[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Konsep Keluarga Muslim Ideal: Keluarga adalah Ibadah
Keluarga bukan hanya kumpulan manusia yang tinggal di bawah satu bumbung, tetapi merupakan struktur asas atau dasar yang menjadi batu bata kepada pembinaan masyarakat dan peradaban dalam Islam. Dalam kerangka pandangan hidup Islam, keluarga dilihat sebagai satu institusi rabbani, yang diatur oleh wahyu untuk menyempurnakan fitrah manusia serta memikul tanggungjawab kekhalifahan di bumi.
Keluarga juga disebut sebagai al-Usrah (الأسرة), iaitu satu unit sosial yang dibentuk bermula dengan akad nikah yang sah antara seorang lelaki dan perempuan serta diperluas dengan kehadiran anak-anak, ibu bapa, dan anggota keluarga lain. Dalam Islam, kekeluargaan bukan hanya bersifat fizikal dan emosi. Tak cukup sebuah keluarga atau rumah hanya dipenuhi kasih sayang, namun mesti ada “tali” yang mengikat hubungan di anatara anggotanya, yakni aspek spiritual atau kerohanian, yang merangkumi nilai-nilai akidah, ibadah dan akhlak.
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, khususnya Kitab Adab an-Nikah, menggariskan bahawa perkahwinan adalah ibadah yang membawa kepada pembentukan keluarga. Ia bukan sekadar tentang pemuasan nafsu, tetapi satu jalan menuju redha Allah dan kelangsungan umat manusia dengan cara yang mulia.
“النكاح مستحب في نفسه، وهو سنة من سنن المرسلين عليهم السلام، ومطلوب لثلاثة أغراض: حفظ النسب، وكسر الشهوة، والتفرغ للعبادة.”
“Perkahwinan itu sendiri adalah sesuatu yang disukai (mustahab), dan ia adalah sunnah para rasul. Ia dituntut kerana tiga tujuan utama, menjaga keturunan, menundukkan nafsu, dan memberi ruang untuk tumpuan dalam ibadah.” (Imam Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, Kitab Adab an-Nikah, juzuk 2, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)
Dengan kata lain, menikah itu sendiri adalah alat untuk menyuburkan ibadah kepada Allah SWT.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

