Adakah Wajar Dibenturkan Tugas Rumah Tangga dan Dakwah?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Perbincangan mengenai wanita sentiasa menarik untuk dibincangkan, termasuk mengenai peranan wanita dalam kehidupan. Sebahagian berpendapat bahawa wanita berhak menentukan peranan mereka dalam semua bidang yang sama seperti lelaki tanpa pengecualian. Pendapat ini sering disokong oleh feminis dan penyokong idea feminisme.
Sebaliknya, ada yang berpendapat bahawa wanita mesti memaksimumkan kewajipan utama mereka dalam kehidupan rumah tangga, manakala penglibatan mereka dalam ruang umum tidak menjadi keutamaan. Pandangan seperti ini akhirnya membuatkan muslimah tidak mahu berdakwah, apatah lagi berpolitik. Memikirkan tentang politik juga mereka tidak mahu.
Akibatnya, kaum wanita hanya mencukupkan diri untuk berfikir dan beraktiviti dalam perihal diri mereka, anak-anak, dan keluarga mereka sahaja. Pada masa yang sama, mereka tidak mahu ambil peduli dengan apa yang terjadi di sekeliling mereka.
Pendirian mereka ini berlandaskan dalil. Mereka menjadikan beberapa hadis Rasulullah SAW sebagai hujah, di antaranya, “Apabila seorang isteri mendirikan solat lima waktu, berpuasa Ramadhan, menjaga kehormatannya, dan mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya, ‘Masuklah ke dalam syurga dari pintu yang mana saja.’” (HR Ahmad).
Ada juga yang berpendapat bahawa tugas utama seorang wanita adalah sebagai ummun wa rabbatul bait, yakni ibu dan pengurus rumah suaminya. Hal ini berdasarkan pada satu kaedah, “Al-ashlu fil mar’ati annahaa ummun wa rabbatul bayti. Wa hiya ‘irdhun an yushona (hukum asal seorang wanita ialah ibu dan pengurus rumah suaminya dan dia merupakan kehormatan yang wajib dijaga).” (Kitab Muqaddimah Dustuur).
Jika kita menyemak dari berbagai sumber, hadis atau kaedah yang digunakan sebagai hujah ini sebenarnya tiada masalah. Hanya saja, tidak harus disimpulkan bahawa seorang wanita muslimah hanya mencukupkan diri dengan aktiviti di dalam rumah tangga sahaja. Banyak nas lain, baik dari al-Quran mahupun sunnah yang menjelaskan secara terperinci bahawa seorang muslimah mesti mengambil bahagian. Sudah tentu kita tidak boleh mengabaikan nas-nas ini. Kita juga perlu memerhatikan aktiviti wanita pada zaman Rasulullah SAW dan ketika khalifah berdiri.
Kewajipan Utama Tidak Semestinya Mengabaikan Kewajipan Yang Lain
Islam telah menyediakan peraturan khusus bagi kaum wanita untuk mengemban tanggungjawab sebagai ibu sekaligus sebagai pengurus rumah suaminya. Syarak juga menyediakan peraturan sedemikian agar misi keluarga dapat dijalankan dengan baik. Sejak sebelum berkahwin, syarak telah memberi pesanan kepada lelaki supaya memilih pasangan yang subur, penyayang, dan memiliki pemahaman Islam yang tinggi kerana kelak dia akan bergelar ibu.
Modal asas menjadi seorang ibu adalah penyayang, selain dia mesti memahami tentang din. Ini kerana ibu merupakan madrasah pertama dan utama bagi anak-anaknya. Tanggungjawab untuk didikan, pemeliharaan, dan pendidikan anak-anak terletak di bahunya.
Sebagai rabbatul bait, Islam telah menjelaskan dalam banyak hadis bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan isteri-isterinya untuk melayani beliau. Salah seorang daripada mereka, “Ya Aisyah, tolong ambilkan aku minum. Ya ‘Aisyah, tolong ambilkan aku makan. Ya ‘Aisyah, tolong ambilkan aku pisau dan asahlah dengan batu.” Dalam hal ini, wanita berperanan mengatur dan menyelesaikan urusan rumah tangga agar dapat memberikan ketenangan dan keselesaan kepada ahli keluarga mereka.
Memang benar dalam Islam, wanita diposisikan sebagai perhiasan berharga yang perlu dijaga dan dipelihara. Namun, perlu difahami bahawa hal ini tidak bermakna mengekang mereka dalam wilayah tertentu. Islam tidak membatasi peranan muslimah untuk mengurus urusan domestik, sebaliknya memberikan mereka peranan dalam ranah domestik sekaligus publik, dan hal ini tidak boleh diabaikan.
Islam juga berpandangan bahawa wanita muslimah adalah tunjang kepada peradaban yang mulia. Keberadaannya merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dengan lelaki. Kedua-duanya diciptakan untuk memikul tanggungjawab yang sama dalam mengatur dan memelihara kehidupan mengikut kehendak Allah SWT Al-Khaliq Al Mudabbir.
Allah SWT telah mewajibkan lelaki mahupun wanita untuk berdakwah di tengah-tengah umat. Hal ini dapat dilihat dalam nas-nas, baik Al-Quran mahupun as-Sunnah yang bukan hanya menjelaskan peranan utama mereka sebagai sebahagian daripada keluarga, tetapi juga sebahagian daripada masyarakat.
Dakwah adalah Kewajipan Seorang Muslimah Berdasarkan Nas Syarak
Islam memandang bahawa wanita adalah sebahagian daripada masyarakat yang menjadikan mereka memiliki kewajipan yang sama untuk mewujudkan kesedaran politik dalam diri mereka dan masyarakat secara umum. Kedua-duanya mempunyai kewajipan yang sama untuk memajukan Islam dan umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang tidak mempedulikan kepentingan kaum muslim, dia bukanlah termasuk di antara mereka. (Dan) barang siapa bangun pada pagi hari dan tidak mempedulikan urusan kaum muslim, maka dia tidak termasuk golongan mereka.” (HR Ath-Thabari).
Untuk merealisasikannya, perlu ada dakwah di tengah-tengah umat, baik oleh lelaki mahupun wanita.
Selain itu, Islam sebenarnya tidak pernah memisahkan antara peranan domestik dan peranan publik atau peranan politik. Sebabnya, peranan yang dianggap domestik, boleh juga bernilai politik. Seorang ibu misalnya, bukan sekadar melahirkan anak, malah dia akan mendidik anak-anaknya menjadi orang yang berkeperibadian Islam dan menjadi pejuang Islam yang terpercaya.
Setiap muslim mesti sedar bahawa Islam sangat menjaga kemuliaan dan ketinggian martabat wanita. Semua ini semata-mata kerana Allah SWT sangat memahami segala yang terbaik untuk manusia, baik lelaki mahupun wanita.
Natijahnya, setiap muslimah seharusnya berbangga dengan peranan yang telah ditetapkan oleh Allah. Apa tidaknya, seorang muslimah bukan sahaja dikurniakan keistimewaan yang luar biasa, tetapi juga dianugerahkan peranan yang sangat istimewa dalam Islam.
Keistimewaan seorang muslimah tidak terlepas dari sifat penyayang dan lemah lembutnya. Wajar jika dia diamanahkan oleh Sang Khaliq untuk menjadi ummun wa rabbatul bait, seorang ibu dan pengurus rumah suaminya, dari rahimnya akan lahir generasi berkualiti.
Bukan itu sahaja, Allah juga telah menganugerahkan seorang muslimah peranan yang istimewa sebagai “role utama” dalam menentukan nasib sesuatu bangsa. Dia adalah ejen perubahan dalam masyarakat seperti lelaki. Kedua-duanya memainkan peranan besar dalam memperbaiki keadaan umat.
Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (TMQ Ali Imran [3]: 104).
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (TMQ At-Taubah [9]: 71).
Ayat-ayat tersebut bersifat umum, menunjukkan bahawa Allah memerintahkan kepada lelaki dan wanita untuk beramar makruf nahi mungkar. Dengan kata lain, berdakwah adalah kewajipan setiap muslim, baik lelaki mahupun wanita.
Peranan muslimah dalam bidang dakwah pada hari ini sangat penting kerana tidak sedikit dari kaum wanita yang belum memahami Islam. Sememangnya lebih mudah dan fleksibel bagi wanita untuk menjalankan misi dakwah kepada saudara seagama mereka.
Di sisi lain, wanita memiliki tugas yang sangat mulia dan strategik, iaitu sebagai ibu dan madrasah pertama untuk anak-anaknya. Pada masa hadapan, mereka akan menjadi generasi penerus bangsa yang akan memegang tongkat perjuangan.
Peranan Wanita pada Zaman Rasulullah SAW dan Khilafah Tegak
Sejak Rasulullah SAW diutus menyebarluaskan risalah Islam, para muslimah generasi awal telah terlibat secara aktif dalam pergerakan dakwah bersama kaum muslim yang lain untuk melakukan transformasi sosial, mengubah masyarakat jahiliah menjadi masyarakat Islam. Malah mereka secara bersama merasai kepahitan menjalankan misi dakwah, melakukan perang pemikiran dan perjuangan politik di tengah masyarakat, sehingga dengan pertolongan Allah akhirnya berjaya membina masyarakat Islam yang agung di Madinah.
Begitu juga pada zaman khulafaurasyidin dan kekhalifahan sesudahnya, peranan muslimah dalam arena kehidupan—termasuk dalam percaturan politik—tercatat sangat besar. Contohnya, Khadijah binti Khuwailid RA yang sentiasa mendampingi dan membakar semangat perjuangan Rasulullah SAW.
Kemudian siapa yang tidak kenal Sumayyah binti Khubath seorang syahidah pertama, Asma binti Abu Bakar yang membuka jalan kepada Rasulullah SAW dan ayahnya untuk berhijrah ke Madinah, dan Asma binti Yazid pemidato terulung yang menjadi wakil wanita dalam majlis syura?
Pada zaman kekhalifahan, terdapat Ibu Khaulah binti Malik bin Tsa’labah yang tidak segan silu melakukan muhasabah terhadap Amirul mukminin Umar bin Khatthab dan sebagainya. Mereka adalah wanita yang berada dalam kedudukan strategik dalam menjalankan peranan politik.
Apa yang istimewa, pada masa yang sama, mereka juga dapat menjalankan peranan utama sebagai ummun wa rabbatul bait. Mereka berjaya mencetak generasi terbaik (generasi mujahid dan mujtahid) yang mampu membina peradaban Islam yang tinggi dan cemerlang, mengalahkan peradaban lain di dunia dalam jangka masa yang sangat panjang.
Generasi sebegini lahir daripada ibu-ibu yang memahami Islam, yang mengajarkan Islam kaffah kepada anak-anak mereka, mengajarkan Islam sebagai ideologi yang lahir daripadanya aturan-aturan Islam yang sempurna yang mengatur segala aspek kehidupan. Tidak hairanlah jika umat Islam dalam lingkungan tersebut benar-benar boleh tampil sebagai khairu ummah ‘sebaik-baik umat’.
Kewajipan Dakwah dan Kewajipan Rumah Tangga Boleh Bersinergi
Dakwah adalah misi yang agung dan mulia kerana merupakan misi para nabi dan rasul yang mulia. Dakwah merupakan amal terbaik kerana dengannya akan mengajak umat pada lurusnya iman dan akan dijadikan sebagai sebaik-baiknya umat.
Dengan dakwah amal islami, individu dan masyarakat akan terpelihara. Begitu juga dengan kewajipan sebagai ummun wa rabbatul bait, adalah tugas mulia dan aktiviti strategik juga. Kedua-duanya merupakan aktiviti penting yang tidak boleh dilakukan dengan satu dan mengabaikan yang lain. Ini kerana Allah telah menurunkan perintah-Nya dalam pelbagai nas bahawa kedua-duanya adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan oleh seorang muslimah.
Kedua-duanya juga boleh bersinergi antara satu sama lain. Telah terbukti bahawa kedua-dua aktiviti ini dapat dijalankan secara harmoni oleh muslimah pada zaman Rasulullah SAW dan zaman kekhalifahan. Maknanya, semua aktiviti tersebut boleh dilakukan oleh mana-mana muslimah hari ini mengikut tuntunan syariat.
Namun perlu diingat, apa sahaja aktiviti yang dilakukan, baik dalam berdakwah atau rumah tangga, perjalanan itu tidak akan pernah terlepas dari rintangan dan cubaan. Kadangkala boleh terjadi benturan. Cita-cita yang besar memang memerlukan curahan tenaga, perhatian, dan pastinya pengorbanan juga besar. Tanpa itu semua, keinginan untuk mencapai kemuliaan hidup hanyalah angan-angan.
Sekalipun berlaku benturan antara satu aktiviti dengan aktiviti yang lain, termasuk antara kewajipan dakwah dan kewajipan dalam rumah tangga, Islam juga ada solusi tentang hal ini, iaitu dengan adanya konsep fikih aulawiyaat, iaitu keutamaan pelaksanaan hukum syarak.
Konsep aulawiyaat membimbing manusia untuk mendahulukan melaksanakan kewajipan daripada yang sunnah, dan mendahulukan yang sunnah daripada yang mubah. Jika berlaku benturan antara satu fardhu dengan fardhu yang lain, maka yang diutamakan adalah yang lebih darurat menurut syariat, bukan mengikut penilaian manusia. Juga mengutamakan mengerjakan satu kewajipan dan menangguhkan sementara kewajipan lain, bukan meninggalkannya.
Pelaksanaan suatu kewajipan tidak boleh menyebabkan seseorang mengabaikan kewajipan yang lain. Sebagai contoh, seorang ibu berhadapan dengan kewajipan berdakwah, tetapi pada masa yang sama anaknya sakit. Akibatnya, dia perlu merawat anaknya terlebih dahulu dan menunda sementara aktiviti dakwahnya. Akan tetapi, apabila keadaan kembali normal, dia juga mesti kembali menunaikan kewajipan dakwahnya yang tertunda sebelum ini.
Dari semua penjelasan tersebut, baik secara syarie mahupun fakta, muslimah pada masa sistem Islam tegak, sebenarnya memiliki peranan politik yang luar biasa. Dia mempunyai tanggungjawab utama sebagai ummun wa rabbatul bait, tetapi dia juga berkewajipan untuk berdakwah sebagai tanggungjawabnya untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Oleh sebab itu, tidak wajar untuk kita membenturkan satu kewajipan dengan kewajipan yang lain. Kesemua peranan ini boleh berjalan bersamaan secara harmoni, tentu saja jika kita melaksanakannya mengikut tuntunan syariat, bukan mengikut peraturan manusia. Sudah seharusnya umat kembali kepada Islam yang telah meletakkan kedudukan wanita pada posisi yang sangat mulia dalam semua peranan mereka. Wallahualam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#PerananMuslimah #DakwahMuslimah #UmmunwaRabbatulBayt

