Site icon MuslimahHTM News

Fikih Aulawiyat bagi Seorang Muslimah

Fikih Aulawiyat bagi Seorang Muslimah

 

Penulis: Ummu Nashir N.S.

 

Islam merupakan agama sempurna. Seluruh ajarannya bersumber daripada wahyu Ilahi yang tidak akan berubah sampai bila-bila pun. Setiap permasalahan hidup makhluk-Nya—dalam keadaan apa pun—dapat diselesaikan oleh aturan-aturan yang dipancarkannya dengan memuaskan tanpa ada satu pun yang dirugikan. Semua aturan tersebut sentiasa memuaskan akal dan sesuai fitrah manusia kerana Islam lahir dari Sang Pencipta yang Maha Mengetahui hakikat makhluk yang diciptakan-Nya.

 

Allah SWT Yang Maha Mengetahui telah mengatur kehidupan manusia secara adil dan seimbang. Adakalanya Allah memberikan beban yang sama antara lelaki dan perempuan dengan memandangnya sebagai manusia (insan); adakalanya pula Allah memberikan beban yang berbeza kepada keduanya. Ini kerana masing-masing memiliki sifat dan tabiat yang khusus. Sifat dan tabiat yang khas ini ditetapkan agar aktiviti perempuan dan lelaki berjalan sesuai sifat dan tabiatnya.

 

Kekhususan ini tidak dipandang sebagai kelebihan yang satu daripada yang lain, atau sebagai diskriminasi Islam atas kaum perempuan, melainkan di sinilah letaknya keadilan Islam. Islam memberi nilai kemuliaan bukan pada jenis peranan sosialnya, melainkan pada sejauh mana keduanya melaksanakan peranan-peranan sosial ini sesuai tuntunan Allah SWT atau sesuai kadar ketakwaannya (lihat Surah Al-Hujurat ayat 13).

 

Dengan begitu, keduanya dapat bekerjasama (ta’awun) untuk mewujudkan tujuan-tujuan luhur masyarakat secara keseluruhan sehingga kebahagiaan hakiki dapat dirasakan semua pihak tanpa kecuali. Lebih dari itu, Islam memberikan kesempatan yang sama bagi lelaki dan perempuan untuk meraih kebahagiaan hakiki berupa redha Allah dan Syurga-Nya.

 

Peranan Muslimah dalam Pandangan Islam

 

Tidak dapat dinafikan bahawa Islam memang telah memberikan aturan khusus bagi kaum perempuan untuk mengemban tanggungjawab sebagai ibu sekaligus sebagai pengatur rumah suaminya. Dalam kitab Muqaddimah Dustuur dijelaskan tentang sebuah kaedah, “Al-ashlu fil mar’ati annahaa ummun wa rabbatul baiti. Wa hiya ‘irdhun an yushana (hukum asal seorang perempuan adalah ibu dan pengatur rumah suaminya. Perempuan merupakan kehormatan yang wajib dijaga).”

 

Syarak menetapkan aturan sedemikian rupa agar misi keluarga dapat dijalankan dengan baik, syarak sudah berpesan agar memilih pasangan yang subur, penyayang, dan memiliki pemahaman Islam yang baik. Agar kelak dia akan menjadi seorang ibu yang modal asasnya adalah memahami agama Islam dan memiliki sifat penyayang. Ibu adalah madrasah pertama dan utama bagi anak-anaknya. Alhasil, tanggungjawab pengasuhan, pemeliharaan, dan pendidikan anak berada di belakangnya.

 

Sedangkan sebagai rabbatul bait, Islam telah menjelaskan dalam banyak hadis. Rasulullah ﷺ telah memerintahkan kepada isteri-isterinya untuk melayani beliau, “Ya Aisyah, tolong ambilkan aku minuman. Ya Aisyah, tolong ambilkan aku makanan. Ya Aisyah, tolong ambilkan aku pisau dan asahlah dengan batu.” Dalam hal ini, perempuan berperanan mengatur dan menyelesaikan urusan rumah tangga agar memberikan ketenteraman dan kenyamanan bagi setiap ahli keluarganya.

 

Benar bahawa dalam Islam perempuan ditempatkan sebagai perhiasan berharga yang wajib dijaga, namun perlu difahami bahawa hal ini tidak bermaksud membatasi mereka sebatas urusan domestik. Malah Islam memberi peranan baginya dalam ranah domestik dan masyarakat, sekaligus tidak boleh diabaikan.

 

Islam memandang bahawa muslimah juga merupakan penyangga peradaban mulia, keberadaannya merupakan bahagian yang tidak terpisahkan dengan lelaki. Keduanya diciptakan dengan beban tanggungjawab yang sama dalam mengatur dan memelihara kehidupan sesuai kehendak Allah SWT Al-Khaliq Al-Mudabbir. Oleh sebab itu, Allah SWT telah mewajibkan keduanya untuk berdakwah di tengah umat.

 

Firman-Nya dalam Surah At-Taubah ayat 71, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”

 

Sinergi Setiap Peranan

 

Kita telah memahami bahawa seorang perempuan adalah bahagian dari keluarga dan masyarakat. Semua peranannya ini perlu dilaksanakan secara keseluruhan. Walaupun Islam telah menetapkan bahawa tugas utama perempuan adalah ummun wa rabbatul bait, tidak bererti bahawa seorang perempuan boleh meninggalkan peranan-peranan yang lain.

 

Seorang muslimah perlu menyedari bahawa ketika Allah telah menetapkan berbagai peranan tersebut, ternyata bahawa setiap perempuan mampu untuk melaksanakan peranan tersebut. Ini kerana Allah tidak mungkin membebani umat-Nya dengan beban yang tidak mungkin dapat ditanggung manusia.

 

Firman-Nya, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang dilakukannya.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 286).

 

Ayat ini sangat tegas menyatakan bahawa siapa pun akan mampu menunaikan berbagai beban hukum yang telah Allah tetapkan terhadap hamba-Nya, termasuk perempuan. Sebagai bahagian dari masyarakat, seorang muslimah wajib berdakwah. Sebagai bahagian dari keluarga, seorang muslimah adalah anak, isteri, sekaligus ibu, yang semuanya merupakan peranan yang penting.

 

Dakwah adalah misi agung dan mulia kerana merupakan misi para nabi dan Rasul-Nya. Dakwah merupakan amal terbaik kerana dengannya akan mengajak umat pada kelurusan iman dan akan menjadikan umat Islam sebagai sebaik-baik umat. Dengan dakwah, amal Islami peribadi dan masyarakat akan terpelihara. Begitu juga dengan kewajipan sebagai ummun wa rabbatul bait, merupakan tugas mulia dan aktiviti yang berstrategi.

 

Keduanya merupakan aktiviti penting, di mana tidak boleh dilaksanakan yang satu, lalu meninggalkan yang lain. Ini kerana Allah telah menurunkan perintah-Nya dalam berbagai nas bahawa keduanya merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh seorang muslimah. Kedua aktiviti ini boleh bersinergi antara satu sama lain. Telah terbukti bahawa kedua aktiviti ini boleh dilaksanakan secara harmoni oleh para muslimah pada masa Rasulullah ﷺ mahupun pada zaman kekhalifahan. Ertinya, aktiviti-aktiviti ini boleh dilaksanakan oleh muslimah mana pun, baik muslimah zaman ini sesuai tuntunan syariat.

 

Hanya saja, tidak dapat dinafikan bahawa ketika seorang muslimah berusaha semaksimum mungkin untuk melaksanakan berbagai peranan atau kewajipan, dalam perjalanannya tidak dapat lari dari rintangan dan ujian, kadang-kadang boleh juga berlaku perbenturan. Cita-cita besar memang memerlukan curahan tenaga, perhatian, dan pastinya pengorbanan yang besar. Tanpa semua itu, keinginan menggapai kemuliaan hidup akan jadi mimpi belaka.

 

Akan tetapi, seandainya berlaku perbenturan antara aktiviti yang satu dan yang lain, bahkan antara kewajipan yang satu dan kewajipan yang lain, maka Islam mempunyai solusinya, iaitu dengan adanya konsep fikih aulawiyat, iaitu prioriti pelaksanaan hukum syarak.

 

Fikih Aulawiyat

 

Aulawiyat secara ringkas dapat dikatakan sebagai prioriti pelaksanaan hukum syarak. Yusuf Qardhawi menyatakan dalam buku Fi Fiqhi Aulawiyat bahawa “aulawiyat” bererti suatu ilmu dan kemahiran yang dengannya seseorang dapat meletakkan segala sesuatu pada kedudukannya sesuai urutan secara seimbang, baik berupa hukum, kebiasaan, mahupun amal perbuatan dan lain-lain, berdasarkan pertimbangan-pertimbangan syarie yang benar. Alhasil, tidak mengakhirkan apa yang sepatutnya didahulukan, ataupun mendahulukan apa yang sepatutnya diakhirkan; tidak pula mengecilkan perkara yang besar, ataupun membesarkan perkara yang kecil.

 

Konsep aulawiyat menuntun manusia untuk mendahulukan pelaksanaan kewajipan daripada yang sunnah, mendahulukan yang sunnah daripada yang mubah. Apabila terjadi benturan antara yang fardhu yang satu dan fardhu yang lain, atau beberapa fardhu ain sehingga seseorang tidak mampu melaksanakan seluruh fardhu tersebut. Akhirnya, dia hanya mampu melaksanakan satu atau dua fardhu sahaja pada saat itu.

 

Terkait kewajipan, Syeikh Wahbah az-Zuhaily dalam Ushulul Fiqhil Islamy menjelaskan bahawa hukum wajib boleh dibahagi kepada empat sudut pandang, yakni dari waktu pelaksanaan, takarannya, subjek pelaku, dan penentuan objeknya. Dari sudut pandang waktu pelaksanaan, wajib dibahagi menjadi wajib mutlak dan wajib mu’aqqat. Wajib mutlak ialah kewajipan yang tidak memiliki batas waktu tertentu. Sifat pelaksanaannya mutlak, boleh laksanakannya pada bila-bila masa. Sedangkan wajib mu’aqqat ialah wajib yang memiliki batas waktu tertentu.

 

Wajib mu’aqqat ini terbahagi menjadi dua, yakni muwassa’ dan mudhayyaq. Wajib muwassa’ ialah kewajipan yang waktu pelaksanaannya boleh dipergunakan untuk melaksanakan kewajipan tersebut dan lainnya. Wajib mudhayyaq ialah kewajipan yang waktu pelaksanaannya hanya boleh dipergunakan untuk melaksanakan kewajipan tersebut.

 

Dari sini muncul pertanyaan, apakah manusia berhak memilih untuk mengerjakan fardhu-fardhu tersebut? Atau, adakah syarak sahaja yang berhak menetapkan peringkat aulawiyat dan setiap muslim wajib terikat dengannya? Apakah petunjuk-petunjuknya?

 

Jawapannya adalah, pertama, masalah ini bukanlah masalah hak untuk memilih dan bukan pula dikembalikan pada pilihan seseorang, melainkan ini adalah masalah syarie atau masalah yang ditetapkan oleh hukum syarak. Misalnya, seseorang mempunyai hutang dan wajib melangsaikannya; sedangkan keluarganya mempunyai keperluan yang perlu dipenuhi, tetapi dia tidak memiliki wang yang cukup untuk memenuhi dua hal tadi; maka yang manakah di antara dua kewajipan ini yang perlu didahulukan?

 

Kita memahami bahawa melunasi hutang yang telah tiba waktunya adalah fardhu ain atasnya dan memberi nafkah kepada keluarganya juga adalah fardhu ain atasnya. Sementara itu, jumlah wang yang ada tidak mencukupi, kecuali hanya untuk salah satu di antara dua kewajipan tadi. Dalam hal ini, syarak menuntun agar mendahulukan pemberian nafkah bagi keluarga dahulu daripada pelunasan hutang apabila pemberian nafkah bagi keluarga adalah pada keperluan-keperluan yang bersifat dharuriyaat (keperluan utama). Akan tetapi, syarak mendahulukan pelunasan hutang apabila pemberian nafkah bagi keluarga adalah keperluan yang bersifat kamaliyaat (keperluan pelengkap).

 

Dengan demikian, sangat jelas bahawa syaraklah yang menetapkan peringkat aulawiyat saat terjadinya beberapa kewajipan yang berbentur pada diri seorang muslim.

 

Kedua, seorang muslim wajib mengutamakan aktiviti yang lebih darurat menurut syariat, bukan menurut penilaian manusia. Misalnya, seorang ibu berhadapan dengan kewajipan untuk berdakwah, tetapi pada saat yang sama anaknya sakit, maka dia wajib merawat anaknya terlebih dahulu dan menunda sementara aktiviti dakwahnya. Akan tetapi, jika situasinya sudah semakin baik, maka dia boleh kembali menunaikan kewajipan dakwah yang tertunda sebelumnya. Rasulullah ﷺ menyatakan, “Lā dharara wa lā dhirara(Tidak boleh membahayakan diri dan membahayakan orang lain).” (HR Ahmad, Malik, dan Ibnu Majah).

 

Ketiga, hal lain yang perlu diperhatikan juga bahawa dalam konsep aulawiyat ini adalah mendahulukan kewajipan yang satu dan menunda sementara kewajipan yang lain, bukan terus meninggalkannya. Ini kerana pelaksanaan suatu kewajipan tidak boleh menyebabkan pengabaian atas kewajipan yang lain.

 

Misalnya, seorang muslimah berhadapan dengan kewajipan mengasuh anaknya, sedangkan pada waktu yang sama dia perlu mengajarkan Islam kepada masyarakat selama beberapa jam. Pada saat itu dia tidak menjumpai orang yang boleh dipercayai dan selamat bagi menjaga perkembangan fizikal, mental, dan nilai agama anaknya, sedangkan dia tidak dapat mengajar jika dia membawa anaknya bersama. Dalam keadaan seperti ini, dia memang perlu memilih untuk tinggal di rumah dan mengasuh anaknya. Namun demikian, tidak boleh baginya untuk membiarkan keadaan tersebut berlangsung terus-menerus. Dia hendaklah terus berusaha semaksimum mungkin dalam mencari orang terpercaya atau mendidik seseorang yang dapat dipercaya untuk mengasuh anaknya ketika dia keluar rumah selama beberapa jam untuk menunaikan kewajipannya sebagai anggota masyarakat.

 

Dari penjelasan semua di atas, telah sangat jelas bahawa Islam mengatur dengan sangat terperinci tentang aktiviti seorang muslimah. Secara syarie, sesungguhnya seorang muslimah memiliki peranan yang sangat istimewa dari Allah SWT Al-Khaliq Al-Mudabbir. Sebagai bahagian dari keluarga, seorang muslimah diberi peranan dan tanggungjawab utama sebagai ummun wa rabbatul bait dan sebagai bahagian dari Masyarakat, dia juga memiliki tanggungjawab untuk membentuk umat agar menjadi sebaik-baik umat. Salah satu kewajipannya adalah untuk berdakwah di tengah umat.

 

Disebabkan semua itu merupakan kewajipan dari Allah SWT, kita perlu yakin bahawa semua aktiviti tersebut dapat berjalan bersamaan secara harmoni, sudah pasti jika kita melaksanakannya sesuai tuntunan syariat, bukan mengikuti aturan manusia.

 

Bahkan, ketika berlaku benturan suatu aktiviti dengan aktiviti yang lain, Islam telah memberi solusi dengan adanya fikih aulawiyat. Dengan demikian, sudah sepatutnya kita kembali pada Islam. Hanya Islam satu-satunya agama yang menempatkan perempuan pada kedudukan yang sangat mulia dan terhormat dalam seluruh peranannya. Wallahualam.

 

#PerananWanita #Tanggungjawab #PengurusRumahtangga #PendidikUmat #dakwah #FikihAwlawiyat

Exit mobile version