Site icon MuslimahHTM News

Pengorbanan Tanpa Sempadan, Hanya Kerana Tuhan: Inspirasi Keluarga Nabi Ibrahim AS (Bahagian 1)

Pengorbanan Tanpa Sempadan, Hanya Kerana Tuhan:

Inspirasi Keluarga Nabi Ibrahim AS (Bhg.1)

 

Oleh: Syafinaz Safar

 

Nabi Ibrahim AS adalah seorang nabi dan rasul pilihan Allah SWT yang dikenali sebagai bapa para nabi. Gelaran ini diberikan kerana daripada keturunan baginda lahirlah ramai nabi, termasuk Nabi Muhammad SAW, penutup segala nabi. Nabi Ibrahim juga digelar Khalilullah (kekasih Allah), dan baginda membawa risalah tauhid, menyeru umatnya agar menyembah Allah SWT yang Esa.

 

Nama baginda diabadikan sebanyak 69 kali dalam 25 surah di dalam al-Quran, termasuk Surah al-Baqarah, at-Taubah, as-Saffat, Maryam, al-Hijr, Hud, Ali ‘Imran, an-Nisa’ dan banyak lagi. Selain kisah Nabi Ibrahim, al-Quran juga merekodkan kisah isteri-isterinya, Siti Sarah dan Siti Hajar, serta anak baginda, Nabi Ismail AS. Banyak pengajaran yang boleh diambil oleh umat Islam dalam menghayati perjuangan baginda serta keluarganya.

 

Antara pengajaran penting yang boleh diteladani adalah keberanian baginda dalam menyeru kepada kaumnya untuk mengesakan Allah SWT. Baginda dilahirkan di Babylon yang diperintah oleh Raja Namrud, dan menjadi tradisi masyarakat di sana untuk menyembah pelbagai tuhan atau disebut sebagai politeisme. Mereka menyembah berhala serta objek langit seperti bintang, bulan dan matahari. Baginda mempersoalkan kepercayaan ini, termasuk kepada bapanya sendiri, Azar, yang merupakan pembuat patung berhala. Allah SWT berfirman:

 

۞ وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ لِأَبِيهِ ءَازَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءَالِهَةً ۖ إِنِّىٓ أَرَىٰكَ وَقَوْمَكَ فِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ ٧٤

Maksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ Al-An’am (6):74]

 

Nabi Ibrahim AS berusaha mencari kebenaran dengan memerhati alam. Dalam Surah al-An’am ayat 76-78, digambarkan bagaimana baginda menolak bintang, bulan dan matahari sebagai tuhan kerana semuanya terbit dan tenggelam. Hasil penelitian itu, baginda menyimpulkan bahawa kaumnya telah tersesat dalam mengenal Tuhan yang sebenar.

 

Setelah meyakini kesesatan kaumnya, Nabi Ibrahim bertindak memecahkan semua berhala ketika mereka keluar menyambut pesta tahunan. Hanya patung paling besar ditinggalkan, dengan kapak digantung pada bahunya. Apabila kaumnya kembali, mereka menuduh Nabi Ibrahim, lalu baginda mencabar mereka untuk bertanya kepada patung tersebut. Kaum itu akhirnya terpaksa mengakui bahawa berhala tidak mampu berkata-kata, melihat atau mendengar.

 

Peristiwa ini sampai ke pengetahuan Raja Namrud. Selepas itu, Baginda pun menyeru kepada kaumnya untuk menyembah hanya kepada Tuhan yang Satu yang telah menciptakan mereka, bukan lagi kepada patung berhala dan benda sembahan lain. Peristiwa ini sampai ke pengetahuan Raja Namrud. Nabi Ibrahim terus menyeru mereka menyembah Allah SWT semata-mata, bukan patung buatan tangan manusia. Namun, seruan itu membangkitkan kemarahan mereka. Raja Namrud memerintahkan agar Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup. Kayu dikumpulkan, api marak dinyalakan, dan baginda dicampakkan ke dalamnya. Namun, Allah SWT memerintahkan:

 

قُلْنَا يَـٰنَارُ كُونِى بَرْدًۭا وَسَلَـٰمًا عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ ٦٩

Maksud: “Kami berfirman: “Wahai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”.” (TMQ Al-Anbiya’ [21]:69)

 

Dengan izin Allah, api yang besar itu tidak membakar baginda langsung. Kaum yang menyaksikan peristiwa luar biasa itu terpinga-pinga dan mula meragui kepercayaan mereka. Selepas itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim berhijrah dari Babylon ke Syam, meneruskan dakwah di tempat baharu bersama keluarganya.

 

Dalam perjalanan ke Syam, Nabi Ibrahim ditemani isterinya Siti Sarah dan anak saudaranya, Nabi Luth AS. Setelah tiba di Syam, mereka mendapati keadaan negeri itu teruk dan banyak penduduk telah meninggalkannya. Mereka kemudian melalui sebuah negeri di bawah taklukan Mesir.

 

Ketika itu, Mesir diperintah oleh seorang raja yang zalim yang gemar merampas wanita cantik. Bimbang akan keselamatan Siti Sarah, Nabi Ibrahim menyembunyikannya dalam sebuah peti kayu yang diikat pada belakang unta. Namun, pergerakan mereka disedari dan ditahan oleh pengawal istana. Nabi Ibrahim mengaku jujur bahawa peti itu mengandungi seorang perempuan.

 

Setelah Siti Sarah dibawa menghadap raja, baginda menyatakan bahawa wanita itu adalah “saudaranya” — yang dimaksudkan sebagai saudara seakidah. Nabi Ibrahim dipenjarakan, manakala Siti Sarah dibawa ke istana. Baginda tetap yakin dengan pertolongan Allah SWT dan terus berdoa. Allah SWT menghantar Malaikat Jibril untuk memberi jaminan bahawa raja tersebut tidak akan mampu menyentuh Siti Sarah.

 

Di istana, raja itu cuba mendekati Siti Sarah. Namun, dengan kuasa Allah, setiap kali dia cuba menyentuhnya, kakinya melekat ke lantai dan tangannya menjadi kudung hingga ke bahu. Dia memohon agar Siti Sarah berdoa untuk memulihkannya. Siti Sarah berdoa dan Allah memakbulkannya. Tetapi raja itu mengulangi perbuatannya sebanyak tiga kali, dan setiap kali mengalami nasib yang sama.

 

Akhirnya, raja itu mengalah dan malu besar, lalu memohon maaf kepada Siti Sarah. Dia kemudian membebaskan Nabi Ibrahim dan memberikan beberapa hadiah, termasuk seorang hamba bernama Siti Hajar, selain pakaian dan harta. Raja itu juga membenarkan Nabi Ibrahim sekeluarga menetap di mana sahaja yang mereka mahu tanpa gangguan. Lalu baginda memilih untuk tinggal sebentar di Khamsas sebelum menuju ke tanah yang diberkati, Baitul Maqdis atas perintah Allah SWT.

 

Ketibaan Nabi Ibrahim di Baitul Maqdis bersama isterinya, Siti Sarah, Nabi Luth dan hamba Siti Sarah iaitu Siti Hajar, menjadikan proses dakwah baginda semakin mencabar. Nabi Luth akhirnya dihantar ke Sodom untuk berdakwah di sana. Menyedari bahawa suaminya sangat ingin mempunyai zuriat, dan kerana dirinya sudah tua, Siti Sarah dengan hati yang redha menyerahkan Siti Hajar kepada Nabi Ibrahim untuk dinikahi.

 

Dengan izin Allah SWT, Siti Hajar hamil dan melahirkan seorang anak lelaki yang sangat dinanti-nantikan oleh Nabi Ibrahim. Anak itu dinamakan Ismail AS, yang kelak menjadi seorang nabi dan daripada keturunannya lahir para nabi dalam kalangan bangsa Arab.

 

(Bersambung di Bahagian 2)

 

Sumber: Kisah Para Nabi (Ibnu Katsir), Ummul Qura

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

#KeluargaAlQuran #KeluargaNabiIbrahim

 

Exit mobile version