Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 8/9)

[Mafahim Islamiyyah] Keperibadian (Bahagian 8/9)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Berfikir adalah sesuatu yang fitrah pada diri manusia. Menjadikan akidah Islamiyah sebagai kaedah berfikir yang mendasar bagi akal merupakan salah satu usaha manusia. Aktiviti ini membentuk pola fikir Islam yang menjadikan pemiliknya berfikir atas dasar Islam.

 

Berbagai naluri dan keperluan jasmani adalah sesuatu yang fitrah pada diri manusia. Akan tetapi, menjadikan akidah Islam sebagai kaedah berfikir mendasar bagi kecenderungan juga merupakan usaha manusia. Aktiviti ini membentuk pola sikap Islam yang menjadikan pemiliknya dapat mengikat dorongan-dorongan (dawaafi’) pemenuhan padanya dengan pemahaman Islam sehingga kecenderungannya menjadi Islami.

 

Dia akan cenderung terhadap sesuatu yang halal dan berpaling daripada sesuatu yang haram. Pemikiran dan kecenderungan yang bersifat semula jadi pada diri manusia. Ada pun menjadikan akidah Islam sebagai dasar bagi berfikir dan kecenderungannya, keduanya merupakan ciptaan manusia.

 

Oleh kerana itu, setiap muslim yang ingin membentuk keperibadian Islam, wajib menjadikan akidah Islam sebagai dasarnya. Proses mengkaji akidah ini dengan melalui proses berfikir (dirasah aqliyah), bukan hanya pengajaran dan penghafalan (talqin). Ini dilakukan dengan menetapkan secara rasional bahawa Allah itu ada dan bahawa Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Muhammad Rasul-Nya SAW untuk semua alam. Kemudian manusia beriman dengan akidah-akidah naqliyah yang terdapat di dalam Al-Quran.

 

Setelah asas tersebut terbentuk, iaitu akidah Islam, seterusnya manusia perlu dibekali dengan pemikiran-pemikiran terkait tsaqafah Islam. Dengan demikian, seseorang itu akan mampu memikirkan segala sesuatu (benda) dan perbuatan atas dasar Islam. Tsaqafah tersebut ada yang berupa aqliyah (rasional) seperti tauhid, dan syariyah seperti fikih dan tafsir. Ada juga yang berupa bahasa (lughawiyah) seperti nahu dan balaghah.

 

Manusia berbeza-beza dalam menangkap tsaqafah. Ini disebabkan perbezaan kemampuan rasional mereka dan kekuatan daya ikatnya atau penghubungnya (quwatu ar-rabthi). Seorang muslim menjadikan akidah Islam sebagai dasar bagi pola fikir dan pola sikapnya. Ertinya, akidah Islam dijadikan sebagai dasar bagi pemikiran dan kecenderungannya. Ini sudah cukup untuk membentuk keperibadian Islam. Sebab, dia telah menghukumi realiti atas dasar akidah Islam. Dia juga menentukan kedudukan setiap perkara dan perbuatan yang memenuhi naluri-naluri dan keperluan-keperluan jasmaninya atas dasar akidah Islam.

 

Dia cenderung kepada sesuatu yang halal dan berpaling daripada sesuatu yang haram. Bagi mengembangkan pola fikir Islam, perlu ada pengetahuan tentang tsaqafah Islam yang menjadikan seorang muslim mempunyai kemampuan mengambil hukum syarak daripada dalil-dalil syarak dengan sendirinya. Tsaqafah Islam itu menjadikan seorang muslim mampu membentuk pola fikir-pola fikir Islam melalui tsaqafah Islam ini.

 

Bagi mengembangkan pola sikap Islam, seorang muslim hendaklah mengikat dorongan-dorongan naluri-naluri dengan pemahaman yang dihasilkan daripada pola fikir Islam. Adalah menjadi kewajipan atas setiap muslim untuk menjadikan kehidupannya dalam keadaan iman. Ini dilakukan dengan memperbanyak ibadah sunnah, seperti mentadaburi ayat-ayat Al-Quran dan keindahan makhluk-makhluk Allah Taala. Juga memperhatikan dan mencermati perjalanan Rasulullah SAW dan para sahabatnya, serta berdoa dan menunaikan solat malam.

 

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka.’” [TMQ Ali Imran (3): 190—191].

 

Juga firman-Nya, “..dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar.” [TMQ Al-‘Ankabut (29): 45].

 

Dalam keadaan iman ini, seorang muslim dapat merasakan betapa agung dan besarnya Sang Pencipta dan kekuasaan-Nya sehingga menambah kesedaran akan hubungannya dengan Allah. Selain itu, keadaan iman ini mampu menguatkan pola sikapnya dan menjadikannya mampu mewujudkan atau melakukan kecenderungan-kecenderungan dan aktivitinya sesuai perintah Allah dan larangan-Nya.

 

Para pewaris atau penerus sosok keperibadian-keperibadian Islam hendaklah benar-benar memerhatikan dan mementingkan bangunan asas di mana di atasnya tegak keperibadian-keperibadian. Mereka juga hendaklah benar-benar memberi paku bumi pada bangunan dasar itu, iaitu dengan akidah Islam hingga menghasilkan pembenaran yang pasti (at-tashdiq al-jazım) dengan akidah tersebut.

 

Pembenaran itu hendaklah sesuai dengan realiti yang dirasai oleh pancaindera. Selain itu, mesti ada dalil-dalil yang rasional atau dalil-dalil naqli yang meyakinkan terhadap suatu realiti. Dengan demikian, pemikiran-pemikiran yang memancar daripada akidah itu menjadi sebuah pemahaman.

 

Dalam diri Rasulullah SAW ada suri teladan yang baik dalam membentuk keperibadian sahabat, iaitu mereka yang telah menancapkan tiang-tiang Negara Islam. Mereka telah menegakkannya dan telah membawa Islam secara murni dan jelas kepada manusia.

 

Perjalanan Rasulullah SAW dalam membangun keperibadian-keperibadian yang cemerlang, mengikuti langkah-langkah berikut.

 

Pertama, memfokuskan semua perhatian kepada makhluk-makhluk. Ini menunjukkan kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya. Allah SWT berfirman, “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.” [TMQ Al-‘Alaq (96): 1—2].

 

Firman-Nya, “Demi fajar (pagi). Demi malam yang sepuluh. Demi yang genap dan yang ganjil. Demi malam apabila berlalu. Demikianlah sumpah bagi orang-orang yang berakal.” [TMQ Al-Fajr (89): 1—5].

 

Firman-Nya, “Demi langit yang mempunyai gugusan bintang.” [TMQ Al-Buruj (85): 1]. Juga firman-Nya, “Bukankah Kami telah menjadikan untuknya sepasang mata, dan lidah, dan sepasang bibir?” [TMQ Al-Balad (90): 8—9].

 

Kemudian menfokuskan perhatian kepada Al-Quran dengan mengambil pelajaran bahawa Al-Quran adalah kalam Allah yang menunjukkan kenabian Muhammad SAW.

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #KeperibadianIslam #PolaFikir #PolaSikap

Exit mobile version