Site icon MuslimahHTM News

Hadis Tentang Penaklukan Konstantinopel yang Kedua (Merespon Pandangan)

[Soal Jawab] Hadis Tentang Penaklukan Konstantinopel yang Kedua (Merespon Pandangan)

 

Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi

 

Soalan:

 

Saya baru sahaja menonton sebuah podcast, yang ada kaitannya dengan penulisan berkenaan ‘Penaklukan Konstantinopel Kedua’ yang pernah ustaz siarkan. Menurut penyampai tersebut, kota yang akan ditakluk itu sebenarnya bukanlah kota Konstantinopel, tetapi kota Rom sebagai kota kedua yang akan ditakluk antara kota Konstantinopel atau kota Rom.

 

Alasannya adalah kerana hadis mengenai penaklukan Konstantinopel Kedua yang ustaz pernah siarkan itu tidak menyebutkan secara jelas nama kota Konstantinopel. Maka, penaklukan yang disebut dalam hadis dengan kalimah tahlil oleh Bani Ishaq itu, menurutnya, bermaksud penaklukan yang akan dilakukan oleh Bani Ishaq yang melahirkan bangsa berkulit putih, iaitu bangsa Rom dan mereka akan menakluk kota Rom (bukan kota Konstantinopel) pada masa akan datang. Jadi maksud kalimah tahlil itu adalah kerana orang-orang Eropah pada hari ini sudah ramai yang memeluk Islam.

 

Jawapan:

 

Memang benar, dalam hadis yang disebut oleh para ulama sebagai Hadis Penaklukan Konstantinopel Kedua, Nabi Muhammad SAW tidak menyebutkan secara tegas nama kota Konstantinopel. (HR. Muslim, no. 5199). Nabi SAW hanya menggambarkan ciri-ciri kota tersebut, iaitu di satu sisinya terdapat daratan, dan di sisi yang lain terdapat lautan. Kota ini akan ditakluk oleh tentera kaum Muslimin dari Bani Ishaq hanya dengan kalimat: ”Lā ilāha illallāhu wallāhu akbar.”

 

Ini sebagaimana sabda Nabi SAW dalam hadis tersebut, ketika Nabi SAW bertanya kepada para sahabat:

 

سَمِعْتُمْ بمَدِينَةٍ جَانِبٌ مِنْهَا فِي الْبَرِّ وَجَانِبٌ مِنْهَا فَي الْبَحْرِ؟ قَالُوْا: نَعَمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ الخ…

“Pernahkah kalian mendengar sebuah kota yang pada satu sisinya terdapat daratan dan pada sisi yang lain terdapat lautan?” Mereka menjawab, ”Pernah, wahai Rasulullah.” dst. (HR. Muslim, Sahīh Muslim, no. 5199).

 

Akan tetapi, dalam hadis sahih yang lain, iaitu di dalam kitab Sahīh Muslim (HR. Muslim, no. 2897) nama kota Konstantinopel disebutkan dengan jelas oleh lisan (lidah) Nabi Muhammad SAW sendiri, sebagaimana sabda beliau:

 

فَيَفْتَحُوْنَ الْقُسْطَنْطِيْنِيَّةَ

“Maka mereka (tentera kaum Muslimin) akan menaklukkan kota Konstantinopel.” (HR. Muslim, no. 2897).

 

Hadis lengkapnya adalah seperti berikut:

 

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ  : لَا تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ الرُّوْمُ بِالْأَعْمَاقِ أَوْ بِدَابِقٍ ، فَيَخْرُجُ إِلَيْهِمْ جَيْشٌ مِنَ الْمَدِينَةِ مِنْ خِيَارِ أَهْلِ الْأَرْضِ يَوْمَئِذٍ ، فَإِذَا تَصَافُّوْا، قَالَتِ الرُّوْمُ: خَلُُّّوْا بَيْنَنَا وَبَيْنَ الَّذِينَ سَبَوْا مِنَّا نُقَاتِلُهُمْ ، فَيَقُوْلُ الْمُسْلِمُوْنَ: لَا وَاللَّهِ لَا نُخَلِّيْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ إخْوَانِنَا، فَيُقَاتِلُوْنَهُمْ ، فَيُهْزَمُ ثُلُثٌ لَا يَتُوْبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ أَبَدًا، وَيُقْتَلُ ثُلُثٌ هُمْ أَفْضَلُ الشُّهَدَاءِ عِنْدَ اللَّهِ، وَيَفْتِحُ الثُّلُثُ، لَا يُفْتَنُوْنَ أَبَدًا ، فَيَفْتَحُوْنَ الْقُسْطَنْطِينِيَّةَ، فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُوْنَ الْغَنَائِمَ قَدْ عَلَّقُوْا سُيُوْفَهُمْ بِالزَّيْتُوْنِ ، إِذْ صَاحَ فِيْهِمُ الشَّيْطَانُ: إِنَّ الْمَسِيْحَ قَدْ خَلَفَكُمْ فِيْ أَهْلِيْكُمْ، فَيَخْرُجُوْنَ وَذَلِكَ بَاطِلٌ ، فَإِذَا جَاؤُوا الشَّامَ خَرَجَ، فَبَيْنَمَا هُمْ يُعِدُّوْنَ لِلْقِتَالِ، يُسَوُّوْنَ الصُّفُوفَ ، إِذْ أُقِيْمَتِ الصَّلَاةُ، فَيَنْزِلُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ، فَأَمَّهُمْ ، فَإِذَا رَآهُ عَدُوُّ اللَّهِ ذَابَ كَمَا يَذُوْبُ الْمِلْحُ فِي الْمَاءِ ، فَلَوْ تَرَكَهُ لَانْذَابَ حَتَّى يَهْلِكَ، وَلَكِنْ يَقْتُلُهُ اللَّهُ بِيَدِهِ ، فَيَرِيْهِمْ دَمَهُ فِيْ حَرْبَتِهِ. أخرجه مسلم برقم 2897

 

Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga kaum Rom muncul di A`māq atau di Dābiq (di wilayah Syria sekarang), lalu mereka akan dihadapi oleh satu tentera dari kota Madinah, yang merupakan sebaik-baik penduduk bumi pada waktu itu. Ketika mereka sudah saling berhadapan, kaum Rom berkata, “Biarkanlah kami memerangi golongan yang telah menawan kami.” Lalu kaum Muslimin berkata, “Tidak! Demi Allah! Kami tidak akan membiarkan kalian memerangi saudara-saudara kami.” Maka mereka pun (kaum Rom) memerangi mereka (kaum Muslimin). Lalu sepertiga (dari tentera kaum Muslimin) dikalahkan dan Allah tidak akan mengampuni mereka selama-lamanya, sepertiga yang lain terbunuh dan mereka itulah sebaik-baik syuhada di sisi Allah, dan sepertiga yang lain mendapatkan kemenangan dan mereka tidak akan ditimpa fitnah (cubaan) selama-lamanya. Kemudian mereka akan menaklukkan Kostantinopel. Kemudian ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang, ketika mereka telah menggantungkan pedang-pedang mereka pada pohon zaitun, berteriaklah syaitan kepada mereka, “Sesungguhnya Al-Masīh (Dajjāl) telah menggantikan kalian di tengah keluarga kalian.” Mereka pun keluar, dan ternyata itu hanyalah dusta. Ketika mereka tiba di Syam, dia (Dajjāl) muncul. Kemudian ketika mereka sedang bersiap-siap untuk melakukan peperangan dan sedang meluruskan barisan-barisan, ketika solat sudah diiqamatkan, turunlah Nabi `Ῑsā putera Maryam –‘alaihis salam– lalu beliau pun mengimami mereka. Lalu ketika musuh Allah (Dajjāl) melihat Nabi `Ῑsā AS, Dajjāl menjadi larut sebagaimana garam larut di dalam air. Seandainya Nabi `Ῑsā AS membiarkan Dajjāl, nescaya Dajjāl akan menjadi larut hingga dia binasa. Namun Allah (berkehendak) membunuh Dajjāl melalui tangan Nabi `Ῑsā AS, lalu Nabi `Ῑsā AS memperlihatkan kepada mereka (kaum Muslimin) darah Dajjāl pada tombaknya.” (HR. Muslim, Sahīh Muslim, no. 2897).

 

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa pada masa hadapan akan berlaku penaklukan kota Konstantinopel, menjelang atau bersamaan dengan munculnya tanda-tanda besar hari kiamat (al-‘alāmāt al-kubrā lis sā’ah), di antaranya adalah munculnya Dajjāl, turunnya Nabi `Ῑsā AS yang akan membunuh Dajjāl, dan sebagainya. Dalam hadis ini, penyebutan nama kota Konstantinopel, secara jelas telah diucapkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya:

 

فَيَفْتَحُوْنَ الْقُسْطَنْطِيْنِيَّةَ

“Maka mereka (tentera kaum Muslimin) akan menaklukkan kota Konstantinopel.” (HR. Muslim, no. 2897).

 

Maka dari itu, hadis ini (HR. Muslim 2897) dapat dianggap sebagai penjelasan (bayān) bagi hadis sebelumnya (HR. Muslim 5199) yang bersifat mujmal (masih global/umum maknanya), yang tidak secara jelas menyebut nama kota Konstantinopel, namun hanya menyebut cirinya, iaitu kota yang pada satu sisinya terdapat daratan dan pada sisi yang lain terdapat lautan, dan kota itu akan ditaklukkan dengan kalimat “Lā ilāha illallāhu wallāhu akbar.”

 

Jadi hadis pertama yang tidak menyebut nama Konstantinopel itu dalam Ilmu Usul Fiqh disebut dengan hadis mujmal (global), iaitu hadis yang maknanya belum terlalu jelas, yang masih dapat ditafsirkan dengan pelbagai pentafsiran. Maka dari itu tidak hairanlah, jika ada sebahagian ulama yang mentafsirkan bahawa kota yang ciri-cirinya adalah satu sisinya terdapat daratan dan pada sisi lainnya terdapat lautan, dan yang ditaklukkan dengan kalimat ,”Lā ilāha illallāhu wallāhu akbar,” adalah kota Rom, atau kota yang lain, yang cirinya bertepatan dengan ciri-ciri yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam HR. Muslim 5199 tersebut.

 

Namun, ternyata ada hadis kedua (HR. Muslim 2897), di mana Nabi SAW telah menyampaikan dengan jelas bahawa kota yang akan ditaklukkan itu bernama Konstantinopel. Hadis kedua ini dalam Ilmu Usul Fiqh sebagai bayān (penjelasan), yang berfungsi untuk memperjelas atau menentukan makna yang mujmal (global) dalam hadis sebelumnya (HR. Muslim 5199). Setelah adanya bayān (penjelasan) ini, maka hadis pertama yang awalnya bermakna mujmal (global), akhirnya menjadi mubayyan (telah dijelaskan maknanya) atau menjadi mufassar (telah ditafsirkan maknanya). (Baca penjelasan terminologi Al-Mujmal, Al-Bayān, dan Al-Mubayyan, dalam kitab Al-Syakhshiyyah Al-Islāmiyyah, Juz III, hlm. 229-230, karya Imam Taqiyuddin An-Nabhani, rahimahullāh).

 

Adanya hadis yang mujmal yang kemudian menjadi mubayyan (atau mufassar) dengan adanya bayān (penjelasan), banyak contohnya. Misalnya hadis mujmal yang memerintahkan kita untuk memperhitungkan hilal (bulan sabit) jika hilal tertutup mendung. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

 

إِذَا رَأَيْتُمُوْهُ فَصُوْمُوْهُ وَ إِذَا رَأَيْتُمُوْهُ فَأَفْطِرُوْا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوْا لَهُ

 

“Jika kamu melihat dia (hilal Ramadhan) maka berpuasalah kamu, dan jika kamu telah melihat dia (hilal Syawal), maka berbukalah kamu (berAidilfitri). Lalu jika mendung menutupi kamu, maka perhitungkanlah ia (hilal).” (HR. Al-Bukhari no. 1900, Muslim no. 1080, Al-Nasā`i, 4/134).

 

Dalam hadis tersebut, terdapat perintah Nabi SAW jika pandangan kita terhadap hilal ditutupi oleh mendung, maka yang dilakukan adalah memperhitungkan hilal:

 

فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوْا لَهُ

“Lalu jika mendung menutupi kamu, maka perhitungkanlah ia (hilal).” (HR. Al-Bukhari, Muslim, dan Al-Nasa`i). Namun, perintah tersebut adalah mujmal, iaitu perintah yang tidak jelas maksudnya.

 

Namun kemudian perintah memperhitungkan hilal yang tidak jelas itu, kemudian dijelaskan oleh hadis lain, iaitu maksudnya adalah menyempurnakan bilangan bulan sebanyak 30 hari, seperti sabda Nabi SAW:

 

صُوْمُوْا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوْا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوْا ثَلاَثِيْنَ

“Berpuasalah kamu (Ramadhan) kerana melihatnya (hilal Ramadhan) dan berbukalah kamu (berAidilfitri) kerana melihatnya (hilal Syawal). Kemudian jika mendung menutupi kamu, maka perhitungkanlah tiga puluh hari.” (HR. Muslim).

 

Imam Syaukani menjelaskan hadis Ibnu Umar RA di atas dengan berkata:

 

قَوْلُهُ : فَاقْدُرُوْا لَهُ…مَعْنَاهُ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ وَالْحَنَفِيَّةِ وَجُمْهُوْرِ السَّلَفِ وَالْخَلَفِ فَاقْدُوُرْا لَهُ تَمَامَ الثَّلاَثِيْنَ يَوْماً، لاَ كَمَا أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ وَغَيْرُهُ إِنَّ مَعْنَاهُ قَدَّرُوْهُ تَحْتَ الْحِسَابِ

“Sabda Nabi SAW yang berbunyi (فَاقْدُرُوْا لَهُ) (perhitungkanlah ia)… maksudnya menurut ulama mazhab Syafie dan Hanafi, serta jumhur ulama salaf dan khalaf ialah : فاقدورا له تمام الثلاثين يوما (perhitungkanlah ia dengan menggenapkan 30 hari), bukan sebagaimana perkataan Ahmad bin Hanbal dan yang lain bahawa maksudnya ialah “perhitungkanlah hilal itu dengan hisab.” (Imam Syaukani, Nailul Authār, hlm. 842).

 

Contoh lain, misalnya Nabi SAW pernah bersabda bahawa Khilafah itu hanya berlangsung selama 30 tahun sahaja, sesuai sabda Nabi SAW:

 

اَلْخِلافَةُ فِي أُمَّتِيْ ثَلَاثُونَ سَنَةً ثُمَّ مُلْكٌ بَعْدَ ذَلِكَ

”Khilafah di tengah-tengah umatku berlangsung 30 tahun, kemudian [menjadi Khilafah seperti] kerajaan setelah itu.” (al-khilāfah fī ummatī tsalātsūna sanatan tsumma mulkun ba’da dzālika). (HR. Al-Tirmidzi, Sunan Al-Tirmidzi, no. 2326; Ahmad, Al-Musnad, Juz V, hlm. 313; Al-Nasa`i, Sunan Al-Nasa`i Al-Kubra, no. 8155).

 

Hadis ini menunjukkan Khilafah di tengah-tengah umat Islam berlangsung 30 tahun sahaja. Ini adalah hadis yang masih mujmal (global) maknanya, kerana tidak ada penjelasan lebih terperinci mengenai sifat Khilafah yang 30 tahun itu.

 

Namun ada hadis lain yang menjelaskan sifat Khilafah yang berlangsung 30 tahun itu, iaitu Khilafah yang mengikuti metode kenabian (al-Khilafah ‘ala Minhaj al-Nubuwwah). Dalilnya adalah sabda Nabi SAW:

 

خِلَافَةُ النُّبوَّةِ ثَلَاثُونَ سَنَةً ثُمَّ يُعْطِي اللَّهُ الْمُلكَ أَوْ مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ

”Khilafah yang mengikuti methode kenabian berlangsung 30 tahun, kemudian Allah memberikan kekuasaan itu atau kekuasaan-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.” (HR. Abu Dawud, Sunan Abu Dawud, no. 4646).

 

Jadi, hadis pertama yang sebelumnya (HR. Al-Tirmidzi, Ahmad, dan Al-Nasa`i), dalam ilmu Usul Fiqh disebut hadis yang mujmal, iaitu hadis yang belum jelas maksudnya. Kata “al-Khilafah” yang 30 tahun itu belum jelas maksudnya, seperti apa sifat Khilafah itu atau apa huraiannya. Sedangkan hadis kedua (HR. Abu Dawud), merupakan hadis yang mubayyan (atau mufassar), iaitu hadis yang sudah jelas maksudnya, bahawa “Khilafah yang 30 tahun itu” bukan Khilafah secara mutlak, melainkan Khilafah Nubuwwah (Khilafah yang mengikuti jalan kenabian).

 

Demikianlah, apabila kita menjumpai hadis yang mujmal, iaitu belum jelas maksudnya, kita hendaklah tidak terburu-buru mentafsirkannya, tetapi hendaklah kita bersabar mencari hadis lain yang temanya sama, mana tahu ada hadis lain yang menjadi bayān, atau penjelasan dari hadis yang mujmal itu.

 

Maka, kaedah tafsir menurut Ilmu Usul Fiqh di atas boleh juga kita berlakukan kepada hadis Nabi SAW yang pada awalnya tidak menyebutkan nama kota yang akan ditakluki di akhir zaman. Ini boleh disebut sebagai hadis yang mujmal, yang belum jelas maksudnya. Namun, ternyata ada hadis lain yang menyebutkan nama kota tersebut, iaitu kota Konstantinopel. Maka hadis kedua ini dapat disebut bayan (penjelasan) bagi hadis pertama, dan hadis pertama boleh juga disebut mubayyan/mufassar, iaitu hadis yang telah dijelaskan atau ditafsirkan, kerana Nabi SAW telah menyebutkan nama kota Konstantinopel dengan jelas.

 

Kesimpulannya, kota Konstantinopel, atau kota Istanbul di Turki sekarang, adalah kota yang dimaksudkan ketika Nabi SAW menyebutkan bahawa kota tersebut akan ditakluki pada akhir zaman dengan ciri-ciri satu sisinya terdapat daratan dan pada sisi yang lain terdapat lautan, dan akan ditakluki oleh tentera kaum Muslimin dari Bani Ishaq hanya dengan kalimat “Lā ilāha illallāhu wallāhu akbar.” Kota yang dimaksudkan dalam hadis ini, tidak lain adalah kota Kontantinopel (Istanbul) yang kini berada di Turkiye, bukan kota Rom yang berada di Itali, atau kota lain di Itali, dan lain-lain. Ini adalah pendapat kami yang kami anggap rajih (lebih kuat).

 

Pemahaman kami ini diperkuat dengan dalil lain, iaitu hadis dari Anas bin Malik RA seperti berikut:

 

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ: (فَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ مَعَ قِيَامِ السَّاعَةِ) رواه الترمذي في ” السنن ” (2239) ، وصححه الألباني  .

Dari Anas bin Malik RA, bahawa dia berkata, “Penaklukan Konstantinopel akan disertai/diikuti dengan berlakunya hari kiamat.” (HR. Al-Tirmidzi, dalam Sunan Al-Tirmidzi, no. 2239; Hadis ini dianggap sebagai hadis sahih oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albani).

 

Kesimpulan kami ialah:

 

Pertama, kota yang akan ditakluki pada akhir zaman sebelum hari kiamat, yang ciri-cirinya adalah terdapat satu sisi daratan dan pada sisi yang lain terdapat lautan, dan akan ditakluki oleh tentera kaum Muslimin dari Bani Ishaq hanya dengan kalimat ”Lā ilāha illallāhu wallāhu akbar,” ialah kota Konstantinopel, atau kota Istanbul yang ada di Turkiye pada hari ini. Jadi, ia bukan kota Rom yang ada di Itali, atau mana-mana bandar lain di Itali, walaupun ada sebahagian ulama yang berpendapat demikian.

 

Kedua, bahawa kota Rom (yang kini berada di Itali) juga akan ditakluki pada masa hadapan sebagaimana diberitakan oleh hadis Nabi SAW. (HR. Ahmad, 2/176; Al-Dārimi, 1/126). Namun, penaklukan kota Rom ini tidak sama atau tidak identik dengan penaklukan kota Konstantinopel. Penaklukan kota Rom adalah satu hal, sedangkan penaklukan kota Konstantinopel adalah hal yang lain. Penaklukan kota Rom di Itali tidak menafikan penaklukan kota Konstantinopel yang kedua, yang akan berlaku pada masa hadapan sebelum munculnya Dajjāl dan turunnya Nabi Isa AS. (Muhammad bin Isma’il Al-Muqaddam, Fiqh Asyrāth Al-Sā’ah, Iskandariyah : Al-Dār Al-‘Ālimiyyah li Al-Nasyr wa Al-Tawzī’, 1429 H/2008 M, Cetakan IX, hlm. 268-270). Wallāhu a’lam.

 

Sumber:

https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/670

 

#PenaklukanKotaKonstantinopel #SoalJawab #UsulFiqh #Hadis #TafsirHadis

Exit mobile version