Site icon MuslimahHTM News

Mentaliti YOLO dan Ancaman HIV di Kalangan Generasi Muda

Mentaliti YOLO dan Ancaman HIV di Kalangan Generasi Muda

 

Beberapa bulan lepas, media melaporkan bahawa mentaliti You Only Live Once atau YOLO dalam kalangan generasi muda mungkin mendorong mereka mencuba perkara yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan jangkitan HIV.

 

Dalam era kebebasan moden hari ini, slogan YOLO menjadi pegangan ramai generasi muda. Menurut Kamus Inggeris Oxford (OED), YOLO, mengungkapkan pandangan bahawa seseorang harus memanfaatkan sepenuhnya masa sekarang tanpa terlalu risaukan masa depan, dan sering digunakan sebagai alasan untuk tingkah laku impulsif atau sembrono.

 

Walaupun sebahagian menganggap slogan ini sebagai motivasi yang positif, menggalakkan kreativiti dan keberanian individu, serba kemampuan mencabar diri mereka, namun ternyata slogan ini boleh membawa kepada tingkah laku berisiko jika tidak seimbang dengan kesedaran diri. Dari cabaran viral di media sosial sehinggalah gaya hidup, YOLO telah menjadi pilihan membentuk cara berfikir dan bertindak generasi yang memberi implikasi kepada masyarakat. Misalnya, penghayatannya yang semberono telah menjadi punca kepada banyak tingkah laku berisiko tinggi dalam kalangan generasi muda, termasuk aktiviti seks bebas yang kini menjadi penyumbang utama peningkatan kes HIV.

 

Menurut laporan Berita Harian yang memetik pendapat Timbalan Menteri Kesihatan, beliau mengatakan  bahawa mentaliti YOLO telah menggalakkan segelintir golongan muda mencuba perkara baharu termasuk hubungan sejenis yang berpotensi meningkatkan HIV terutama dalam kalangan lelaki berumur 20 hingga 39 tahun.

 

Datuk Lukanisman Awang Sauni dipetik berkata, “Mereka ini terdedah kepada trend global yang menggalakkan dan memberi gambaran bahawa gaya hidup ini adalah sesuatu yang normal…ini adalah isu generasi. Keberanian mencuba sesuatu termasuk antun seksual dilakukan individu yang ingin melakukan satu kegiatan di luar tabii sehingga mereka lupa kesannya,” (Berita Harian, 24/3/2025)

 

Menurut Kosmo pula, Majlis AIDS Malaysia turut melaporkan peningkatan kes HIV dalam kalangan generasi muda dan mereka yang berumur bawah 30 tahun. Walaupun kes berkaitan dadah telah menunjukkan penurunan, kes jangkitan melalui aktiviti seksual terus meningkat.

 

Isu ancaman HIV dalam masyarakat bukanlah isu baru di Malaysia, tetapi merupakan isu yang sering menjadi sorotan saban tahun. Hal ini jelas menunjukkan Malaysia sedang berdepan keruntuhan moral yang meruncing. Justeru sebenarnya apakah usaha yang tepat dalam menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV ini, tatkala segala macam kempen dan acara kesedaran sejak bertahun-tahun gagal menumbuhkan kesedaran dan mengekang penularan penyakit ini.

 

Generasi Muda Adalah Generasi Harapan

 

Generasi muda adalah kumpulan yang sering disinonimkan dengan sikap suka mencuba perkara baru termasuklah perkara berisiko dan berani menentang arus. Mereka juga sering bersikap memberontak dan mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya. Maka tidak hairanlah mengapa sebahagian mereka mudah terbius budaya asing dan trend global seperti seks bebas dan idea LGBT. Di samping itu, kumpulan ini juga adalah kumpulan yang paling mudah terjerumus dalam masalah gejala sosial seks bebas kerana ia adalah usia yang paling aktif secara seksual.

 

Amat disayangkan kerana generasi muda adalah generasi harapan. Islam memandang usia muda sebagai usia emas untuk individu diperkasakan semaksima mungkin. Justeru, para belia Muslim adalah aset penting bagi ummah ini. Rasulullah SAW bersabda,

 

“Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan ‘Arsynya pada hari tidak ada naungan selain naungan Allah ‘Azza wa Jalla, (iaitu) salah satunya adalah pemuda yang tumbuh dalam ibadah kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” [HR Bukhari dan Muslim]

 

“Sesungguhnya Allah Taala benar-benar kagum terhadap seorang pemuda yang tidak memliki syahwah.” [HR Ahmad, Ath-Thabrani; dan lain-lain]

 

Inilah antara kriteria sosok belia atau pemuda Muslim yang Allah SWT cintai. Namun, realitinya ramai generasi hari ini hanyut dalam budaya popular, memberontak terhadap norma-norma murni dalam masyarakat serta agama, dan terjebak dalam tingkah laku tidak bermoral. Fenomena ini adalah akibat daripada keruntuhan jati diri dan kurangnya kefahaman tentang tujuan hidup dari perspektif Islam.

 

Konsep Hidup YOLO yang Menyesatkan

 

Antara faktor utama yang memupuk mentaliti YOLO dalam kalangan anak muda ialah pengaruh sistem kapitalisme. Kapitalisme memberikan kebebasan maksima kepada individu dan menjadikan keuntungan material sebagai matlamat tertinggi dalam kehidupan. Dalam sistem ini, nilai moral dan agama sering diketepikan dan digantikan dengan gaya hidup bebas yang berorientasikan keseronokan jangka pendek. Mentaliti YOLO menjadikan manusia bersikap impulsif dalam mencari keseronokan mengikut syahwatnya dan sering mengabaikan kesan jangka panjang.

 

Kapitalisme hari ini menggunakan industri hiburan, media sosial dan pemasaran digital global untuk mempromosikan konsep YOLO sebagai norma baru dalam masyarakat moden. Konsep YOLO yang menawarkan kebebasan tanpa had dan berfikir pendek ini menjadikan generasi muda (sama ada secara sedar akan risiko ataupun tidak sedar) berani mencuba seks bebas, LGBT, dadah dan gaya hidup hedonistik atas nama hak dan kebebasan peribadi.

 

Lebih membimbangkan, budaya yang menyesatkan ini membuatkan ramai anak muda memandang keseronokan hidup sebagai nilai utama kehidupan termasuklah dalam mengukur makna kejayaan dan kebahagiaan. Ini termasuklah dalam kalangan generasi Muslim itu sendiri, yang pada akhirnya mereka tidak lagi menjadikan hukum syarak sebagai standard dalam menentukan nilai kehidupan. Akibatnya, sempadan halal dan haram semakin kabur dalam masyarakat.

 

Jika mentaliti YOLO mendorong seseorang untuk hidup mengikut sesuka hatinya, Islam pula sebaliknya menyeru kepada keseimbangan antara dunia dan akhirat. Islam menolak gaya hidup impulsif dan tidak bertanggungjawab. Bahkan Islam melarang umatnya terjebak dalam perkara-perkara haram, maksiat dan kemungkaran serta merosakkan diri sendiri. Allah SWT berfirman,

 

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [TMQ Adz-Dzaariyaat (51): 56]

 

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);” [TMQ Al-Mulk (67): 2]

 

Ayat-ayat ini menekankan bahawa hidup adalah ujian dan mesti dijalani dengan tanggungjawab, tujuan, dan kesedaran berdasarkan aturan syariat.  Manakala Rasulullah SAW bersabda,

 

“Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikutinya hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagian dan pengampunan daripadanya tanpa beramal soleh).” [HR at-Tirmidzi]

 

Justeru, indikasi orang yang benar-benar cerdik menurut Islam adalah mereka yang meyakini dan menyedari bahawa hidup ini hanyalah persinggahan sementara untuk mengumpulkan bekal akhirat. Kecerdasan tidak diukur hanya dengan kejayaan duniawi sahaja, tetapi dari sejauh mana seseorang mempersiapkan diri untuk menghadap Allah SWT dengan membawa amal soleh. Bagi seorang Mukmin, dunia bukanlah tempat untuk bersenang-senang sesuka hati, tetapi tempat ujian yang menentukan nasib di akhirat. Maka dia memandang dunia sebagai ladang untuk menanam benih dan akhirat sebagai tempat untuk memetik hasilnya.

 

Selain itu, dalam masyarakat Muslim yang menjadikan kesucian dan kesopanan sebagai nilai-nilai teras masyarakat, trend YOLO perlu dilihat sebagai fenomena yang membimbangkan. Ini kerana, Islam secara tegas melarang zina (segala bentuk aktiviti seksual luar nikah) dan apa sahaja yang membawa kepada aktiviti zina. Sebagaimana firman Allah SWT,

 

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).“ [TMQ Al-Israa’ (17): 32]

 

Larangan tersebut bukan sahaja kerana ia adalah perbuatan haram di sisi agama dan perlu diadopsi sebagai nilai moral bagi manusia, tetapi ia juga untuk melindungi individu dan masyarakat daripada kesan buruk dan bahaya akibat maksiat zina (aktiviti seksual). Dengan demikian, melalui pensyariatan seperti pengendalian diri dan kesucian pernikahan pula, Islam menawarkan perlindungan terhadap konsekuensi yang sebaliknya dipromosikan oleh YOLO.

 

Apa Yang Boleh Kita Lakukan?

 

Bila membicarakan tentang masalah HIV, ramai memfokuskan tentang pencegahan secara teknikal terhadap penyakit seperti kaedah pencegahan, pendidikan seks, rawatan terkini, penambahbaikan isi kempen kesedaran, namun mereka tidak menekankan aspek mendasar untuk mencegahnya. Ini kerana, HIV bukan sekadar perlu dilihat sebagai penyakit tapi konsekuensi daripada gaya hidup manusia yang pincang dan rosak akibat berpaling daripada tuntunan Ilahi iaitu Zat yang menciptakan manusia dan menetapkan peraturan terhadapnya.

 

Justeru itu, merawat atau mencegahnya, tidak boleh tidak, mestilah dimulakan daripada aspek membetulkan pemikiran terhadap fitrah manusia itu sendiri dan membina benteng kukuh yang mampu menjaga manusia daripada ancaman kerosakan  pemikiran dan fitrah dirinya. Di antaranya adalah dengan:

 

  1. Penekanan pendidikan agama individu

 

Para belia Muslim, baik lelaki mahu pun perempuan, mesti dipersiapkan dengan tsaqafah Islam (keilmuan Islam). Bekal tsaqafah Islamlah yang akan menjadi penjaga bagi diri setiap individu Muslim sejak dari kecil. Mereka perlu tumbuh membesar dekat dengan agama dan  ditanamkam kefahaman tentang halal-haram dalam Islam yang jelas. Sehingga dengan tsaqafah Islam yang terkristal dalam diri itulah sepatutnya menjadi benteng bagi diri generasi muda dalam menghadapi cabaran arus semasa, termasuklah dalam menghadapi impak globalisasi.

 

Namun sayangnya, dalam negara hari ini, tsaqafah Islam tidak menjadi keutamaan dan dasar utama pendidikan generasi. Sehinggakan kita sering menemukan begitu ramai yang masih tidak tahu halal-haram dalam Islam, termasuk dalam aspek pergaulan. Malah, ramai pula terjebak menormalisasikan pergaulan lelaki-perempuan sebagai tingkah laku yang “open mind” dan interaksi sosial yang diterima dalam semua ruang lingkup kehidupan.

 

  1. Perubahan sistem negara

 

Negara adalah aktor paling penting dalam menjadi benteng kepada rakyat termasuk generasi muda. Tidak cukup negara mengadakan kempen kesedaran tentang bahaya seks bebas, tetapi tidak menyediakan sistem yang mencegah seks bebas secara tuntas. Umum mengetahui, sistem negara bangsa hari ini (termasuk Malaysia) tidak benar-benar menerapkan syariat Islam secara kaffah, malah menyuburkan nilai sekularisme yang dicampuradukkan dalam negara di pelbagai sektor – pendidikan, hiburan, pergaulan dan sebagainya.

 

Ini menyebabkan pengaruh trend global yang merosakkan seperti LGBT, seks bebas, pergaulan bebas, menjadi “mudah” didapati dalam negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam dan Islam adalah agama rasminya. Padahal sudah jelas nilai-nilai budaya atau trend tersebut bercanggah dengan nilai Islam dan moral masyarakat tempatan. Namun, amalan liberal dan kebebasan dalam negara yang dibenarkan oleh sistem negara inilah menyebabkan budaya atau trend maksiat tersebut terus subur, dan mudah diakses oleh rakyat pelbagai lingkungan usia.

 

Maka tidak hairanlah mengapa generasi muda bahkan kanak-kanak ramai terdedah kepada segala bentuk aktiviti kemaksiatan dan kemungkaran. Ini menjadi faktor utama dan asas kepada kegagalan kempen kesedaran penyakit bawaan seksual ini. Tidak cukup rakyat diberikan informasi realiti bahaya penyakit tersebut, seterusnya tindakan menghindairnya diserahkan sebagai pilihan tanggungjawab individu, dan sekadar memfokuskan pada usaha Kajian dan Pembangunan (R&D) rawatan penyakit semata.

 

Sebaliknya, negara mestilah bertindak tegas, menerapkan perundangan yang mengharamkan apa jua sarana, perbuatan atau tindakan yang boleh menjerumuskan individu ke dalam bahaya tersebut. Apalah guna negara dalam sistem hari ini runsing membicarakan peningkatan anak muda menjadi mangsa HIV, tetapi gagal menghapuskan akar permasalahan itu sendiri. Pemimpin tidak boleh bersikap in denial terhadap sistem negara sebagai punca atau akar kepada masalah ini. Kerana sikap begitu hanyalah menjadi “pembunuh“ utama kepada masa depan generasi.

 

Kesimpulan

 

Belia merupakan tulang belakang setiap bangsa. Mereka adalah kumpulan yang memiliki produktiviti, potensi dan berperanan besar dalam membentuk serta memacu kemajuan sesebuah negara. Namun kapitalisme tak henti-henti mencipta segala macam trend dan gaya hidup yang merosakkan demi keuntungan para kapitalis yang mementingkan diri. Mereka tidak peduli tentang masa depan generasi, melainkan masa depan itu dicorak mengikut kepentingan mereka. Mereka menjauhkan manusia daripada nilai-nilai agama, dari tsaqafah Islam, dan menyebarkan pelbagai trend rosak yang bertentangan dengan ajaran Islam. Semua itu dilakukan untuk menyesatkan manusia dalam syahwat dan kelalaian, serta menjadikan idea kapitalisme sebagai asas kehidupan manusia. Bukan selainnya.

 

Oleh itu penting untuk kita sama-sama memelihara kesejahteraan belia, khususnya belia Muslim, yang merupakan aset ummah ini dan menyiapkan benteng kukuh dalam menempa jati diri mereka sebagai belia Muslim yang faham benar akan peranan diri mereka dan agama mereka. Sudah pastilah, benteng paling kukuh untuk memelihara dan wadah terbaik menempa generasi muda adalah dengan mendirikan kembali Khilafah ala minhaj Nubuwwah. Satu-satunya negara yang menjadikan syariat Islam sebagai pelindung manusia dan pengatur cara hidup manusia. Selamatkan generasi kita!

 

 

Aliya Ab Aziz

(Ketua Lajnah I’lamiyyah MHTM)

Sumber berita:

https://www.kosmo.com.my/2025/04/26/kes-generasi muda-dijangkiti-hiv-akibat-hubungan-badan-meningkat/

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1376332/mentaliti-yolo-dorong-tingkah-laku-berisiko-belia-peningkatan-kes

 

 

#YOLO #HIV #seksbebas

Exit mobile version