[Kisah Inspirasi] Pendidikan Terbaik untuk Rabi’ah ar-Ra’yi
“Selain itu, beliau merupakan seorang tokoh yang berakhlak mulia, tawaduk dan pemurah. Tidak ada penduduk Madinah yang lebih pemurah berbanding dirinya, tidak kira terhadap sahabat mahupun anak-anak sahabatnya. Tidak ada penduduk Madinah yang lebih pemurah daripada dirinya, baik kepada sahabatnya mahupun anak-anak sahabatnya. Dan tidak ada orang yang lebih zuhud dalam perhiasan dunia dan lebih berharap kepada Allah daripada dirinya sendiri,” ungkapan seseorang yang berada di samping Farrukh. Pada ketika itu Farrukh berasa ingin tahu siapakah sosok syeikh yang berada di dalam majlis ilmu tersebut. Seseorang yang kelihatan masih muda, tetapi sudah memiliki ilmu yang mendalam mengenai hadis dan fikih.
Farrukh berkata, “Akan tetapi, saudara belum menyebutkan namanya untukku.” Orang itu berkata, “Dia adalah Rabi’ah ar-Ra’yi.” Farrukh bertanya, “Rabi’ah ar-Ra’yi?” Orang itu menjawab, “Ya, namanya adalah Rabi’ah. Akan tetapi, ulama dan para syeikh di Madinah memanggilnya Rabi’ah ar-Ra’yi. Ini kerana jika mereka tidak menemukan nas, baik di dalam Al-Quran ataupun di dalam hadis Rasulullah SAW dalam sesuatu kes tertentu, mereka akan datang dan merujuk kepadanya. Beliau akan berijtihad mengenai perkara tersebut dan membuat perbandingan sesuatu yang tidak ada nas dengan sesuatu yang ada nas. Kemudian, beliau akan mengeluarkan hukum kepada mereka. Perkara yang pada asalnya dirasai sulit bagi mereka, kemudiannya menjadi bentuk hukum-hukum yang menenangkan jiwa dan memuaskan hati.”
Farrukh berkata dengan spontan, “Akan tetapi, saudara tidak menyebutkan nasabnya kepadaku.” Orang itu berkata, “Dia adalah Rabi’ah bin Farrukh yang dipanggil dengan nama Abu Abdurrahman. Dia dilahirkan setelah ayahnya meninggalkan Madinah untuk berjihad di jalan Allah. Tinggal ibunya yang menguruskan pendidikan dan membesarkannya. Sesungguhnya ayahandanya telah kembali malam semalam.”
Sejurus kemudian, mengalirlah air mata dari kedua-dua mata Farrukh , sedangkan orang-orang lain tidak mengetahui sebabnya. Kemudian Farrukh segera pulang ke rumahnya. Ketika Ummu Rabi’ah melihat Farrukh dengan matanya yang basah kerana air mata, beliau menyapa, “Apa yang menimpamu, wahai Abu Rabi’ah?” Farrukh menjawab, “Aku hanya mendapat kebaikan. Aku telah melihat anak kita berada di puncak ilmu, kecemerlangan dan kehebatan yang belum pernah kulihat terjadi kepada seorang kanak-kanak sama sekali.”
Kemudian, Ummu Rabi’ah memanfaatkan kesempatan itu dan berkata, “Mana yang lebih kamu sukai, 30,000 dinar atau ilmu dan kemuliaan yang telah diperolehi anakmu?” Farrukh menjawab, “Demi Allah, aku lebih menyukai ini dan bagiku itu adalah lebih berharga daripada harta seluruhnya.” Ummu Rabi’ah lalu berkata, “Aku telah membelanjakan harta yang kamu tinggalkan kepadaku untuknya. Apakah jiwamu berasa senang dengan apa yang aku lakukan?” Farrukh berkata, “Ya. Semoga kamu mendapat ganjaran yang baik kerana jasamu kepadaku, kepadanya, dan kepada semua kaum muslimin.” [Abdurrahman Ra’fat al-Basya, Jejak Perjuangan dan Keteladanan para Tabiin]
Hikmah
Bermula daripada pertanyaan Farrukh, suami kepada Ummu Rabiah tentang di mana harta yang ditinggalkannya dan digunakan untuk apa, Allah SWT menjawabnya secara langsung melalui penyaksiannya sendiri melihat anaknya tumbuh dan berkembang menjadi seorang ulama besar di Madinah. Mengingati nasihat Abdullah bin Mas’ud bahawa seseorang boleh menjadi orang yang beruntung sekiranya dia dapat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada orang lain. Oleh itu, sewajarnya kisah Farrukh dan keluarga kecilnya menjadi pengajaran yang berharga buat kita, baik sebagai seorang anak, ibu bapa mahupun guru.
Pertama, mencari nafkah adalah kewajipan para ayah bagi memenuhi tanggungjawab dan peranannya sebagai pemimpin keluarga. Sebelum berangkat berjihad, Farrukh meninggalkan harta yang sangat banyak kepada isterinya supaya dia dapat memenuhi keperluannya. Nafkah yang diberikan daripada seorang suami kepada isterinya adalah bernilai sedekah. Rasulullah SAW bersabda, “Nafkah yang diberikan seorang ketua rumah tangga kepada keluarganya bernilai sedekah. Sungguh, seseorang diberi ganjaran kerana walaupun hanya sesuap nasi yang dia masukkan ke dalam mulut keluarganya.” [HR Muttafaq ‘alaih].
Kedua, ibubapa mestilah memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak yang bersumber daripada harta yang halal, pegangan akidah yang kuat, dan pengajaran adab yang baik. Harta yang digunakan untuk pendidikan anak-anak perlulah dipastikan berasal dari harta yang halal. Hal ini kerana, ketaatan dan kesolehan anak-anak saling berkait dengan ketaatan dan kesolehannya terhadap ibubapanya. Keimanan yang kuat akan mencegah anak melakukan maksiat. Berkenaan pengajaran mengenai adab, marilah kita berpandukan apa yang disabdakan oleh Rasullullah SAW. Daripada Ayyub bin Musa, daripada bapanya , daripada abangnya , Rasulullah SAW bersabda, “Tiada pemberian orang tua terhadap anaknya yang lebih baik daripada adab yang baik.” [HR At-Tirmidzi].
Ummu Rabi’ah telah menjalankan tugas dan peranannya sebagai seorang ibu dengan sangat baik. Harta suaminya digunakan demi memberikan pendidikan terbaik untuk putera kesayangannya. Hasilnya, Rabi’ah telah menjadi seorang ulama ahli hadis dan menjadi guru kepada kaum muslim. Keluarga Farrukh adalah teladan bagi seluruh keluarga muslim. Ketika suaminya pulang daripada jihad, dia meredhai isterinya menghabiskan harta yang dia tinggalkan untuk pendidikan anaknya yang akhirnya kini menjadi ulama besar.
Inilah yang dikatakan idealisme keluarga muslim, iaitu berorientasi kepada akhirat dan membentuk ketaatan pada diri anak, supaya kelak dia akan menjadi tumpuan bagi umat dan peradaban Islam. Sesungguhnya, tidak ada kebahagiaan dunia mahupun akhirat selain melihat anak-anak kita menjadi generasi terbaik, pejuang yang handal, dan memelihara Islam dengan amanah.
#Ayah #PerananAyah #PenafkahanKeluarga #PendidikanAnak #PerananIbu
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

