[Soal Jawab] Apakah Status Perkahwinan Suami Isteri Kristian Jika Suami Memeluk Islam?
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Seorang Youtuber Kristian terkenal telah memeluk Islam, tetapi isterinya masih beragama Kristian dan belum memeluk Islam. Apakah status perkahwinan mereka?
Jawapan:
Jika suami isteri Kristian memeluk Islam, baik memeluk Islam secara serentak atau tidak, maka terdapat rincian (tafshīl) status perkahwinan mereka kepada tiga hukum syarak seperti berikut;
Pertama, jika suami isteri Kristian tersebut memeluk Islam secara serentak, maka status perkahwinan mereka diakui dalam hukum Islam, mereka tidak diwajibkan untuk mengadakan akad nikah semula mengikut cara Islam, dan tidak berlaku fasakh (pembatalan akad nikah) yang berlaku sebelumnya, dengan syarat tiada sebarang māni’ (larangan syariah) terhadap perkahwinan mereka menurut hukum Islam. Contoh māni’, termasuklah jika isteri itu adalah mahram kepada suami, contohnya saudara perempuan susuan suami, dan sebagainya.
Imam Ibnu ‘Abdil Barr, rahimāhullah, berkata:
أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ الزَّوْجَيْنِ إذَا أَسْلَمَا مَعًا ، فِي حَالٍ وَاحِدَةٍ ، أَنَّ لَهُمَا الْمُقَامَ عَلَى نِكَاحِهِمَا ، مَا لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا نَسَبٌ وَلَا رَضَاعٌ . وَقَدْ أَسْلَمَ خَلْقٌ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَأَسْلَمَ نِسَاؤُهُمْ ، وَأُقِرُّوا عَلَى أَنْكِحَتِهِمْ ، وَلَمْ يَسْأَلْهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شُرُوطِ النِّكَاحِ ، وَلَا كَيْفِيَّتِهِ
“Telah sepakat para ulama bahawa jika suami isteri (kafir) memeluk Islam secara bersamaan, dalam satu keadaan, maka mereka berhak meneruskan perkahwinan mereka, selagi di antara mereka tidak ada hubungan nasab atau susuan. (Dalilnya kerana dahulu) beberapa orang kafir telah memeluk Islam pada zaman Rasulullah SAW bersama isteri-isteri mereka, dan perkahwinan mereka telah diakui. Rasulullah SAW tidak pernah bertanya kepada mereka mengenai syarat-syarat dan tatacara (kaifiyyat) perkahwinan mereka.” (Ibnu ‘Abdil Barr, Al-Tamhīd, 12/23).
Kedua, jika suami isteri Kristian tidak memeluk Islam secara serentak, iaitu suami memeluk Islam terlebih dahulu, dan isteri kemudian, dengan jarak masa di antara kedua-duanya. Contohnya, suami memeluk Islam pada hari Isnin, sedangkan isteri memeluk Islam pada hari Khamis. Maka, dalam keadaan ini, status perkahwinan mereka juga sah dalam pandangan Islam, ini kerana Islam membolehkan lelaki Muslim berkahwin dengan wanita Ahli Kitab saat ini.
Imam Taqiyuddin An-Nabhani, rahimahullāh, berkata:
إِنَّ اللَّهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَجَازَ لِلْمُسْلِمِ أَنْ يَتَزَوَّجَ الْمَرْأَةَ الْكِتَابِيَّةَ: يَهُودِيَّةً أَوْ نَصْرَانِيَّةً لِأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : ﴿اَلْيَوْمَ اُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُۗ وَطَعَامُ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْۖ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْۖ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الْمُؤْمِنٰتِ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ مِنْ قَبْلِكُمْ اِذَآ اٰتَيْتُمُوْهُنَّ اُجُوْرَهُنَّ مُحْصِنِيْنَ غَيْرَ مُسٰفِحِيْنَ وَلَا مُتَّخِذِيْٓ اَخْدَانٍۗ ﴾
“Sesungguhnya Allah SWT telah membolehkan lelaki Muslim untuk mengahwini perempuan kitābiyyah, iaitu yang beragama Yahudi atau Nasrani, kerana Allah Ta’ālā telah berfirman (maksudnya), “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.” (TMQ Al-Māidah [5] 9: 5). (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Ijtimā’ī fī Al-Islām, hlm. 106).
Ketiga, jika suami isteri Kristian itu tidak memeluk Islam secara serentak, iaitu isteri memeluk Islam terlebih dahulu, kemudian suaminya memeluk Islam kemudian, dengan jarak masa antara kedua-duanya.
Dalam keadaan seperti ini, status perkahwinan mereka tidak sah dalam pandangan Islam, dan wajib dipisahkan. Ini kerana Islam telah mengharamkan perkahwinan perempuan Muslimah dengan lelaki non-Muslim, sama ada lelaki non-Muslim itu daripada kalangan Ahli Kitāb (beragama Yahudi atau Nasrani) atau musyrik (tidak beragama Yahudi atau Nasrani).
Hal itu kerana Allah SWT telah mengharamkan dengan nas yang sharīh (jelas), perkahwinan perempuan Muslimah dengan lelaki non-Muslim (kafir) secara mutlak, sesuai firman Allah Ta’ālā:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا جَاۤءَكُمُ الْمُؤْمِنٰتُ مُهٰجِرٰتٍ فَامْتَحِنُوْهُنَّۗ اَللّٰهُ اَعْلَمُ بِاِيْمَانِهِنَّ فَاِنْ عَلِمْتُمُوْهُنَّ مُؤْمِنٰتٍ فَلَا تَرْجِعُوْهُنَّ اِلَى الْكُفَّارِۗ لَا هُنَّ حِلٌّ لَّهُمْ وَلَا هُمْ يَحِلُّوْنَ لَهُنَّۗ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).” (TMQ Al-Mumtahanah [60]: 10). (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Ijtimā’ī fī Al-Islām, hlm.107).
Namun, jika suaminya yang beragama Kristian itu lalu menyusul isterinya memeluk Islam, dan bermaksud meneruskan perkahwinannya dengan isterinya, maka wajib hukumnya dilakukan akad nikah secara Islam, dengan memenuhi segala rukun dan syaratnya, seperti adanya wali daripada pihak perempuan, dua orang saksi lelaki yang adil, dan sebagainya. Wallāhu a’lam.
Sumber:
https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/668
#SoalJawab #perkahwinan #HukumFiqh #Keluarga

