Memahami Fardhu Kifayah (Kewajipan Kolektif)
Islam adalah deen (cara hidup) yang menyampaikan kepada manusia hakikat sebenar tentang kehidupan, iaitu melalui akidah (kepercayaan). Akidah Islam ini pula memberikan penyelesaian menyeluruh untuk mengatur kehidupan manusia dengan cara yang benar, baik secara individu dan kolektif, iaitu menerusi syariah.
Akidah Islam mengajarkan bahawa setiap Muslim adalah sebahagian daripada sebuah komuniti, iaitu ummah, dan bahawa ummah ini adalah satu kelompok yang tidak boleh dipisahkan. Kita diikat dengan tali persaudaraan, dan lebih daripada itu, kita memikul tanggungjawab antara satu sama lain.
Sifat kolektif agama ini jelas terlihat dalam ibadah seperti solat. Kita dikehendaki menunaikan solat secara berjamaah (seperti solat Jumaat), dan dalam situasi lain, turut digalakkan melakukannya secara berjamaah atau sebagai sebuah kumpulan. Bahkan dalam Surah al-Fatihah, kita membaca:
“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”
Jadi, idea bahawa umat ini merupakan sebuah kumpulan (manusia) yang berdiri sebagai satu entiti, telah terpahat menjadi tonggak keimanan kita.
Namun, serangan fahaman sekular – yang menyingkirkan peranan Pencipta (Tuhan) daripada hal ehwal manusia dan masyarakat – telah memperkenalkan konsep individualisme kepada umat Islam. Fahaman ini, yang dipromosikan secara agresif oleh Barat yang sekular, bertujuan untuk melemahkan umat dengan menghancurkan perasaan kesatuan, perpaduan dan persaudaraan di kalangan umat Islam.
Sebagai sebahagian daripada kempen pemusnahnya, Barat sekular bekerja tanpa jemu untuk memutarbelitkan – dan menghapuskan – konsep Fardhu Kifayah, yang merupakan kewajipan bersama, daripada hati dan fikiran umat Islam. Malangnya, sebahagian masjid, pendakwah, imam dan pempengaruh Muslim turut terperangkap dalam agenda ini, apabila mereka lebih menekankan aspek Fardhu Ain (kewajipan individu) seperti solat, puasa, haji dan akhlak, sembari mengabaikan perbincangan tentang Fardhu Kifayah. Terutamanya apabila menyentuh kepentingan politik dan isu-isu umat.
Sebagai contoh, jarang sekali kita mendengar khutbah atau ceramah tentang pencerobohan dan penjajahan tanah-tanah umat Islam oleh Amerika dan kuasa kolonial yang lainnya? Berapa banyak yang kita dengar tentang kenyataan bahawa tiada satu pun wilayah di muka bumi hari ini yang melaksanakan Islam sepenuhnya, (sejak runtuhnya Khilafah pada tahun 1924). Apa yang kita tahu tentang kempen tanpa henti Barat untuk mensekularkan masyarakat Islam di tanah-tanah umat Islam dan di Barat? Semua ini tidak dapat difahami dengan tepat tanpa memahami hakikat dan skop sebenar Fardhu Kifayah.
Masalah
Sebagai Muslim, kita hendaklah memahami bahawa, pertama sekali, kita adalah hamba Allah SWT. Segala perintah-Nya mengatur setiap tindakan yang kita lakukan dan setiap saat yang kita luangkan di dunia. Sebenarnya inilah maksud sebenar ibadah dalam Islam (`ibadah). Kita hanyalah hamba (ab’d) yang mentaati Pencipta kita dalam apa yang Dia katakan sebagai fardhu, mandub, mubah, makruh, dan haram. Allah SWT akan menimbang setiap keputusan kita pada hari kiamat.
“ Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.”
(TMQ Az-Zalzalah [99]:7)
Kewajipan: Individu vs Kolektif
Apabila kita melihat kepada perbuatan yang wajib, fardhu – kita melihat ia ditakrifkan sebagai:
هو الفعل الذي طلب الشارع حصوله على سبيل الجزم والتحتم، سواء كان ثابتًا بدليل قطعي أو ظني بحيث يثاب فاعله ويعاقب تاركُه
“Suatu perbuatan yang diperintahkan oleh as-Syari‘ untuk dilaksanakan secara mutlak, sama ada berdasarkan dalil qat’ie atau zanni, dan di mana pelakunya mendapatkan pahala, manakala yang tidak melakukannya akan mendapat hukuman.”
Fardhu dibahagikan kepada dua:
- Fardhu Ain –
أنه لا يسقط عن الشخص التكليف بالفعل إلا إذا قام به بنفسه وإلا كان آثمًا مستحقًا للعقاب
Kewajipan untuk melakukan perbuatan itu tidak tercabut daripada orang itu sehingga dia melakukannya sendiri jika tidak, dia akan layak menerima hukuman. Ini termasuk, solat lima waktu, puasa Ramadhan, menunaikan haji jika mampu.
- Fardhu Kifayah –
هوالفعل الذي طلب الشارع حصوله من المكلفين جميعًا إذا قام بهذا الواجب البعض من المكلفين دون البعض الآخر كان هذا كافيًا فى حصول الواجب، وتبرأ ذمة الجميع ويسقط عنهم الحرج او سقط عن الباقين
Itulah yang diminta oleh as-Syari’ daripada semua orang Islam (tanggungjawab syariat) secara keseluruhannya. Jika sebahagian (iaitu orang Islam dari umat) melaksanakan kewajipan ini dan dapat menyempurnakannya maka setiap orang akan terlepas beban daripada mereka dan kewajipan itu gugur daripada mereka.
Secara bahasa, “Kifayah” berasal dari perkataan “Kafaa” yang bermaksud “bebas daripada”. Ulama seperti Jalaluddin Suyuti menyatakan: “Dalam Fardhu Ain penekanan diberikan melihat kepada individu yang melakukan perbuatan dan perbuatan itu sendiri, manakala dalam kes Fardhu Kifayah, yang dilihat ialah adakah ia telah selesai. Namun ia tetap memerlukan seseorang yang melaksanakannya.”
Ini bermakna dengan Fardhu Kifayah, seseorang akan melihat sama ada ia telah disempurnakan terlebih dahulu, dan menilai sama ada perlu meminta kewajipan itu dilaksanakan.
Contohnya seperti pengurusan jenazah. Para fuqaha menyatakan bahawa pengebumian seorang Muslim tergolong dalam Fardhu Kifayah (iaitu, kewajipan bersama). Pada asalnya, tanggungjawab berada di pundak seluruh umat untuk menyempurnakan pengebumiannya. Walau bagaimanapun, jika segelintir umat Islam meneruskan urusan pengebumian dan menyelesaikan tugas tersebut, maka beban pertanggungjawaban syariat akan dihapuskan dari Pundak seluruh umat. Tapi jika tiada yang melaksanakannya, maka semua berdosa.
Contoh lain Fardhu Kifayah ialah menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, membina institusi Islam, dan menggerakkan jihad (negara Khilafah yang berjuang untuk menghilangkan halangan demi menegakkan syariat Islam) (Sharh AlIsnawi dan Ibn As-Subki). Para ulama melanjutkan Fardhu Kifayah sehinggalah kepada mewujudkan kepakaran atau profesional dalam bidang perubatan, ahli kimia, jurutera.
Pada asasnya, ini semua adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh masyarakat Islam untuk bebas daripada dosa, dan pemahaman sedemikian juga diperlukan dalam konteks bahawa negara Khilafah mesti mandiri dan Khalifah mampu menjaga hal ehwal umat.
Sudah Tahun 2025: Adakah Kita Telah Mengabaikan Sebahagian Fardhu Kifayah?
Sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah umat Islam melihat Fardhu Kifayah sebagai “masalah orang lain”, bahawa kita boleh menumpukan perhatian kepada kefardhuan individu kita dan berharap ‘orang lain’ menyempurnakan kewajipan kolektif. Walau bagaimanapun, ini adalah pemahaman yang salah. Sebaliknya, kita sebagai umat Islam seharusnya lebih prihatin terhadap Fardhu Kifayah sebelum mandub, kerana fardhu menunjukkan bahasa, jika kita tidak menyempurnakannya, maka kita layak mendapat azab Allah
Imam Al-Haramain Al-Juwayni menyatakan bahawa Fardhu Kifayah lebih utama daripada Fardhu Ain: “Kewajipan umum (Fard Kifayah) lebih utama daripada kewajipan peribadi (Fard Ayn) kerana Fardhu Kiyafah memenuhi keperluan umat dan mencabut kewajipan daripada ummah, manakala Fardhu Ain terhad kepada individu.”
Salah satu Fardhu Kifayah yang telah diabaikan dan yang telah memusnahkan umat lebih daripada individu yang tidak melakukan Fardhu Ain – adalah daripada ketiadaan Khilafah yang memerintah negeri-negeri umat Islam. Tanpa Khilafah, syariah tidak dilaksanakan, dan umat Islam tiada “perisai” untuk melindungi mereka daripada musuh seperti yang berlaku di Palestin, Kashmir, Syria, dan lain-lain.
Peranan Umat Islam Masa Kini untuk Menunaikan Fardhu Kifayah
Apabila berbicara mengenai Fardhu Kifayah, sebagai seorang Muslim, kita mesti bertanya kepada diri sendiri: “Jika sesuatu Fardhu Kifayah belum dilaksanakan, apakah peranan aku terhadap kewajipan tersebut?”
Hal ini apabila kita kembali merenung definisi “Jika ia disempurnakan oleh satu kelompok, maka dosa gugur dari yang lain.”
Akan tetapi, jika tidak disempurnakan, dosa itu tertanggung atas semua orang Islam kerana ditetapkan sebagai fardhu. Maka, dengan Khilafah yang belum tegak, ummah secara keseluruhannya berdosa kerana gagal menunaikan kewajipan ini sejak keruntuhannya pada tahun 1924 di tangan musuh Islam, Mustafa Kamal.
Jadi, agar seseorang itu bebas daripada dosa, dan mengelakkan kemurkaan Allah SWT, fuqaha berkata bahawa individu itu mesti berusaha sendiri, dan berusaha sedaya upaya untuk menyempurnakan Fardhu Kifayah dengan harapan dia dibebaskan daripada dosa.
Contoh penting ialah, Fardhu Kifayah untuk mendirikan semula negara Khilafah. Bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan peranan ini, dengan mengambil kira semua keperluannya seperti mematuhi thariqah dakwah Rasulullah SAW dan membentuk kumpulan yang melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan; insyaAllah akan dibebaskan dari dosa akibat tidak menunaikan kefardhuan ini, walaupun mereka akan mati dalam kapasiti menyempurnakan kewajipan ini.
Kesimpulan
Oleh itu, wajib ke atas umat Islam untuk menyempurnakan Fardhu Kifayah dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah melaksanakannya; sama ada mendirikan masjid, membina sekolah-sekolah Islam, atau bekerja untuk menegakkan semula Khilafah (dan melanjutkan cara hidup Islam) berdasarkan manhaj Rasulullah SAW. Kita hendaklah bersungguh-sungguh menyempurnakan Fardhu Kifayah sebagaimana yang kita lakukan dengan Fardhu Ain. Inilah yang InsyaAllah akan menjadikan Allah SWT redha kepada kita dan menjadikan kita layak mendapat keredhaan-Nya pada hari kiamat.
#MahkotaKefardhuan #Khilafah #FardhuAin #FardhuKifayah #KhilafahAjaranIslam

