Site icon MuslimahHTM News

Motif Hijrah Nabi

Motif Hijrah Nabi

 

Oleh: Ustaz M Taufik NT

 

Hijrah pertama dan kedua ke Habsyah dilakukan dalam rangka menjaga diri dan agama  mereka daripada tekanan, seksaan, dan penganiayaan terhadap para sahabat yang semakin menjadi-jadi. Seramai 16 orang sahabat berhijrah pada gelombang pertama, dan 101 orang sahabat pada gelombang kedua.

 

Adapun hijrah Nabi ﷺ dan para sahabat dari Mekah ke Madinah bukan sekadar untuk menyelamatkan diri daripada seksaan, tetapi bertujuan menerapkan Islam secara menyeluruh (kāffah) dengan mendirikan sebuah Daulah Islam (Negara Islam) di Madinah. Hal ini dapat dilihat melalui beberapa perkara berikut:

 

Pertama, dakwah Rasulullah ﷺ bukan sekadar mengajak masyarakat untuk beriman dan berakhlak mulia, tetapi baginda juga meminta nusrah (pertolongan dan kekuasaan) untuk melindungi dakwah, sehingga dengan itu, syariat Islam dapat ditegakkan secara sempurna dan menyeluruh.

 

Selepas meninggalnya Khadijah RA dan Abu Thalib, Allah SWT memerintahkan Rasulullah ﷺ untuk menawarkan dirinya kepada kabilah-kabilah Arab. Maka, baginda keluar bersama Ali dan Abu Bakar RA untuk bertemu dan melobi majlis-majlis orang Arab, mengajak mereka kepada Islam dan memohon sokongan kekuatan mereka untuk melindungi dakwah. Sebahagian besar kabilah menolak terus tawaran baginda. Ada juga yang mencari keuntungan seperti Bani ‘Amr bin Sha’sha’ah yang mahu agar kekuasaan berada di tangan mereka selepas Nabi. Maka dengan tegas Rasulullah ﷺ menjawab hasrat mereka:

 

الأَمْرُ إلَى اللّٰهِ، يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ

“Perkara (kekuasaan) itu (urusannya) kembali kepada Allah, Dia meletakkannya kepada siapa yang Dia kehendaki.” (Ibnu Hisyam, Sirah Nabawiyah, 1/424).

 

Akhirnya, mereka pun menolak tawaran Rasulullah ﷺ. Walaupun menerima penolakan demi penolakan, baginda tetap tabah dan tidak berputus asa dalam mencari kabilah yang bersedia menggunakan kekuasaan mereka untuk melindungi dakwah. Tidak kurang daripada 15 kabilah telah dilobi oleh baginda, namun semuanya berakhir dengan penolakan.

(Rujukan: Ibnu Sa‘ad, Al-Ṭabaqāt al-Kubrā, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990, 1/168)

 

Sekiranya tujuan Rasulullah ﷺ hanyalah semata-mata untuk mengajak mereka memeluk Islam tanpa ada kaitan dengan kuasa pemerintahan, maka tidak menjadi masalah untuk baginda menerima hasrat Bani Amir tersebut.

 

Kedua, hijrah ke Madinah hanya berlaku setelah masyarakat di Madinah menerima kepemimpinan Rasulullah ﷺ tanpa mengenakan syarat yang bertentangan dengan ajaran Islam. As’ad bin Zurarah, yang bertindak sebagai ketua suku Khazraj yang menyahut seruan Rasulullah:

 

ودعوتنا ونحن جماعة في دار عز ومنعة، لا يطمع فيها أحد أن يرأس علينا رجل من غيرنا قد أفرده قومه وأسلمه أعمامه، وتلك رتبة صعبة فأجبناك إلى ذلك

 

“…Engkau telah meminta kepada kami (untuk menyerahkan kuasa kami demi melindungi dan menegakkan Islam). Sedangkan kami adalah suatu kaum yang tinggal di sebuah negeri yang mulia dan kuat, di mana tiada seorang pun daripada kami yang rela dipimpin oleh orang luar dari suku kami sendiri. Engkau pula adalah seorang yang telah diasingkan oleh kaummu sendiri, dan bapa-bapa saudaramu tidak lagi memberikan perlindungan kepadamu. Secara jujur, permintaan ini adalah sesuatu yang amat berat bagi kami. Namun begitu, kami telah bersepakat untuk memenuhi permintaanmu itu…”.

(Abu Nu‘aim al-Ashbahānī, Dalā’il al-Nubuwwah, 1/264)

 

Jawapan ini jelas menunjukkan bahawa mereka benar-benar memahami apa yang diminta oleh Rasulullah ﷺ—iaitu bukan sekadar menerima ajaran Islam, tetapi juga menyerahkan kepemimpinan dan kekuasaan mereka demi Islam. Hal ini dapat difahami melalui ungkapan:

 

لا يطمع فيها أحد أن يرأس علينا رجل من غيرنا

“tiada seorang pun daripada mereka yang rela dipimpin oleh orang luar dari suku kami

 

Ini menggambarkan bahawa tradisi mereka memang tidak membenarkan diri dipimpin oleh seseorang dari luar suku mereka. Namun begitu, jika yang memimpin itu adalah Nabi ﷺ, mereka sanggup menerimanya. Kerana itu, mereka bersedia untuk menyerahkan kepemimpinan dan kekuasaan mereka kepada baginda ﷺ.

 

Ketiga, ikrar (bai‘at) Aqabah Kedua tidak berlaku melainkan setelah mereka benar-benar bersedia menghadapi segala risiko dan akibat daripada menyerahkan kekuasaan serta kekuatan mereka demi melindungi dan memelihara Islam.

 

Sebelum bai‘at terjadi, ‘Abbās bin ‘Ubādah bin Naḍlah RA telah memastikan kesediaan orang-orang Anṣār dengan berkata: “Jika kalian merasakan bahawa apabila harta benda kalian musnah dan para pemimpin kalian terbunuh, kalian akan berpaling daripadanya (Muhammad ﷺ) dan menyerahkan baginda kepada musuh, maka dari sekarang tinggalkanlah dia. Kerana jika itu yang akan kalian lakukan, maka sesungguhnya ia adalah satu kehinaan di dunia dan di akhirat. Akan tetapi, sekiranya kalian merasakan bahawa kalian sanggup menepati janji yang telah kalian ikrarkan kepadanya walaupun harta kalian akan habis dan pemuka (pemimpin) kalian terbunuh maka silakan kalian terimanya. Demi Allah, itulah sebaik-baik dunia dan akhirat.”

 

Mereka pun menjawab sambil bertanya:

 

فَإِنَّا نَأْخُذُهُ عَلَى مُصِيبَةِ الْأَمْوَالِ، وَقَتْلِ الْأَشْرَافِ، فَمَا لَنَا بِذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إنْ نَحْنُ وَفَّيْنَا (بِذَلِكَ)؟

“Kami akan lakukan ikrar tersebut, sekalipun akibatnya adalah musibah harta benda dan terbunuhnya para pemuka masyarakat kami. Maka apakah ganjaran bagi kami wahai Rasulullah, jika kami menepati semua ini?”

Baginda ﷺ menjawab: “Syurga.”

Lalu baginda ﷺ diminta menghulurkan tangannya dan mereka pun membai‘at (berikrar setia) kepada baginda.

 

Keempat, orang-orang Quraisy sendiri hakikatnya bertolak ansur terhadap kepelbagaian agama dan kebebasan berkeyakinan selagi ia tidak mengarah kepada kekuasaan (negara) yang akan menggugat pemerintahan mereka.

 

Sebagai contoh, Waraqah bin Naufal boleh hidup dengan aman di tengah masyarakat Quraisy sebagai seorang ahli kitab. Nabi Muhammad ﷺ, walaupun sejak awal mereka tahu bahawa baginda tidak pernah sujud kepada berhala, masih boleh hidup dengan tenang selama empat puluh tahun. Bahkan, mereka masih menganggap baginda sebagai seorang yang dipercayai (al-Amîn) dan menjadikannya sebagai hakim dalam menyelesaikan perselisihan. Mereka juga masih boleh bertoleransi dengan amalan ibadah kaum Muslimin sekiranya dilakukan secara sembunyi, sebagaimana yang berlaku kepada Abu Bakar RA dan Ibnu Daghannah RA. Namun, mereka mula menentang keras dakwah Rasulullah ﷺ apabila mereka faham bahawa baginda akan membentuk kekuasaan dalam rangka menerapkan Islam.

 

Dr. Imaduddin Khalil menyatakan bahawa sesungguhnya Islam datang untuk diterapkan dalam tiga cakupan yang saling berkaitan: manusia, negara, dan peradaban (ḥaḍhārah). Cakupan sebagai manusia (individual) telah pun diwujudkan di Mekah. Namun, aspek politik, sosial kemasyarakatan, dan ekonomi tidak dapat diwujudkan tanpa negara (daulah). Oleh sebab itulah, Rasulullah ﷺ berjuang dalam rangka hijrah setelah memahami bahawa Mekah tidak layak untuk berdirinya sebuah Daulah Islam. (Imaduddin Khalil, Dirāsah fī al-Sīrah, hlm. 106–107)

 

Setelah Rasulullah ﷺ mendapat nurah (pertolongan) daripada penduduk Madinah, yakni selepas berlakunya Bai‘at al-‘Aqabah II (yang dikenali sebagai bai‘at atas pemerintahan) dan setelah Madinah secara de jure menjadi Dār al-Islām (Negara Islam), barulah perintah untuk berhijrah ke Madinah dilakukan.

 

Ketika Rasulullah ﷺ memerintahkan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah, baginda bersabda:

 

فَإِنَّ بِهَا مَلِكًا لَا يُظْلَمُ عِنْدَهُ أَحَدٌ

 “Sesungguhnya di sana (Habsyah) ada seorang raja yang tidak menzalimi seorangpun” [i]

 

Namun, ketika baginda memerintahkan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah, baginda menyatakan:

 

إنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ جَعَلَ لَكُمْ إخْوَانًا وَدَارًا تَأْمَنُونَ بِهَا

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah menjadikan untuk kalian para saudara dan tempat tinggal (negara) yang kalian akan aman dengannya”[ii]

 

Ini semua menunjukkan bahawa hijrah ke Madinah adalah hijrah menuju sebuah negara Islam yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah ﷺ sebelum itu. Justeru, berkaitan dengan hijrah ini, Imam Ibnul Arabi mendefinisikan:

 

الهجرة وهي الخروج من دَارِ الْحَرْبِ إِلَى دَارِ الْإِسْلَامِ

“Hijrah adalah keluar atau berpindah dari Negara yang diperangi/negara kufur ke negara Islam.”[iii]

 

Para ulama dan sejarawan Islam telah sepakat bahawa Madinah selepas peristiwa hijrah Nabi ﷺ telah berubah status daripada sekadar sebuah kota biasa kepada sebuah negara Islam. Sekiranya Madinah hanya dianggap sebagai sebuah kampung, adakah wajar seorang ketua kampung mempunyai pasukan tentera, melantik pegawai zakat, memeterai perjanjian dengan negara-negara lain, melantik pemimpin wilayah, melaksanakan hukuman hudud dan jinayah, serta menjalankan pelbagai urusan kenegaraan lainnya?

 

Sudah tentu, sesiapa yang berfikir dengan jernih tidak akan membuat kesimpulan sedemikian. Allahu A‘lam.

 

Rujukan:

[i] Ibnu Hisyam, Al-Sîrah Al-Nabawiyyah (Mesir: Musthafa Al Bâbi, 1955), 1/321.

[ii] Ibid., 1/468.

[iii] Al Qurthuby, Al-Jâmi’ Li Ahkâm Al-Qur’ân (Kairo: Dar al-Kutub al-Mishriyah, 1964), 5/349.

 

Sumber: https://mtaufiknt.wordpress.com/2018/09/10/motif-hijrah-nabi/

 

#hijrahnabi #negaraIslam #Madinah #PeristiwaHijrah

Exit mobile version