KEMPEN KELUARGA MUSLIM IDEAL
“Dari Rumah ke Jannah : Bergandingan Kembalikan Benteng Keutuhan Ummah”
Keluarga merupakan unit asas dalam sesebuah masyarakat dan menjadi tempat pertama pendidikan dan pembentukan keperibadian generasi. Dalam Islam, keluarga bukan sekadar institusi sosial, tetapi juga madrasah pertama dan benteng utama dalam melahirkan generasi soleh yang menyambung misi kenabian – iaitu menegakkan agama Allah di muka bumi.
Konsep Keluarga Muslim Ideal merujuk kepada keluarga yang dibina berasaskan aqidah yang sahih, dipandu sepenuhnya oleh hukum syarak, serta mempunyai kesedaran peranan yang besar dalam pembangunan umat. Keluarga seperti ini bukan sahaja menjaga keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga, tetapi juga menjadi penyumbang aktif dalam melahirkan generasi yang faham Islam sebagai ad-deen (cara hidup), memperjuangkannya secara syumul dan istiqamah.
Inspirasi utama bagi Keluarga Muslim Ideal dapat dilihat dalam kisah keluarga para Nabi, khususnya keluarga Nabi Ibrahim a.s. Baginda bukan sahaja seorang pemimpin ummah, malah seorang bapa yang mewasiatkan agama kepada anak keturunannya, memastikan mereka tetap berada di atas jalan tauhid dan risalah. Wasiat ini juga disambung oleh Nabi Yaakub a.s., sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT:
“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan demikian juga Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya), katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi pegangan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.’”
(Surah Al-Baqarah: 132)
Dari susur galur keturunan ini akhirnya lahirlah Rasulullah SAW, pembawa risalah Islam terakhir kepada umat manusia, yang menjadi rahmat bagi sekalian alam. Ia menunjukkan bahawa kebangkitan umat bermula dari keluarga yang membawa misi Islam.
Kempen Keluarga Muslim Ideal bukan sekadar ajakan kepada nilai kekeluargaan, tetapi satu seruan dakwah yang menyeluruh – untuk mengembalikan kedudukan keluarga sebagai asas pembinaan ummah. Dalam konteks cabaran global hari ini, usaha membina keluarga yang berpaksikan Islam adalah langkah awal kepada pembinaan semula peradaban Islam yang mulia.
Jangan lupa sertai kempen ini di kawasan anda!
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

