Site icon MuslimahHTM News

Haji dan Persatuan Hakiki

Haji dan Persatuan Hakiki

 

Kembali, Kota Suci Mekah pada bulan-bulan haji ini dikunjungi oleh jutaan jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia.

 

Ibadah haji tentunya bukan sekadar ritual tahunan yang dilaksanakan oleh umat Islam. Ia juga merupakan satu momentum agung yang menyatukan umat dalam satu matlamat, iaitu ketaatan kepada Allah SWT.

 

Ibadah haji adalah perintah langsung daripada Allah SWT kepada umat Islam yang berkemampuan, sebagaimana firman-Nya:

 

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” [TMQ Ali Imraan (3): 97]

 

Ibadah haji memiliki keutamaan yang luar biasa.  Rasulullah SAW bersabda:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ

“Haji yang mabrur itu tidak ada balasan (bagi pelaku)-nya selain syurga.” (HR. al-Bukhari dan Muslim).

 

Keutamaan ini menunjukkan betapa mulianya ibadah haji di sisi Allah SWT, sebagai kemuncak ketaatan seorang hamba kepada-Nya.

 

Haji dan Kesatuan Umat

 

Selain menjadi simbol ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT, ibadah haji turut menjadi lambang penyatuan umat Islam di peringkat global. Ibadah haji menyatukan kaum Muslimin dari segenap penjuru dunia tanpa mengira perbezaan bangsa, bahasa, atau status sosial. Semua jemaah mengenakan pakaian ihram yang seragam, melaksanakan ritual yang sama, dan berdoa kepada Tuhan yang Esa.

Namun amat dikesali, semangat kesatuan yang dibawa dalam ibadah haji sering kali mula luntur sebaik sahaja para jemaah kembali ke negara masing-masing. Di tanah air sendiri, mereka kembali menyaksikan perpecahan umat Islam akibat sempadan nasionalisme dan entiti negara-bangsa (nation-state). Akibatnya, penyatuan hakiki umat Islam seluruh dunia seolah-olah masih jauh daripada realiti.

 

Sedangkan ibadah haji sepatutnya menjadi titik tolak bagi membina kesatuan ideologi umat Islam di peringkat global. Kesatuan ideologi umat Islam sedunia ini amat penting dalam menghadapi cabaran global masa kini, termasuk bentuk-bentuk penjajahan Barat terhadap Dunia Islam, serta penjajahan berterusan ke atas Palestin oleh entiti Yahudi yang telah berlangsung selama berdekad-dekad sehingga ke hari ini.

 

Haji dan Solidariti terhadap Sesama Muslim

 

Ibadah haji juga sepatutnya menjadi detik penting untuk menzahirkan keprihatinan dan solidariti terhadap sesama Muslim, khususnya di bumi Palestin. Ini kerana sesama Muslim itu bersaudara, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

 

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

“Perumpamaan kaum Mukmin dalam hal kasih-sayang, saling mencintai dan saling membantu adalah seperti satu tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit maka seluruh tubuh akan merasakan demam dan tidak dapat tidur.” (HR. Muslim).

 

Kerana itu, penderitaan umat Islam di Palestin adalah penderitaan yang sewajarnya turut dirasai oleh seluruh umat Islam, termasuk para jemaah haji. Sehubungan itu, ibadah haji yang dikendalikan oleh Kerajaan Arab Saudi sepatutnya dijadikan platform untuk mengumpulkan sokongan dan solidariti umat Islam sedunia terhadap Palestin.

 

Namun amat malang, perkara ini tidak dilakukan. Pemerintah Saudi, begitu juga para pemimpin Arab dan negara-negara Islam yang lain, seolah-olah tidak mengambil peduli walaupun ratusan ribu umat Islam di Palestin telah dibunuh secara kejam oleh entiti Yahudi. Sedangkan, apatah lagi ratusan ribu nyawa, satu nyawa seorang Muslim pun amatlah berharga di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya. Allah SWT telah menetapkan bahawa pembunuhan satu jiwa yang tidak berdosa adalah seumpama membunuh seluruh umat manusia:

 

مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي اْلأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا

“bahawa barang siapa membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana melakukan kerosakan di bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh semua manusia …”  [TMQ al-Maaidah (5): 32]

 

Rasulullah SAW juga menegaskan:

لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ

“Kehancuran dunia ini lebih ringan di sisi Allah berbanding terbunuhnya seorang muslim.” (HR. an-Nasa’i).

 

Dalam riwayat lain, menurut Ibnu ‘Abbas RA, ketika memandang Kaabah, Rasulullah SAW bersabda: “Selamat datang, wahai Kaabah. Betapa agungnya engkau dan betapa besar kehormatanmu. Namun demikian, seorang mukmin itu lebih agung di sisi Allah daripada engkau.” (HR. al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman)

 

Maka tidak hairanlah, sepanjang sejarah pelaksanaan syariah Islam, tidak ada setitis darah seorang muslim pun yang ditumpahkan tanpa mendapat pembelaan sepenuhnya daripada umat Islam dan pemerintahan Islam (Daulah Islamiyah).

 

Ibnu Hisyam dalam Sîrah-nya meriwayatkan bahawa ketika seorang pedagang muslim dibunuh secara beramai-ramai oleh kaum Yahudi Bani Qainuqa’, kerana mempertahankan maruah seorang muslimah yang auratnya disingkap oleh seorang peniaga Yahudi, Rasulullah SAW selaku ketua negara Islam ketika itu segera mengutus para Sahabat untuk memerangi mereka. Rasulullah mengepung perkampungan mereka selama 15 malam sebelum mengusir mereka dari kota Madinah (Sîrah Ibnu Hisyâm, 3/9–11)

 

Rasulullah SAW, selaku pemimpin umat Islam dan ketua Negara Islam, telah melindungi setiap titisan darah kaum muslimin. Begitu jugalah para Khulafa’ ar-Rasyidin serta khalifah-khalifah selepas mereka. Mereka sentiasa melindungi umat daripada sebarang ancaman dan gangguan. Dengan perlindungan sebegitu, umat Islam dapat hidup dengan aman dan tenteram di mana sahaja mereka berada kerana adanya pihak yang membela dan menjaga mereka.

 

Inilah juga yang sepatutnya dilakukan oleh para pemerintah muslim pada masa kini, terutamanya para pemimpin negara-negara Arab, dan lebih khusus lagi pemerintah Arab Saudi. Tindakan yang wajar adalah melancarkan jihad untuk memerangi entiti Yahudi dan mengusir mereka dari bumi Palestin. Jika itu tidak dapat dilakukan, maka sekurang-kurangnya para pemerintah Arab Saudi dan negara-negara Arab boleh memanfaatkan momentum ibadah haji untuk menyuarakan isu Palestin—misalnya melalui deklarasi bersama, kutipan dana kemanusiaan, atau tekanan diplomatik untuk menghentikan jenayah genosid tersebut. Namun amat mendukacitakan, tindakan yang paling asas sekalipun tidak pernah diambil.

 

Ironi Pelayan Dua Kota Suci

 

Pemerintah Arab Saudi selama ini mengaku sebagai Pelayan Dua Kota Suci (Mekah dan Madinah). Setiap tahun, kerajaan Saudi juga menjadi tuan rumah dan penyelaras ibadah haji bagi jutaan jemaah dari seluruh pelosok dunia. Namun, yang menjadi ironi adalah, di luar peranan suci tersebut, Arab Saudi turut bertindak sebagai “pelayan” kepada Amerika Syarikat (AS). Sedangkan, jelas bahawa AS adalah sebuah kuasa penjajah terhadap Dunia Islam, dan dalam masa yang sama merupakan penyokong utama entiti Yahudi yang menjajah dan menindas umat Islam di Palestin.

 

Malah, walaupun AS secara terang-terangan menyokong pembunuhan beramai-ramai (genosid) umat Islam Palestin oleh entiti Yahudi sejak hampir dua tahun kebelakangan ini, kesetiaan pemerintah Saudi kepada AS tidak pernah goyah. Buktinya, pemerintah Saudi tetap menyambut mesra kehadiran Presiden AS, Donald Trump, semasa lawatannya ke negara tersebut pada Mei 2025 yang lalu. Sepulangnya Trump, beliau diberikan “hadiah” berupa komitmen Arab Saudi untuk membeli senjata daripada AS dengan nilai USD 142 bilion (sekitar RM 678 bilion). Ini merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan Arab Saudi sebanyak USD 600 bilion (sekitar RM 2.860 trilion) di AS, yang merangkumi sektor kecerdasan buatan (AI), infrastruktur, teknologi kesihatan, dan kerjasama pertahanan.

 

Sungguh ironi! Ratusan bilion dolar Amerika mengalir deras dari Arab Saudi ke Amerika Syarikat—negara yang merupakan penyokong utama entiti Yahudi. Wang itu bukan disalurkan ke Palestin untuk menyelamatkan 14,000 bayi yang terancam maut akibat kebuluran. Bukan juga digunakan untuk membiayai misi jihad bagi memerangi entiti Yahudi demi menyelamatkan jutaan umat Islam Palestin yang masih hidup dan sedang berjuang untuk terus bertahan di tengah-tengah ancaman berjuta-juta tan bom yang saban hari digugurkan ke atas mereka.

 

Sedangkan jihad—di antaranya dalam rangka membela umat Islam Palestin yang tertindas—jauh lebih utama daripada sekadar menjadi Pelayan Dua Kota Suci atau pelayan kepada jutaan jemaah haji setiap tahun. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

 

أَجَعَلۡتُمۡ سِقَایَةَ ٱلۡحَاۤجِّ وَعِمَارَةَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ كَمَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ وَجَـٰهَدَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِۚ لَا یَسۡتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِینَ

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” [TMQ at-Taubah (9): 19]

 

Menurut Ibn ‘Ashur, seruan dalam ayat ini ditujukan kepada orang-orang mukmin yang enggan berhijrah dan berjihad kerana mereka merasakan sudah memadai dengan hanya melayani para jemaah haji dan membangunkan Masjid al-Haram. Ini menunjukkan bahawa jihad itu jauh lebih utama berbanding sekadar melayani jemaah haji dan membina Masjid al-Haram.

 

Oleh itu, sewajarnya pemerintah Arab Saudi, begitu juga para pemerintah negara-negara Arab dan negeri-negeri muslim lain, mengerahkan angkatan tenteranya untuk berjihad di Palestin. Jika tidak, maka ancaman Allah SWT terhadap mereka amatlah berat. Allah SWT berfirman:

 

إِلَّا تَنفِرُوا۟ یُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِیمࣰا

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya” [TMQ at-Taubah (9): 39]

 

Khatimah

 

Ibadah haji merupakan lambang ketaatan kepada Allah SWT, di samping menjadi simbol penyatuan umat Islam di seluruh dunia. Namun demikian, tanpa kesedaran ideologi Islam secara menyeluruh dan global, semangat ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT serta semangat persaudaraan dan perpaduan umat yang terpancar dalam ibadah haji akan segera luntur ditelan masa.

 

Sehubungan itu, sudah sampai masanya umat Islam menjadikan ibadah haji sebagai titik tolak untuk membina kesatuan hakiki dalam kalangan mereka. Kesatuan hakiki ini tidak akan tercapai selagi umat Islam tidak memiliki sebuah institusi pemerintahan global yang menyatukan mereka. Itulah yang dinamakan Khilafah ‘alâ Minhâj an-Nubuwwah, sebagaimana yang telah disabdakan dan dijanjikan oleh Baginda Rasulullah SAW. WalLâhu a’lam bi ash-shawâb. 

 

—*—

 

Hikmah:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” [TMQ as-Saff (61): 4]

 

Sumber: Buletin Kaffah 395

 

 

#Haji #KesatuanUmmah #KesatuanHakiki #Zulhijjah

Exit mobile version