Hajar, Teladan Ketaatan Wanita Kepada Allah SWT Dan Suami
Oleh: Aliya
Ummu Zahra, Aktivis Dakwah Muslimah, menyifatkan Hajar sebagai wanita beriman yang bukan hanya taat sebagai hamba kepada Allah SWT, tetapi juga sebagai isteri yang taat tidak berbelah bagi kepada suaminya. Inilah ketaatan yang lahir buah daripada keimanan.
“Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk membawa isterinya, Hajar dan anak dia yang masih kecil, Ismail, untuk berhijrah ke sebuah biwādin ghayri dhī zar, yang maksudnya adalah lembah yang tiada hidupan… Hajar mengikut sahaja apa yang diminta oleh suaminya. Hajar tidak mempersoalkan tentang perintah Allah ini,” katanya ketika menceritakan biografi Siti Hajar dalam siri Open Circle Sahabat Muslimah bertajuk Dari Safa ke Marwah: The Significance of Aidiladha, Ahad (18/5/2025).
Beliau menyoroti sosok Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim dan ibu kepada Nabi Ismail, sebagai contoh agung keimanan dan pengorbanan yang sering dilupakan ketika memperingati Hari Raya Haji.
”Jarang kalau kita tengok masyarakat hari ini menyentuh atau melihat tentang pengorbanan seorang wanita… tak lain tak bukan, isteri kepada Nabi Ibrahim AS dan juga ibu kepada Nabi Ismail, iaitu Hajar,” ujarnya.
Beliau melanjutkan, setidaknya ada empat ibrah daripada kisah pengorbanan Siti Hajar.
Pertama, keimanan dan ketaatan penuh kepada Allah SWT.
Beliau memandang bahawa Hajar telah menunjukkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah SWT walaupun itu membawa kepada kesusahan. Ini adalah satu tahap keimanan yang sukar ditandingi, malah wajar dijadikan teladan buat umat Islam, khususnya para wanita.
Guru sejarah ini menceritakan, “Ketika Hajar menyedari dia akan ditinggalkan, beliau bertanya, `Ya Ibrahim, adakah Allah yang menyuruh kau melakukan ini?’ Setelah dijawab dengan anggukan, beliau hanya berkata, `Kalau begitu pergilah. Pasti Allah tidak akan mensia-siakan kami.‘
“Sungguh, satu sikap yang tak mampu untuk kita tandingi. Sebuah bentuk tawakal yang sangat luar biasa,” ulas beliau dengan rasa kagum.
Kedua, usaha yang gigih tanpa putus asa.
Beliau menerangkan, walau pun Hajar ditinggalkan di lembah tandus berdua dengan anak kecil, Hajar tidak berputus asa dan berkeluh-kesah. Aksi Hajar berlari dari Safa ke Marwah yang menjadi rukun dalam ibadah haji menunjukkan bahawa ia bukan tindakan biasa-biasa, sebaliknya merupakan usaha Hajar demi keperluan anaknya. Dia tidak hanya berserah dalam kesukaran, tetapi melakukan tindakan, berlari tujuh kali demi mencari air.
“Hajar berulang-alik sebanyak 7 kali dari Safa ke Marwah, semata-mata kerana nak cari air untuk anak kecilnya. Kalau kita kira jarak antara dua bukit tu dalam 400 hingga 450 meter, darab 7 kali ulang-alik, lebih kurang dalam 2.8 kilometer hingga 3.2 kilometer jauhnya. Dan memang jauh, ya… memang jauh,“ terangnya sambil mengajak hadirin menghayati perjalanan bolak balik Safa ke Marwah dalam ibadah haji dengan membayangkan situasi yang ditempuh Hajar.
Ketiga, tawakal sepenuh hati.
Beliau menyatakan bahawa kata-kata Hajar iaitu “Allah tidak akan mensia-siakan kami” menjadi simbol keyakinan mutlaknya kepada Allah SWT. Ummu Zahra menyifatkannya sebagai keyakinan yang 100% bahawa Allah akan menjaganya.
Keempat, ibu sebagai sumber kekuatan anak
Beliau menyampaikan, usaha Hajar juga membuktikan bahawa kasih ibu bukanlah sekadar melalui emosi, tetapi juga sikap atau tindakan yang dilakukan sang ibu kepada anak. Sudah pasti, perasaan dan sikap ini perlu didasari oleh keimanan kepada Allah SWT.
Dengan menceritakan peristiwa Safa-Marwah, beliau menambah, “Dekat sini kita dapat tengok betapa seorang ibu itu sanggup berlari dalam keresahan walaupun dia sendiri dahaga. Kita lari sikit je dah hauskan? Ini apatah lagi dalam jarak yang sangat jauhkan dan dengan penuh harapan. Jadi kita tengok betapa yakinnya Hajar kepada Allah SWT bahawa Allah pasti akan menjaga dia dan anak dia. Sungguh luar biasa kasih dan cintanya seorang ibu kepada anak dia.”
Ummu Zahra mengakhiri sesi dengan mengajak pendengar untuk merenung tentang sumbangan masing-masing dalam memastikan syiar Islam sentiasa terjaga dan terbela.
“Jangan ingat kita ini wanita, insan yang lemah. Tidak ya, sahabat-sahabat. Kita pun boleh menyumbangkan sesuatu kepada agama kita insyaAllah,“ tutupnya dengan pesan menggugah supaya para Muslimah menjadikan Hajar sebagai inspirasi untuk menjadi hamba Allah SWT, seorang isteri dan ibu yang beriman, taat, cekal dan solehah.
#Zulhijjah #Fokus #InspirasiHajar #SerikandiTeladan #Hajar #KeluargaIbrahim

