Site icon MuslimahHTM News

Mengqadha’ Solat Wajib

Mengqadha’ Solat Wajib

 

Oleh: Ustaz M Taufik NT

 

Definisi

 

والقضاء: فعل الواجب بعد وقته. أو إيقاع الصلاة بعد وقتها.

“Qadha’: adalah melaksanakan kewajipan setelah waktunya, atau menjalankan solat setelah habis waktunya.” [1]

 

Hukumnya

 

Wajib atau tidak hukum mengqadha’ solat itu bergantung kepada sebab seseorang itu meninggalkan solat sehingga lewat waktu.

 

Pertama, jika seseorang tidak menunaikan solat fardhu sehingga waktunya habis kerana terlupa atau tertidur, maka dia tidak berdosa kerana kelalaian ini, tetapi dia wajib mengqadha’ solat yang ditinggalkan itu. Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai perkara ini.[2]

 

Alasannya adalah Sabda Rasulullah SAW:

 

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ قَالَ ذَكَرُوا لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَوْمَهُمْ عَنِ الصَّلاَةِ فَقَالَ إِنَّهُ لَيْسَ فِي النَّوْمِ تَفْرِيطٌ إِنَّمَا التَّفْرِيطُ فِي الْيَقَظَةِ فَإِذَا نَسِيَ أَحَدُكُمْ صَلاَةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا

“Diriwayatkan daripada Abu Qatadah, beliau berkata bahawa para sahabat telah memberitahu Nabi SAW tentang tidur mereka yang menyebabkan mereka terlalai daripada menunaikan solat (pada waktunya), maka Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya tidak ada masalah lalai ketika sedang tidur, sesungguhnya lalai itu berlaku dalam keadaan berjaga. Maka apabila salah seorang daripada kamu terlupa atau sedang tidur (sehingga tidak menunaikan solat), maka tunaikanlah solat itu apabila telah ingat.’” (HR. At-Tirmidzi)[3]

 

Kedua, jika alasan tidak solat disebabkan uzur gila, atau hilang akal sebab pengsan, atau koma, maka menurut majoriti ulama (Hanafiyah, Malikiyah dan Syafi’iyyah) tidak wajib qadha’ solat. Termasuk juga uzur disebabkan haidh/nifas, tidak wajib qadha’, kecuali tiga waktu yakni 1) saat datangnya haidh, 2) saat berhentinya haidh dan 3) saat sebelum berhentinya haidh (menurut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad).

 

(baca https://wp.me/pcdvJ-zV )

 

Ketiga, jika alasan tidak menunaikan solat itu adalah kerana malas atau tiada uzur syarie, maka menurut majoriti ulama (empat mazhab), dia berdosa, wajib memohon ampun atas dosanya, dan wajib mengqadha’ solat yang ditinggalkan itu, walaupun jumlahnya banyak.

 

Sebahagian ulama, seperti Ibn Hazm dari Mazhab Zahiri, Ibn Taymiyah, dan Abdullah bin Baz tidak mewajibkan qadha jika seseorang meninggalkan solat tanpa uzur.

 

Imam Muhammad bin Nashr al-Marwazi (w. 294 H) berkata:

فَإِذَا تَرَكَ الرَّجُلُ صَلَاةً مُتَعَمِّدًا حَتَّى يَذْهَبَ وَقْتُهَا فَعَلَيْهِ قَضَاؤُهَا، لَا نَعْلَمُ فِي ذَلِكَ اخْتِلَافًا، إِلَّا مَا يُرْوَى عَنِ الْحَسَنِ

“Jika seseorang meninggalkan solat secara sengaja sehingga habis waktunya maka wajib baginya mengqadha’nya, aku tidak menjumpai adanya perbezaan pendapat dalam hal ini, kecuali apa yang diriwayatkan dari Al-Hasan.”[4]

 

Setelah itu, beliau mengulas riwayat daripada al-Hasan bahawa riwayat tersebut boleh mengandungi dua makna: (1) al-Hasan mengkafirkan orang yang dengan sengaja meninggalkan solat, menganggapnya murtad, maka tidak wajib qadha’ bagi orang murtad (dalam pandangan selain mazhab Syafi‘iyyah, orang murtad tidak diwajibkan qadha), atau (2) al-Hasan tidak menganggapnya murtad, namun berpendapat bahawa mengqadha solat bermaksud menunaikan solat di luar waktunya, maka ia juga tidak sah dan menjadi sia-sia.

 

Kemudian beliau berkata:

وَهَذَا الْقَوْلُ غَيْرُ مُسْتَنْكَرٍ فِي النَّظَرِ لَوْلَا أَنَّ الْعُلَمَاءَ قَدْ أَجْمَعَتْ عَلَى خِلَافِهِ

“Perkataan al-Hasan ini secara teori tidak diingkari andai saja para ulama tidak berijmak yang sebaliknya.”[5]

 

Imam Al-Nawawi (w. 676 H) juga menyatakan bahawa terdapat ijmak ulama berkenaan wajibnya qadha’ solat bagi mereka yang sengaja meninggalkannya.

 

أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ الَّذِينَ يُعْتَدُّ بِهِمْ عَلَى أَنَّ مَنْ تَرَكَ صَلَاةً عَمْدًا لَزِمَهُ قضاؤها

“Telah berijmak para ulama yang dapat diperhitungkan, bahawa siapa saja yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib baginya mengqadha’nya.”[6]

 

Selanjutnya, beliau mengulas pendapat Ibn Hazm yang tidak mewajibkan qadha’ solat jika ia ditinggalkan dengan sengaja, dan menganggap bahawa qadha’ solat itu tidak sah (kerana dilakukan di luar waktunya). Menurut beliau, apa yang sepatutnya dilakukan adalah memperbanyakkan amalan kebaikan dan solat sunat, serta bertaubat dan banyak beristighfar sahaja. Berkaitan hal ini, Imam al-Nawawi berkata:

 

وَهَذَا الَّذِي قَالَهُ مَعَ أَنَّهُ مُخَالِفٌ لِلْإِجْمَاعِ بَاطِلٌ مِنْ جِهَةِ الدَّلِيلِ

“Dan apa yang dikatakannya (Ibnu Hazm), disamping itu bertentangan dengan ijmak juga bathil dari sisi dalil.” [7]

 

Akar Perbezaan

 

Secara umum, perbezaan pendapat berlaku kerana dua perkara:

 

Pertama, adakah qadha’ itu memerlukan dalil (perintah) baharu untuk dilaksanakan? Majoriti ulama menyatakan bahawa tidak perlu dalil baharu untuk qadha’. Jika orang yang terlupa pun diwajibkan untuk mengqadha’ solatnya, maka orang yang sengaja meninggalkannya di samping berdosa, lebih utama lagi untuk diwajibkan qadha’ solat. Contohnya, seseorang yang bernazar untuk bersedekah pada hari ini, namun hari tersebut telah berlalu dan dia belum menunaikan nazarnya, maka tetap wajib baginya untuk menunaikan nazar tersebut (qadha’) pada hari berikutnya.

 

Itu pun sekiranya tiada dalil langsung. Namun, para ulama yang mewajibkan qadha’ juga telah mengemukakan banyak dalil. Setelah menyampaikan 11 dalil beserta wajh al-istidlâl-nya, yang menyatakan kewajipan qadha’ bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, sama ada dengan uzur atau tanpa uzur, Dubyân bin Muhammad al-Dubyân dalam Wujûb Al-Qadhâ ‘Ala Man Akhkhara al-Shalât Hatta Khoroja Waqtahâ Muta’ammidan menyatakan:

 

“Setelah menyebutkan pelbagai pendapat dan dalil-dalilnya, aku mendapati bahawa kewajipan qadha’ itu berdalilkan dengan hadis Abu Dzar yang sahih dan tidak tertolak, serta perkataan Ibn Mas‘ud dan Sa‘id bin Abi Waqqas, dan tidak diketahui adanya sahabat yang menyelisihi pendapat tersebut. Ini sudah memadai bagi penuntut ilmu untuk berpegang pada pandangan bahawa qadha’ itu wajib.”[8]

 

Kedua, adakah orang yang sengaja tidak menunaikan solat tanpa uzur itu dikira kafir? Bagi mereka yang mengkafirkan, maka secara logiknya tidak diwajibkan qadha’, kerana menurut majoriti ulama, orang yang murtad tidak diwajibkan mengqadha’ solat yang ditinggalkan ketika murtad. Itu logiknya. Namun begitu, ternyata majoriti ulama salaf yang menganggap orang yang meninggalkan solat dengan sengaja sebagai kafir, tetap mewajibkan mereka untuk mengqadha’, kecuali riwayat al-Hasan yang telah disebutkan sebelum ini.

 

Waktu Mengqadha’ Solat

 

Tidak disyaratkan untuk mengqadha’ solat pada waktu yang sama dengan solat yang ditinggalkan. Diharuskan untuk mengqadha’ solat Zuhur pada waktu Isyak, tengah malam, waktu pagi, atau waktu-waktu lain.

 

Jika mengqadha’ solat jahriyyah (solat Maghrib, Isyak dan Subuh) pada waktu siang, disunatkan untuk memperlahankan bacaan (isrār). Sebaliknya, jika mengqadha solat sirriyyah (solat Zuhur dan Asar) pada waktu malam, disunatkan untuk menguatkan bacaan. [9]

 

Mengqadha’ solat boleh ditangguhkan pelaksanaannya sekiranya solat ditinggalkan kerana uzur seperti sakit, lupa, atau tertidur (tanpa disengajakan). Namun, jika ditinggalkan tanpa uzur seperti kerana malas, maka wajib segera mengqadha’ tanpa mendahulukan amalan ibadah lain (seperti solat sunat), kecuali untuk tidur dan mencari nafkah yang diwajibkan. [10]

 

Tidak Ingat Jumlahnya

 

Jika tidak ingat berapa banyak solat yang tertinggal, maka jumhur ulama (Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah) berpandangan bahawa seseorang itu wajib mengqadha’ kesemuanya sehingga dia yakin bahawa ia telah ditunaikan, sedangkan Hanafiyah meyakini bahawa cukup dengan hanya bersangka kuat bahawa semuanya telah dipenuhi, dan itu sudah memadai. [11] Allaahu A’lam.

 

Rujukan:

[1] Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Cet. II. (Damaskus: Dâr al-Fikr, 1985), Juz 2, hlm. 130.

[2] Sebagian kalangan, seperti Muhammadiyah menolak istilah qadha solat ini, namun mereka tetap mewajibkan solat pengganti karena tertinggal atau tertidur.

[3] Abu Isa al-Tirmidzi, Sunan Al-Tirmidzi (Mesir: Musthafa al-Bâbi, 1975), Juz 1, hlm. 334.

[4] Muhammad bin Nashr al-Marwazi, Ta’dhîmu Qadr al-Shalât, Cet. I. (Madinah: Maktabah al-Dâr, 1406), Juz 2, hlm. 975.

[5] Ibid., Juz 2, hlm. 1000.

[6] Abu Zakariya Yahya bin Syaraf Al-Nawawi, Al-Majmû’ Syarh al-Muhadzdzab (Ma’a Takmilah al-Subki Wa al-Muthi’i) (Beirut: Dâr al-Fikr, tt), Juz 3, hlm. 71.

[7] Ibid.

[8] Dubyân bin Muhammad al-Dubyân, Wujûb Al-Qadhâ ‘Ala Man Akhkhara al-Shalât Hatta Khoroja Waqtahâ Muta’Ammidan (Syabakah al-Alûkah, n.d.), hlm. 33.

[9] Abu Zakariya Yahya bin Syaraf Al-Nawawi, Al-Majmû’ Syarh al-Muhadzdzab (Ma’a Takmilah al-Subki Wa al-Muthi’i), Juz 3, hlm. 390.:

وَأَمَّا الْفَائِتَةُ فَإِنْ قَضَى فَائِتَةَ اللَّيْلِ بِاللَّيْلِ جَهَرَ بِلَا خِلَافٍ وَإِنْ قَضَى فَائِتَةَ النَّهَارِ بِالنَّهَارِ أَسَرَّ بِلَا خِلَافٍ وَإِنْ قَضَى فَائِتَةَ النَّهَارِ لَيْلًا أَوْ اللَّيْلِ نَهَارًا فَوَجْهَانِ حَكَاهُمَا الْقَاضِي حُسَيْنٌ وَالْبَغَوِيُّ وَالْمُتَوَلِّي وَغَيْرُهُمْ (أَصَحُّهُمَا) أَنَّ الِاعْتِبَارَ بِوَقْتِ الْقَضَاءِ فِي الْإِسْرَارِ وَالْجَهْرِ صَحَّحَهُ الْبَغَوِيّ وَالْمُتَوَلِّي وَالرَّافِعِيُّ

(وَالثَّانِي)

الِاعْتِبَارُ بِوَقْتِ الْفَوَاتِ وَبِهِ قَطَعَ صَاحِبُ الْحَاوِي قَالَ لَكِنْ يَكُونُ جَهْرُهُ نَهَارًا دُونَ جَهْرِهِ لَيْلًا وَطَرِيقَةُ الْمُصَنِّفِ مُخَالِفَةٌ لِهَؤُلَاءِ كُلِّهِمْ فَإِنَّهُ قَطَعَ بِالْإِسْرَارِ مُطْلَقًا (قُلْتُ) كَذَا أَطْلَقَ الْأَصْحَابُ لَكِنَّ صَلَاةَ الصُّبْحِ وَإِنْ كَانَتْ نَهَارِيَّةً فَلَهَا فِي الْقَضَاءِ فِي الْجَهْرِ حُكْمُ اللَّيْلِيَّةِ وَلِوَقْتِهَا فِيهِ حُكْمُ اللَّيْلِ وَهَذَا مُرَادُ الْأَصْحَابِ

[10] Al-Mausû’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Kuwait: Wuzarât al-Awqâf wa al-Syu-ûn al-Islâmiyyah, 1427), Juz 34, hlm. 33–34.:

قَال النَّوَوِيُّ: مَنْ لَزِمَهُ صَلاَةٌ فَفَاتَتْهُ لَزِمَهُ قَضَاؤُهَا، سَوَاءٌ فَاتَتْ بِعُذْرٍ أَوْ بِغَيْرِهِ، فَإِنْ كَانَ فَوَاتُهَا بِعُذْرٍ كَانَ قَضَاؤُهَا عَلَى التَّرَاخِي، وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَقْضِيَهَا عَلَى الْفَوْرِ.

[11] Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Juz 2, hlm. 143.

 

Sumber: https://mtaufiknt.wordpress.com/2019/10/13/mengqadha-sholat-wajib/

 

#qadhasolat #solat #fikihsolat

Exit mobile version