Site icon MuslimahHTM News

Pengorbanan Tanpa Sempadan, Hanya Kerana Tuhan: Inspirasi Keluarga Nabi Ibrahim AS (Bhg.2)

Pengorbanan Tanpa Sempadan, Hanya Kerana Tuhan: Inspirasi Keluarga Nabi Ibrahim AS (Bhg.2)

 

Oleh: Syafinaz Safar

 

Kegembiraan menyambut kelahiran Nabi Ismail AS dalam keluarga Nabi Ibrahim AS tidak lama. Allah SWT telah mewahyukan kepada baginda untuk membawa Siti Hajar dan bayi mereka ke sebuah kawasan padang pasir yang tandus bernama Bakkah. Walaupun berat hati kerana perlu berpisah dengan anak yang amat dikasihi dan lama dinanti, Nabi Ibrahim tetap taat dan redha menjalankan perintah Allah SWT.

 

Tanpa berlengah, baginda membawa Siti Hajar dan Nabi Ismail ke lokasi yang diperintahkanNya. Setibanya di situ—sebuah kawasan sunyi di antara dua lembah—baginda meninggalkan mereka dan bersiap untuk kembali ke Baitul Maqdis. Siti Hajar, yang bingung dan risau, mengejar suaminya dan bertanya berulang kali tentang alasan mereka ditinggalkan di tempat seumpama itu. Nabi Ibrahim tetap diam hingga Siti Hajar bertanya, “Adakah ini perintah Allah?” Baginda mengangguk. Dengan penuh keimanan, Siti Hajar menjawab, “Jika begitu, tidak mengapa. Aku yakin Allah tidak akan mensia-siakan kami.”

 

Beberapa hari kemudian, bekalan makanan dan air mereka habis. Dalam kehausan dan kebimbangan, Siti Hajar berlari-lari anak antara dua bukit—Safa dan Marwa—sebanyak tujuh kali, mencari sumber air. Ketika hampir berputus asa, dengan izin Allah SWT, air zam-zam memancut keluar dari bawah kaki Nabi Ismail. Siti Hajar segera menahan air tersebut dengan pasir dan minum sepuasnya sambil bersyukur kepada Allah atas nikmat yang tidak disangka itu.

 

Air zam-zam menjadi sumber kehidupan penting yang menyebabkan kawasan Bakkah itu semakin subur dan akhirnya menjadi laluan perdagangan dan penempatan manusia, yang kemudian berkembang menjadi kota Mekah.

 

Nabi Ibrahim AS dikatakan beberapa kali datang menziarahi Siti Hajar dan Nabi Ismail dari Baitul Maqdis. Hal ini menunjukkan tanggungjawab baginda sebagai suami dan ayah tetap dijalankan, meskipun berjauhan. Siti Hajar pula memainkan peranan penting dalam mendidik Nabi Ismail dengan akidah tauhid dan kasih sayang.

 

Apabila Nabi Ismail mencapai usia kanak-kanak, antara tujuh hingga sepuluh tahun, Nabi Ibrahim mendapat mimpi yang berulang, iaitu perintah daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya. Walaupun berat, baginda tahu bahawa ia adalah ujian ketaatan daripada Tuhan yang Maha Mengetahui. Maka Nabi Ibrahim menyampaikan perkara itu kepada Nabi Ismail.

 

Tanpa ragu dan dengan iman yang mantap dan kesan tarbiah tauhid yang diasuh sejak kecil, Nabi Ismail menjawab dengan jawapan yang membuatkan ayahnya sangat gembira dan bulat hatinya. Keadaan ini Allah SWT rakam dalam firmanNya:

 

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ

Maksud: “Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.” [TMQ As-Saffat (37):102]

 

Dengan penuh keikhlasan, kedua-dua beranak itu tunduk kepada perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim membawa Nabi Ismail ke kawasan Mina, membaringkan anaknya dan mengikat tangannya. Ketika baginda hendak menyembelih, Allah SWT menggantikan tubuh Nabi Ismail dengan seekor sembelihan yang besar. Firman Allah SWT:

 

وَفَدَيْنَٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Maksud: “Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” [TMQ As-Saffat (37):107]

 

Peristiwa ini menjadi asas kepada ibadah korban dalam Islam yang dilaksanakan setiap tahun pada Aidiladha. Ia menggambarkan betapa agungnya pengorbanan demi mentaati perintah Allah, meskipun melibatkan kasih kepada anak sendiri.

 

Selepas peristiwa tersebut, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bersama-sama membina Kaabah, rumah Allah yang pertama di muka bumi. Kemudian, Nabi Ibrahim kembali ke Baitul Maqdis untuk meneruskan dakwah. Tidak lama selepas itu, isteri pertamanya, Siti Sarah, dikurniakan seorang anak lelaki, Nabi Ishak AS, walaupun ketika itu usianya telah lanjut.

 

Kelahiran Nabi Ishak adalah penghargaan ilahi atas kesabaran dan keimanan Siti Sarah. Dari zuriat Nabi Ishak lahirlah para nabi Bani Israel, termasuk Nabi Ya’qub, Nabi Yusuf dan akhirnya Nabi Isa AS.

 

Allah SWT memuji Nabi Ibrahim dalam pelbagai ayat al-Quran. Antaranya:

وَإِذِ ٱبْتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٍۢ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

Maksud: “Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku jadikanmu pemimpin bagi seluruh manusia.’” [TMQ al-Baqarah: 124]

 

وَإِبْرَٰهِيمَ ٱلَّذِى وَفَّىٰٓ

Maksud: “Dan Nabi Ibrahim yang menyempurnakan janji.” [TMQ An-Najm: 37]

 

Kesimpulannya, kisah keluarga Nabi Ibrahim AS ini bukan sekadar catatan sejarah dari al-Quran semata-mata tetapi sebuah manifestasi pengorbanan, keimanan dan tawakal yang sebenar kepada Allah SWT. Ia mengajarkan kita tentang tanggungjawab memimpin keluarga ke arah tauhid, juga perlunya kesabaran dan tawakal dalam menghadapi ujian hidup, serta peranan suami isteri yang saling menyokong dalam membina keluarga.

 

Setiap keluarga Muslim sewajarnya menjadikan rumah tangga sebagai pusat tarbiah, bukan hanya tempat tinggal fizikal. Seorang ayah perlu memimpin dengan kasih sayang dan istiqamah, manakala seorang ibu perlu ditarbiah dengan syariat dan akhlak dengan sebaiknya agar proses membina dan mendidik anak-anak menjadi lebih terurus dan terfokus kepada kebahagian dunia dan akhirat. Anak-anak pula perlu ditanam rasa cinta dan taat kepada Allah SWT, Rasul dan ibu bapa sejak kecil. Semuanya dilakukan dengan penuh rasa kasih sayang.

Semangat pengorbanan dan tauhid yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim, Siti Hajar, Siti Sarah dan Nabi Ismail seharusnya menjadi cerminan dalam kehidupan umat Islam, agar dapat membina keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah, bukan hanya di dunia, tetapi juga hingga ke akhirat.

 

Wallahua’lam.

 

Sumber: Kisah Para Nabi (Ibnu Katsir), Ummul Qura

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

#KeluargaAlQuran #KeluargaNabiIbrahim

 

 

 

 

 

Exit mobile version