Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 6)

[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 6)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Firman Allah SWT, “… Yang menginfakkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkan (dirinya dan harta bendanya). Padahal dia menderma bukan kerana membalas budi sesiapa pun. Hanyalah mengharapkan keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat pahala yang diharapkannya).” [TMQ Al-Lail (92): 18—21]

 

Aktiviti dan usaha tertinggi seorang muslim adalah mencari redha Allah Taala. Sesungguhnya mengikat pemikiran dengan iman itu boleh menjadikan pemikiran menjadi pemahaman bagi seorang muslim. Apatah lagi ketika realiti yang ditunjukkan oleh pemikiran itu tidak dapat disentuh oleh pancaindera seorang muslim, seperti syurga dan malaikat.

 

Hanya saja, keimanan terhadap Al-Quran sebagai firman Allah, serta sebagai firman yang yakin dan pasti kebenarannya telah memberi khabar bahawa di sana ada syurga, neraka, malaikat dan jin. Kesan khabar tersebut menjadi hakikat yang terlukis dalam hati seorang muslim sebagai kesan yang terpancar dari pemikirannya.

 

Oleh kerana itu, pemikiran seorang muslim telah menjadi fahaman yang mempengaruhi tingkah lakunya. Dengan demikian, mengikat aktiviti dengan keimanan boleh menjadikan pemikiran sebagai asas tertegaknya aktiviti, kemudian menjadi sebuah pemahaman.

 

Langkah ketiga, bagi setiap orang yang melakukan perbuatan, dia perlu mempunyai tujuan, iaitu aktiviti itu terlaksana kerana tujuan tersebut. Selagi manusia terus melaksanakan berbagai aktiviti untuk memenuhi naluri-naluri serta keperluan jasmaninya, maka dia akan berusaha merealisasikan tujuan (qashdu) pada setiap aktiviti yang dilaksanakannya. Tujuan itu adalah untuk menjaga kelangsungan spesisnya atau menghindari kelemahan, kekurangan dan keperluan yang ada pada dirinya.

 

Jadi, manusia tidak melaksanakan perbuatannya hanya sebagai permainan yang sia-sia. Maha Suci Allah Tuhan Semesta Alam yang tidak menuntut manusia agar melaksanakan aktiviti secara sia-sia. Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan nilai bagi manusia untuk setiap aktiviti yang wajib direalisasikan ketika melaksanakan aktivitinya.

 

Kita hendaklah meneliti hukum-hukum syariat yang menuntut untuk melaksanakan berbagai aktiviti. Nescaya kita akan menemukan bahawa nilai-nilai perbuatan yang perlu direalisasikan dan dilestarikan mencakupi empat nilai, iaitu nilai kebendaan (kimah madiyah), nilai spiritual (kimah ruhiyah), nilai kemanusiaan (kimah insaniyah), dan nilai moral.

 

Seorang muslim wajib merealisasikan nilai yang telah ditentukan oleh syarak pada aktiviti yang dilaksanakannya. Ini dilakukan ketika memenuhi salah satu naluri atau salah satu keperluan jasmaninya tersebut, iaitu setelah berjaya mengikat dirinya dalam aktivitinya dengan hukum syarak.

 

Allah SWT berfirman, “Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” Juga firman-Nya, “Kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak) kalian untuk kalian, maka berikanlah kepada mereka upahnya.” [TMQ Ath-Thalaq (65): 6]

 

Juga firman-Nya, “Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” [TMQ Al-Mulk (67): 15]

 

Nabi SAW juga bersabda, “Keuntungan itu tergantung pada syarat dua orang yang melakukan akad.”

 

Jadi, jual beli, sewa menyewa, buruh dan syirkah adalah aktiviti-aktiviti yang telah disyariatkan Allah SWT untuk melestarikan nilai kebendaan (kimah madiyah).

 

Nilai kebendaan (kimah madiyah) adalah usaha yang bersifat benda. Ini meliputi benda yang boleh disentuh dan dirasa seperti makanan, kenderaan bermotor, nuquud (wang emas dan perak), serta bumi dan segala sesuatu yang dimanfaatkan dari benda. Ia seperti pakaian yang kita pakai dan makanan yang kita makan, semuanya dihasilkan oleh manusia.

 

Allah SWT telah menjelaskan kepada manusia sebab-sebab yang boleh menghasilkan benda, seperti aktiviti perdagangan, industri, pertanian dan lain-lain. Adapun perkara-perkara bukan benda seperti kehormatan, keberanian, pujian, kemuliaan dan takut pada umumnya justeru menyebabkan kerugian benda.

 

Dengan syairnya, penyair berusaha meraih nilai kebendaan (kimah madiyah) dari orang yang dipujinya. Sedangkan orang yang dipuji dengan syair, dia mengurangkan hartanya sebagai imbalan pujiannya, tetapi dia meraih nilai moral dari orang yang memuji dengan syairnya. Seorang muslim dapat meraih nilai moral dengan cara memakai salah satu sifat dari sifat-sifat yang dikehendaki Allah untuk digunakan.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” Sebahagian akhlak itu adalah sabar. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman. Bersabarlah kalian dan kuatkanlah kesabaran kalian.” [TMQ Ali Imraan (3): 200] Maksudnya, gunakanlah kesabaran.

 

Sifat lainnya adalah pengampun dan pemaaf. Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Tidakkah kamu mahu supaya Allah mengampunkan dosa kamu?” [TMQ An-Nuur (24): 22]

 

Begitu juga sifat pemalu. Nabi SAW bersabda, “Malu itu sebahagian dari iman, sedangkan iman itu di syurga.”

 

Sifat lainnya adalah dermawan dan mulia. Nabi SAW bersabda, “Dermawan itu dekat kepada Allah dan dekat dari syurga.” Juga sabda beliau SAW, “Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka muliakanlah tamunya.”

 

Kesemua sifat akhlak ini akan dapat dilihat dalam diri umat Islam apabila mereka melakukan perbuatan mereka. Ini seperti ibadah, jual beli, syariat, memakan berbagai makanan, dan berpakaian menurut perintah dan larangan-Nya. Firman Allah SWT, “Sungguh bahagialah orang-orang mukmin, iaitu mereka yang khusuk di dalam solatnya.”

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah

 

 

#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia

 

 

 

Exit mobile version