Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 5/7)

[Mafahim Islamiyyah] Masyarakat (Bahagian 5/7)

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

Metode perubahan digunakan oleh para penganut tiga ideologi apabila wujud sebuah negara yang mendukung dan menerapkan suatu ideologi. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam penaklukan Islam selepas tegaknya negara Islam di Madinah. Begitu juga tampak nyata dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua bagi kapitalisme dan komunisme, apabila kedua-duanya membahagi-bahagikan dunia setelah peperangan dahsyat menentang Negara Uthmaniyyah, Jerman dan Itali.

Namun begitu, ketika tiada negara yang menerapkan suatu ideologi, maka metode untuk mewujudkan ideologi tersebut dan membentuk masyarakat khas yang membawa mabda’ adalah berbeza dengan keadaan ketika sesebuah negara sudah terbentuk.

Sesungguhnya, ideologi dari sudut pembinaannya adalah akidah rasional yang memancarkan sebuah sistem. Sistem itu lahir daripada akidah, sebagaimana tumbuhnya batang pokok daripada benih yang disemai. Manakala ideologi dari sudut penerapannya pula terdiri daripada pemikiran dan metode yang berasal daripada satu jenis.

Pemikiran tersebut merangkumi akidah dan merupakan sebahagian daripada sistem, iaitu menjelaskan penyelesaian-penyelesaian terhadap pelbagai permasalahan kehidupan. Sementara metode pula adalah bahagian lain daripada sistem. Metode merangkumi cara membawa ideologi, cara memeliharanya dan cara menerapkan segala bentuk penyelesaian yang lahir daripadanya.

Sesiapa sahaja yang ingin mengubah masyarakat daripada pelbagai masyarakat kepada masyarakat yang khas berdasarkan ideologi tertentu mesti mengikat dirinya dengan metode ideologi tersebut. Dia tidak boleh menyimpang walaupun sebesar sehelai rambut sekalipun apabila berdepan dengan kesulitan atau serangan yang menghalang perjalanannya. Ini kerana metode merupakan bahagian yang tidak terpisah daripada ideologi itu sendiri.

Adapun dalil bagi metode perubahan dalam Islam adalah perbuatan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT telah mengutus baginda SAW kepada masyarakat jahiliah Mekah. Kemudian baginda SAW melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk mengubah masyarakat tersebut dengan metode yang telah digariskan oleh Allah SWT. Nabi SAW telah menempuh tiga peringkat perubahan.

Peringkat pertama adalah peringkat pembentukan keperibadian khas melalui pendidikan dan pengajaran. Setelah Allah SWT mewahyukan risalah kepada Nabi Muhammad SAW, baginda memulakan penyampaian risalah tersebut kepada orang-orang terdekat. Mereka adalah Khadijah, isteri tercinta baginda, Abu Bakar, sahabatnya; Ali bin Abi Talib, sepupunya dan lain-lain. Nabi SAW berjaya membentuk mereka agar memiliki keperibadian Islam, di mana pemikiran dan kecenderungan mereka bersandar sepenuhnya kepada akidah Islam. Pemikiran-pemikiran yang bersumberkan akidah Islam itu adalah wahyu yang pertama diturunkan, seperti beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan Hari Akhirat.

Pemilik akidah tersebut, iaitu Allah SWT, mencela para penyembah berhala serta mencela keyakinan terhadap para dukun (paranormal) dan ahli sihir. Penjelasan Rasulullah SAW mengenai perkara ini sangat jelas dan terang. Sesungguhnya, Abu Talib, iaitu bapa saudara Nabi, pada suatu hari bertanya kepadanya, “agama apakah ini yang aku melihatmu anuti?”

Rasulullah SAW menjawab, “Wahai bapa saudaraku, ini adalah agama Allah, agama para malaikat-Nya, agama para Rasul-Nya, dan agama bapa kita, Ibrahim AS. Allah telah mengutusku dengan agama ini agar aku menjadi Rasul kepada seluruh hamba-Nya. Engkau, wahai bapa saudaraku, adalah orang yang paling berhak menerima nasihatku dan seruanku kepada petunjuk. Engkau juga adalah orang yang paling layak menyambut seruanku dan membantuku dalam urusan agama ini.” Abu Talib berkata, “Sesungguhnya aku tidak mampu meninggalkan agama nenek moyangku dan ketetapan-ketetapan mereka. Akan tetapi, demi Allah, tidak akan sampai kepadamu sesuatu yang engkau benci.”

Apa yang dimaksudkan dengan ‘agama’ dalam hadis Rasulullah SAW di atas hanyalah akidah. Ini kerana beliau telah menyandarkan agama tersebut kepada para malaikat dan para Rasul-Nya. Salah seorang daripada mereka adalah Nabi Ibrahim AS, sedangkan sistem hukum dalam syariat-syariat terdahulu berbeza dengan hukum syariat Islam.

Oleh itu, maksud agama dalam hadis tersebut adalah akidah, bukan perkara lain. Ini kerana akidah yang diseru untuk diimani dalam semua agama hanyalah satu dan tidak berbilang. Keimanan terhadap akidah ini adalah keimanan kepada realiti, iaitu keimanan yang yakin dan pasti berasaskan dalil. Akal tidak dapat menerima bahawa sesuatu itu boleh wujud dan dalam masa yang sama ia tidak wujud.

Rasulullah SAW telah memulakan dakwahnya secara rahsia. Beliau amat berkeinginan untuk membentuk dan mendidik sesiapa sahaja yang beriman agar mereka memiliki keperibadian yang aktif, seperti Abu Bakar, Jaafar, Abu Ubaidah, Ammar dan Bilal. Mereka inilah para sahabat yang turut sama memikul tanggungjawab dakwah bersama Rasulullah SAW.

Kemudian, mereka menjadi insan-insan yang menegakkan tiang-tiang negara dan mengangkat panji-panji dakwah sehingga keluar dari semenanjung Arab. Rasulullah SAW sentiasa menyampaikan kepada mereka setiap wahyu yang diturunkan kepadanya. Lalu mereka menerimanya dengan pemikiran yang memperkukuh tingkah laku mereka, menguatkan hubungan mereka dengan Allah SWT, serta menambahkan keteguhan mereka terhadap agama yang baru.

Peringkat kedua adalah peringkat berinteraksi dengan masyarakat. Melalui Rasulullah SAW dan para sahabat yang beriman bersamanya, masyarakat Mekah mula mendengar tentang agama yang baru. Kemudian, mereka mulai memeluk Islam dan membentuk kelompok-kelompok sehingga Islam tersebar ke seluruh pelosok kota Mekah, dan penduduk Mekah mula saling memperbincangkan mengenai Islam.

Pada ketika itu, Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya, “Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” [TMQ Al-Hijr (15): 94]

Allah SWT juga berfirman, “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu lakukan!’” [TMQ Asy-Syu’ara’ (26): 214—216]

Rasulullah SAW kemudian memulakan dakwah secara terang-terangan dan memulakan perjuangan politik. Beliau mencela penyembahan berhala oleh kaum Quraisy, memperbodohkan akal fikiran mereka dan menyingkap perbuatan buruk mereka. Lalu, para pembesar Quraisy mengadukan perkara ini kepada bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Talib. Apabila Abu Talib mula berbicara dengan Nabi SAW mengenai perkara ini, Beliau menjawab:

“Wahai bapa saudaraku, demi Allah. Sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan urusan ini—sehingga Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya—nescaya aku tidak akan pernah meninggalkannya.”

Sumber: Mafahim Islamiyyah.

#MafahimIslamiyyah #masyarakat

Exit mobile version