Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 4/9)

[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 4/9)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Keterikatan antara pola fikir dan pola sikap tampak jelas pada keperibadian yang khas. Anas bin Nadzar adalah salah seorang sahabat Nabi SAW yang ikut dalam perang Uhud. Dia benar-benar melintas, lalu bertemu Umar bin Khattab dan Thalhah bin Ubaidillah dari kalangan Muhajirin dan Anshar.

 

Mereka duduk dan melempar senjatanya setelah tersebar berita bahawa Rasulullah SAW benar-benar terbunuh dalam peperangan tersebut. Anas berkata kepada mereka, “Apakah gerangan yang menyebabkan kalian duduk?” Mereka menjawab, “Rasulullah SAW terbunuh.” Anas berkata, “Lalu setelah Nabi terbunuh, apa yang akan kalian lakukan dengan kehidupan setelahnya? Berdirilah kalian, matilah sebagaimana Rasulullah SAW mati!” Kemudian Anas menghadapi orang Quraisy. Dia berperang hingga terbunuh.

 

Begitulah sikap Anas bin Nadzar yang menunjukkan keperibadian khas, juga menunjukkan perkaitan yang sangat erat antara pola fikir dan pola sikapnya. Anas bin Nadzar telah mengindera realiti, iaitu para sahabat menjadi lemah setelah tersebar berita bahawa Rasulullah SAW terbunuh.

 

Kemudian Anas mengikat realiti ini dengan informasi-informasi terdahulu, iaitu pahit dan getirnya kekalahan, diharamkannya melarikan diri pada saat peperangan, dan pengaruh akibat tersebar berita terbunuhnya Rasulullah SAW. Anas menghukumi realiti ini dengan menganalogikan kepada kaedah standard dasar (asasiyah) bagi pemikiran-pemikirannya.

 

Kaedah tersebut adalah akidah Islamiyah, iaitu bahawasanya berperang adalah fardhu, tempat tinggal orang yang mati syahid adalah syurga, ajal itu sudah ditentukan sehingga tidak dapat dipercepat dengan berperang dan tidak pula diperlambat dengan duduk meninggalkan perang, dan bahawa lari dari medan perang adalah haram. Pemikiran-pemikiran tersebut merupakan pemahaman-pemahaman Anas bin Nadzar.

 

Beliau menggambarkan dan menetapkan pemikiran-pemikiran tersebut dan sangat percaya akan keabsahannya. Kemudian, beliau mengikat antara pemahaman-pemahaman tersebut dengan dorongan-dorongan naluri mempertahankan diri. Sebahagian daripada penampakan-penampakan naluri tersebut adalah menjaga kelangsungan hidup dan takut akan kematian. Dengan demikian, terikatlah dorongan-dorongan ini dengan pemahaman-pemahamannya.

 

Kemudian, beliau menjadi cenderung terus berperang, walaupun boleh mendatangkan kepada sesuatu yang menyelisihi dorongan-dorongan naluriahnya. Jadi pola fikir Islami Anas bin Nadzar mampu mengubah dorongan-dorongannya dan menjadikan kecenderungannya Islami juga. Dengan demikian, pola sikapnya menjadi cenderung pada perang, mati syahid, dan ingin bertemu dengan Rasulullah SAW.

 

Anas benar-benar telah menterjemahkan keperibadiannya yang khas dan luhur dengan perilaku yang termanifestasi dengan memerangi orang-orang musyrik. Oleh sebab itu, perbuatan itu bukan keperibadian, bukan pula pola fikir atau pola sikap. la hanyalah pengaruh (atsar) daripada pengaruh semuanya, yakni keperibadian, pola fikir, dan pola sikap.

 

Keperibadian ini kadang-kadang merupakan keperibadian yang khas (mutamayyizah) dan kadang-kadang merupakan keperibadian yang tidak khas (ghairu mutamayyizah). Keperibadian yang khas ialah keperibadian di mana pola fikir dan pola sikap pemiliknya terdiri daripada satu jenis. Kecenderungannya tunduk kepada pemahamannya. Maksudnya, pola sikapnya tunduk kepada pola fikirnya.

 

Seseorang cenderung kepada segala sesuatu (benda) dan perbuatan sesuai dengan pemahaman-pemahamannya dalam memenuhi berbagai naluri dan keperluan jasmaninya. Semua ini dilakukan dengan menyesuaikan pada standard pemikiran dasar.

 

Bagi membentuk keperibadian yang khas dan memiliki warna tertentu, perlu ada kaedah berfikir mendasar yang memancarkan hukum-hukum atas realiti. Dengan kata lain, perlu ada kaedah umum dan mendasar yang layak agar dapat memancarkan semua hukum-hukum untuk mengatur semua interaksi manusia dengan Tuhannya, dirinya, dan sesama manusia. Semua ini tidak mungkin ada, kecuali jika kaedah mendasar tersebut merupakan pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan.

 

Dengan demikian, manusia mampu menyelesaikan simpulan terbesar (uqdatul kubra), iaitu pemenuhan perasaannya akan kelemahan dan kekurangannya, serta memerlukan dan mampu memancarkan sistem untuk pemenuhan naluri-naluri manusia, juga semua keperluan jasmaninya.

 

Keperibadian yang khas ini tidak terwujud, kecuali pada keperibadian yang berideologi (mabdaiyah), seperti keperibadian Islam, keperibadian kapitalisme, dan keperibadian komunisme. Ini kerana pola fikir dan pola sikap setiap keperibadian tersebut standardnya pada pemikiran dan kecenderungannya. Standardnya adalah akidah aqliyah yang memancarkan sistem untuk mengatur semua interaksi manusia.

 

Inilah yang dinamakan ideologi. Keperibadian Islam yang khas dan luhur akan berjalan di atas bumi, terinternalisasi dalam diri manusia yang beriman dengan akidah Islam. Ini berupa pemikiran yang menyeluruh tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan. Juga tentang hal sebelum kehidupan dunia dan setelah kehidupan dunia, serta tentang hubungan alam semesta, manusia, dan kehidupan dengan sebelum dan setelahnya.

 

Jadi, akidah Islam adalah standard berfikir (kaedah fikriyah) yang menjadi dasar berfikir seorang muslim. Dengan demikian, ia mengikat realiti dengan informasi-informasi terdahulu dan menghukumi realiti dengan standard informasi-informasi tersebut. Hukum yang digunakan adalah hukum-hukum syarak, yakni fardhu (wajib), mandub (sunat), mubah (harus), makruh, dan haram.

 

Akidah ini menjadi dasar kecenderungan seorang muslim. Kemudian dia mengikat pemahaman-pemahaman yang dihasilkan dari akidah tersebut dengan dorongan-dorongan pemenuhan yang dihasilkan dari potensi kehidupan yang tercermin daripada naluri-naluri dan keperluan jasmaninya.

 

Dengan begitu, keperibadian Islam adalah keperibadian yang khas. Pola fikir dan pola sikapnya terdiri daripada satu jenis. Keduanya bersandar pada satu standard dasar, iaitu akidah Islam.

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #PolaFikir #PolaSikap #AkidahIslam

Exit mobile version