[Mafahim Islamiyyah] Pemahaman Aktiviti dalam Islam (Bahagian 11/11)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Standard pertama tecermin pada Mirtsad al-Ghanawi sebagai amir brigade dan dua temannya, iaitu Ashim dan Khalid. Mereka telah menghadapi situasi genting. Setelah berfikir yang bersifat spontan, mereka mengambil keputusan penting sebelum bertindak.
Keputusan penting itu tecermin dari ucapan mereka, “Demi Allah, kami tidak menerima janji daripada orang musyrik dan tidak pula menerima akad selamanya.”
Juga dari syair yang dilantunkan oleh Ashim ibnu Tsabit, “Segala sesuatu di mana Tuhan telah menentukannya, Dia akan turun bertemu dengan lelaki, sedangkan lelaki itu akan kembali pada-Nya. Kalau aku tidak memerangi kalian, maka ibuku akan kehilangan anaknya.”
Itu adalah keputusan penting dan sekilas tentang hukum yang amat penting di mana di atasnya terletak satu ketentuan antara hidup atau mati. Kemudian mereka bertiga dengan cepat menghunuskan pedang-pedangnya. Mereka berperang sampai mati syahid. Allah redha kepada mereka.
Standard kedua tecermin pada sikap Abdullah ibnu Thariq. Dia menyerah pasrah sejak dari awal terjadi peristiwa. Kemudian mereka menangkapnya sebagai tahanan dan mengikat kedua tangannya dengan tali. Ketika dalam perjalanan, dia mengubah keputusannya yang pertama, iaitu rela ditahan. Lalu dia dijual di Mekah dengan keputusan yang baru, iaitu berperang seperti yang telah dilakukan oleh Amir dan kedua temannya.
Akhirnya, dia berjaya mengeluarkan tangannya dari ikatan agar dapat memerangi mereka dengan pedang. Akan tetapi mereka tidak memberi kesempatan kepadanya. Mereka malah melemparinya dengan batu hingga dia terbunuh. Dia telah mati syahid.
Adapun standard ketiga tecermin pada Khubaib ibnu ‘Ady dan Zaid ibnu Datsanah, iaitu dua orang yang ditahan. Kemudian mereka menjual keduanya kepada orang kafir Quraisy. Mereka, para kafir Quraisy, akhirnya membunuh keduanya sebagai balasan atas orang-orang mereka yang mati dalam perang Badar. Keduanya benar-benar telah menghadapi kematian dengan jiwa yang berani dan dengan hati yang damai menerima putusan (qadha’) Allah Taala.
Ini adalah Zaid bin Datsanah. Dia menjawab dengan tegas atas permintaan yang diajukan kepadanya oleh Abu Sufyan, “Demi Allah, aku tidak rela jika benar sekarang Muhammad SAW tetap berada di tempatnya. Padahal tempat itu penuh duri yang boleh menyakitinya. Sedangkan aku, ya aku, duduk tenang di tempat keluargaku.”
Ini adalah Khubaib ibnu Ady. Dia berkata setelah menunaikan solat dua rakaat menjelang terbunuhnya, “Ingat, demi Allah, jika kalian tidak menyangka bahawa aku memanjangkan solat kerana takut dibunuh, nescaya aku memperbanyakkan solat.”
Mereka, enam sahabat Nabi SAW, benar-benar merindukan mati syahid di jalan Allah Taala. Akan tetapi keputusan-keputusan penting yang mereka ambil dalam satu situasi sangatlah berbeza. Ini disebabkan mereka mengikuti alur pemikiran mereka yang mendahului aktiviti mereka.
Andaikata kita disuruh memilih setelah mengetahui kisah mereka dalam mengambil keputusan penting pada satu situasi seperti situasi mereka, kita pasti akan mengambil keputusan pertama. Keputusan itu telah diambil oleh amir (ketua) mereka beserta dua temannya. Mereka bertigalah yang lebih teliti daripada mereka yang lain dalam memahami pola jiwa orang-orang musyrik. Orang-orang musyrik itu tidak pernah menjaga, apatah lagi menepati janji dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Mereka bertiga juga telah memahami niat (tujuan yang tersembunyi) orang-orang musyrik dengan sangat cepat jika dibandingkan dengan tiga teman mereka.
Ini tidak bererti bahawa keputusan Abdullah ibnu Thariq adalah haram atau penyerahan diri Khubaib dan Zaid juga haram, tidak demikian. Sesungguhnya setiap orang daripada mereka telah mengambil keputusan yang telah dicapai oleh akalnya dalam memahami situasi. Mereka juga menghukumi situasi itu agar sejalan dan sealur dengan hukum-hukum syariat.
Dengan demikian, setelah seorang muslim mengindera realiti, dia perlu memikirkan realiti itu. Dia perlu mengambil keputusan yang sesuai dan sejalan dengan hukum-hukum syariat yang berhubungan langsung dengan situasi dan realiti tersebut. Kemudian, dia melaksanakan beraktiviti atau menjauhi aktiviti itu untuk meraih nilai yang telah ditentukan oleh syarak bagi aktiviti itu.
Allah SWT berfirman, “Dan ajaklah mereka bermusyawarah dalam urusan itu. Lalu apabila engkau berkehendak, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang tawakal.”
Setelah mengambil keputusan dengan berfikir benar dan setelah menghukumi realiti yang akan dilakukannya, seorang muslim tinggal mengambil keputusan dengan cepat. Ini adalah ketetapan hati (‘azmu) terhadap pelaksanaan aktiviti dengan tawakal kepada Allah SWT, lalu melaksanakan aktiviti tersebut.
Jadi, ketetapan hati dan tawakal kepada Allah ini mendahului aktiviti. Sedangkan berfikir tentang realiti dan hukum syarak atas realiti tersebut adalah supaya aktiviti itu sesuai dengan perintah dan larangan Allah Taala.
Allah SWT berfirman, “Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.” [TMQ Hijr (15): 94].
Jelaslah, ini adalah aktiviti yang telah dituntut oleh Tuhan Semesta Alam. Apabila perkara yang dituntut itu sudah jelas, tidak memerlukan ijtihad dan mengaktifkan pemikiran. Dengan demikian merupakan kewajipan atas umat Islam untuk melaksanakan aktiviti setelah tawakal kepada Allah Taala.
Mengambil keputusan tepat akan memberi implikasi penting bagi kehidupan individu dan masyarakat. Keputusan yang telah diambil oleh Hamzah pada hari dia mengumumkan keislamannya, berpengaruh pada semua kehidupannya. Keputusan yang telah diambil oleh Abu Bakar dalam memerangi orang-orang yang menolak membayar zakat, juga berpengaruh efektif dalam kehidupan pemerintahan yang masih muda.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #AktivitiManusia #NilaiAktiviti #StandardAktiviti #NilaiPerbuatan

