Pengembara Ilmu
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Seorang wanita berkata kepada suaminya: “Nanti xxx (nama anaknya) tidak perlu sekolah jauh-jauh ya, boleh saja belajar di sekitar sini saja.” Suaminya terdiam berfikir sejenak, lalu berkata, “orang-orang besar, mereka tidak menetap dari mereka lahir sampai mereka mati di tempat kelahirannya saja”.
***
Imam Al-Bukhari lahir di Bukhara (sekarang Uzbekistan), beliau mengembara hingga ke Khurasan, kemudian ke Baghdad, kemudian ke Bashrah (Iraq), kemudian ke Damaskus, al-Quds, kemudian ke Fusthat (Kairo Lama), kemudian ke Madinah, kemudian beliau kembali ke Bukhara dan wafat di Samarkand.[1] Tujuh kota dari berbagai negara saat ini yang beliau kunjungi dalam menuntut ilmu, padahal saat itu alat pengangkutannya tidak semudah seperti saat ini.
Imam Muslim, dari Khurasan ke Bashrah, Madinah, Mekah, Tabuk, Fusthat, Damaskus, Iraq, Thibristan, kemudian kembali ke Khurasan. [2]
Betul, di zaman sekarang, hanya duduk di dalam rumah sahaja pun boleh mendapatkan ilmu pengetahuan dari berbagai penjuru dunia. Namun ada satu perkara yang kita tidak boleh dapatkan jika hanya berada di rumah sahaja, yakni usaha yang keras dan berbagai kesulitan saat jauh daripada ibu bapa. Kerana itulah Imam Al-Syafie (w. 204 H) pernah bersyair:
سافر تجد عوضاً عمَّن تفارقهُ *** وَانْصِبْ فَإنَّ لَذِيذَ الْعَيْشِ فِي النَّصَبِ
“Berpergianlah, akan kau temukan pengganti yang telah engkau tinggalkan *** berusahalah, sungguh kenikmatan hidup itu ada pada kerasnya usaha.”
إني رأيتُ وقوفَ الماء يفسدهُ ***إِنْ سَاحَ طَابَ وَإنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ
“Sungguh aku melihat berhentinya air (tidak mengalir) akan merosaknya (air menjadi kotor) *** jika ia mengalir maka akan bersih, jika tidak mengalir tidak akan bersih.”
والأسدُ لولا فراقُ الأرض ما افترست *** والسَّهمُ لولا فراقُ القوسِ لم يصب
“Seekor singa jika tidak meninggalkan buminya (mengembara), tidaklah (tidak akan boleh) menangkap (mangsa) *** dan anak panah jika tidak meninggalkan busurnya tidak akan boleh mengenai (sasaran).”[3]
Al-Hafidz Ibnu Hajar menceritakan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya:
رجل يطلب العلم يلزم رجلا عنده علم كثير أو يرحل؟
“Mana yang lebih utama antara seseorang yang mulazamah kepada orang yang memiliki banyak ilmu, atau rihlah (mengembara dalam rangka menuntut ilmu).?”
Maka beliau menjawab:
يرحل، يكتب عن علماء الأمصار، فيشام الناس ويتعلم منهم
“(Lebih afdhal) rihlah, dia menulis (menuntut ilmu) daripada banyak ulama berbagai negeri, lalu dia bergaul, mengenal, meneliti dan mengungkap banyak hal terkait manusia dan belajar dari mereka.”[4]
Benar, ibu bapa yang normal akan merasa sayang kepada anaknya, tidak ingin berpisah jauh daripada anak-anaknya, namun rasa sayang dan keinginan bersama tersebut hendaklah di’upgrade’ levelnya; rugi jika anak-anak tidak mendapatkan pengalaman yang lebih, dalam menuntut ilmu dan keinginan bersama kelak di akhirat dalam naungan kasih sayang Allah Taala. Allahu A’lam.
#menuntutilmu #kembarailmu #safar #PengembaraIlmu

