Site icon MuslimahHTM News

Anakanda, Bahagiakanlah Ayah Bonda dengan Amal Solehmu

Anakanda, Bahagiakanlah Ayah Bonda dengan Amal Solehmu

 

Oleh: Ustaz Iwan Januar

 

Apa khabar, anakanda?

Waktu telah membawamu menjadi seorang pemuda. Engkau tampan dan menawan. Tubuhmu sasa seperti orang dewasa. Tiada lagi tanda-tanda keanak-anakan dalam penampilanmu. Ayah dan bonda pasti tersenyum apabila mengenangkan dirimu yang dahulu, bertahun-tahun yang lalu. Dahulu, engkau sering berlari-lari di sekeliling ayah dan bonda, kadangkala meminta untuk dipangku atau bergayut pada jubah lebar Bonda.

 

Engkau juga bukan lagi anak yang lemah dan mudah terjatuh. Langkahmu kini sudah tegap. Fikiranmu semakin matang, dan jiwamu kian membara. Tersimpan harapan untuk sentiasa meraih kejayaan demi kejayaan dalam kehidupanmu. Bukan lagi mainan baru yang menjadi dambaanmu, dan bukan pula kasut bergaya yang menjadi impian. Kini, engkau menginginkan kejayaan dalam pendidikan, serta kecemerlangan dalam kerjaya.

 

Kami tahu dirimu, di sebalik semangat jiwamu untuk meraih kejayaan, tersimpan keinginan yang tulus untuk membahagiakan ayah dan bonda. Engkau akan merasa sangat bahagia apabila melihat senyuman ayahmu dan air mata kegembiraan yang menitis di pipi bonda saat mereka meraikan keindahan fasa baru dalam hidupmu. Seperti mana gembiranya dirimu dahulu ketika mengetahui mereka turut bahagia melihatmu berjaya menunggang basikal dua roda milikmu, atau ketika mereka tertawa penuh bangga saat engkau dengan berani tampil di hadapan kelas mendeklamasikan puisi di hadapan rakan-rakan dan gurumu.

 

Ya, engkau ingin meraih kebahagiaan bersama insan yang paling engkau cintai, iaitu ayah dan bonda. Engkau berharap mereka hadir pada hari konvokesyenmu, bergambar bersama di hadapan kampus impian, lalu dikongsikan di Instagram dengan kata-kata penuh kasih buat mereka berdua. Supaya semua sahabatmu mengetahui betapa mendalamnya rasa terima kasihmu kepada kedua-duanya. Tiada yang lebih membahagiakan selain dapat menikmati saat-saat indah itu bersama mereka.

 

Lalu engkau menelefon ayah dan bonda, memberitahu bahawa engkau telah memperoleh pekerjaan. Hatimu bergetar saat mendengar lafaz syukur dan puji-pujian kepada Allah yang terucap dari bibir bondamu di hujung talian. Engkau juga pasti tahu, mata ayahmu bersinar bahagia apabila mengetahui bahawa anak yang dahulunya sering bermain di atas bahunya kini telah mampu berdiri sendiri dalam menjalani kehidupan, walaupun mungkin engkau tidak melihatnya secara langsung.

 

Kemudian, dengan gaji pertamamu, engkau belikan sesuatu yang istimewa buat mereka berdua. Mungkin sehelai tudung atau sepasang jubah baharu untuk bonda, atau seutas jam tangan baharu untuk ayah sebagai pengganti jam lamanya yang telah usang. Engkau juga mengajak mereka menikmati hidangan bersama di tempat yang pernah menjadi lokasi kenangan keluarga. Bezanya, dahulu engkau hanyalah seorang penikmat, kini engkau pula yang membahagiakan ayah dan bonda sebagai tetamu istimewa. Engkau kini mampu melakukan dengan penuh kegembiraan apa yang dahulunya dilakukan oleh ayahmu.

 

Kenderaan baharu akhirnya hadir di halaman rumahmu. Engkau juga tahu, hasrat pertama yang terlintas di hatimu adalah untuk membawa ayah dan bonda menaiki kenderaan tersebut. Engkau ingin membuat mereka berasa bangga dan bahagia. Engkau mengajak mereka berdua bersiar-siar ke tempat-tempat yang dahulunya sering kalian kunjungi bersama. Namun kini, engkaulah yang menceriakan mereka dengan tawa dan kegembiraan setelah sekian lama mereka yang menjadi punca senyuman dan tawa bahagiamu.

 

Anakanda,

kejayaanmu adalah sebahagian daripada kebahagiaan ayah dan bonda. Namun, ketahuilah bahawa seiring bertambahnya usia mereka yang kian senja, kebahagiaan mereka bukan lagi terletak pada apa yang mampu kau berikan dengan kedua tanganmu atau hasil daripada kepintaran akalmu. Apabila usia mereka semakin lanjut, mereka semakin mengerti bahawa kebahagiaan yang sebenar bagi kedua orang tua adalah apabila anak-anak mereka yang telah dewasa semakin taat dan tunduk kepada Rabbnya.

 

Engkau mungkin sukar untuk percaya, namun itulah isi hati dan fikiran mereka. Ayah dan bonda telah melalui pelbagai suka dan duka kehidupan. Mereka sedar bahawa mereka tidak akan sentiasa dapat berada di sisimu. Akan tiba suatu masa perpisahan yang telah ditentukan oleh Allah. Justeru, mereka benar-benar sedar bahawa kebahagiaan yang paling mereka dambakan adalah apabila melihat anak cucu mereka menjadi generasi yang soleh dan solehah.

 

Mereka berasa bahagia melihatmu menamatkan pengajian di menara gading, namun ketahuilah bahawa mereka jauh lebih bahagia apabila mengetahui bahawa dirimu adalah seorang anak muda yang menghidupkan malam dengan rukuk dan sujud di hadapan Rabbmu. Mereka amat gembira apabila mengetahui engkau adalah insan yang sentiasa melantunkan ayat-ayat Allah pada setiap waktu. Mereka merasa begitu bersyukur apabila melihatmu berpenampilan kemas, menjaga aurat, memelihara maruah di hadapan lawan jenis, serta memiliki rasa malu untuk melanggar perintah Allah SWT.

 

Anakanda muslimah yang solehah,

bukanlah pakaian dari butik ternama yang mampu mengukir senyuman lebar di wajah ayah dan bonda, tetapi tudung dan jilbabmu yang sentiasa rapi dikenakan setiap kali melangkah keluar rumah itulah yang menghadirkan ketenangan dalam hati mereka. Bukan haruman dari jenama terkenal yang membuat mereka bahagia, tetapi sifat malumu yang terpelihara di hadapan kaum lelaki itulah yang menjadi sumber kebanggaan dan ketenangan mereka.

 

Anakanda jejaka yang soleh,

bukanlah kenderaan mewah yang membuat hati kedua orang tuamu bergetar gembira, tetapi pekerjaan yang halal yang engkau peroleh itulah yang benar-benar menggembirakan mereka. Begitu juga, bukanlah seorang wanita cantik bak ratu dunia yang menjadi suri hidupmu yang membuat mereka bahagia, tetapi seorang wanita solehah yang sederhana, yang bersedia membimbing dan mendidik cucu-cucu mereka di jalan Allah — itulah menantu yang mereka dambakan.

 

Engkau mungkin sukar untuk percaya bahawa amal soleh adalah hadiah teristimewa bagi ayah dan bonda di usia senja mereka. Engkau barangkali terpedaya oleh semangat mudamu yang membara untuk mengejar dunia. Namun demikianlah isi hati kedua orang tuamu saat ini. Keresahan mereka bukan kerana kerjaya atau kedudukanmu belum stabil, tetapi kerana melihat engkau terlewat bangun untuk solat Subuh, dan sering menangguhkan waktu-waktu solat yang telah ditetapkan.

 

Ayah dan bonda tidak gelisah kerana engkau belum memiliki kenderaan mewah, tetapi kerana dirimu masih belum benar-benar terikat dengan syariat. Engkau masih memikirkan cara untuk membuat pinjaman daripada institusi kewangan yang berasaskan riba, dan masih berjalan ke sana ke mari bersama lawan jenis tanpa merasa bahawa itu merupakan satu kemungkaran. Itulah yang membuatkan ayah dan bonda berasa gelisah dan fikiran mereka tidak tenang.

 

Anakanda,

kelak apabila usiamu menyamai usia mereka, itulah juga yang akan engkau rasakan. Engkau akan sedar bahawa ijazah dan status pekerjaanmu bukan lagi kemewahan yang wajar dibanggakan, tetapi ketaatan serta kedekatan kepada Tuhanlah yang paling didambakan. Betapa ramai orang tua yang kembali ke pangkuan Ilahi sedangkan anak-anak mereka tidak mampu menyempurnakan solat jenazah. Malah, ada juga anak-anak yang terlalu terikat dengan urusan dunia sehingga untuk menziarahi pun tiada kesempatan. Doa ke alam barzakh pula terpaksa dititipkan melalui orang lain, kerana lidah sudah kelu dan jalan untuk berbakti pun tidak lagi diketahui.

 

Berbaktilah kepada ayah dan bonda dengan amalan soleh. Gembirakanlah hati mereka dengan langkah-langkah kakimu menuju ke rumah Allah, Tuhan Yang Menguasai Seluruh Alam. Lantunkanlah ayat-ayat suci-Nya sepanjang hayatmu, dan jadilah antara mereka yang menyeru kepada kemuliaan Syariat Islam.

 

Kelak, apabila ayah dan bonda menutup mata buat selama-lamanya, mereka akan tenang kerana telah meninggalkan anak cucu yang termasuk dalam golongan hamba-hamba yang bertakwa. Sebagaimana doa yang sering mereka panjatkan:

 

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” [TMQ al-Furqan (25): 74]

 

Mahukah anakanda membahagiakan ayah dan bonda?

Maka jadilah hamba-hamba Allah yang taat, rajin beramal soleh, berdiri teguh dalam saf para pejuang Islam, serta doakanlah kebaikan untuk mereka, agar mereka dikurniakan rahmat dan kasih sayang Ilahi di usia senja mereka.

 

 

#anaksoleh #anaksolehah #birrulwalidain

 

Exit mobile version