya, hilang semangat selama beberapa hari kerana asyik memikirkan tentang pahala dan dosa.

 

Lebih membuatkan dia resah apabila ibunya membisikkan, “Mulai hari ini, kamu akan tanggung sendiri pahala dan dosa kamu.” Hati jadi makin tidak tenang. Dia tertanya-tanya, “Bagaimana dengan solatku yang masih tidak sempurna? Bagaimana dengan pemakaian tudungku? Pergaulanku? Ibadahku yang masih sedikit?”

 

Ada juga anak perempuan yang ketika pertama kali mengalami haid, setiap kali menukar tuala wanita, dia selalu minta pembantu rumah yang cuci kerana dia tak sanggup menguruskan pakaian dalam yang terkena darah. Kalau pembantu tidak ada, pakaian dalam itu boleh dibiarkan berhari-hari di dalam bilik mandi. Ini kerana ibunya terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk benar-benar menemani anaknya sepanjang proses haid itu.

 

Berbeza pula dengan anak lelaki. Ketika dia mengalami ihtilam (mimpi basah), walaupun sudah diberi penjelasan tentang tanda-tandanya, dia masih keliru, adakah ini yang dipanggil mimpi basah? Adakah ini yang dinamakan air mani? Atau ini cuma cecair biasa? Dia tertanya-tanya dalam hati, “Adakah aku sudah jadi orang dewasa, atau masih dianggap kanak-kanak?”

 

Apa yang diceritakan di atas adalah gambaran kegelisahan anak-anak yang baru meningkat remaja, ketika pertama kali mengalami haid atau mimpi basah. Tapi sebenarnya, ibu mereka jauh lebih gelisah apabila anak perempuannya tiba-tiba datang haid tanpa disangka dan lebih awal dari umur yang dijangkakan. Apatah lagi apabila ibu bapa tidak sempat membuat persediaan, sama ada dari segi keimanan, pemahaman tentang ilmu Islam, atau pengetahuan asas tentang haid. Perasaan bersalah itu terasa lebih besar apabila di usia remaja, si anak masih berfikir dan berkelakuan seperti kanak-kanak, sedangkan dia sudah memikul tanggungjawab sebagai seorang yang telah baligh.

 

Apabila berdepan dengan anak lelaki, biasanya ibu lebih sukar untuk mengesan dan campur tangan secara langsung. Jika anak tidak terbuka, kejadian ihtilam (mimpi basah) mungkin tidak disedari oleh ibu. Solat Subuh pun masih perlu dikejutkan, ke masjid hanya sekali-sekala, belum pandai membasuh pakaian sendiri, balik sekolah kasut entah di mana, beg pun tak tentu letaknya, malah pakaian seragam masih ibu yang lipatkan.

 

Ihtilam bagi anak lelaki yang diiringi tumbuhnya rambut di sekitar kemaluan, dan haid bagi anak perempuan atau tanda kehamilan adalah petunjuk bahawa anak itu telah baligh dan menjadi mukallaf, iaitu seseorang yang sudah memikul tanggungjawab terhadap hukum-hukum syarak. Dalam sistem pendidikan sekular, tidak ada konsep umur baligh seperti ini. Sebab itu kurikulum mereka tidak pernah menyediakan persiapan tentang tanggungjawab dan akibat terhadap Allah SWT setelah anak mencapai usia mukallaf.

 

Sebab itu, tidak menghairankan jika anak-anak yang sudah mengalami haid masih dianggap sebagai ‘kanak-kanak’ sehingga umur 18 tahun, kerana mengikut konsep ‘kanak-kanak’ menurut dunia moden. Pandangan ini sebenarnya telah menyesatkan sistem pendidikan dari sudut pandangan Islam. Tidak berlebihan jika kita mengatakan bahawa anak-anak kita hari ini masih berperilaku manja dalam kehidupan seharian, masih menyusahkan keluarga dan orang sekeliling, tidak berdikari, dan cenderung tidak mampu menguruskan diri sendiri sedangkan semua ini tidak sepatutnya berlaku.

 

Sepatutnya, jika proses pendidikan Islam dijalankan dengan betul dan mencapai sasaran, maka pada usia 10 tahun, anak-anak sudah memiliki keperibadian Islam, kecerdasan berfikir secara Islam, kesolehan jiwa, dan kemahiran asas hidup untuk berdikari dan menjadi pemimpin. Jadi, apabila mereka telah baligh, mereka tidak perlu melalui episod kegelisahan dan kebingungan. Sebaliknya, mereka akan menghadapi masa itu dengan keyakinan diri sebagai seorang dewasa yang sudah faham akan semua sebab akibat keimanan. Walaupun ada rasa gelisah, itu boleh dikawal dengan baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan Islam (tsaqafah Islam) yang mencukupi dalam fikiran mereka dan telah membina tabiat ibadah yang baik serta ketaatan kepada Allah SWT sejak berumur 7 hingga 10 tahun.

 

Jadi, persediaan anak selepas baligh sangat bergantung kepada pendidikan semasa usia pra-baligh, iaitu ketika usia kecil dan juga ketika sudah mencapai umur mumayyiz (umur boleh membezakan baik dan buruk). Kejayaan pendidikan pada usia pra-baligh sangat menentukan sejauh mana anak itu bersedia menghadapi fasa baligh.

 

Sebab itu, ibu bapa perlu mengoptimumkan usaha mendidik anak-anak sebelum baligh, dan memastikan setiap sasaran yang ditetapkan oleh syariat Islam terhadap anak-anak tercapai, baik dari segi cara berfikir Islam mahupun tingkah laku Islam. Jika semua itu telah dilaksanakan dengan baik, maka anak yang sebelumnya manja, ketika masuk fasa baligh tidak lagi berperilaku keanak-anakan. Bahkan, bukan sekadar pandai menguruskan dirinya sendiri, tetapi juga kreatif dalam membantu urusan orang lain dengan berpandukan Islam.

 

Adapun perkara-perkara yang mesti dimiliki oleh anak selepas baligh adalah:

 

  1. Memiliki keperibadian Islam
  2. Mempunyai hafalan al-Quran yang banyak sebagai maklumat sabiqah (ilmu awal) untuk menilai segala perkara, perbuatan dan pemikiran.
  3. Memiliki tsaqafah asas seperti akidah Islam, fikih, tafsir, ilmu al-Quran, ilmu hadis, sirah Rasulullah SAW, bahasa Arab, sejarah umat Islam, usul fiqh dan sebagainya.
  4. Memiliki kemahiran hidup (life skill) melalui pembelajaran dari ilmu matematik, sains dan geografi, komputer, berenang, berkuda, memanah, asas pertahanan diri dan sebagainya.
  5. Memiliki jiwa kepimpinan.

 

Segala-galanya dicurahkan dalam kurikulum dan kurikulum itu perlu dikuasai oleh ibu bapa dan guru agar anak-anak mendapat hak mereka untuk menjadi tokoh Islam yang kuat, tokoh imam yang bertakwa dan tokoh-tokoh manusia yang terbaik pada usianya.

 

Wallaahu a’lam bissawab

 

#DuniaParenting

#PendidikanAnak

#AnakPascaBaligh #Baligh #Remaja

Exit mobile version