Site icon MuslimahHTM News

Adakah Janin Biri-biri yang Mati di Dalam Perut Ibunya Halal Dimakan?

[Soal Jawab] Adakah Janin Biri-biri yang Mati di Dalam Perut Ibunya Halal Dimakan?

 

Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi

 

Soalan:

 

Adakah halal memakan janin biri-biri yang mati dalam perut ibunya?

 

Ibunya sendiri dalam keadaan hamil telah diputuskan untuk disembelih, kerana ibu biri-biri tersebut tidak mahu makan, dan dibimbangi jika tidak disembelih, ibu biri-biri itu akan mati. Setelah perutnya dibelah (dibezah), didapati terdapat 4 ekor janin di dalamnya semuanya telah mati. Daging ibunya dipotong-potong kemudian dijual. Persoalannya ialah, adakah janin-janin itu halal dimakan sebagaimana ibunya?

 

Jawapan:

 

Halal hukumnya untuk memakan 4 ekor janin biri-biri yang ditemui dalam keadaan mati di dalam perut ibunya yang telah disembelih.

 

Demikian pendapat yang rajih (lebih kuat) daripada jumhur ulama, iaitu ulama mazhab Maliki, mazhab Syafie, dan mazhab Hanbali. Mereka menghalalkan janin haiwan yang didapati mati di dalam perut ibunya selepas ibunya mati disembelih, dan tidak mewajibkan penyembelihan untuk janinnya. Pendapat jumhur ini berbeza dengan pendapat ulama mazhab Hanafi yang mengharamkan janin yang didapati mati dalam perut ibunya yang mati disembelih, dan mereka mewajibkan penyembelihan tersendiri untuk janinnya.

 

Dalil ulama jumhur adalah hadis Nabi SAW berikut:

 

عن أبي سَعيدٍ الخُدْريِّ رَضِيَ اللهُ عنه قال: ((قُلْنا: يا رَسولَ اللهِ، نَنحَرُ النَّاقةَ ونَذبَحُ البَقَرةَ والشَّاةَ، فنَجِدُ في بَطنِها الجَنينَ، أنُلْقِيه أم نأكُلُه؟ قال: كُلُوه إن شِئْتُم؛ فإنَّ ذَكاتَه ذَكاةُ أُمِّه

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, dia berkata, “Kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, kami pernah berkorban unta betina, kami juga pernah menyembelih lembu betina dan kambing betina, lalu kami menemui janin di dalam perutnya. Adakah kami perlu membuang janin itu atau kami boleh memakannya?’ Rasulullah SAW menjawab, “Makanlah janin itu jika kalian mahu, kerana penyembelihan untuk janin, adalah (cukup dengan) penyembelihan ibunya.” (HR. Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad, hadis sahih).

 

Imam Ibnu Qudamah menjelaskan makna hadis tersebut dengan berkata:

إذا خرج الجنين ميتا من بطن أمه بعد ذبحها أو وجد ميتا في بطنها ، أو كانت حركته حركة المذبوح فهو حلال

“Jika janin keluar dalam keadaan mati dari perut ibunya selepas ibunya disembelih, atau didapati mati dalam perut ibunya, atau gerakan janin itu seperti gerakan haiwan yang disembelih (kejang-kejang, dsb), maka janin itu adalah halal.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 8/579).

 

Dengan demikian, jelaslah bahawa menurut pendapat jumhur ulama, empat ekor janin biri-biri yang didapati mati dalam perut ibunya yang telah disembelih, hukumnya adalah halal, tanpa perlu disembelih lagi. Wallahu a’lam.

 

Sumber:

https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/669

 

#SoalJawab #HukumFiqh #HaiwanSembelihan #MakananHalal

Exit mobile version