Site icon MuslimahHTM News

Hijrah Keluarga Muslim sebagai Ejen Perubahan

Hijrah Keluarga Muslim sebagai Ejen Perubahan

 

Oleh: Aliya Ab Aziz

 

Dalam Siri Open Circle Sahabat Muslimah, Aktivis Dakwah Puan Hidayah Muhammad mengajak umat Islam mengambil semangat hijrah sebagai pemangkin perubahan dalam institusi keluarga Muslim dengan menjadikannya sebagai ejen perubahan yang melaksanakan perubahan besar dalam masyarakat.

 

“Sama-sama ambil iktibar dan manfaatkan momentum hijrah ini — supaya kita dapat membina sebuah keluarga dakwah agar kita boleh menjadi ‘lil muttaqinā imāmah’, iaitu pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa. Kita ingin jadikan keluarga dakwah ini sebagai ejen perubahan dalam masyarakat. Sebab itu saya katakan, perubahan itu mesti bermula dari rumah,” tegasnya ketika membentang topik `Apa Khabar Keluarga Muslim?’ pada 28/6/2025 (Sabtu).

 

Beliau menggariskan pelbagai bentuk krisis yang sedang berlaku dalam institusi keluarga Muslim hari ini yang menjadi pendorong utama kenapa dakwah tidak boleh ditangguh dan betapa pentingnya membina keluarga dakwah.

 

Katanya, “Bila kita bercakap `Apa Khabar keluarga Muslim’ itu, kita katakan kita nak tahu ada masalah ke dengan keluarga Muslim hari ni? Ada apa yang berlaku? Adakah keluarga Muslim yang ada sekarang tu dalam keadaan yang baik-baik saja ataupun tak ada masalah? Sebagai satu bentuk muhasabah yang sebenarnya, memang ada masalah.”

 

Antara masalah atau krisis yang menimpa keluarga Muslim adalah kehidupan umat hari ini yang jauh daripada kehidupan Islam sebenar. Menurutnya, umat Islam hidup dalam keadaan di mana Islam tidak diterapkan sepenuhnya dalam segenap aspek kehidupan, hanya terbatas kepada ibadah ritual. Akibatnya, apa yang diterapkan di tengah-tengah kehidupan kita adalah cara hidup yang sekular dan hedonistik.

 

Tambahnya lagi, “Bila sistem hari ni jauh daripada Islam, tidak Islami, bukan sistem yang menjaga, bukan sistem yang bagi perlindungan supaya institusi keluarga tu kuat. Sebaliknya sistem ini lah pula yang menyebabkan keluarga tu rosak. Sistem ini lah yang menyebabkan institusi-institusi keluarga tu menjadi rapuh sehingga runtuh,” ujarnya.

 

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang impak besar teknologi dan media sosial terhadap keluarga Muslim pada hari ini. Di sebalik manfaat yang banyak, media sosial turut menjadi médium yang mempengaruhi stigmatisasi negatif terhadap nilai kekeluargaan misalnya terkait konsep kebahagiaan. Menurutnya, orang cenderung terpengaruh dengan apa yang ada di sosial media sehingga menyebabkan hilangnya pertimbangan dalam memahami konsep kebahagiaan yang sebenar.

 

Katanya, “Kadang-kadang kita pandang kebahagiaan tu bukan melihat apa yang kita ada, tapi kita melihat kebahagiaan itu berpandukan apa yang kita lihat di media sosial. Apa yang kita nampak, apa yang keluar di wall, status dan sebagainya. Sehingga kebahagiaan yang ada, yang kita boleh cipta sendiri, mengikut bingkai dan juga kaca mata hukum syarak itu kita lupakan.”

 

Seterusnya, beliau juga menyentuh tentang krisis konflik keluarga Muslim pada hari ini yang banyak tidak dapat diselesaikan berdasarkan syariat. Ini kerana permasalahan rumah tangga (di Malaysia) tidak sepenuhnya diurus berdasarkan hukum syarak (undang-undnag syariah) sebaliknya diurus secara campur aduk dengan perundangan sivil. Misalnya dalam kes keganasan rumah tangga.

 

Beliau berkomentar, “Bila berlaku keganasan rumah tangga, si isteri akan memohon cerai di Mahkamah Syariah. Namun, dalam hal hukuman, perlindungan, dan tindakan terhadap pelaku (keganasan), kes itu dibawa pula ke Mahkamah Sivil. Sedangkan, jika kita benar-benar faham undang-undang syariah dalam Islam, ia bukan hanya melibatkan urusan nikah, cerai, dan rujuk semata-mata. Syariah Islam merangkumi keseluruhan sistem perundangan (termasuk hukuman dan perlindungan terhadap pelbagai bentuk kesalahan)“.

 

Sambungnya lagi, Islam sudah komprehensif, namun jika umat Islam hanya mengambil sebahagian ajaran Islam yang diingini, dan meninggalkan bahagian lain, sebenarnya umat sedang mengamalkan pendekatan sekular. Inilah yang membawa kepada berlarutannya krisis dan konflik dalam rumah tangga serta institusi keluarga Muslim.

 

Oleh itu, dalam mendepani krisis-krisis ini, penting bagi keluarga Muslim mempunyai kesedaran terhadap dakwah, dan bercita-cita membina keluarga dakwah. Menurutnya, proses membina keluarga dakwah ini mestilah bermula daripada rumah kerana rumah adalah tempat paling awal anak-anak dibentuk .

 

Katanya, “Rumah adalah tempat pertama untuk generasi dan juga anak-anak. Kita yang dah jadi mak-mak ni pun bermula dididik daripada rumah oleh mak ayah kita. Sebab itulah, rumah atau institusi keluarga mempunyai fungsi penting dalam melahirkan individu yang bukan sahaja beriman, tetapi juga berilmu pengetahuan dari segi pendidikan agamanya dan sebagainya.”

 

Namun dalam masa yang sama, beliau mengakui bahawa cabaran untuk membina keluarga dakwah sangat besar kerana sistem masyarakat dan negara hari ini tidak menyokong aspirasi dakwah yang Islamik sepenuhnya.

 

Menurutnya, “Kalau kita bercakap pasal dakwah, susahnya cabaran dakwah tadi, sebab kita tidak didokong atau pun sistem itu (sistem negara hari ini) tidak menyokong atau membantu pembinaan keluarga dakwah. Sehinggakan kalau kita nak berdakwah tu, dalam konteks negara, ia tidak membantu keluarga dakwah untuk bertahan.”

 

Justeru, beliau menekankan bahawa amat penting untuk menyemai kefahaman tentang tanggungjawab memikul dakwah kepada generasi. Seterusnya, kesedaran dalam diri anak-anak dan generasi akan datang bahawa sistem yang ada pada hari ini bukanlah sistem Islam juga perlu ditekankan supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah sistem ini kepada sistem yang berlandaskan Islam.

 

“Selepas kesedaran terbina, mereka juga perlu ada semangat perjuangan. Kalau sudah faham dan sedar tapi tiada semangat untuk bertindak, perubahan tidak akan berlaku. Sebab itu, semangat perjuangan mesti dipupuk agar generasi ini benar-benar mahu memperjuangkan Islam. Bukan sekadar ada kemahuan, tapi sanggup bertindak. Dan di sinilah pentingnya peranan keluarga dakwah, ia perlu menjadi ejen perubahan,” tegasnya di penghujung acara.

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version