Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 10/11)

[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 10/11)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Mengutamakan satu nilai atas nilai yang lain, juga melebihkan atau menyamakannya adalah hak prerogatif syarak. Apabila masalah itu diserahkan sepenuhnya kepada manusia, nescaya terjadi perselisihan antara satu individu dengan individu yang lain dalam menentukan persamaan atau perbezaan ini. Sebab, setiap individu memiliki standard tertentu dengan dirinya.

 

Oleh kerana itu, syarak telah mengharuskan seorang muslim untuk menjalani kehidupan ini sesuai dengan perintah-perintah serta larangan-larangan Allah Taala. Syarak menjelaskan aktiviti-aktiviti untuk meraih setiap nilai tertentu. Syarak juga menjelaskan bila waktunya aktiviti itu dilaksanakan.

 

Umat Islam tidak diperkenankan beraktiviti, kecuali untuk meraih nilai-nilai dengan aktiviti-aktiviti yang dituntut Allah SWT kepadanya. Ini dinisbahkan kepada individu. Sedangkan jika dinisbahkan kepada masyarakat, pencapaian semua individu akan nilai-nilai yang dituntut oleh syarak itu harus sesuai dengan apa yang mereka perlukan dalam kehidupan. Ini dilakukan untuk memenuhi naluri-naluri dan keperluan-keperluan jasmaninya.

 

Pencapaian nilai-nilai dari setiap individu seperti itu dapat mewujudkan keseimbangan dan keserasian dalam masyarakat manusia, serta menampakkan penampakan-penampakan kebangkitan.

 

Dengan tercapainya nilai kemanusiaan (kimah insaniyah), si fakir akan dapat menemukan orang yang bersedekah kepadanya, serta orang yang dalam kesulitan akan menemukan penolongnya. Rasa saling percaya juga dihasilkan di antara individu-individu masyarakat. Ini kerana mereka semua mempunyai moral terpuji, seperti kejujuran, keadilan, dan menjaga kehormatan.

 

Tahap kehidupan mereka meningkat dengan pencapaian nilai material (kimah madiyah). Suasana keimanan menaungi masyarakat dengan pencapaian nilai spiritual (kimah ruhiyah). Dengan demikian, mereka beraktiviti bersama sesuai perintah dan larangan Allah Taala.

Alhasil, menjadi mudah bagi setiap individu dalam masyarakat memenuhi naluri-naluri serta keperluan-keperluan jasmaninya dengan pemenuhan yang benar. Masyarakat menjadi dinamik dan progresif, di mana setiap anggota masyarakat melaksanakan fungsinya untuk melayani keseluruhan masyarakat dan melayani dirinya.

 

Otak manusia berfikir dan merancang, sedangkan jantung terus mengepam darah melalui nadi dan kapilari darah ke seluruh penjuru tubuh. Struktur tubuh dan segenap inderanya bekerjasama menghasilkan makanan. Sel-sel darah putih dalam darah akan menyerang segala penyakit yang datang, lalu menghancurkannya. Perut dan usus-usus beserta enzim mencerna makanan dan menyiapkannya agar dapat tercerna oleh organik tubuh.

 

Begitu juga masyarakat, setiap individu merupakan bahagian dari keseluruhan. Individu beraktiviti untuk orang lain dan untuk dirinya sesuai sistem yang rapi.

 

Mengambil Keputusan yang Cepat

 

Seperti yang telah kami kemukakan bahawa aktiviti yang positif harus melalui beberapa tahap yang tersusun sesuai urutan berikut ini.

 

  1. Naluri (instinct).
  2. Penampakan.
  3. Mengindera realiti.
  4. Pemikiran.
  5. Aktiviti untuk meraih satu nilai daripada keempat nilai yang ada.

 

Di sana ada stesen yang memisahkan antara pemikiran dan aktiviti, iaitu tahap “Pengambilan keputusan yang cepat”. Kadang-kadang seorang muslim, setelah dia berfikir dengan asas Islam dalam aktiviti yang akan dia lakukan dan nilai yang hendak diraihnya, dia bimbang dan ragu-ragu dalam pelaksanaannya.

 

Ini kerap kali terjadi pada aktiviti-aktiviti yang berhubungan dengan perkara-perkara penting, baik aktiviti tersebut untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain. Lebih-lebih lagi pada masalah-masalah yang sangat penting, maka dia akan terdiam setelah dia berfikir dan sebelum melaksanakan aktiviti. Perasaannya saling bertentangan, adakah dia akan bergerak melaksanakan aktiviti tersebut atau sebaliknya, dia tidak akan lakukan aktiviti tersebut?

 

Bagi menjelaskan hal tersebut, kami kongsikan sebuah kisah yang berlaku terhadap brigade (sariyah/formasi tempur) daripada sahabat Rasulullah SAW. Dipendekkan kisahnya, pada hari Rajii’, setelah perang Uhud, datang kepada Rasulullah SAW, kaum dari ‘Udhal dan Qarah. Mereka terdiri daripada dua kabilah Arab. Mereka berkata, “Hai Rasulullah, sesungguhnya pada (negeri) kami ada Islam. Hendaklah engkau mengirimkan bersama kami kelompok dari sahabatmu yang mengajarkan kepada kami masalah agama, membacakan kepada kami Al-Quran, juga mengajarkan kami syariat Islam.”

 

Kemudian Rasulullah SAW mengutus bersama mereka, enam orang daripada sahabatnya. Mereka adalah Mirtsad al-Ghanawy, Kholif Ibnu al-Bakiir, ‘Ashim Ibnu Tsabit, Thariq Ibnu Abdillah, Khubaib Ibnu Ady, dan Zaid Ibnu ad-Datsanah. Nabi SAW menunjuk Mirtsad al-Ghanawi sebagai amir (ketua) mereka.

 

Kemudian, mereka keluar dan hamper sampai di Rajii’ (tempat air milik kabilah Hudail, di kawasan Hijaz), mereka dikhianati oleh kaum yang bersama mereka. Kaum itu bersekongkol dengan kabilah Hudzail. Mereka mendatangi tempat rehat tersebut dengan menghunuskan pedang. Mereka berenam pun memegang pedang masing-masing dan bersedia untuk bertempur. Kaum musyrikin berkata, “Demi Allah, sesungguhnya kami tidak bermaksud untuk membunuh kalian, tetapi kami ingin mendapat sesuatu lantaran kalian dari penduduk Mekah. Bagi kalian ada janji Allah, ya janji Allah. Kami tidak akan membunuh kalian.”

 

Adapun Mirtsad al-Ghanawy sebagai amir brigade, Kholid Ibnu al-Baqir, dan ‘Ashim Ibnu Tsabit, mereka berkata, “Demi Allah, kami tidak menerima janji orang musyrik dan tidak pula menerima akad selamanya.”

 

Ashim Ibnu Tsabit lalu melantunkan syair,

 

Apakah kekuranganku, aku sangat sabar nan membawa anak panah

Sedangkan busur, padanya ada tali yang sangat kuat

Yang sanggup mementalkan dari permukaannya pedang

Lebar nan panjang

Mati adalah hak, sedangkan hidup itu batal

Segala sesuatu di mana Tuhan menentukan pasti turun

Menemui lelaki, sedangkan lelaki itu kepada-Nya akan kembali

Kalau aku tidak memerangi kalian, maka ibuku kehilangan anaknya.

 

Kemudian Mirtsad, Ashim, dan Khalid berperang hingga ketiga-tiga mereka terbunuh. Sedangkan tiga orang lagi, iaitu Zaid Ibnu ad-Datsanah, Khubaib Ibnu Adi, dan Abdulah Ibnu Thariq, mereka lemah dan lembut. Mereka masih selesa untuk hidup dan pasrah sehingga orang-orang musyrik menawan mereka. Mereka dibawa menuju Mekah untuk dijual di sana. Ketika mereka sampai di daerah Dzahran, Abdullah Ibnu Thariq berjaya melepaskan tangannya dari tali yang mengikatnya. Kemudian dia memegang pedang sehingga kaum musyrikin semua mundur darinya, lalu dia dilempari batu sampai mati.

 

Kaum itu berjaya menjual Khubaib dan Zaid kepada orang Mekah. Kemudian mereka membunuh keduanya. Cerita enam sahabat Nabi SAW di atas memberikan tiga standard (contoh) kepada kita untuk mengambil keputusan tepat dalam satu keadaan (situasi).

 

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia #StandardPerbuatan

Exit mobile version