[Soal Jawab] Siapakah “Ghârimîn” yang Layak Diberi Zakat?
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Siapakah “Ghârimîn” yang disebut sebagai bahagian dari “Ashnâf” kelapan dan layak mendapatkan zakat? Apakah keperluan untuk maksiat, termasuk kategori “Ghârimîn” yang layak diberi zakat?
Jawapan:
Secara harfiah, “Ghârimîn” adalah bentuk jamak daripada perkataan “Ghârim”, iaitu orang yang berhutang (Madîn).[1] Menurut istilah, “Ghârimîn” adalah:
اَلْمَدِيْنُوْنَ اَلْعَاجِزُوْنَ عَنْ وَفَاءِ دُيُوْنِهِمْ. وَقَالَ مُجَاهِدٌ: اَلْغَارِمُوْنَ هُمْ قَوْمٌ رَكَبَتْهُمُ الدُّيُوْنُ مِنْ غَيْرِ فَسَادٍ وَلَا تَبْذِيْرٍ
Orang yang berhutang dan tidak mampu membayar hutang-hutang mereka. Mujahid menambahkan: Ghârim adalah orang yang memikul beban hutang, bukan untuk keburukan mahupun perkara yang mubazir.[2]
Imam al-Mawardi dalam kitab Al-Hawi al-Kabîr li al-Fatawa, menjelaskan pendapat Imam as-Syafie. Menurut Imam as-Syafie, “Ghârimîn” ini boleh dibezakan menjadi dua kategori.[3]
Pertama: Orang yang berhutang untuk kepentingan peribadi, atau kebaikan, bukan maksiat, kemudian tidak mampu mengembalikan pinjamannya, baik dengan barang (aset) mahupun wang tunai. Dia boleh diberi zakat kerana status “Ghârim”-nya dan kerana dia tidak mampu membayar. Jika dia mempunyai barang (aset), maka hutang-hutangnya boleh dibayar dengan menggunakan asetnya. Orang ini dianggap kaya dan tidak boleh diberi zakat sehingga dia terbebas daripada hutang, sehingga apa yang menjadi asetnya habis, dan apa yang membuat dirinya dianggap kaya tidak ada lagi. Pada saat itu, dia boleh diberi zakat.
Kedua: Orang yang berhutang untuk mendamaikan dua orang yang berselisih, untuk kebaikan, sedangkan dia mempunyai aset yang digunakan untuk menanggung kewajipannya. Jika aset itu dijual akan membahayakan mereka, meski kalau dijual tidak sampai membuat dirinya menjadi fakir. Orang ini boleh diberi zakat, sebagaimana orang lain yang memerlukan.[4] Dalam kitab Al-Majmû’ Syarh al-Muhadzab, Imam an-Nawawi bahkan memasukkan orang ini dalam kategori orang yang berhutang untuk membayar diyat orang yang dibunuh.[5]
Imam as-Syafie berhujah dengan menggunakan hadis Qabishah bin Mukhariq al-Hilali. Orang Arab dahulu hidup bersuku-suku dan berkabilah. Kadang-kadang berlaku konflik di antara mereka. Kemudian, akan ada salah seorang di antara mereka yang berusaha mendamaikan kedua pihak dengan memberikan sesuatu kepada para pihak yang bersengketa supaya mereka berdamai. Bagi melakukan hal itu, orang yang mendamaikan ini kadang perlu meminjam ke sana-sini sehingga menjadi tanggungannya. Tanggungan inilah yang disebut “Hamalah”, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Qabishah. Jadi, Qabishah telah menanggung “Hamalah”, kemudian disampaikan kepada Nabi SAW,
«تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً، فأتَيْتُ رَسولَ اللهِ ﷺ أسْأَلُهُ فيها، فقالَ: أقِمْ حتَّى تَأْتِيَنا الصَّدَقَةُ، فَنَأْمُرَ لكَ بها، قالَ: ثُمَّ قالَ: يا قَبِيصَةُ، إنَّ المَسْأَلَةَ لا تَحِلُّ إلَّا لأَحَدِ ثَلاثَةٍ: رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً، فَحَلَّتْ له المَسْأَلَةُ حتَّى يُصِيبَها، ثُمَّ يُمْسِكُ، ورَجُلٌ أصابَتْهُ جائِحَةٌ اجْتاحَتْ مالَهُ، فَحَلَّتْ له المَسْأَلَةُ حتَّى يُصِيبَ قِوامًا مِن عَيْشٍ -أوْ قالَ: سِدادًا مِن عَيْشٍ- ورَجُلٌ أصابَتْهُ فاقَةٌ حتَّى يَقُومَ ثَلاثَةٌ مِن ذَوِي الحِجا مِن قَوْمِهِ: لقَدْ أصابَتْ فُلانًا فاقَةٌ، فَحَلَّتْ له المَسْأَلَةُ حتَّى يُصِيبَ قِوامًا مِن عَيْشٍ -أوْ قالَ: سِدادًا مِن عَيْشٍ- فَما سِواهُنَّ مِنَ المَسْأَلَةِ -يا قَبِيصَةُ- سُحْتًا، يَأْكُلُها صاحِبُها سُحْتًا.»
“Aku telah menanggung tanggungan [hamalah]. Lalu aku datang kepada Rasulullah SAW untuk menanyakan hal itu. Beliau kemudian bersabda, “Tunggulah sampai sedekah [zakat] itu datang kepada kami. Lalu kami akan menitahkannya untuk menyelesaikan masalahmu.” Baginda bersabda, “Wahai Qubishah, sesungguhnya meminta-minta itu tidak diperbolehkan, kecuali bagi salah satu daripada tiga orang. Pertama, orang yang menanggung beban [hamalah]. Dia boleh meminta sehingga mendapatkannya, lalu dia menahan diri [tidak meminta-minta lagi]. Kedua, orang yang terkena wabah penyakit yang menghabiskan hartanya. Dia boleh meminta sehingga dia mendapatkan kecukupan untuk hidupnya—atau beliau mengatakan—untuk menutupi keperluan hidupnya. Ketiga, orang yang menjadi fakir hingga tiga orang dari pemuka kaumnya membela dirinya, ‘Kesulitan telah menimpa Fulan.’ Dia ini boleh meminta sehingga dia mampu bertahan hidup atau—beliau mengatakan—sehingga keperluan hidupnya terpenuhi. Adapun meminta lebih daripada itu, wahai Qabishah, maka statusnya haram. Orang yang melakukan itu akan memakan makanan yang haram.” (HR Muslim dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali, hadis no. 1044) [6]
Mengenai kebolehan “Ghârimîn” menerima zakat telah dinyatakan di dalam nas syariah, baik al-Quran mahupun Hadis Nabi SAW dalam al-Quran Allah SWT berfirman:
۞إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ ٦٠
“Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk membebaskan orang-orang yang berhutang, untuk fî sabilillah (jalan Allah) dan untuk orang yang dalam perjalanan, sebagai kewajipan daripada Allah. Allah Maha Mengtahui lagi Maha Bijaksana.” [TMQ at-Taubah (9): 60].
Juga sabda Nabi SAW:
«لاتَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إلاَّ لِخَمْسَةٍ: العَامِلِ عَلَيْهَا أَوْ غَارٍِِ أو مُشْتَرِيهَا، أَوْ عَاِملٍ في سَبِيْلِ اللهِ، أَوْ جَارٍ فَقِيْرٍ يَتَصَدَّقُ عَلَيْهِ أَوْ أَهْدَيَ لَهُ»
“Sedekah tidak dihalalkan bagi orang kaya, kecuali untuk lima orang: Orang yang menjadi amil zakat; orang yang Gharim; orang yang membeli zakat [daripada yang berhak]; Mujahid yang berjuang di jalan Allah; tetangga yang miskin, lalu [zakat diterima orang kaya] untuk disedekahkan kepada dirinya, atau dihadiahkan kepadanya.” (HR Abu Dawud, Malik dan Baihaqi dari ‘Atha’ bin Yasar).
Al-Mawardi kemudian menjelaskan tentang mereka yang masuk dalam kategori “Ghârimîn”. Mereka ada dua: Pertama, orang yang berhutang untuk kepentingan peribadinya. Kedua, orang yang berhutang untuk kepentingan orang lain.
Adapun “Ghârimîn” yang berhutang kerana kepentingan peribadinya boleh dikategorikan menjadi tiga: Pertama, berhutang untuk kebaikan. Kedua, berhutang untuk perkara mubadzir. Ketiga, berhutang untuk perkara maksiat.
Bagi kategori pertama, “Ghârimîn” yang berhutang untuk kebaikan. Contohnya seperti orang yang berhutang untuk membiayai musibah yang menimpa dirinya, seperti berubat, atau biaya yang perlu dikeluarkan, atau kerugian akibat muamalah, atau zakat yang diwajibkan, atau haji yang wajib ditunaikan, dan kewajipan lain yang perlu ditunaikan. Dia boleh diberi bahagian atas nama “Ghârimîn” jika memang dia adalah orang miskin.
Namun, jika dia orang kaya, maka ada kemungkinan hartanya berupa aset (hartanah), atau harta yang tidak mudah cair, seperti emas, bon, aset perniagaan, maka dia tidak berhak diberi bahagian dari “Ghârimîn”. Sebab, dia sebenarnya tidak memerlukan bantuan untuk melunasi hutangnya. Kerana faktanya, sedikit sekali orang yang hidupnya diberi kemudahan yang terbebas dari hutang. Jika dia berhak, maka semua orang yang diberi kemudahan hidup akan menjadi “Ghârimîn”.
Jika hartanya berupa hartanah, yang harga asetnya hanya cukup untuk membayar hutangnya, maka untuk memberi dirinya zakat sebagai bahagian dari “Ghârimîn”, ada dua pendapat. Pertama, pendapat yang paling sahih—dan itu sebagaimana yang dinyatakan oleh nas dalam konteks ini, dan banyak kitab Imam as-Syafie yang lain—menyatakan tidak boleh diberi. Kerana dia mampu untuk membayar hutangnya, sebagaimana orang yang diberi kemudahan dengan harta yang tidak mudah cair tadi. Kedua, Imam as-Syafie menyatakan di dalam Qawl Qadiim-nya,[7] sebagaimana dinyatakan dalam kitabnya, Al-Umm, bahawa orang tersebut boleh diberi zakat.[8] Ini kerana dirinya tidak mampu membayar hutangnya, kecuali dengan aset hartanahnya tadi. Dia termasuk orang yang berada dalam kesulitan meski mirip dengan orang yang diberi kemudahan. Kerana itu dia termasuk dalam kategori “Ghârimîn”.
Kedua, “Ghârimîn” yang berhutang untuk perkara mubadzir. Misalnya, orang menghabiskan wangnya untuk memenuhi syahwatnya, kenikmatan atau berfoya-foya dalam menjalin hubungan dengan teman, atau memberikan hadiah, bukan untuk ketaatan mahupun ketakwaan, maka orang “Ghârimîn” seperti ini tidak boleh diberi bahagian dari “Ghârimîn”. Bagi membayar hutangnya, boleh ditaksir daripada hartanya yang tidak mudah cair, atau daripada aset hartanahnya. Ini kerana dia tidak boleh melakukan perkara mubazir. Jika dia tidak boleh melakukan perkara mubazir dengan hartanya sendiri, apatah lagi menggunakan harta zakat. Itu jika dia mempunyai harta. Jika dia miskin, tidak mempunyai aset maka dia boleh diberi zakat atas nama “Ghârimîn”.
Ketiga, orang yang berhutang untuk perkara maksiat. Jika dia tidak bertaubat, sebaliknya tetap dan terus melakukan maksiat, maka orang seperti ini tidak layak diberi zakat atas nama “Ghârimîn”. Kerana dia tidak boleh melakukan maksiat, maka tidak boleh dibantu untuk melakukan maksiat, dengan menanggung bebannya dalam melakukan maksiat.[9]
Jika dia telah bertaubat, dan meninggalkan maksiatnya, maka dia tidak boleh diberi bahagian “Ghârimîn”, ketika dia mempunyai harta tidak mudah cair, atau aset berupa hartanah. Ini kerana menghabiskan harta untuk menutupi maksiatnya lebih baik berbanding melunasinya dengan harta zakat.
Mengenai kebolehan memberikan zakat kepadanya, ketika dia miskin, ada dua pendapat:
- Boleh diberi, ketika dia masih menanggung hutang, dan maksiatnya telah ditinggalkan.
- Tidak boleh diberi, kerana tanggungannya disebabkan oleh perkara maksiat.
WalLâhu a’lam.
Catatan kaki:
[1] Ibn al-Mandzhur, Lisan al-‘Arab, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., Juz, hal.
[2] Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mahusu’ah al-Fiqhiyyah, Dar as-Shafwah, Kuweit, Cet. I, 1414 H/1994 M, Juz, XXXI, hal. 124.
[3] Al-Imam Muhammad bin Idris As-Syafie, al-Umm, Dar al-Wafa’, Qahirah, Cet. V, 1429 H/2008 M, Juz, III, hal. 183-185.
[4] Imam al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir li al-Fatawa, Juz VIII, hal. 508.
[5] Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Syaraf an-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, Muhammad Aiman as-Syablawi, Dar al-Hadits, Qahirah, 1431 H/2010 M, Juz VII, hal. 327.
[6] Al-Imam Muhammad bin Idris As-Syafie, al-Umm, Juz, III, hal. 184.
[7] Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Syaraf an-Nawawi, al-Majmu’, Juz VII, hal. 327.
[8] Al-Imam Muhammad bin Idris As-Syafie, al-Umm, Juz, III, hal. 185.
[9] Imam al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir li al-Fatawa, Juz VIII, hal. 509.
#soaljawab #gharimin #zakat #hutang

