Menjaga dan Mendidik Anak
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Allah SWT menyifati anak-anak dalam Al-Quran dengan tiga hal; sebagai penyejuk mata (qurrata a’yun)[1], sebagai fitnah (ujian)[2] bahkan sebagai musuh bagi ibu bapanya.[3] Ketiga sifat itu ditentukan oleh bagaimana sikap anak. Sikap anak banyak dipengaruhi oleh pendidikan yang diterimanya, maka ibu bapa yang mahu anak-anaknya menjadi penyejuk mata dan penolongnya di dunia mahupun akhirat, perlu memperhatikan pendidikan anak-anaknya.
Allah SWT menjelaskan kewajipan ini dalam surah At-Tahrîm ayat 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”[4]
Diriwayatkan bahawa ketika ayat ini turun, Umar bin al-Khattab RA berkata:
يا رسول الله، نقي أنفسنا، فكيف لنا بأهلينا؟
“Wahai Rasulullah, kami sudah menjaga diri kami, bagaimana cara menjaga keluarga kami?”
Rasulullah SAW menjawab:
تنهونهم عما نهاكم الله عنه، وتأمرونهم بما أمركم الله به
“kamu larang mereka lakukan apa yang Allah larang kamu lakukan dan kamu perintahkan mereka lakukan apa yang Allah perintahkan kamu untuk melakukannya.”[5]
Perlu Keteladanan
Bagaimanapun besarnya usaha yang dilakukan untuk mendidik seorang anak, bagaimanapun suci fitrahnya, ia tidak akan mampu memenuhi prinsip-prinsip kebaikan dan asas-asas pendidikan yang utama, selagi ia tidak menemukan keteladanan pada diri ibu bapa dan guru. Adalah sesuatu yang mudah bagi ibu bapa dan guru untuk sekadar mengajari anak dengan berbagai bahan pendidikan, namun yang tidak mudah adalah melaksanakan dan menjadikan dirinya contoh terbaik dalam melaksanakan apa yang diajarkannya.
Oleh sebab itulah ‘Amr bin Utbah berkata kepada guru anaknya:
ليكن أول إصلاحك لولدي إصلاحك نفسك، فإنّ عيونهم معقودة بعينك، فالحسن عندهم ما صنعت، والقبيح عندهم ما تركت…
“Hendaklah yang pertama engkau lakukan dalam memperbaiki anakku adalah memperbaiki dirimu sendiri, kerana sesungguhnya pandangan matanya terikat dengan dirimu, yang baik baginya adalah apa yang engkau lakukan dan yang buruk baginya adalah apa yang engkau tinggalkan.”[6]
Keteladanan hendaklah bukan hanya diberikan oleh ibu bapa dan guru sahaja, namun oleh masyarakat, lebih-lebih pemerintah. Bagaimana mungkin anak diajari teori kesederhanaan jika yang dia saksikan adalah gaya hidup yang mewah? Diajari kejujuran oleh orang-orang yang banyak melakukan penipuan? Diajari mencintai negara oleh orang-orang yang mengaut kekayaan negara? Diajari agar bertakwa namun ajaran Islam justeru dianggap membahayakan negara? Sesungguhnya pertentangan ini bukan hanya akan merosak negara, malah akan merosak pendidikan anak-anak kita jika kita tidak bertindak dan mengatasinya. Allaahu A’lam.
Footnote:
[1] QS. Al Furqan: 74
[2] QS. At Taghâbun: 15
[3] QS. At Taghâbun: 14
[4] Kitab Suci Alquran (Harf Information Technology (Software ver. 8.0), 2002).
[5] Abdurrahman bin Muhammad al Qummas, Al-Hâwî Fi Tafsîr al-Qur’ân al-Karîm (UEA: Maktabah Syamilah, 2009), Juz 311, hlm. 62; Al Qurthuby, Al-Jâmi’ Li Ahkâm al-Qur’ân (Kairo: Dâr al-Kutub al-Mishriyah, 1964), Juz 18, hlm. 196.
[6] Ibn ’Abd Rabbih al-Andalusi, Al-’Aqd al-Farîd, Cet. I. (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1404), juz 2, hlm. 272; Abdullâh Nâshih Ulwân, Tarbiyatu Al-Awlâd Fî al-Islâm, Juz 2, hlm. 637.
#KeluargaMuslimIdeal #KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat #PendidikanAnak #IslamicParenting

