Site icon MuslimahHTM News

Kisah Teladan Luqman Al-Hakim Dalam Mendidik Anak

Kisah Teladan Luqman Al-Hakim Dalam Mendidik Anak

Kisah Luqman al-Hakim merupakan salah satu kisah teladan yang disebutkan dalam beberapa riwayat. Luqman al-Hakim adalah orang biasa. Namun, namanya diabadikan dalam al-Quran tepatnya pada Surah Luqman. Surah Luqman merupakan Surah ke-31 dalam urutan mushaf al-Quran yang terdiri daripada 34 ayat dan termasuk dalam golongan Surah Makkiyah.

Luqman Al Hakim merupakan orang soleh yang dipilih oleh Allah SWT. Beliau juga seorang yang bijaksana dan dianugerahkan hikmah oleh Allah SWT. Allah SWT bahkan memujinya kerana nasihat-nasihat yang beliau berikan kepada anaknya. Sebagaimana termaktub di dalam al-Quran sebagai berikut:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji” (TMQ Luqman[31]: 12).

Mengenai peribadi Luqman al-Hakim, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan.

Dalam kitab Mausu’ah al-Qarn al-‘Isyrin, menurut riwayat Ibn Abbas, Luqman al-Hakim hanya seorang hamba sahaya dari Habsyi yang dibebaskan oleh majikannya. Kemudian dia bekerja sebagai tukang kayu. Beliau bukan seorang nabi, ulama mahu pun orang ternama. Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa Luqman al-Hakim hidup di zaman Nabi Daud AS.

Luqman al-Hakim digambarkan sebagai seorang ayah yang prihatin terhadap pendidikan dan pembentukan akhlak anaknya. Ini berdasarkan kepada wasiat-wasiat beliau kepada anaknya yang sarat dengan nilai pendidikan dan tauhid yang diabadikan di dalam Surah Luqman. Beliau banyak memberi nasihat yang menyentuh aspek akidah, ibadah, akhlak dan sosial. Nasihat dan pesanan utama Luqman al-Hakim kepada anaknya adalah tentang larangan menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain yang mana perkara itu adalah dosa besar sebagaimana disebutkan di dalam Surah Luqman ayat 13:

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: ‘Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar” (TMQ Luqman[31]: 13).

Luqman al-Hakim merupakan seorang bapa yang penyayang dan bertanggungjawab sehingga beliau selayaknya dijadikan contoh teladan kepada para ibu bapa dalam mendidik anak-anak dengan penuh kebijaksanaan dan berhikmah ketika menyampaikan nasihat dan hendaklah dengan lemah lembut. Beliau juga menggunakan pendekatan nasihat yang disertai dengan hujah dan disampaikan dengan kasih sayang dalam mendidik dan bukan dengan kekerasan atau paksaan. Luqman al-Hakim juga mengajarkan anaknya untuk sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dan berbakti kepada ibu bapa sebagaimana yang tercatat di Surah Luqman ayat 14:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menceraikan susunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah tempat kembalimu” (TMQ Luqman[31]: 14).

Selain itu, Luqman al-Hakim sentiasa mendorong anaknya melaksanakan amal soleh dan meninggalkan kemungkaran serta sentiasa menjaga adab dalam pergaulan dan kehidupan seharian kerana mengingat balasan Allah SWT atas perbuatan baik dan buruk kepada hamba-Nya sebagaimana yang disebutkan di Surah Luqman ayat 16:

“(Luqman berkata), Wahai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui” (TMQ Luqman[31]: 16).

Seterusnya, Luqman al-Hakim juga mengingatkan anaknya akan perintah Allah SWT tentang kewajipan solat dan melakukan amar makruf nahi mungkar dengan penuh kesabaran terutama ketika menghadapi ujian di jalan dakwah serta mengajarkan anaknya untuk tetap berpegang teguh kepada kebenaran walaupun berseorangan sebagaimana yang tercatat di dalam al-Qur’an:

“Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara-perkara yang diwajibkan (oleh Allah)” (TMQ Luqman[31]: 17).

Bersesuaian dengan realiti hari ini dalam mendidik anak-anak yang penuh dengan cabaran, Luqman al-Hakim memberi pesanan agar ibu bapa menjadi model terbaik kepada anak-anak. Maka, ibu bapa seharusnya mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu keibubapaan menurut syariat Islam dan sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah SWT. Luqman al-Hakim menasihati para ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan tauhid sejak kecil kerana ia merupakan bekalan yang paling asas dalam mencorak kehidupan anak-anak. Pendidikan anak juga bukan hanya akademik semata-mata tetapi merangkumi tauhid, akhlak dan tanggungjawab sosial.

Seterusnya, para ibu bapa juga seharusnya memberi kefahaman kepada anak agar sentiasa menjadikan keluarga sebagai institusi tarbiah bukan hanya tempat berlindung fizikal dan menggalakkan dialog terbuka antara ibu bapa dan anak sebagaimana Luqman al-Hakim berinteraksi dengan anaknya dalam mendidik, menasihati mahupun mencari jalan penyelesaian dan juga dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak. Seterusnya nasihat dan wasiat yang terakhir Luqman al-Hakim kepada anaknya adalah menjauhi kesombongan dan sentiasa bersikap tawadhu’ yang turut dirakam di dalam al-Qur’an sebagai berikut:

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri” (TMQ Luqman[31]: 18).

“Dan bersederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai” (TMQ Luqman[31]: 19).

Demikianlah kisah Luqman al-Hakim yang namanya tercatat dalam al-Quran telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai peribadi seorang ahli hikmah yang dapat memberikan teladan bagi para ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Wallahu a’lam bishawab.


#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#LuqmanAlHakim

Exit mobile version