[Kisah Inspirasi] Kisah Abdullah bin Hudzafah Sebagai Tawanan Rom
Diceritakan daripada Ikrimah, daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa tentera Rom telah berjaya menangkap dan menawan Abdullah bin Hudzafah as-Sahmi RA, salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Dalam tahanan, pemimpin Rom berkata kepadanya, “Masuklah ke dalam agama Nasrani. Jika engkau enggan, aku akan campakkan engkau ke dalam kawah besar berisi minyak mendidih,” namun Abdullah dengan tegas menjawab, “Aku tidak akan melakukannya.”
Kemudian, ketua Rom mengarahkan agar disediakan sebuah kawah besar yang dipenuhi dengan minyak dan dipanaskan sehingga mendidih. Dia kemudian memanggil seorang tawanan Muslim yang lain dan memaksanya memeluk agama Nasrani. Namun, tawanan itu dengan tegas menolak, lalu dia pun dicampakkan ke dalam kawah tersebut sehingga tulang-belulangnya kelihatan terapung di permukaan minyak.
Pemimpin Rom itu sekali lagi berkata kepada Abdullah, “Masuklah ke dalam agama Nasrani. Jika kau tetap enggan, aku akan campakkan kau ke dalam kawah itu.”
“Aku tidak akan melakukannya,” jawab Abdullah dengan tegas. Lalu pemimpin Rom mengarahkan agar Abdullah bin Hudzafah dicampakkan ke dalam kawah tersebut. Namun, ketika dia sedang dibawa untuk dilemparkan, Abdullah tiba-tiba menangis. Melihat itu, para pengawal berkata, “Dia menangis kerana ketakutan.”
Pemimpin Rom berkata, “Angkat dia semula.” Setelah Abdullah diangkat, beliau pun berkata, “Kamu sangka aku menangis kerana takut? Sama sekali tidak. Aku menangis kerana aku hanya ada satu nyawa sahaja. Aku amat berharap, andai aku mempunyai seratus nyawa dan kesemuanya dibunuh dalam keadaan seperti ini iaitu ketika aku berjuang di jalan Allah.”
Pemimpin Rom sangat kagum dan terpegun mendengar kata-kata itu. Lalu dia berkata, “Masuklah ke dalam agama Nasrani. Jika kau sanggup melakukannya, aku akan kahwinkan kau dengan anak perempuanku dan berikan sebahagian daripada kekuasaanku kepadamu.”
“Aku tidak akan sekali-kali melakukannya,” jawab Abdullah. Lalu pemimpin Rom berkata, “Kalau begitu, cium kepalaku dan aku akan bebaskan lapan puluh orang tawanan Muslim.”
“Sekiranya itu tawarannya, aku sanggup melakukannya,” jawab Abdullah. Lalu beliau pun mencium kepala pemimpin Rom tersebut. Akhirnya, ketua Rom itu membebaskan Abdullah bersama lapan puluh orang tawanan Muslim yang lain.
Selepas itu, mereka pun pulang dan menghadap Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan keberaniannya, Khalifah Umar mencium kepala Abdullah. Sejak daripada itu, para sahabat kadang-kadang bergurau dengan Abdullah bin Hudzafah sambil berkata kepadanya, “Engkau pernah mencium kepala ilj,” iaitu gelaran bagi perwira kafir ajam yang bertubuh besar, gagah dan kuat. (Rujukan: Ibnu al-Jauzi, 500 Kisah Orang Soleh Penuh Hikmah).
Hikmah
Kisah Abdullah bin Hudzafah membawa dua pengajaran penting kepada kita.
Pertama, keimanan yang teguh tidak akan gentar walau diancam oleh musuh. Jika kita ingin mencontohi keimanan yang sebenar, pastilah kita perlu merujuk kepada Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Iman mereka luar biasa hebatnya, jauh mengatasi kebiasaan manusia biasa. Ujian yang mendepani perjuangan dakwah baginda serta perjalanan hidup para sahabat jauh lebih berat dan mencabar. Maka, tidak wajar bagi kita sebagai pendukung dakwah mengeluh atau berputus asa apabila berdepan dengan ujian dakwah dan dugaan hidup.
Ini kerana ujian yang kita hadapi tidaklah seberat ujian yang menimpa para Nabi dan orang-orang beriman sebelum kita. Setiap orang yang beriman pasti akan diuji sebagai bukti keimanan mereka. Sepertimana firman Allah SWT, “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya mengatakan, ‘Kami telah beriman,‘ dan mereka tidak diuji?” [TQM Al Ankabut(29) : 2]
Allah SWT juga tidak akan menguji di luar batas kemampuan hambaNya. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya.” [TMQ Al Baqarah(2): 286].
Kedua, perjuangan dalam dakwah pasti datang bersama risiko yang berupa pelbagai rintangan dan halangan. Ini termasuklah cemuhan, penghinaan, pengasingan, serta tuduhan palsu yang bertujuan untuk melemahkan usaha menyebarkan dakwah Islam. Namun, Rasulullah SAW dan para sahabat telah melalui semua itu dengan penuh kesabaran dan keyakinan kepada Allah SWT. Begitulah sepatutnya sikap para pendakwah hari ini. Walau apapun halangan yang mendatang, teruskan berdakwah dengan konsisten dan istiqamah. Sampaikan kebenaran Islam dengan berani dan penuh keyakinan. Bersabarlah sehingga perjuangan menegakkan syariat Islam membuahkan hasil yang manis, iaitu kembalinya Khilafah Islamiyyah mengikut manhaj kenabian, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Nabi SAW dalam sabdanya.
Kesabaran yang sebenar ialah kesabaran yang menguatkan tekad dan membawa seseorang semakin dekat kepada jalan menuju syurga. Inilah jenis kesabaran yang ditunjukkan oleh Bilal bin Rabah, Khabab, dan keluarga Yasir yang diseksa kerana iman mereka. Ia juga seperti kesabaran para sahabat yang diberkati, mereka yang disisihkan di Mekah, serta yang berhijrah ke Habsyah demi mempertahankan akidah. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang ditangkap kerana tetap berpegang teguh kepada kalimah mereka: “Tuhan kami adalah Allah.”
Kesabaran yang hakiki juga hendaklah mencontohi kesabaran golongan Muhajirin dan Ansar ketika mereka berjuang memerangi kaum musyrikin, bangsa Parsi dan Rom. Ia juga seperti kesabaran yang ditunjukkan oleh para sahabat yang ditawan, iaitu Abdullah bin Hudzafah dan mujahidin yang berani dan jujur.
Kesabaran yang sebenar ialah kesabaran ketika melaksanakan amar makruf nahi mungkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, tanpa rasa lemah walaupun berdepan dengan pelbagai bentuk penindasan di jalan Allah SWT. Kesabaran yang sebenar juga adalah kesabaran ketika berada dalam saf perjuangan sebagai tentera Islam, bersama pasukan Muslim yang bersedia untuk berperang menentang musuh-musuh Allah SWT.
Demikianlah pesan mendalam tentang kesabaran yang dipetik daripada kitab Min Muqawimat Nafsiyah Islamiyah halaman. 136. Nasihat berharga yang ditujukan kepada setiap pengemban dakwah yang berjuang di jalan Allah SWT.
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/06/14/37090/
#sabar #iman

