Site icon MuslimahHTM News

Normalisasi Mr. Mama Adakah Sesuai Syariat?

[Apa Kata Anda] Normalisasi Mr. Mama Adakah Sesuai Syariat?

 

Trend house husband atau “Mr. Mama” ini membimbangkan dari sudut pandangan Islam kerana Islam meletakkan lelaki sebagai penanggungjawab dalam rumah tangga dan isteri sebagai yang ditanggung, bukan menanggung. Suami adalah ketua keluarga yang dipanggil qawwam, seperti disebut dalam Surah An-Nisa ayat 34, ‘Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah melebihkan mereka atas sebahagian lain dan kerana mereka menafkahkan sebahagian dari harta mereka.’Jika syariat yang Allah tetapkan ini untuk setiap individu dipinda secara sengaja, kita kena fikir apa akan berlaku di masa hadapan.

 

Keadaan sekarang menunjukkan peranan bertukar, wanita menjadi penafkah utama (breadwinner) dan lelaki mengambil alih tugas rumah. Ini jelas bertentangan dengan kerangka Islam. Trend ini berlaku kerana persepsi dan kurang ilmu; ada wanita rasa perlu bekerja kerana ingin menyumbang atau elak dipandang rendah akibat propaganda ‘women empowerment’.

 

Kalau kita terus ikut trend kapitalis ini, kita akan lahirkan generasi yang fikir lelaki boleh duduk rumah sahaja. Sekarang ini, mungkin kita belum nampak kesannya. Trend suami menjadi “Mr. Mama” masih baru, meningkat sejak sepuluh tahun kebelakangan ini. Tetapi cuba bayangkan kesannya dalam tempoh 20 tahun akan datang – kita akan melahirkan generasi yang bagaimana? Anak-anak yang berfikiran bagaimana?

 

Mungkin secara fizikal dan pendidikan mereka nampak berjaya, tetapi dari sudut mentaliti, pemikiran Islam, dan cara menjalankan tanggungjawab sebagai lelaki sebenar, adakah mereka akan mencontohi Rasulullah? Adakah mereka akan fikir, “Rasulullah dulu begini atau begitu?”

 

Sebab apa yang kita lakukan hari ini lahir daripada pemikiran kita. Kalau anak-anak yang dibesarkan oleh ayah yang menjadi “Mr. Mama” dan ibu yang bekerja di luar, mungkin pada masa depan mereka akan berfikir, “Saya nak cari isteri bergaji besar, saya nak duduk di rumah saja. Tak mengapa, asalkan pandai masak.” Mentaliti ini salah dari sudut Islam. Ya, lelaki pandai masak memang bagus. Namun,  yang lebih penting, adakah anda tahu tanggungjawab anda sebagai lelaki dalam Islam?

 

Kalau kita tengok balik apa yang Rasulullah buat, memang baginda pun buat kerja rumah. Tapi itu tidak menidakkan peranan Rasulullah sebagai penanggungjawab keluarga, seorang pemimpin, pendakwah, dan sebagainya. Itu tidak menghalang Rasulullah untuk terus berbakti, bekerja bersama-sama dengan isteri di rumah.

 

Sebab itulah kita kena ikut Rasulullah SAW kerana baginda adalah teladan kita. Adakah Rasulullah duduk di rumah saja, jaga anak, lipat kain dan sebagainya? Tidak. Baginda keluar berdakwah, bekerja mencari nafkah, dan memimpin tentera.

 

Jadi kalau “Mr. Mama” sekarang ini duduk di rumah menguruskan rumahtangga, okay… itu memang okay. Tapi persoalannya, adakah pada masa yang sama anda keluar berdakwah juga? Ada pendapatan sampingan? Ada sumber rezeki lain? Di sinilah kita nampak, memang ada kepincangan.

 

Nasihat saya, sebelum kahwin, belajar peranan suami dan isteri dalam Islam. Kalau sudah terjebak, segera sedar, dan betulkan pembahagian tugas mengikut syariah.

 

(Syafinaz Safar)

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version