[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Hak Isteri adalah Amanah Suami
Dalam kehidupan berumah tangga, sebahagian suami mudah lupa pada insan paling dekat dengannya dan hak-hak merekanya – isteri. Isteri, sosok yang paling penting di rumah. Insan yang paling dekat dengan suami, menjadi pendukung kuat dalam institusi keluarga Muslim. Namun sayangnya, banyak isteri, khususnya suri rumah, dianggap remeh pengorbanan dan peranan mereka. Boleh jadi kerana mereka tidak banyak menuntut, atau peranan terfokus di rumah, maka sering dianggap haknya kecil. Sedangkan Allah dan Rasul-Nya telah meletakkan isteri sebagai amanah besar di tangan seorang lelaki, bergelar suami.
Allah SWT berfirman:
“ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.“ (TMQ Ar-Ruum [30]:21)
Isteri bukan sekadar teman hidup, bukan pembantu rumah, apatah lagi hamba abdi. Dia adalah amanah Allah yang datang dengan hak-haknya yang wajib ditunaikan. Rasulullah SAW sendiri mewasiatkan berulang kali agar para suami berbuat baik kepada isteri mereka, bukan hanya ketika baru berakad nikah, tetapi sepanjang kehidupan bersama.
Rasulullah SAW bersabda:
“Bertakwalah kepada Allah dalam perihal wanita. Kerana sesungguhnya kalian mengambil mereka dengan amanat Allah dan dihalalkan atas kalian kemaluan mereka dengan kalimat Allah. Maka hak mereka atas kalian adalah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang makruf.” (HR Muslim)
Lebih menyentuh hati, Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam Haji Wada’, khutbah terakhir baginda sebelum wafat:
“Ingat, berbuat baiklah kepada wanita. Sebab, mereka itu (bagaikan) tawanan di sisi kalian. Kalian tidak berkuasa terhadap mereka sedikit pun selain itu, kecuali bila mereka melakukan perbuatan nista. Jika mereka melakukannya, maka tinggalkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Jika ia mentaati kalian, maka janganlah berbuat aniaya terhadap mereka. Mereka pun tidak boleh memasukkan sesiapa yang tidak kalian sukai ke tempat tidur dan rumah kalian. Ketahuilah bahawa hak mereka atas kalian adalah kalian berbuat baik kepada mereka (dengan mencukupi) pakaian dan makanan mereka.” (HR. At-Tirmidzi, Ibnu Majah).
Hak seorang isteri bukan sekadar nafkah zahir, tetapi ia juga termasuk:
▪️ Layanan yang lemah lembut
▪️ Tidak membuka aibnya
▪️ Tidak menyebarkan rahsia hubungan suami isteri
▪️ Tidak menghalang mereka keluar jika ada keperluan syarie seperti menuntut ilmu agama, berdakwah.
▪️ Menjaga maruah dan menjaga hak peribadi mereka
▪️ Pendidikan agama
Dan satu perkara yang sering diabaikan adalah emosi dan harga diri isteri yang juga merupakan hak yang perlu dipelihara. Kesihatan jiwa isteri sebenarnya berpengaruh pada kesejahteraan rumah tangga.
Jika ada satu akhlak isteri yang suami kurang senangi, Nabi mengajar suami untuk melihat akhlaknya yang lain, yang baik. Jadi, janganlah kita menilai dengan kebencian, tetapi memandangnya dengan kasih sayang.
Dari Abu Hurairah RA, dia mengatakan: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Jika ia tidak menyukai satu akhlak darinya, maka ia menyukai yang lainnya.’” (HR Muslim, Ahmad)
Seorang isteri solehah bukanlah bermakna `malaikat‘ – paling baik tanpa kesalahan, sempurna tanpa kekurangan. Tetapi dia adalah manusia yang meninggalkan keluarganya, mengorbankan diri dan jiwanya, menumpahkan cinta dan kesetiaan untuk suami dan anak-anaknya. Maka, jika dia bukan wanita yang sempurna sekalipun, paling tidak dia adalah wanita yang setia berjuang untuk rumah tangganya. Justeru itu, wajarlah dia diperlakukan dengan makruf.
Hak isteri bukanlah beban bagi suami. Sebaliknya ia adalah jalan ke syurga bagi seorang suami yang menjaga dan memikul amanah ini dengan takwa, dan menjadi sarana meraih keberkatan dalam rumah tangga yang dibina, insyaAllah.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

