Site icon MuslimahHTM News

Mesej Aidiladha 1446H : Merenungi Gaza, Teladan Ibrahim AS dan Seruan Mendesak untuk Nusrah Hari Ini

Mesej Aidiladha 1446H
Merenungi Gaza, Teladan Ibrahim AS dan Seruan Mendesak untuk Nusrah Hari Ini

 

Tatkala ummah memasuki hari-hari suci tasyrik, di tengah-tengah ibadah Haji yang penuh keberkatan, kita diingatkan bahawa rukun Islam yang mulia ini adalah satu perjalanan kerohanian, satu kewajipan oleh ilahi (kefardhuan) yang memperlihatkan pengabdian murni kepada Allah SWT. Ibadah Haji menghidupkan semula tradisi Nabi Ibrahim AS yang mulia, isterinya yang tabah Hajar AS, dan anak mereka Ismail AS sebagai sebuah keluarga yang menempuhi ujian yang hebat, yang mengajar ummah hari ini makna sebenar tawakal, iaitu kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT dan penyerahan total kepada perintah-Nya, meskipun perintah itu tampak tidak masuk akal atau bertentangan dengan logik duniawi.

 

Dan pada hari-hari tasyrik ini jugalah, berabad-abad kemudian, para mukminin yang mulia dari kabilah Aus dan Khazraj bertemu secara rahsia dengan Rasulullah SAW di al-‘Aqabah. Janji setia mereka kali ini bukan demi keselamatan peribadi, tetapi untuk menyokong agama ini dengan kekuasaan, untuk menawarkan nusrah (sokongan ketenteraan dan politik), dan menegakkan kekuasaan Islam di muka bumi. Inilah Bay’ah al-Harb (Bai’ah Perang) yang mengubah Islam daripada seruan orang-orang yang tertindas menjadi misi yang teratur dan membawa negara. Ia membuka jalan kepada Hijrah, mendirikan Negara Islam pertama di Madinah, dan melakar fajar baru Islam sebagai kuasa politik dunia.

 

Hari ini, ummah berada dalam kesempitan yang parah, bukan kerana kurangnya iman, bukan kerana kekurangan bilangan atau kekayaan, tetapi kerana kekurangan kuasa. Kita terpecah-belah dan dizalimi, dari Gaza ke Kashmir, dari Turkestan Timur ke Sudan, di bawah cengkaman rehim zalim, sementara musuh-musuh kita memanipulasi nasib kita. Tentera-tentera umat Islam, generasi Khalid ibn al-Walid dan Salahuddinpula, masih membisu, dibelenggu oleh rejim-rejim yang lebih takut kepada ibu kota Barat daripada takut kepada Allah SWT.

 

Gaza kini menjadi simbol pengabaian kita yang paling pedih. Luka berdarah pada tubuh ummah, ia mengingatkan kita betapa lemahnya kita apabila segala potensi besar umat ini dicekik oleh musuh yang kejam dan pemerintah boneka. Tangisan anak-anak Palestin bukan sekadar jeritan meminta pertolongan atau slogan, ia adalah jeritan tangis mengharapkan nusrah, demi sokongan sebenar yang berpaksikan kekuatan dan tindakan nyata.

 

Pelajaran dari ibadah haji dan Bai’ah `Aqabah kedua adalah petunjuk ilahi untuk bertindak. Sebagaimana kaum Ansar di Madinah berani mengambil pendirian, bangkit menyokong Nabi SAW dan memberikan jalan untuk menegakkan hukum Allah SWT di muka bumi ini, sudah tiba masanya tentera-tentera kita mengikut jejak langkah mereka. Kami menyeru kepada umat Islam—para ulama, para pemimpin, dan rakyat jelata—agar menuntut daripada tentera-tentera negara umat Islam supaya menyerahkan kesetiaan mereka hanya untuk Islam. Jauhilah takhta pengkhianatan, runtuhkan sempadan nasionalisme dan perintah yang dicipta oleh para kuffar, sebaliknya, berikanlah sokongan kepada penegakan semula Khilafah mengikut manhaj kenabian.

 

Dalam hari-hari yang diberkati ini, tatkala kita mengenang pengorbanan Ibrahim AS dan keberanian Ansar, marilah kita bangkit semula dengan tawakal kepada Allah SWT, ketaatan kepada perintah-Nya, dan tekad yang teguh untuk mengakhiri penderitaan umat Islam di Gaza, sekali ini dan untuk selamanya. Ini menuntut kita semua untuk menguatkan seruan kepada mereka yang memiliki kekuasaan yang sebenar, agar mereka menyahut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, dan memberikan nusrah kepada ummah, seperti mana yang dilakukan oleh kaum Ansar dengan kata-kata mereka:

 

“Kami berjanji kepada diri kami untuk taat dalam senang dan susah, dalam lapang dan sempit, dan bercakap benar pada setiap masa, serta dalam berkhidmat kepada Allah, kami tidak akan takut kepada celaan sesiapa pun.”

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَجِيبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna;”(TMQ Al-Anfal [8]: 24)

 

5 Jun 2025
9 Zulhijjah 1446H

 

#Aidiladha #Haji #Zulhijjah

#MuhasabahZulhijjah #Nusrah #Khilafah

 

 

Exit mobile version