[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 5/11)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Akal tanpa penjelasan akan terjerumus dalam kesesatan dan dosa. Tabayyun (penjelasan) ialah aktiviti berfikir untuk mengetahui hakikat sesuatu. Dengan cara ini, tindakan itu boleh mencapai kebenaran dan kejayaan. Menurut syariat Islam, perbuatan perlu memenuhi syarat, iaitu manusia sebagai pelaksana mesti memindahkan perasaannya kepada fikirannya sebelum bertindak.
Pemikiran ini juga perlu menjadi pemahaman bagi seorang muslim supaya aktivitinya menjadi perlaksanaan pemikirannya dan mempengaruhi tingkah lakunya. Dengan demikian, tingkah laku seorang muslim akan mengikuti pemahamannya. Ini kerana pemikiran yang merupakan hukum atas realiti itu tidak akan menjadi pemahaman, kecuali apabila penunjukan pemikirannya mempunyai realiti yang menjadi persepsi atau realiti yang terlukis di dalam hati.
Susunan kalimat (ibarat) “solat itu fardhu” mempunyai penunjukan (madlul). Penunjukan ini adalah pemikiran yang diambil dari dalil-dalil syarak, seperti “Dan tegakkanlah solat.”
Juga seperti, “Neraka wail bagi orang yang solat, iaitu mereka yang lalai dari solatnya.”
Juga seperti ibarat, “Solatlah kalian seperti kalian melihatku melaksanakan solat.” (HR Bukhari dan Darimi dari Malik bin Huwairits)
Pemikiran ini tidak akan menjadi pemahaman (mafhum), kecuali apabila seorang muslim telah memahami setiap bahagian penunjukan pemikiran, seperti syarat-syarat, rukun-rukun, dan gerakan-gerakan solat. Begitu juga apabila dia telah memahami penunjukan kefardhuan tersebut, iaitu perintah yang tegas untuk pelaksanaannya dan hukuman sebagai akibat jika meninggalkan pelaksanaan itu.
Setelah itu, barulah pemikiran itu boleh menjadi pemahaman. Jika seorang muslim itu mempunyai komitmen terhadap pemahamannya, bermaksud dia telah mewujudkannya sesuai hakikatnya. Ini sebagaimana yang diperintahkan dan ketika itu terungkap jelas bahawa pemahaman ini menjadi standard (tolok ukur) bagi tingkah lakunya dalam beramal.
Namun seorang muslim boleh saja menyimpang dari pemahamannya, iaitu dia tidak melaksanakan solat. Ketika itu terungkap jelas bahawa tingkah lakunya terhadap solat tidak diikat dengan standard pemahamannya tentang solat.
Oleh kerana itu, bagi orang yang berkehendak mengubah tingkah laku manusia, perlu terlebih dahulu mengubah pemahaman-pemahamannya. Sebab, tingkah laku seseorang akan mengikuti pemahaman-pemahamannya. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 11]
Dengan demikian, hakikat masyarakat tidaklah berubah dari berbagai kelompok masyarakat, dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, dan dari kemerosotan kepada kebangkitan, kecuali ketika mereka bersungguh-sungguh mengubah pemahaman-pemahamannya tentang kehidupan.
Langkah kedua, aktiviti itu perlu berdiri di atas keimanan. Kerana itu, pemikiran yang mendahului aktiviti perlu memancar dari pandangan hidup. Setiap kali seorang muslim akan melaksanakan atau meninggalkan suatu aktiviti, maka dia perlu dibangun atas kesedaran bahawa adakah aktiviti itu boleh mendatangkan redha atau murka Allah SWT.
Seorang muslim hendaklah melakukan sesuatu aktiviti kerana perintah Allah. Dia juga perlu menjauhi suatu aktiviti kerana larangan dari Allah SWT. Ini bermaksud bahawa aktiviti itu dibangun atas dasar keimanan. Sesungguhnya ketika seorang muslim memahami di tengah pelaksanaan perbuatannya bahawa Allah SWT adalah Zat yang memerintahkan aktiviti tersebut, maka dia akan melaksanakan amalannya dengan semangat dan ikhlas.
Inilah gabungan benda dengan roh. Sesungguhnya aktiviti manusia itu hanyalah benda, sedangkan memahami hubungannya dan hubungan aktivitinya dengan Allah adalah roh. Sungguh, Al-Quran Al-Karim telah banyak mengaitkan amal soleh dengan keimanan pada ayat-ayat-Nya.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. …” [TMQ Al-Asr (103): 2—3]
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi…” [TMQ An-Nuur (24): 55]
Juga firman-Nya, “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman, dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan…” [TMQ Al-Furqaan (25): 70]
Apabila seorang muslim mengaitkan aktiviti dengan keimanan kepada Allah SWT ketika dia melakukan sesuatu aktiviti, maka semasa aktiviti itu, dia dikawal oleh keimanan yang penuh. Ini kerana ketika dia menjalankan aktivitinya dalam keadaan dia memahami bahawa dia adalah makhluk Al-Khaliq, maka dia akan menjalankan aktivitinya mengikut perintah Al-Khaliq. Ini akan mendatangkan kebahagiaan kepadanya iaitu dengan mendapat keredhaan Allah Taala.
Perasaan ini merupakan keadaan penuh keimanan. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.” [TMQ Al-Bayyinah (98): 7—8]
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia #PemikiranManusia

