[Kenyataan Media] Siapa yang Ada untuk Wanita Sudan dan Darfur?!
(Terjemahan)
Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan atau Doctors Without Borders (Médecins Sans Frontières/MSF) telah memberi amaran bahawa wanita dan kanak-kanak perempuan di wilayah Darfur, Sudan, berada dalam risiko yang hampir berterusan terhadap keganasan seksual. Skala sebenar krisis ini masih sukar untuk dinilai, kerana akses perkhidmatan masih terhad dan orang ramai menghadapi pelbagai halangan untuk mendapatkan rawatan atau bercakap tentang pengalaman pahit mereka. Namun begitu, semua mangsa yang berjaya ditemui oleh pasukan MSF di Darfur dan di seberang sempadan di Chad menceritakan kisah-kisah mengerikan tentang keganasan dan jenayah rogol yang kejam. Malah kaum lelaki dan kanak-kanak lelaki juga turut terancam, namun tahap penderitaan yang dialami tidak mampu digambarkan.
Konflik yang bermula pada April 2023 antara tentera rasmi Sudan dan pasukan para militer Rapid Support Forces (RSF) telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, menyebabkan 13 juta orang hilang tempat tinggal, dan memusnahkan infrastruktur negara yang sememangnya sudah rapuh. Sejak awal perang, RSF telah dikatakan melakukan keganasan seksual secara sistematik di seluruh negara, yang kini telah menjadi satu fenomena menakutkan dan meluas di Darfur hingga ramai yang melihatnya sebagai nasib malang yang tidak dapat dielakkan. Wanita dan kanak-kanak perempuan tidak lagi merasa selamat di mana-mana — mereka diserang di rumah mereka, ketika melarikan diri, ketika mencari makanan, mengutip kayu api, dan semasa bekerja di ladang.
MSF melaporkan bahawa antara Januari 2024 dan Mac 2025, pihaknya telah merawat 659 mangsa yang terselamat daripada keganasan di Darfur Selatan, 94% daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak perempuan. Lebih separuh daripada mereka diserang oleh kumpulan bersenjata, sekitar satu pertiga merupakan kanak-kanak bawah umur, dengan sebahagian mangsa berusia seawal lima tahun.
Menurut Pengarah Perubatan Kecemasan MSF, terdapat kekurangan besar dalam penjagaan perubatan untuk mangsa keganasan seksual, termasuk perkhidmatan sokongan psikologi dan perlindungan – seperti juga kebanyakan perkhidmatan kemanusiaan dan penjagaan kesihatan di Sudan. Adalah sangat penting untuk mangsa mendapatkan rawatan sejurus selepas serangan, kerana keganasan seksual adalah situasi kecemasan dalam perubatan. Ia boleh mendatangkan konsekuensi terhadap fizikal dan psikologi jangka pendek serta jangka panjang yang mengancam nyawa. Namun demikian, mangsa yang terselamat terpaksa berjuang untuk mendapatkan rawatan dan perlindungan akibat kekurangan perkhidmatan dan kesukaran untuk mengaksesnya, selain rasa takut untuk bercakap kerana malu, stigma, atau takut terhadap tindak balas.
Situasi yang sama turut berlaku di kawasan lain di mana MSF menyediakan rawatan kepada mangsa, seperti di timur Chad yang kini menempatkan lebih 800,000 pelarian Sudan. Di Adré, MSF telah merawat 44 mangsa sejak Januari 2025, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak. Di wilayah Wadi Fira, 94 mangsa telah menerima rawatan, dan 81 daripada mereka berusia bawah 18 tahun. Testimoni pesakit dan penjaga dari Chad Timur dan Darfur di Sudan mengesahkan keadaan ini.
Kepada para pegawai dan para tentera Sudan: Kalian masih meneruskan pertempuran keji yang ditanggung dengan harga mahal oleh rakyat, termasuk wanita dan kanak-kanak, demi kepentingan Amerika dan Eropah yang tamakkan penguasaan ke atas Sudan serta sumber dan masa depan rakyatnya, walaupun ini membawa kepada perpecahan negara kepada kawasan-kawasan pengaruh yang kalian sangka akan menjadi milik kalian. Kembalilah dari jalan yang sesat ini, mudah-mudahan kalian diberi rahmat.
Kepada saudara-saudara kami di Sudan: Ini hanyalah sebahagian kecil daripada penderitaan yang kalian alami sejak tercetusnya konflik berdarah yang kini tenggelam dalam kancah keganasan, pengusiran, dan kehancuran ekonomi serta sosial yang kalian rasai kesannya hari demi hari.
Konflik ini sebenarnya digerakkan oleh kuasa penjajah yang tamak terhadap negara kalian. Maka mengapa kalian tidak bangkit berusaha untuk menghentikannya, menyingkirkan para pengkhianat dan mencabut akar mereka? Dan (berusaha) menubuhkan pemerintah Islam yang pemimpinnya berani serta tidak takut atau melawan kebatilan, tidak pula mendambakan kedudukan atau kuasa, sebaliknya berusaha untuk melaksanakan hukum-hukum dan thariqah Allah Taala? Inilah jalan yang akan menyatukan umat, seperti firman Allah:
” Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu – agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.“ (TMQ Al-Mu’minuun [23]:52)
Ini hanya akan tercapai melalui usaha gigih untuk menegakkan semula Khilafah Rasyidah Kedua mengikut manhaj kenabian, yang akan meluruskan segala penyelewengan, mengembalikan hak kepada yang berhak, dan memulangkan kekayaan kepada rakyatnya, agar Sudan kembali menjadi seperti dahulu, sebagai “bakul makanan“ umat Islam dan benteng kukuh dalam negara Islam yang kuat.
Bahagian Muslimah
di Pejabat Media Pusat
Hizbut Tahrir
#sudan #hakasasimanusia

