HUKUM MEMBAYAR DAM HAJI DI MEKAH
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Apakah hukum membayar dam haji di Mekah? Adakah dam haji boleh dibayar di negara asal? Ini akan lebih bermanfaat kerana jika dibayar di Mekah, banyak daging kambingnya terbuang.
Jawapan:
Bagi menjawab pertanyaan di atas, perlu diketahui jenis-jenis dam haji dan lokasi pelaksanaan masing-masing dam haji yang ada, baik lokasi penyembelihan mahupun lokasi pembahagian dagingnya, apakah pelaksanaannya wajib dilaksanakan di al-Haram (Mekah) atau bolehkah dilaksanakan di luar al-Haram (Mekah). Namun sebelum itu, perlu diketahui pengertian dam itu sendiri.
Makna Bahasa/Etimologi (Ma’na Lughawi) dari Kata Dam
Kata “dam” sendiri, dari segi asal usulnya dalam Bahasa Arab, ertinya adalah darah. Inilah makna bahasa (ma’na lughawi) dari kata dam.
Dalam fikih Islam, kata dam dalam makna etimologinya ini mempunyai banyak konteks (kaitan makna), antara lain untuk darah haid (damul haydh), darah nifas (damun nifās), atau darah istihadhah (damul istihādhah).
Makna Istilah/Terminologi (Makna Syariah) dari Kata Dam
Sementara itu, dalam fikih haji dan umrah, kata dam adalah istilah syariah yang bererti hukuman yang diberikan kepada orang yang sedang berhaji atau berumrah yang melakukan pelanggaran syariah.
Menurut kamus bahasa, dam adalah denda kerana melanggar salah satu ketentuan yang berkenaan dengan ibadah haji atau umrah.
Dalam kitab Mu’jam Lughat al-Fuqahā`, dam dalam konteks haji dan umrah ini dijelaskan sebagai berikut:
الدَّمُ فِي جِنَايَاتِ الْحَجِّ: ذَبْحُ شَاةٍ أَوْ جَمَلٍ أّوْ بَقَرَةٍ, وَهُوَ دَمُ جَزَاءٍ.
“Dam dalam pelanggaran haji (dan umrah), adalah menyembelih kambing, atau unta, atau lembu, sebagai kompensasi (atas pelanggaran haji tersebut).” (Muhammad Rawwās Qal’ah Jī, Mu’jam Lughat al-Fuqahā`, hlm. 187).
Istilah dam tersebut juga berkaitan dengan istilah hadyu. Hadyu sendiri merupakan haiwan korban berupa kambing, atau unta, atau lembu yang disembelih di tanah haram (Al-Haram/Mekah). Demikianlah penjelasan sekilas mengenai pengertian dam.
Jenis-Jenis Dam Haji (Hadyu) dan Lokasi Penyembelihan Serta Lokasi Pembahagian Dagingnya
Ada sekurangnya 5 (lima) jenis hadyu dengan lokasi penyembelihan dan lokasi pembahagian dagingnya yang rinciannya adalah sebagai berikut :
Pertama, hadyu tamattu’ dan hadyu qirān. Hadyu tamattu’ adalah hadyu untuk orang yang berhaji secara tamattu’, yakni melaksanakan umrah di bulan-bulan haram lalu bertahallul dari umrah, baru kemudian melaksanakan haji. (Muhammad Rawwās Qal’ah Jī, Mu’jam Lughat al-Fuqahā`, hlm. 125).
Sedang hadyu qirān, adalah hadyu untuk orang yang berhaji secara qirān, yakni menggabungkan pelaksanaan haji dan umrah dengan satu ihram pada bulan-bulan haji. (Muhammad Rawwās Qal’ah Jī, Mu’jam Lughat al-Fuqahā`, hlm. 328).
Hadyu tamattu’ dan hadyu qirān ini, wajib disembelih di al-Haram (Mekah), dan tidak boleh dilakukan penyembelihan di luar Mekah, misalnya di Arafah atau di Jeddah. Namun sebahagian pengagihan dagingnya, boleh dipindahkan ke luar al-Haram (Mekah). (Majmū’ Fatāwā Ibnu ‘Utsaimin, 7/203).
Kecuali jika orang yang berhaji tidak mendapatkan hadyu, maka dia berpuasa 3 hari di Mekah dan 7 hari di negerinya. Dalilnya firman Allah SWT:
فَاِذَآ اَمِنۡتُمۡ فَمَنۡ تَمَتَّعَ بِالۡعُمۡرَةِ اِلَى الۡحَجِّ فَمَا اسۡتَيۡسَرَ مِنَ الۡهَدۡىِۚ فَمَنۡ لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلٰثَةِ اَيَّامٍ فِى الۡحَجِّ وَسَبۡعَةٍ اِذَا رَجَعۡتُمۡؕ تِلۡكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ
“Apabila kamu dalam keadaan yang aman, maka barang siapa mengerjakan umrah sebelum haji (berhaji tamattu’), dia (wajib menyembelih) hadyu yang mudah didapati. Tetapi jika dia tidak mendapatkannya, maka dia (wajib) berpuasa tiga hari dalam (musim) haji dan tujuh (hari) setelah dia kembali. Keseluruhannya berjumlah sepuluh (hari).” (TMQ Al-Baqarah [2]: 196).
Imam Ibnu Katsir mentafsirkan ayat di atas dengan berkata:
أَيْ: إِذَا تَمَكَّنْتُمْ مِنْ أَدَاءِ الْمَنَاسِكِ، فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُتَمَتِّعًا بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ، وَهُوَ يَشْمَلُ مَنْ أَحْرَمَ بِهِمَا (أَيْ الْقِرَانِ(… فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ أي: فَلْيَذْبَحْ مَا قُدِرَ عَلَيْهِ مِنْ الْهَدْيِ، وَأَقَلُّهُ شَاةٌ
“Erti ayat itu, jika kamu telah melaksanakan manasik haji secara aman, maka barang siapa di antara kamu yang melaksanakan haji secara tamattu’, iaitu berumrah dulu kemudian berhaji, dan termasuk juga yang melaksanakan haji secara qirān…maka wajib atasnya menyembelih hadyu yang mudah didapati, yakni maksudnya menyembelih haiwan yang dia mampu berupa hadyu, sekurangnya menyembelih satu ekor kambing.” (Tafsīr Ibnu Katsīr, Juz I, hlm. 537).
Dalil wajibnya hadyu tamattu’ dan hadyu qiran ini disembelih di al-Haram (Mekah), dan tidak boleh dilakukan di luar Mekah, adalah sabda Rasulullah SAW:
نَحَرْتُ هَاهُنَا، وَمِنًى كُلُّهَا مَنْحَرٌ، فَانْحَرُوا في رِحَالِكُمْ
“Aku menyembelih di sini (Mekah). Dan Mina seluruhnya adalah tempat penyembelihan. Maka sembelihlah di tempat-tempat kalian.” (HR. Abu Dawud, Ahmad, dan Al-Darimi).
Dalil wajibnya membahagikan daging hadyu ini kepada penduduk Mekah, namun boleh sebahagiannya dibahagikan di luar Mekah, adalah hadis Jabir bin Abdillah RA:
عن جَابِر بْن عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قال: ” كُنَّا لاَ نَأْكُلُ مِنْ لُحُومِ بُدْنِنَا فَوْقَ ثَلاَثِ مِنًى، فَرَخَّصَ لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: كُلُوا وَتَزَوَّدُوا، فَأَكَلْنَا وَتَزَوَّدْنَا ” رواه البخاري (1719)، ومسلم (1972)
Dari Jabir bin ‘Abdillah RA, dia berkata, “Dulu kami tidak memakan daging-daging hadyu (unta) di Mina, lalu Nabi SAW memberikan rukhsah (keringanan) kepada kami dengan bersabda, “Makanlah dan berbekallah!” Lalu kami makan (di Mekah) dan berbekal (dimakan di luar Mekah).” (HR. Al-Bukhari 1719; dan Muslim, no. 1972).
Kedua, hadyu yang disembelih kerana orang yang berhaji meninggalkan salah satu dari kewajipan-kewajipan haji, misalnya meninggalkan ihram dari miqat, tidak mabit di Muzdalifah atau Mina, tidak melontar jamrah, dan tidak melakukan tawaf wada’.
Hadyu kerana meninggalkan kewajipan haji ini, wajib disembelih di al-Haram (Mekah), dan wajib pula dagingnya dibahagikan kepada fuqara Mekah. Dalilnya riwayat Ibnu Abbas RA:
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما، قَالَ: مَنْ نَسِيَ مِنْ نُسُكِهِ شَيْئاً، أَوْ تَرَكَهُ، فَلْيُهْرِقْ دَماً. رواه الإمام مالك في ” الموطأ ” (1583)
Dari Ibnu ‘Abbas RA, dia berkata, “Barang siapa yang lupa dari manasiknya sesuatu, atau meninggalkannya, maka hendaklah dia membayar dam.” (HR. Imamm Malik, Al-Muwaththa’, no. 1583).
Dam haji (hadyu) yang kedua ini, yakni kerana meninggalkan salah satu kewajipan haji, wajib penyembelihannya dan pembahagian dagingnya dilakukan di al-Haram (Mekah). (Majmū’ Fatāwā Ibnu ‘Utsaimin, 25/83).
Ketiga, hadyu yang disembelih kerana orang yang berhaji melakukan satu larangan di antara larangan-larangan ihram, seperti mencukur rambut kepala, memakai wewangian, atau memotong kuku, baik kerana uzur (misalnya ada penyakit di kepala) atau tanpa uzur, atau bersetubuh dengan isteri sebelum tahallul awal. Dalilnya firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّى يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. Tetapi jika kamu terkepung (oleh musuh), maka (sembelihlah) hadyu yang mudah didapati, dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum hadyu sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antara kamu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu dia bercukur), maka dia wajib ber-fidyah, iaitu berpuasa, bersedekah atau berkorban.” (TMQ Al-Baqarah: 196).
Dalil dari As-Sunnah:
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: ” أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ وَأَنَّهُ يَسْقُطُ عَلَى وَجْهِهِ، فَقَالَ: أَيُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ؟ قَالَ: نَعَمْ. فَأَمَرَهُ أَنْ يَحْلِقَ وَهُوَ بِالحُدَيْبِيَةِ، وَلَمْ يَتَبَيَّنْ لَهُمْ أَنَّهُمْ يَحِلُّونَ بِهَا، وَهُمْ عَلَى طَمَعٍ أَنْ يَدْخُلُوا مَكَّةَ. فَأَنْزَلَ اللَّهُ الفِدْيَةَ، فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُطْعِمَ فَرَقًا بَيْنَ سِتَّةٍ، أَوْ يُهْدِيَ شَاةً، أَوْ يَصُومَ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ ” رواه البخاري (1817)، ومسلم (1201).
Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA, dia berkata, “Bahawa Rasulullah SAW telah melihat dirinya (iaitu Ka`ab bin ‘Ujrah RA) ketika kutu-kutu berjatuhan di wajahnya. Maka Rasulullah bertanya (kepadanya), “Apakah kutu-kutumu mengganggumu?” Ka’ab berkata, “Ya.” Maka Rasulullah SAW memerintahkan dia untuk mencukur rambutnya saat dia berada di Al-Hudaibiyah. Saat itu mereka belum diizinkan untuk menyelesaikan ihram mereka, dan masih berharap untuk memasuki Mekah. Maka Allah menurunkan ayat-ayat Al-Fidyah. Rasulullah SAW memerintahkannya untuk memberi makan enam orang miskin dengan satu faraq makanan atau menyembelih seekor domba – kambing kibas (sebagai korban) atau berpuasa selama tiga hari.” (HR. Al-Bukhari no. 1817; Muslim, no.1901).
Hadyu kerana melakukan satu larangan di antara larangan-larangan ihram ini, boleh hukumnya penyembelihannya dan juga pembahagian dagingnya, dilakukan di luar al-Haram (Mekah).
Berkata Syeikh Ibnu ‘Utsaimin:
وَمَا جَازَ أَنْ يُذْبَحَ وَيُفَرَّقَ خَارِجَ الْحَرَمِ حَيْثُ وُجِدَ السَّبَبُ، فَإِنَّهُ يَجُوزُ أَنْ يُذْبَحَ وَيُفَرَّقَ فِي الْحَرَمِ، وَلَا عَكْسَ. ” الشرح الممتع ” (7/204)
“Dan apa saja yang boleh disembelih dan dibahagikan (dagingnya) di luar Al-Haram (Mekah) ketika ada sebabnya (iaitu melakukan larangan ihram), maka boleh juga untuk disembelih dan dibahagikan dagingnya di dalam Al-Haram (Mekah), namun tidak berlaku sebaliknya.” (Ibnu ‘Utsaimin, Al-Syarh Al-Mumti’, 7/204).
Kami tambah, bahawa bagi jemaah haji yang melakukan larangan ihram ini, ada dua pilihan lain selain menyembelih hadyu, iaitu: (1) berpuasa 3 hari; atau (2) bersedekah (memberi makan 6 orang miskin), sesuai firman Allah SWT:
فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ
“…maka dia wajib ber-fidyah, iaitu berpuasa, bersedekah atau berkorban.” (TMQ Al-Baqarah: 196).
Dan juga sesuai sabda Rasulullah SAW:
…أَنْ يُطْعِمَ فَرَقًا بَيْنَ سِتَّةٍ، أَوْ يُهْدِيَ شَاةً، أَوْ يَصُومَ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ ” رواه البخاري (1817)، ومسلم (1201).
“…Rasulullah SAW memerintahkan dia (Ka’ab bin ‘Ujrah RA) untuk memberi makan enam orang miskin dengan satu faraq makanan, atau menyembelih satu ekor domba – kambing kibas (sebagai korban), atau berpuasa selama tiga hari.” (HR. Al-Bukhari no. 1817; Muslim, no. 1901).
Keempat, hadyu yang disembelih kerana orang yang berhaji mengalami ihshār, iaitu orang yang berhaji dihalangi oleh suatu halangan (māni’) sehingga tidak dapat menyempurnakan hajinya. Contoh ihshār, misalnya orang yang berhaji mengalami sakit, atau ada hambatan di jalan, atau dikepung musuh, dsb. Dalilnya firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. Tetapi jika kamu terkepung (oleh musuh), maka (sembelihlah) hadyu yang mudah didapati.” (TMQ Al-Baqarah: 196).
Hadyu kerana orang yang berhaji dihalangi oleh suatu halangan (ihshār) ini, boleh hukumnya penyembelihannya dan juga pembahagian dagingnya, dilakukan di luar al-Haram (Mekah). Namun boleh juga penyembelihan hadyu dan pembahagian dagingnya dilakukan di dalam Mekah. Dalilnya hadis Nabi SAW sbb:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: ” أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مُعْتَمِرًا، فَحَالَ كُفَّارُ قُرَيْشٍ بَيْنَهُ وَبَيْنَ البَيْتِ، فَنَحَرَ هَدْيَهُ، وَحَلَقَ رَأْسَهُ بِالحُدَيْبِيَةِ ” رواه البخاري (4252).
Dari Ibnu ‘Umar RA, “bahawa Rasulullah SAW keluar hendak berumrah, namun kemudian kaum kafir Quraisy menghalangi Rasulullah SAW untuk masuk ke Mekah. Maka Rasulullah SAW lalu menyembelih hadyu-nya, serta mencukur rambutnya di Hudaibiyyah.” (HR. Al-Bukhari, no. 4252).
Kelima, hadyu yang dilakukan kerana orang yang berhaji berburu (al-shaid) haiwan-haiwan di Mekah saat ihram. Dalam keadaan ini, wajib penyembelihan hadyu dan pembahagian dagingnya dilakukan di Mekah, tidak boleh dilakukan di luar Mekah. Dalilnya firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ وَمَن قَتَلَهُ مِنكُم مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاءٌ مِّثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ النَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ هَدْيًا بَالِغَ الْكَعْبَةِ أَوْ كَفَّارَةٌ طَعَامُ مَسَاكِينَ أَوْ عَدْلُ ذَلِكَ صِيَامًا لِّيَذُوقَ وَبَالَ أَمْرِهِ عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ وَاللَّهُ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh haiwan buruan, ketika kamu sedang berihram (haji atau umrah). Barang siapa di antara kamu membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya ialah menggantikannya dengan haiwan ternakan yang sepadan dengan buruan yang dibunuhnya, menurut keputusan dua orang yang adil di antara kamu sebagai hadyu (hadiah) yang dibawa sampai ke Kaabah atau (dendanya) membayar kifarat (membayar tebusan) dengan memberi makan orang-orang miskin atau berpuasa setara dengan makanan yang dikeluarkan itu, agar dia dapat merasai akan akibat buruk daripada perbuatannya. Allah telah memaafkan apa yang telah lalu. Dan barang siapa yang kembali melakukannya, nescaya Allah akan menyeksanya. Dan Allah Maha Perkasa memiliki (kekuasaan untuk) menyeksa.” (TMQ Al-Maidah: 95).
Imam Ibnu Katsir mentafsirkan ayat di atas dengan berkata:
قوله تعالى: هَدْيًا بَالِغَ الْكَعْبَةِ أي: واصلا إلى الكعبة، والمراد وصوله إلى الحرم، بأن يذبح هناك، ويفرق لحمه على مساكين الحرم. وهذا أمر متفق عليه في هذه الصورة ” انتهى من ” تفسير ابن كثير ” (3/194).
“Firman Allah SWT yang berbunyi (هَدْيًا بَالِغَ الْكَعْبَةِ ), bererti hadyu itu mesti sampai ke Kaabah. Yang dimaksud sampainya hadyu ke Kaabah, adalah sampainya hadyu ke Al-Haram (Mekah), dalam erti wajib disembelih di sana (Mekah), dan dibahagi-bahagikan dagingnya di antara kaum miskin Al-Haram (Mekah). Ini adalah perkara yang disepakati (oleh ulama) dalam bentuk seperti ini.” (Tafsīr Ibnu Katsīr, 3/194).
Kesimpulan
Ada sekurangnya 5 (lima) jenis hadyu dengan lokasi penyembelihan dan lokasi pembahagian dagingnya dan ringkasannya adalah sebagai berikut:
Pertama, hadyu tamattu’ dan hadyu qirān. Hadyu tamattu’ adalah hadyu yang disembelih oleh orang yang berhaji secara tamattu’, yakni melaksanakan umrah di bulan-bulan haram lalu bertahallul dari umrah, baru kemudian melaksanakan haji. Sedangkan hadyu qirān, adalah hadyu yang disembelih oleh orang yang berhaji secara qirān, yakni menggabungkan pelaksanaan haji dan umrah dengan satu ihram pada bulan-bulan haji.
Dalam keadaan ini, hadyu tamattu’ dan hadyu qirān wajib disembelih di al-Haram (Mekah), dan tidak boleh dilakukan di luar Mekah, misalnya di Arafah atau di Jeddah. Namun sebahagian pembahagian dagingnya, boleh dipindahkan ke luar al-Haram (Mekah). Kecuali jika orang yang berhaji tidak mendapatkan hadyu, maka dia berpuasa 3 (tiga) hari di Mekah, dan 7 (tujuh) hari di negerinya.
Kedua, hadyu yang disembelih kerana orang yang berhaji meninggalkan salah satu dari kewajipan-kewajipan haji, seperti misalnya meninggalkan ihram dari miqat, tidak mabit di Muzdalifah atau Mina, tidak melontar jamrah, dan tidak tawaf wada’. Dalam keadaan ini, wajib disembelih di al-Haram (Mekah), dan wajib pula dagingnya dibahagikan kepada fuqarā` di Mekah.
Ketiga, hadyu yang disembelih kerana orang yang berhaji melakukan satu larangan di antara larangan-larangan ihram, seperti mencukur rambut kepala, atau memakai wewangian, atau memotong kuku, baik kerana uzur (misalnya ada penyakit di kepala) atau tanpa uzur, atau bersetubuh dengan isteri sebelum tahallul awal. Dalam keadaan ini, boleh hukumnya penyembelihannya dan juga pembahagian dagingnya, dilakukan di luar al-Haram (Mekah). Dan boleh juga, jemaah haji yang melakukan larangan ihram ini, memilih 2 (dua) pilihan lain selain menyembelih hadyu, iaitu: (1) berpuasa selama tiga hari; atau (2) bersedekah (memberi makan kepada enam orang miskin).
Keempat, hadyu yang disembelih kerana orang yang berhaji mengalami ihshār, iaitu orang yang berhaji dihalangi oleh suatu halangan (māni’) sehingga tidak dapat menyempurnakan hajinya. Dalam keadaan ini, boleh hukumnya penyembelihannya dan juga pembahagian dagingnya, dilakukan di luar al-Haram (Mekah). Namun boleh juga penyembelihan hadyu dan pembahagian dagingnya dilakukan di dalam Mekah.
Kelima, hadyu yang dilakukan kerana orang yang berhaji berburu (al-shaid) haiwan-haiwan di Mekah saat ihram. Dalam keadaan ini, wajib penyembelihan hadyu dan pembahagian dagingnya dilakukan di Mekah, tidak boleh dilakukan di luar Mekah. Wallāhu a’lam.
Jogjakarta, Indonesia 2 Mei 2025
Muhammad Shiddiq Al-Jawi
= = =
Rujukan:
https://islamqa.info/ar/answers/223070
https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/18781
#fikihhaji #fikihumrah #dam #damhaji #haji #umrah #zulhijjah #hadyu #haiwankorban

