Benarkah Pemimpin Cerminan daripada Rakyatnya?
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Saat si A memberikan kritikan kepada pemimpin, si B membalas kritikan si A dengan menyatakan bahawa pemimpin itu cerminan rakyatnya, oleh itu rakyat tidak perlu menyalahkan pemimpin. Semua itu bermula dari kesalahan rakyat itu sendiri. Apakah pandangan terhadap kenyataan ini?
Apa yang lebih tepat adalah ungkapan bahawa hubungan rakyat-penguasa bersifat timbal balik, bahkan ada elemen ketiga yang turut mendominasi mereka, yakni sistem. Perlu dilihat dari tiga sisi sekaligus, yakni pemimpin itu cerminan daripada majoriti rakyatnya, majoriti rakyat cerminan daripada pemimpinnya, dan sistem yang baik akan menyuburkan rakyat dan penguasa yang baik. Majoriti rakyat yang rosak akan melahirkan pemimpin yang rosak, sebaliknya pemimpin yang rosak akan menciptakan dan menyebabkan rakyat menjadi rosak, sementara dalam sistem yang rosak, orang baik yang naik menjadi pemimpin pun berpotensi besar untuk berubah menjadi rosak.
Pemimpin Cerminan daripada Majoriti Rakyatnya
Dalam Miftâh Dâr Al-Sa’âdah dinyatakan:
وتأمل حكمته تعالى في ان جعل ملوك العباد وأمراءهم وولاتهم من جنس اعمالهم بل كأن أعمالهم ظهرت في صور ولاتهم وملوكهم فإن استقاموا استقامت ملوكهم وإن عدلوا عدلت عليهم وإن جاروا جارت ملوكهم وولاتهم
“Dengan perenungan akan didapati bahawa diantara hikmah Allah Ta’ala adalah Dia menjadikan perilaku para raja, pemimpin dan penguasa adalah sama dengan perilaku rakyatnya, bahkan seakan-akan perilaku rakyat tercermin dalam gambaran perilaku pemimpin dan penguasa mereka. Jika rakyat lurus maka akan lurus pula penguasa mereka. Jika rakyat adil maka akan adil pula penguasa mereka. Jika rakyat berbuat zalim maka penguasa mereka akan berbuat zalim juga.”[1]
Salah satu tanda rosaknya rakyat adalah saat mereka tidak mahu mengkritik dan meluruskan kemungkaran, termasuk kemungkaran penguasanya, mereka mendiamkannya lalu menyibukkan diri ‘mencerahkan’ umat supaya mereka ‘sabar’, ‘redha dan ikhlas’ menerima kezaliman. Perilaku seperti inilah yang diancam oleh Rasulullah akan diberi ‘hadiah’ berupa pemimpin yang buruk.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:
لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ فَيَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ
“Hendaklah kalian beramar makruf nahi munkar atau Allah akan menjadikan orang-orang jahat dari kalian berkuasa, lalu orang-orang baik di kalangan kamu berdoa dan doa mereka tidak dikabulkan.”[2]
Oleh kerana itu, mengkritik kebijakan penguasa termasuk sebagai amal soleh jika dilandasi niat yang ikhlas untuk memperbaiki umat. Penguasa yang baik pasti sangat memerlukan kritikan, yang berasaskan fakta dan berdasarkan dalil. Khalifah Umar bahkan mendoakan orang-orang yang mengkritik dan menunjukkan kekurangannya. Beliau berkata:
رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً أَهْدَى إِلَيَّ عيوبي
“Semoga Allah merahmati orang-orang yang menunjukkan kepadaku kekurangan-kekuranganku.”[3]
Majoriti Rakyat Cerminan daripada Pemimpinnya
Apa yang terlihat dengan mata kasar adalah rosaknya rakyat itu disebabkan oleh rosaknya penguasa, kerana penguasalah yang bertanggungjawab mendidik dan menasihati rakyatnya. Imam al Ghazali dalam Ihya’ nya menyatakan:
وبالجملة إنما فسدت الرعية بفساد الملوك وفساد الملوك بفساد العلماء فلولا القضاة السوء والعلماء السوء لقل فساد الملوك خوفاً من إنكارهم
“Secara umum, rosaknya rakyat itu adalah kerana rosaknya para penguasanya, dan rosaknya para penguasa itu tidak lain adalah kerana rosaknya para ulamanya. Kalaulah bukan kerana para hakim dan para ulama yang jahat, nescaya akan sedikit kerosakan pada para penguasa, lantaran mereka takut akan mendapatkan penentangan dari mereka.”[4]
Sistem
Rasulullah SAW bersabda:
الْمَدِينَةُ كَالْكِيرِ تَنْفِي خَبَثَهَا وَيَنْصَعُ طَيِّبُهَا
“Madinah itu bagaikan mesin tungku api, ia membersihkan karat-karat (besi) dan menyaring yang baik-baik sahaja.” (HR. Al Bukhari).
Sistem yang baik itu ibarat tungku api, bagaimana pakar sekali pun tukang besi, dan bagaimana bagusnya kualiti besi, jika tungkunya tidak ada atau kurang baik, maka kepakaran tukang besi tersebut tidak akan optimal, bahkan akan merosakkan reputasi tukang besi tersebut. Sebaliknya dengan tungku yang baik, karat-karat pada besi yang akan ditempa akan hilang. Inilah sistem Islam, Sistem Khilafah, yang ribuan tahun terbukti berjaya menghilangkan ‘karat-karat’ perilaku masyarakat yang rosak, yang awalnya suka mabuk, main judi, membunuh anak perempuan, dll menjadi masyarakat terbaik saat itu.
Oleh kerana itu, saat memperbaiki individu rakyat, mahupun memuhasabah kebijakan penguasa, janganlah kita lupa untuk mengarahkan perbaikan rakyat dan penguasa tersebut kepada perbaikan sistemnya. Hanya fokus kepada perbaikan individu rakyat semata, apatah lagi sambil mencela orang yang berusaha memuhasabah penguasa dan sistemnya pada hakikatnya justeru sedang mempertahankan kerosakan atau bahkan merosakkan masyarakat. Allâhu A’lam.
[1] Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Miftâh Dâr Al-Sa’âdah (Riyadh: Dâr Ibnu ’Affân, 1996), Juz 1, h. 253.
[2] Abu Bakr Ahmad bin ’Amr Al-Bazzar, Musnad Al-Bazzar, Pentahkik. Mahfudh ar-Rahman Zainuddin, Cet. I. (Madinah: Maktabah al-’Ulum wa al-Hikam, 2009), Juz 1, h. 292; Abu Muhammad al-Hârits bin Muhammad bin Dâhir at-Tamimi al-Baghdadi, Bughyatu Al-Bâhits ‘an Zawâidi Musnad al-Hârits, Pentahkik. Husain Ahmad Shalih al-Bakri, Cet. I. (Madinah: Markaz Khidmat as-Sunnah wa as-Sirah an-Nabawiyyah, 1992), Juz 2, h. 767.
[3] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali, Ihya’ ’Ulumiddin (Beirut: Dâr al-Ma’rifah (Dalam Maktabah Syamilah), t.th), Juz 3, h. 64.
[4] Ibid., Juz 2, h. 150.
#muhasabahpenguasa #pembaikansistem #WeNeedKhilafah #KhilafahSistemTerbaik #AmarMakrufNahiMungkar

