Trump Menuntut Pengusiran Warga Gaza Demi Meluaskan Empayar Amerika!
“Amerika Syarikat akan mengambil alih Semenanjung Gaza! Kami akan menguasainya!” — (Presiden AS, Donald Trump)
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini mengumumkan rancangan pengusiran paksa rakyat Palestin serta pengambilalihan Gaza oleh Amerika Syarikat dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri ‘Israel’, Benjamin Netanyahu. Trump menegaskan bahawa pasukan tentera Amerika Syarikat akan dihantar ke wilayah tersebut “jika perlu”. Beliau turut menyatakan bahawa kira-kira dua juta penduduk Gaza akan dipindahkan ke negara-negara jiran tanpa sebarang hak untuk kembali (Reuters, 4 Februari 2025).
Memperbaharui Dasar Penjajahan
Keputusan ini telah menerima kecaman hebat daripada banyak pihak, baik di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara Amerika Syarikat sendiri. Pengkritik dari pelbagai spektrum politik menyatakan bahawa pemindahan rakyat Palestin ini merupakan satu bentuk pembersihan etnik yang menandakan permulaan era baharu peluasan kuasa penjajahan.
Seorang wartawan Amerika Syarikat mengemukakan soalan secara langsung kepada Trump: “Anda bercakap tentang mengambil alih wilayah berdaulat — kuasa undang-undang apa yang membenarkan anda berbuat demikian? Adakah anda mencadangkan satu bentuk pendudukan kekal?” Trump menjawab dengan tegas, “Saya melihat ini sebagai satu bentuk pemilikan jangka panjang!”
Senator Chris Murphy secara terus terang menyatakan, “Dia benar-benar tidak waras. Pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Gaza akan menyebabkan ribuan anggota tentera terbunuh dan berpuluh-puluh tahun konflik yang tidak berkesudahan di Timur Tengah. Ini seperti satu jenaka yang buruk dan menjijikkan.”
Wakil rakyat Jake Auchincloss turut mengecam keras cadangan tersebut. Beliau menyifatkannya sebagai “ceroboh dan tidak masuk akal.” Beliau menambah, “Seperti biasa, apabila Trump mengemukakan sesuatu dasar, pasti ada unsur nepotisme dan kepentingan peribadi yang terlibat.”
Melanggar Undang-Undang Antarabangsa
Amnesty Antarabangsa telah mengeluarkan amaran tegas berhubung pengabaian Amerika Syarikat terhadap undang-undang antarabangsa. Mereka menekankan bahawa dengan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri ‘Israel’, Benjamin Netanyahu — yang sedang diburu oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan — Amerika Syarikat secara terang-terangan menunjukkan penghinaan terhadap keadilan sejagat. Berdasarkan Konvensyen Geneva, Amerika Syarikat mempunyai kewajipan untuk mendakwa atau mengekstradisi individu yang dituduh melakukan jenayah perang. Tidak seharusnya wujud sebarang perlindungan bagi mereka yang bertanggungjawab atas jenayah terhadap kemanusiaan.
Amnesty turut menekankan bahawa senjata yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat telah digunakan dalam pelaksanaan jenayah perang. Namun begitu, Washington terus-menerus membekalkan senjata kepada ‘Israel’, sekali gus melanggar tanggungjawabnya untuk mencegah genosid.
Bekas ahli Kongres dari Parti Republikan, Justin Amash, turut menyuarakan kebimbangannya: “Amerika Syarikat bukan sahaja melakukan pendudukan secara semberono, malah bersubahat dalam pembersihan etnik. Tiada seorang pun rakyat Amerika yang berjiwa nurani boleh membiarkan perkara ini berlaku.”
Seruan untuk Bertindak
Kenyataan Trump yang tidak masuk akal ini jelas menunjukkan sokongan terhadap amalan pembersihan etnik oleh rejim penjajah Zionis. Ia merupakan bukti nyata dari pola fikir seorang Presiden yang ingin membina sistem autoritarian dengan kekuatan pendudukan, serta membawa Amerika Syarikat ke arah pencerobohan yang penuh gejolak.
Rakyat Gaza telah bersuara. Mereka menolak pengambilalihan paksa oleh mana-mana kuasa pun. Semoga Allah memberkati jiwa mereka dan memperkukuhkan ketabahan mereka dalam menghadapi penceroboh.
Umat Islam di Amerika, kita dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk memberi peringatan tentang jalan berbahaya yang sedang diambil oleh pemerintah ini. Dasar Trump yang terburu-buru sedang membawa Amerika Syarikat ke arah autoritarianisme dan peluasan kuasa penjajahan — menggalakkan pemindahan paksa penduduk asal Palestin (sama ada Muslim mahupun Kristian), sambil mendakwa hak milik ke atas tanah yang tidak sah demi kuasa dan ketamakan.
Wahai rakyat Amerika: Bangkitlah menentang kegilaan ini. Bangkitlah menentang ketidakadilan sebelum ia menghancurkan jiwa rakyat dan negara kalian. Sejarah telah membuktikan bahawa kesombongan dan pencerobohan hanya akan membawa kepada kejatuhan empayar, manakala keadilan adalah asas kepada kestabilan yang berkekalan.
Wahai Umat Islam: Diamnya kalian dalam menghadapi ketidakadilan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan merupakan satu dosa besar. Kalian wajib mengambil pendirian yang benar sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang munkar, serta kamu beriman kepada Allah.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 110]
Wahai Tentera Muslim: Kekuatan untuk membawa perubahan berada dalam genggaman kalian. Jadilah Anshârullah — penolong agama Allah. Bangkitlah untuk menegakkan keadilan dan membebaskan golongan yang tertindas daripada penjajahan dan penguasa yang zalim. Al-Quran menyatakan dengan jelas: “Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya.” [TMQ al-Anfal (8): 72]
Wahai Rakyat Amerika: Kami mengajak anda untuk merenung dengan hati yang terbuka. Nilailah Islam — bukan melalui gambaran yang diputarbelitkan oleh media yang dikuasai oleh kepentingan Zionis, tetapi sebagai satu penyelesaian kepada kemerosotan akhlak dan keruntuhan sosial yang sedang melanda dunia. Islam adalah cahaya petunjuk, rahmat bagi seluruh umat manusia, dan mercu suar keadilan sejati.
Bukankah Gaza telah cukup membuktikan gambaran sebenar iman ini? Kesabaran, ketabahan, dan keadilan yang ditunjukkan hatta terhadap musuh mereka. Berwaspadalah, jangan sesekali mencabar kekuatan iman, kerana pada akhirnya, iman dan keadilan pasti akan meraih kemenangan.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kita menuju kepada satu kalimah (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain daripada Allah, dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun; dan bahawa kita tuhan-tuhan selain Allah.” Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa kami adalah orang muslim”. [TMQ Ali Imraan (3): 64]
Pejabat Media Hizbut Tahrir, Amerika
#Gaza #Palestin
#ArmiestoAqsa #ArmiestoGaza
#WeNeedKhilafah

