[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Jom Membangun Jalan Menuju Syurga Bersama
Luar biasa Allah SWT bukan hanya menjanjikan pertemuan kembali, tetapi juga memberikan “mekanisme” agar keluarga Muslim yang beriman benar-benar dapat saling tarik-menarik ahli keluarganya ke syurga.
Misalnya, anak yang soleh dapat mengangkat darjat ibu bapanya melalui doa dan istighfar yang terus mengalir.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh.” (HR. Muslim)
“Sungguh seseorang akan diangkat darjatnya di syurga, lalu dia bertanya: ‘Dari mana ini datangnya?’ Dijawab: ‘Dari istighfar anakmu untukmu.’” (HR. Ahmad)
Begitu pula sebaliknya, ibu bapa yang soleh juga dapat menarik anak-anaknya untuk naik ke syurga yang lebih tinggi. Dalam surah Ath-Thur: 21, Allah berfirman:
”Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (TMQ At-Tuur [52]:21)
Dalam Tafsir Jalalain dijelaskan bahawa anak cucu akan diangkat ke darjat yang sama dengan ibu bapanya sebagai bentuk kemuliaan dan penghormatan kepada mereka. Hal ini ditegaskan juga oleh Syaikh As-Sa’diy yang menyebut bahawa penggabungan ini adalah bentuk tambahan pahala bagi ibu bapa, dan bentuk keadilan Allah kerana tidak mengurangi amal siapa pun.
Ini wajar menjadi peringatan dan harapan bagi setiap keluarga Muslim bahawa tugas kita sebagai ibu bapa, anak, pasangan, bukan hanya mencintai dan merawat satu sama lain di dunia, tapi mengajak, membimbing, dan saling mendoakan agar dapat berkumpul kembali di syurga.
Ada beberapa perkara boleh dihidupkan sebagai amalan bersama dalam keluarga bagi meraih syurga Allah:
- Adakan Sesi Perkongsian Ilmu atau Majlis Taklim Bersama Keluarga Secara Berkala
Luangkan masa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk berkumpul dan bincangkan satu topik terkait pendidikan / ilmu Islam. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah tugasan kepada setiap seorang ahli keluarga untuk berkongsi ayat al-Quran atau hadis kegemaran mereka. Ibu bapa juga boleh melakukan majlis taklim keluarga. Ketua keluarga boleh memimpin majlis taklim keluarga dengan membedah kitab-kitab ulama terpilih. Dari majlis taklim keluarga inilah proses meningkatkan tsaqafah Islam dalam keluarga dan pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan sebenar dapat dilakukan secara bersama. Satu lagi pendekatan menarik adalah, tetapkan matlamat bersama. Contohnya, letakkan papan kenyataan di rumah dan pilih satu ayat setiap pagi untuk diletakkan di situ. Semua ahli keluarga perlu mencuba untuk menjadikan ayat itu sebagai misi harian mereka.
- Belajar Al-Quran Bersama-sama
Al-Quran merupakan elemen penting dalam kehidupan setiap muslim kerana ia adalah kitab yang wajib diimani dan seluruh isinya adalah panduan bagi setiap Muslim dalam berfikir dan bertindak. Dengan kata lain, ia adalah panduan cara hidup menyeluruh bagi muslim. Oleh itu, menghidupkan Al-Quran dalam keluarga muslim adalah sangat penting. Keluarga muslim boleh menjadikan aktiviti belajar Al-Quran bersama keluarga sebagai agenda utama. Ramai dikalangan kita pada hari ini selalunya hanya ingin belajar dengan rakan atau orang asing, justeru, kenapa tidak dengan keluarga sendiri? Bayangkan betapa indahnya belajar kitab Allah dan menghidupkan mesejnya di rumah bersama orang yang paling rapat dengan kita. Selain mengajar sendiri anak-anak, ibu bapa juga boleh menjemput tenaga pengajar dari luar (atau membawa seisi keluarga menghadiri kelas Al-Quran). Apabila bersama-sama mempelajari baik bacaan mahupun tadabbur dan tafsir Al-Quran, ia akan mengeratkan hubungan kekeluargaan, dan menanamkan penguasaan terhadap ilmu bagi seisi keluarga (tiada yang keciciran/buta al-Quran), malah memupuk sikap saling membantu dalam kebaikan. Kita juga boleh menjadikan ia lebih menyeronokkan dengan elemen persaingan sihat: carta kemajuan di dinding merangkumi bacaan, hafalan dll, dan sediakan ganjaran mingguan untuk ahli keluarga yang paling berusaha.
- Saling Mendoakan
Rasulullah SAW bersabda: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya ketika dia tidak hadir, akan dikabulkan. Malaikat yang ditugaskan untuknya berkata: ‘Amin! Semoga engkau juga mendapat yang sama.’” [HR Muslim]
Ada perkara perlu kita renungkan. Berapa kerap kita berdoa untuk ibu bapa, adik, abang, anak, atau datuk nenek kita? Jadikan amalan ini satu kebiasaan. Dan tekankan dalam keluarga untuk saling mendoakan. Setiap hari, luangkan masa berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah demi kesejahteraan ahli keluarga. Boleh juga memulakan doa secara umum untuk semua, dan apabila sudah menjadi rutin, berdoalah secara khusus untuk setiap seorang.
Antara doa rutin yang boleh diamalkan:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا [سورة الفرقان، الآية: 74].
”Ya Tuhan Kami, anugrahkanlah kepada Kami isteri-isteri Kami dan keturunan Kami sebagai penyenang hati (Kami), dan Jadikanlah Kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (TMQ Al Furqan [25]: 74)
- Libatkan Keluarga dalam Aktiviti Kebaikan dan Amal Soleh
Selain melakukan aktiviti ibadah seperti solat berjemaah, berpuasa dan mempelajari al-Quran bersama, ahli keluarga juga perlu diajak melakukan kebaikan lain yang juga penting dan berpengaruh besar pada keluarga, iaitu aktiviti amar makruf nahi mungkar. Setiap ahli keluarga perlu sedar bahawa mereka, sebagai muslim, memiliki kewajipan untuk saling memberikan nasihat, mengajak pada kebaikan, dan mencegah kemungkaran, serta menegakkan syiar Islam.Bahkan Rasulullah SAW sendiri membangun keluarganya dengan dakwah dan menjadi agen dakwah Islam. Dengan memahami kewajipan dakwah bagi setiap muslim, setiap ahli keluarga boleh dilibatkan untuk mengikuti berbagai aktiviti dakwah dalam masyarakat sebagai sarana latihan praktikal, dan mematangkan diri agar siap memikul tanggungjawab dakwah. Perlu juga diingat bahawa aktiviti dakwah sangat penting bagi melindungi keluarga muslim daripada pelbagai cabaran sosial dan kerosakan sistemik dalam masyarakat. Pada masa kini, umat perlu sentiasa diberi kesedaran dan diajak melihat isu-isu disekeliling mereka dari perspektif Islam. Justeru, melalui dakwahlah, narasi-narasi yang menyesatkan dapat dilawan, dibantah dan dicegah, manakala umat terus terdidik. Oleh itu, setiap keluarga muslim tidak boleh tidak, perlu berperanan aktif dalam dakwah masyarakat.
Semoga Allah SWT membimbing keluarga-keluarga Muslim agar mampu memainkan peranan di dalam mahupun di luar rumah, melahirkan generasi penegak syariah yang berdakwah dengan penuh kesedaran, memberi manfaat kepada umat, dan akhirnya berkumpul semula di syurga-Nya kelak. Amiin.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#SekeluargaMenujuJannah

