Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 2/7)

[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 2/7)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Apabila individu-individu berkumpul di muka bumi untuk hidup bersama, maka naluri mempertahankan diri akan mendorong mereka untuk menguasai tanah. Ini kerana mereka memerlukannya untuk bercucuk tanam dan menghasilkan sesuatu yang dapat memenuhi keperluan-keperluan jasmani mereka. Ciri-ciri tanah pula berbeza-beza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Ia bergantung kepada tahap kesuburan tanah tersebut, jaraknya dari penempatan penduduk dan sumber air, serta sejauh mana tanah itu mudah dimanfaatkan.

 

Semua ini akan mewujudkan hubungan-hubungan antara manusia yang berkaitan dengan tanah. Dalam sesetengah keadaan, mereka bahkan sanggup berperang dan saling membunuh hanya kerana berebutkan tanah. Pihak yang lebih kuat akan menguasai pihak yang lemah setelah membunuh atau mengusirnya.

 

Akibat daripada pergolakan ini, akan tinggal hanya individu yang paling kuat bersama keluarganya yang menguasai tanah tersebut. Keluarga itu kemudiannya akan berkembang, melahirkan keturunan yang ramai. Namun, pertikaian baharu akan tercetus dalam kalangan mereka sendiri apabila masing-masing mempunyai keinginan untuk menguasai lebih banyak tanah, dan keadaan ini berterusan.

 

Kadangkala, naluri mempertahankan diri yang mendalam mampu mendorong anggota keluarga tersebut untuk memelihara kesinambungan masyarakat mereka dan menjaga kelangsungan keturunan mereka. Mereka saling bekerjasama dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Mereka juga akan membentuk suatu sistem bagi mengatur interaksi mereka dalam soal penguasaan tanah.

 

Interaksi-interaksi mereka dalam usaha menguasai tanah akan membentuk pelbagai pemikiran tentang tanah. Mereka akan memuliakan tanah tempat mereka berpijak dan menganggapnya sebagai sumber rezeki. Kerana itu, lahirlah perasaan cinta terhadap tanah.

 

Namun begitu, perbezaan naluri-naluri serta keperluan-keperluan jasmani dalam kalangan mereka, sama ada yang kuat mahupun yang lemah, telah mendorong sebahagian daripada mereka menyanggah pemikiran-pemikiran tersebut. Akibatnya, sebahagian mereka menzalimi yang lain di atas muka bumi. Mereka melakukan perampasan, pembunuhan, atau pengusiran hanya kerana berebutkan tanah.

 

Tindakan-tindakan sedemikian bertentangan dengan pemahaman-pemahaman lain yang wujud mengenai tanah, serta bercanggah dengan pandangan mereka terhadap tanah dan kemaslahatan yang berkaitan dengannya. Kemudian, mereka terpaksa merangka satu sistem yang menetapkan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang melampaui batas dan merampas hak orang lain. Majoriti mereka akhirnya bersetuju untuk menerima satu sistem tertentu yang menetapkan batasan bagi tingkah laku yang baik dan buruk. Mereka juga sepakat untuk menetapkan hukuman terhadap pelanggaran undang-undang tersebut, agar si pelanggar dan orang lain berasa takut dan tidak mengulanginya.

 

Jika dilihat dari sudut pertumbuhan secara semula jadi, manusia terdiri daripada beberapa bahagian:

  1. Individu-individu yang hidup bersama.
  2. Pemikiran-pemikiran yang digunakan untuk menghukum interaksi antara individu;
  3. Perasaan (emosi) kolektif terhadap kecenderungan kepada sesuatu dan perbuatan, atau menjauhkan diri daripadanya;
  4. Sistem yang menerapkan pemikiran-pemikiran tersebut dan mengatur pelbagai interaksi.

 

Oleh itu, unsur-unsur pembentuk sesuatu masyarakat adalah: individu-individu, pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan, dan sistem.

 

Pembentukan masyarakat merupakan pembentukan semula jadi hasil daripada potensi-potensi yang telah diciptakan oleh Allah pada individu. Dengan demikian, manusia terdorong untuk hidup bermasyarakat, berpuak-puak, dan berbangsa-bangsa.

 

Allah SWT berfirman, “…dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali …” [TMQ Al-Hujuraat (49): 13]

 

Bangsa adalah kumpulan manusia, manakala suku adalah kumpulan manusia yang mempunyai nasab kepada seorang lelaki. Masyarakat itu wujud dan hidup sebagaimana individu, namun unsur-unsur masyarakat berbeza daripada unsur-unsur individu. Apabila unsur-unsur tersebut wujud dalam suatu kumpulan manusia, maka kumpulan itu dinamakan masyarakat. Akan tetapi, jika tidak wujud, maka tidak boleh dianggap sebagai masyarakat.

 

Unsur tersebut terdiri daripada empat elemen, iaitu individu-individu, pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan, dan sistem. Jika salah satu daripada keempat-empat elemen ini tidak wujud, maka tiga elemen yang ada tidak dapat membentuk sebuah masyarakat.

 

Masyarakat Khas

 

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, belas kasihan, dan kelembutan antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh merasa sakit, seluruh tubuh turut merasakannya sehingga berjaga malam (tidak dapat tidur) dan mengalami demam.”

 

Masyarakat khas adalah masyarakat yang individu-individu, pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan, dan sistem-sistem terbentuk daripada satu jenis. Masyarakat seperti ini tidak akan wujud melainkan semua individunya berpegang kepada satu akidah asas yang sama. Dengan demikian, akan lahir semua pemikiran yang diperlukan untuk memenuhi segala naluri dan keperluan jasmani individu, serta menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan yang dihadapi mereka.

 

Sebagai contoh, masyarakat Islam adalah masyarakat yang majoriti individunya terdiri daripada umat Islam. Mereka berpegang kepada akidah Islam dan membentuk pemikiran mereka iaitu menghukumi sesuatu perkara dan perbuatan bersandarkan akidah tersebut.

 

Kemudian terbentuklah satu perasaan dalam kalangan mereka, sebagai hasil daripada satu sudut mereka terhadap kehidupan. Mereka cenderung kepada perkara yang halal, menjauhkan diri daripada yang haram, dan melaksanakan sistem Islam dalam setiap aspek interaksi mereka. Mereka berinteraksi dengan tuhan mereka, dengan diri mereka sendiri, mahupun dengan anggota masyarakat yang lain.

 

Jadi, masyarakat Islam adalah masyarakat yang majoriti individunya terdiri daripada kaum muslim, pemikiran dan perasaan mereka bersumberkan Islam, dan sistem yang diterapkan atas mereka juga sistem Islam.

 

Masyarakat Islam ini bersifat wujud, hidup, dan merupakan satu jenis. Rasulullah SAW menggambarkan masyarakat ini dalam sabdanya: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, belas kasihan, dan kelembutan antara mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota tubuh merasa sakit, seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga malam dan mengalami demam.”

 

Sumber: Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #masyarakat #masyarakatislam

 

Exit mobile version