KEAGUNGAN TAKBIR
Oleh: Ustaz Yan S. Prasetiadi
قول العبد الله أكبر خير من الدنيا وما فيها
“Ucapan Allahu Akbar seorang hamba lebih baik dari dunia dan seisinya.” (Umar bin al-Khattab RA).
Kalimat takbir “Allahu Akbar” memiliki kedudukan tinggi dalam ajaran Islam, ketika disebut “Allahu Akbar” seorang muslim memahami yang agung hanya Dia, tidak ada yang lebih besar dari-Nya, Allah adalah penguasa yang segala sesuatu tunduk pada-Nya. Takbir merupakan deklarasi keagungan Allah, sekaligus ketundukan hati akan kebesaran-Nya.
Takbir juga merupakan suara perjuangan, yang diserukan para mujahid di jalan Allah saat perjalanan di medan perang. Sehingga mereka merasakan keagungan, kekuatan, kebesaran dan kebersamaan Allah, yang melahirkan kekuatan, keteguhan, keikhlasan dan keperkasaan bagi para mujahid. Kalimat takbir bukan hanya ditakuti syaitan, bahkan sepanjang sejarah peradaban Islam syiar takbir memunculkan berbagai kejadian luar biasa yang tak terbayangkan.
Secara normatif, takbir disyariatkan dalam berbagai momen besar dan agung, serta beragam keadaan lainnya. Ibnu Hajar rahimahullah berkata mengenai hal ini:
ذكرٌ مأثورٌ عند كل أمرٍ مهُول، وعند كل حادِثِ سُرورٍ، شُكرًا لله تعالى، وتبرئةً له من كل ما نَسَبَ إليه أعداؤُه
Takbir adalah zikir ma’tsur ketika menghadapi berbagai peristiwa getir dan berbagai momen bahagia; sebagai rasa syukur kepada Allah sekaligus pengingkaran dari segala tuduhan musuh Allah terhadap-Nya. (Fath al-Bari, II/438).
Oleh itu, jika dihitung, syiar takbir wujud dalam enam belas situasi dan keadaan seorang muslim, lebih kurang sebagai berikut:
Pertama, takbir yang berkaitan ibadah solat; baik azan, iqamat hingga akhir solat, yang jika dikira jumlahnya sesuai pendapat jumhur ada 447 takbir, sedangkan sesuai pendapat Hanafiyyah ada 457 takbir. (Lihat, ‘Abdus Sami al-Anis, at-Takbir: Mawathinuh wa Atsaruh fi at-Tarbiyyah wa al-Imaniyyah, 3/5/2016).
Kedua, takbir kerana melihat hilal; Nabi SAW ketika melihat hilal, baginda bertakbir:
اللَّهُ أكْبَرُ اللَّهُمَّ أهِلَّهُ عَلَيْنا بالأمْنِ والإِيْمَانِ والسَّلامَةِ والإِسلامِ وَالتَّوْفِيقِ لِمَا تُحِبُّ رَبُّنا وَتَرْضَى رَبُّنا وَرَبُّكَ اللَّهُ
“Allahu Akbar! Ya Allah, nampakkan hilal kepada kami dengan aman, iman, keselamatan, Islam dan taufik untuk melakukan apa yang dicintai dan diredhai Rabb kami. Rabb kami dan kamu adalah Allah.” (HR. ad-Darimi, 1729; dari Ibnu ‘Umar RA).
Ketiga, takbir di bulan Zulhijjah, yang dianjurkan diperbanyak pada sepuluh hari di bulan itu.
Nabi SAW, bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنَ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ والتحميد
“Tidak ada suatu hari yang lebih agung di sisi Allah dan tiada pula hari yang lebih Dia cintai untuk beramal daripada sepuluh hari ini, maka perbanyaklah tahlil, takbir dan tahmid.” (HR. Ahmad, 6154; Hasan menurut Ibnu Hajar rahimahullah).
Keempat, takbir yang merupakan ciri khas ibadah haji; baik saat melontar jamrah, saat bergerak dari Mina ke Arafah, ketika tawaf dan aktiviti rangkaikan manasik haji yang lain.
Kelima, takbir Aidilfitri dan Aidiladha; baik saat malam menjelang pelaksaan solat eid, termasuk juga takbir dalam pelaksanaan solat eid.
عن عَمرِو بنِ شُعَيبٍ، عن أبيه، عن جَدِّه: أنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كبَّر في عيدٍ ثِنْتَيْ عَشْرةَ تَكبيرةً، سبعًا في الأولَى، وخمسًا في الآخرة، ولم يُصلِّ قَبلَها ولا بَعدَها
Dari ‘Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya berkata: “Bahawa Nabi SAW bertakbir sebanyak dua belas kali dalam solat eid, tujuh kali di rakaat pertama, dan lima kali di rakaat terakhir, dan beliau tidak melaksanakan solat sunnah sebelumnya juga sesudahnya.” (HR. Ahmad, 6688; Isnad Hasan menurut Syeikh al-Arnauth).
Keenam, takbir ketika naik tunggangan atau kenderaan dan berangkat untuk safar.
كَانَ إِذَا اسْتَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ كَبَّرَ ثَلَاثًا ثُمَّ قَالَ…
“Apabila Rasulullah SAW berada di atas kenderaan hendak safar, maka terlebih dahulu beliau bertakbir sebanyak tiga kali kemudian berdoa…” (HR. Muslim).
Ketujuh, takbir ketika menaiki tempat tinggi; selain disunnahkan takbir saat safar, disunnahkan juga takbir ketika naik atau turun dari tempat tinggi, supaya merasakan kebersamaan Allah, keagungan dan penjagaan-Nya, serta merenungi hamparan bumi yang antara tepian dan ufuknya saling berjauhan. Sabda nabi:
أُوصِيكَ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ
“Bertakwalah kamu kepada Allah dan bertakbirlah ketika melalui tempat yang tinggi.” (HR. at-Tirmidzi, 3445; Ibnu Majah, 2771; dan Ahmad, 8310; Isnad Hasan menurut Syaikh al-Arnauth).
Kelapan, takbir ketika menyembelih haiwan korban. Dari Anas RA, beliau berkata:
ضَحَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ قَالَ وَرَأَيْتُهُ يَذْبَحُهُمَا بِيَدِهِ وَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا قَالَ وَسَمَّى وَكَبَّرَ
“Rasulullah SAW pernah berkorban dua ekor domba putih yang bertanduk.” Anas melanjutkan, “Saya melihat beliau menyembelih keduanya dengan tangan beliau sendiri, dan menginjakkan kaki di pangkal leher domba itu, sambil membaca basmalah dan takbir.” (HR. Muslim).
Kesembilan, takbir ketika mendengar khabar menyenangkan dan baik. Abu Sa’id al-Khudri RA, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
أَبْشِرُوا،فَإِنَّمِنْكُمْرَجُلًاوَمِنْيَأْجُوجَوَمَأْجُوجَأَلْفًا
“Bergembiralah, kerana setiap seribu yang dimasukkan neraka, dari kalian cuma satu, sedang sembilan ratus sembilan puluh sembilannya dari Yakjuj dan Makjuj.”
Beliau bersabda lagi:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنِّي أَرْجُو أَنْ تَكُونُوا رُبُعَ أَهْلِ الجَنَّةِ
“Dan demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, aku berharap kalian menjadi di antara seperempat penghuni syurga.”
Maka kami bertakbir. Kemudian beliau bersabda lagi:
أَرْجُو أَنْ تَكُونُوا ثُلُثَ أَهْلِ الجَنَّةِ
“Aku berharap kalian menjadi di antara sepertiga penghuni syurga.”
Maka kami bertakbir lagi. Kemudian beliau bersabda lagi:
أَرْجُو أَنْ تَكُونُوا نِصْفَ أَهْلِ الجَنَّةِ
“Aku berharap kalian menjadi di antara setengah penghuni syurga.”
Maka kami bertakbir sekali lagi. (HR. al-Bukhari).
Kesepuluh, takbir ketika ada musibah kebakaran. Nabi SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُ الْحَرِيقَ فَكَبِّرُوا، فَإِنَّ التَّكْبِيرَ يُطْفِئُهُ
“Jika kalian melihat kebakaran, maka bertakbirlah, kerana sesungguhnya takbir dapat memadamkannya.” (HR. ath-Thabarani, al-Baihaqi dan Ibnu as-Sani; Lihat, al-Maqashid al-Hasanah, 63; Zad al-Ma’ad fi Hady Khair al-‘Ibad, IV/ 194).
Sehingga ketika kita sedang berupaya memadamkan api kebakaran, maka dianjurkan seorang muslim sambil mengumandangkan takbir dari hati yang ikhlas dan kekuatan keyakinan kepada Allah.
Kesebelas, takbir ketika merendahkan diri dalam solat istisqa’ yakni solat meminta hujan. Siapa yang mengucapkan takbir, maka ertinya dia berdalil berdasarkan hadis yang diriwatkan ad-Daruquthni (1800) dari Ibnu ‘Abbas, bahawa beliau bertakbir dalam solat istisqa’ tujuh dan lima kali, sebagaimana solat eid, lalu membaca surah al-A’la dan al-Ghasiyyah. Ibnu ‘Abdil Barr berkata: “Diriwayatkan Ibnu ‘Abbas, beliau melakukan takbir sebagaimana solat eid.” (al-Istidzkar, II/428).
Keduabelas, takbir ketika azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri, bagi anak yang baru lahir. Dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (Dar al-Fikr, VIII/442) disebutkan:
السنة أن يؤذن في أذن المولود عند ولادته ذكرا كان أو أنثى ويكون الأذان بلفظ أذان الصلاة لحديث أبي رافع الذي ذكره المصنف. قال جماعة من أصحابنا يستحب أن يؤذن في أذنه اليمنى ويقيم الصلاة في أذنه اليسرى
Sunnah mengumandangkan azan di telinga bayi yang baru lahir, baik bayi lelaki mahupun perempuan, dengan redaksi azan solat sesuai hadis Abu Rafi’ yang disebutkan penulis al-Muhadzdzab. Sekelompok ulama kita menyatakan: disunnahkan mengumandangkan azan di teling kanan dan iqamat di telinga kiri.
Ketigabelas, takbir dalam solat jenazah, yang berjumlah empat kali takbir sesuai keterangan as-Sunnah.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ نَعَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَصْحَابِهِ النَّجَاشِيَّ ثُمَّ تَقَدَّمَ فَصَفُّوا خَلْفَهُ فَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Nabi SAW mengumumkan kematian an-Najasyi kepada para sahabatnya, kemudian beliau maju ke depan dan membuat barisan saf di belakang, beliau lalu bertakbir empat kali.” (HR. al-Bukhari).
Keempatbelas, takbir yang diucapkan demi “membuka pintu langit” (yakni ucapan yang sampai ke langit dan diterima Allah). Dari Ibnu ‘Umar, beliau berkata: Ketika kami solat bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seseorang mengucapkan:
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
“Maha Besar Allah, dan segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, dan Maha Suci Allah, baik di waktu pagi dan petang.”
Kemudian Rasulullah SAW bertanya:
مِنَ الْقَائِلُ كَلِمَةَ كَذَا وَكَذَا؟
“Siapakah yang mengucapkan kalimat tadi?”
Seorang Sahabat menjawab: “Saya wahai Rasulullah.” Beliau bersabda:
عَجِبْتُ لَهَا فُتِحَتْ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ
“Sungguh aku sangat kagum dengan ucapan tadi, sebab pintu-pintu langit dibuka kerana kalimat itu.”
Kata Ibnu ‘Umar, “Maka aku tak pernah lagi meninggalkannya semenjak aku mendengar Rasulullah SAW mengucapkan hal itu.” (HR. Muslim).
Kelimabelas, takbir yang banyak diucapkan diluar keadaan sebelumnya. Sebab bacaan Allahu Akbar, pahalanya dapat memenuhi langit dan bumi. Dalam hadis disebutkan:
التَّسْبِيحُ نِصْفُ الْمِيزَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ يَمْلَؤُهُ وَالتَّكْبِيرُ يَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
“Bacaan tasbih adalah separuh timbangan, alhamdulillah memenuhinya, dan takbir memenuhi antara langit dan bumi,” (HR. Ahmad, dan at-Tirmidzi, menurut beliau hadis ini hasan).
Keenambelas, takbir sebagai zikir atau wirid amalan soleh, dan sebagai salah satu dari empat kalimat paling disukai Allah. Dalam hadis disebutkan:
أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ
“Ada empat ucapan yang paling disukai Allah SWT: Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilaaha Illallah, dan Allahu Akbar. Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu mulai.” (HR. Muslim).
Khatimah
Menjadi jelaslah bahawa takbir bukan kalimat yang ringan, sebab takbir adalah kalimat yang menunjukan kebesaran Allah SWT. Pengulangan berkali-kali kalimat takbir dalam beberapa situasi dan keadaan yang sudah dijelaskan sebelumnya, pasti memiliki pengaruh keimanan dalam kehidupan seorang muslim dan akan meninggikan kedudukan dan darjatnya di sisi Allah. Dengan catatan ucapan takbir ini disertai dengan kesedaran spiritual yang tinggi, yakni berupa kesedaran bahawa di sebalik keberadaan alam semesta dan makhluk di dalamnya, ada Sang Khaliq yang menciptakan semuanya serta menurunkan aturan kehidupan syariah Islam demi keselamatan dunia dan akhirat. Allahu Akbar!
#takbir #AllahuAkbar

