Site icon MuslimahHTM News

Bersegera Melaksanakan Kewajipan

Bersegera Melaksanakan Kewajipan

 

Oleh : Ustaz M.Taufik NT

 

Allah SWT berfirman:

وَسَاِرعُوْا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَّبِكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ

أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَ

“Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [TMQ al-Imran (3):133]

 

Seseorang dari Bani Abdul Qais pernah diminta untuk memberi nasihat, lalu dia berkata:

احذروا سوف

“Berhati-hatilah dengan ‘saufa’ (nanti/suatu hari nanti).”[1]

 

Terdapat sekurang-kurangnya dua perkara yang boleh berlaku apabila seseorang menangguhkan pelaksanaan kewajipan: kematian mendahuluinya, atau muncul pelbagai halangan yang menyebabkan dia tidak lagi mampu melaksanakannya.

 

Ketika mentafsirkan ayat:

وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا

“Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu” [TMQ al-Imran (3):135]

 

Sahl bin Abdullah (wafat 238H) berkata:

وَالْإِصْرَارُ هُوَ التَّسْوِيفُ، وَالتَّسْوِيفُ أَنْ يَقُولَ: أَتُوبُ غَدًا، وَهَذَا

دَعْوَى النفس، كيف يتوب غدا وغدا لَا يَمْلِكُهُ!

“Israr (terus-menerus melakukan kejahatan) maknanya ialah menangguh-nangguh (taswif). Taswif ialah apabila seseorang berkata: ‘Aku akan bertaubat esok, sedangkan itu hanyalah bisikan nafsu. Bagaimana dia boleh bertaubat esok, sedangkan dia tidak memiliki esok?”[2]

 

Rasulullah SAW adalah contoh utama dalam segera melaksanakan kewajipan tanpa bertangguh. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Uqbah bin al-Harith, beliau berkata:

 

“Suatu ketika aku menunaikan solat Asar di belakang Nabi SAW di Madinah. Setelah baginda memberi salam, baginda segera bangkit dan melangkah di antara bahu-bahu para jemaah menuju ke salah satu bilik isteri baginda. Para sahabat terkejut melihat betapa tergesanya Rasulullah SAW. Setelah itu baginda keluar semula dari bilik itu dan melihat para sahabat kehairanan. Maka Rasulullah SAW bersabda:

 

“Aku teringat akan sebutir emas (zakat) yang ada padaku, aku tidak suka jika ia menyibukkan aku, maka aku perintahkan agar ia dibahagi-bahagikan.”

 

Perkataan yahbisaniy (menahanku) bermaksud: “menyibukkan fikiranku tentangnya daripada menghadap kepada Allah SWT.”[3]

 

Generasi sahabat, bahkan generasi selepas mereka juga menjadi contoh dalam meneladani Rasulullah SAW dalam bersegera melaksanakan amalan soleh.

 

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa ketika turunnya ayat tentang perubahan arah kiblat, para sahabat segera mengubah arah solat mereka walaupun ketika itu mereka sedang dalam rukuk solat Asar.[4]

 

Ketika para sahabat menghadapi kelaparan selama beberapa malam semasa Perang Khaibar, mereka akhirnya berjaya memasak daging keldai jinak. Namun ketika mereka diberitahu bahawa ia haram dimakan, mereka serta-merta tidak memakannya walaupun kelaparan.[5]

 

Kerugian harta juga sanggup mereka tanggung demi melaksanakan hukum Allah. Ketika arak diharamkan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Aku menyimpan harta anak yatim dan telah membelikan arak dengan harta itu. Bolehkah aku menjualnya kembali untuk mengembalikan harta tersebut?” Rasulullah SAW bersabda:

 

قَاتَلَ اللَّهُ الْيَهُودَ حُرِّمَتْ عَلَيْهِمُ الشُّحُومُ، فَبَاعُوهَا، وَأَكَلُوا أَثْمَانَهَا

“Semoga Allah membinasakan kaum Yahudi. Lemak telah diharamkan ke atas mereka, tetapi mereka menjualnya dan memakan hasil jualannya.”

 

Lelaki itu berkata: “Rasulullah SAW tidak mengizinkan aku menjual arak tersebut.”[6]

 

Malah, ada sahabat yang cawan arak telah menyentuh bibir mereka, tetapi apabila mendengar bahawa arak telah diharamkan, mereka segera membuangnya.[7]

 

Berkenaan menutup aurat, Aisyah RA berkata:

يَرْحَمُ اللَّهُ نِسَاءَ المُهَاجِرَاتِ الأُوَلَ، لَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ: {وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ

عَلَى جُيُوبِهِنَّ} شَقَّقْنَ مُرُوطَهُنَّ فَاخْتَمَرْنَ بِهَا

 

“Semoga Allah merahmati para wanita muhajirin yang pertama, ketika Allah menurunkan ayat:

 

‘Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka ke dada mereka’ [TMQ An-Nur (24):31], maka mereka merobek kain mereka dan menutup kepala mereka dengannya.”[8]

 

Mereka tidak menangguh, apatah lagi mencari alasan untuk tidak bertudung. Inilah generasi terbaik umat ini. Meneladani mereka adalah satu keberuntungan. Sebaliknya, sikap suka bertangguh, menunggu waktu lapang, atau mencari-cari alasan untuk mengelak dari kewajipan adalah sikap yang bukan sahaja merugikan diri tetapi juga merupakan tanda kebodohan diri. Sebagaimana kata Ibnu Athaillah:

 

احالتك الأعمالَ على وجود الفَراغ من رُعُوناتِ النفس

 

“Menunda amal kerana menunggu waktu lapang adalah antara kebodohan diri.”[9]

 

Sikap menangguh-nangguh ketaatan walaupun kerana halangan, akhirnya boleh menjatuhkan seseorang ke dalam kehinaan, iaitu ketika tiada lagi halangan pun, Allah tidak membukakan hatinya untuk melakukan ketaatan.

 

الخذْلانُ كُلُّ الخذْلانِ أَنْ تَتَفَرَّغَ مِنْ الشَّواغِلِ ثُمَّ لا تَتَوَجَّهَ إلَيْهِ

“Sebesar-besar kehinaan ialah apabila engkau memperoleh kelapangan daripada segala kesibukan, tetapi engkau tidak menghadap kepadaNya.”[10]

 

Namun begitu, jika ada dua kewajipan yang bertembung, maka tidak mengapa untuk menunda salah satu daripadanya, dengan syarat pandai menyusun keutamaan. Yang menjadi masalah adalah apabila kewajipan-kewajipan itu sebenarnya boleh disusun agar tidak bertembung, tetapi ia diabaikan.

 

Lebih teruk lagi jika seseorang mempunyai masa lapang untuk menunaikan kewajipan dan kebaikan: masih sempat menghadiri halaqah, mentelaah dan sebagainya tetapi dia menangguh-nangguhkannya dan sibuk pula dengan hal-hal yang tidak bermanfaat. Ini adalah satu kerugian, malah boleh menjadi tanda bahawa Allah sedang berpaling daripadanya.

 

Imam Hasan al-Basri berkata:

مِنْ عَلَامَةِ إِعْرَاضِ اللَّهِ تَعَالَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَجْعَلَ شُغْلَهُ فِيمَا لَا يَعْنِيهِ

“Antara tanda bahawa Allah berpaling daripada seorang hamba ialah apabila Allah menjadikan dia sibuk dengan perkara-perkara yang tidak berguna.”[11]

 

Sesungguhnya setiap detik yang berlalu membawa kita semakin hampir kepada kematian, iatu titik yang tidak mungkin ditangguh walau sesaat. Bukankah kematian ini cukup sebagai penasihat?

 

[1]Abd al-‘Azîz bin Muhammad bin ‘Abdillah Al-Sad-hân, Ma’âlim Fî Tharîqi Thalabi al-‘Ilmi (Dâr al-Ashimah, 1999), hlm. 32. saufa maknanya nanti, maksudnya sikap menunda-nunda

[2] Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr Al-Qurthuby, Al-Jâmi’ Li Ahkâm al-Qur’ân, Pentahkik. Ahmad Barduni dan Ibrahim Athfisy (Kairo: Dâr al-Kutub al-Mishriyah, 1964), juz 4, hlm. 211.

[3] Ta’liq Musthafa al Bugha dalam Muhammad bin Isma’il Al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Pentahkik. Muhammad Zuhair bin Nashir, Cet. I. (Dâr Tûq al-Najâh, 1422), juz 1, hlm. 170.

[4] Ibid., juz 9, hlm. 87.

[5] Ibid., juz 4, hlm. 96.

[6] Muhammad bin Hibban bin Ahmad Al-Busti, Shahih Ibnu Hibban, Pentahkik. Syu’aib al-Arnauth, Cet. I. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 1998), juz 11, hlm. 320.

[7] Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Al-Syaibani, Musnad Al-Imam Ahmad Bin Hanbal, Pentahkik. Syu’aib al-Arnauth dkk (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2001), juz 14, hlm. 268.

[8] Al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, juz 6, hlm. 109.

[9] Muhammad Hayat al-Sindi, Syarh al-Hikam al-Athâiyyah (Beirut: Dâr Maktabah al-Ma’arif, 2010), hlm. 27.

[10] Ibid., hlm. 117.

[11] Zainuddin Abdurrahman bin Ahmad Ibnu Rajab al-Hanbali, Jâmi’ al-’Ulûm Wa al-Hikam, Pentahkik. Syu’aib al-Arnauth, Cet. VII. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2001), juz 1, hlm. 294.

 

 

#BersegeraBeramal #AmalSoleh #Kewajipan

Exit mobile version