Site icon MuslimahHTM News

Berbakti kepada Ibu Bapa (Tafsir Surah Al-Isra’ [17]: 23)

[TAFSIR AL-QURAN] Berbakti kepada Ibu Bapa (Tafsir Surah Al-Isra’ [17]: 23)

 

Oleh: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.

 

Allah SWT berfirman,

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

 

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah berbuat baik pada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.” (TMQ al-Isra’ [17]: 23)

 

Tidak ada anak tanpa ibu bapa. Melalui ibu bapalah, seorang anak boleh dilahirkan. Atas asuhan dan didikan ibu bapanya jugalah seorang anak dapat tumbuh dan berkembang, baik dari segi fizikal mahupun keperibadiannya. Wajarlah jika anak diwajibkan berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ayat di atas adalah di antara ayat yang memerintahkan kaum muslim memiliki sikap tersebut.

 

Berbuat Ihsan

 

Allah SWT berfirman, “Wa qadhâ Rabbuka (dan Tuhanmu telah memerintahkan).” Menurut Ibnu ‘Abbas, al-Hasan, dan Qatadah –sebagaimana dikutip Abu Hayyan al-Andalusi dalam Tafsîr al-Bahr al-Muhîth–, kata qadhâ bererti amara (memerintahkan). Imam al-Qurthubi juga memaknainya dengan amara wa alzama wa awjaba (memerintahkan dan mewajibkan). Bahkan al-Syaukani memaknainya sebagai amara amr[an] jazm[an] wa hukm[an] qath[an] hatma[an] mubrim[an] (memerintahkan dengan perintah yang pasti, hukum yang qath’i, dan keputusan yang pasti).

 

Perkara yang diperintahkan dalam ayat ini adalah, “allâ ta’budû illâ iyyâhu (supaya kamu jangan menyembah selain Dia).” Bahawa manusia hanya boleh menyembah dan beribadah kepada Allah SWT. Tidak boleh sama sekali menyembah selain-Nya dan menyekutukan-Nya dengan yang lain (lihat QS al-Nisa’ [4]: 36). Berkenaan dengan ayat ini, Sihabuddin al-Alusi berkata, “Dan Allah SWT memerintahkan agar tidak menyembah selain-Nya kerana ibadah merupakan ghâyat al-ta’zhîm (puncak pengagungan). Dan ini tidak layak kecuali kepada Zat yang memiliki puncak keagungan, Pemberi nikmat dengan berbagai kenimatan yang besar. Dan selain Allah SWT tidaklah demikian.” Penjelasan senada juga dikemukakan Fakhruddin al-Razi dalam al-Tafsîr al-Kabîr.

 

Perintah ini berlaku untuk seluruh manusia. Tidak ada seorang Rasul pun diutus kecuali dia menyampaikan perintah ini (lihat QS al-Nahl [16]: 36 dan al-Anbiya’ [21]: 26). Sebaliknya, tindakan menyekutukan-Nya dengan yang lain merupakan dosa besar yang –apabila hingga mati tidak bertaubat– tidak terampuni (lihat QS al-Nisa’ [4]: 48, 116). Pelakunya diharamkan syurga atasnya dan tempatnya adalah neraka (lihat QS al-Maidah [5]: 72).

 

Perintah berikutnya adalah, “wa bi al-wâlidayni ihsân[an] (dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya).” Jika terhadap Allah SWT diperintahkan beribadah, maka terhadap sesama makhluk-Nya diperintahkan berbuat ihsan dan belas kasihan. Dan orang yang paling berhak mendapatkannya adalah ibu bapa. Sebab, merekalah yang paling banyak berjasa. Sementara bersyukur kepada pemberi nikmat adalah wajib.

 

Allah SWT berfirman, “Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu.” (TQS Luqman [31]: 14). Rasulullah SAW juga bersabda, “Man lam yasykur al-nâs lam yasykuril-Lâh (barangsiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah).” (HR al-Tirmidzi dan Ahmad dari Abu Sai’d al-Khudri)

 

Didahulukannya kata al-wâlidayn menunjukkan syiddah al-ihtimâm (kuatnya perhatian). Sedangkan digunakan ihsân[an] dalam bentuk nakirah, menunjukkan al-ta’zhîm. Ertinya, Tuhanmu memerintahkan agar kalian berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan kebaikan yang agung lagi sempurna. Demikian penjelasan Fakhruddin al-Razi.

 

Beberapa Hak Ibu Bapa

 

Kemudian Allah SWT berfirman, “Immâ yablughanna ‘indaka al-kibara ahaduhumâ aw kilâhumâ (jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai lanjut usia dalam pemeliharaanmu).” Dijelaskan Abdurrahman al-Sa’di, frasa ini bermakna, “Jika keduanya telah sampai pada usia yang telah lemah kekuatannya dan memerlukan kasih sayang dan ihsân.” Menurut al-Syaukani, disebutkannya secara khusus ketika al-kibar (usia lanjut) kerana pada saat itu perbuatan baik dari anak lebih diperlukan daripada yang lain.

 

Tatkala dalam keadaan demikian, seorang anak diserukan, “falâ taqul lahumâ uff (maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘uffin’).” Menurut Abu Hayyan al-Andalusi, kata al-uff merupakan ism fi’l yang bermakna atadhajjaru (saya bosan, saya jemu). Tidak jauh berbeza, al-Zuhaili juga menyatakan bahawa kata tersebut menunjukkan keengganan dan keberatan. Dengan demikian -sebagaimana diterangkan al-Syaukani-, seorang anak tidak boleh menampakkan keengganan atau keberatannya terhadap ibu bapa. Walaupun yang disebutkan dalam ayat ini larangan berkata uff[in], namun mafhûm al-muwâfaqah (makna tersirat yang selari) dengannya mencakup semua perkataan dan tindakan yang dapat menyakiti hati ibu bapa.

 

Kesimpulan ini kian dikukuhkan dalam frasa selanjutnya, “walâ tanhar humâ (dan janganlah kamu membentak mereka).” Kata tanhar berasal dari kata al-nahr yang bererti al-zajr bi al-ghilthah (membentak dengan marah). Demikian penjelasan al-Zuhaili dalam al-Tafsîr al-Munîr. Tidak jauh berbeza, Ibnu ‘Athiyah juga menuturkan bahawa al-intihâr bererti menampakkan kemarahan dalam suara dan ucapan. Seorang anak dilarang untuk berlaku demikian terhadap ibu bapanya.

 

Sebaliknya, manusia diperintahkan, “Waqul lahumâ qawl[an] karîm[an] (dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia).” Menurut al-Qurthubi, qawl[an] karîm[an] bererti qawl[an] lathîfa (perkataan yang lembut). Fakhruddin menafsirkannya sebagai perkataan yang disertai dengan al-ta’zhîm wa al-ihtirâm (memuliakan dan penghormatan).

 

Tidak hanya dalam ucapan, namun bersikap baik itu juga mewujud dalam perbuatan. Dalam ayat berikutnya ditegaskan, “Wahfidh lahumâ janâh al-dzull min al-rahmah (dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan.)” (TQS al-Isra’ [17]: 24). Menurut al-Razi, ungkapan dalam ayat ini bermakna melebihkan tawaduk. Kata min al-rahmah menunjukkan bahawa sikap tawaduk itu disebabkan oleh besarnya kasih sayang dan belas kasihan kepada keduanya kerana telah tua dan lemahnya mereka.

 

Diperintahkan juga untuk mendoakan mereka. Allah SWT berfirman, “Dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil’” (TMQ al-Isra’ [17]: 24). Perintah untuk mendoakan mereka agar diberikan rahmat dari-Nya itu berlaku baik keduanya masih hidup mahupun sudah meninggal dunia.

 

Khusus bagi ibu bapa musyrik yang sudah meninggal, dilarang untuk mendoakannya, sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah SWT, “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam.” (TMQ al-Taubah [9]: 113)

 

Itulah akhlak yang diajarkan oleh Islam kepada manusia dalam bersikap dengan ibu bapa mereka. Sebagaimana layaknya kewajipan, siapa pun yang melakukannya akan mendapatkan pahala dan redha-Nya. Sebaliknya, siapa pun yang melanggarnya, bahkan berlaku derhaka kepada ibu bapanya akan diganjar dengan seksa yang pedih. Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai al-kabâir (dosa besar). Beliau menjawab “Menyekutukan Allah.” “Kemudian apa lagi?” Beliau bersabda, “‘Uqûq al-wâlidayn (derhaka kepada ibu bapa). Semoga kita tidak tergolong di dalamnya. Wal-Lâh a’lam bi al-shawâb.

 

Ikhtisar

 

Wajib bagi manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, lebih-lebih lagi ketika usia mereka sudah lanjut. Sikap anak terhadap ibu bapanya: (1) Tidak berkata yang menyakitkan hati mereka; (2) Tidak membentak mereka; (3) Mesti berkata dengan perkataan yang mulia; (4) Bersikap tawaduk; (5) Mendoakan mereka.

 

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

#BirrulWalidain #BerbaktipadaIbubapa #AnakSoleh

Exit mobile version